Sunday, January 4, 2015

PENYAKIT DAN NALURI TAKUT

 (Disiarkan pada 3.1.2015)
Penyakit takut merupakan fitrah manusia yang mengpengaruhi tinkahlaku individu berkenaan terhadap sesuatu fenomena alam kehidupan sama ada di dalam dirinya  mahupun diluar yang bersifat nyata ataupun yang ghaib. Fenomena berkenaan diyakini akan mengakibatkan kemuderatan kepada kesihatan serta pengalaman individu berkenaan yang tidak berjaya diperolehi.
               Fitrah takut berlaku pada diri seseorang kerana meyakini hubungannya dengan alam kehidupan kurang memberi jaminan keselamatan mahupun kebahagian pada dirinya. Fenomena takut biasanya menginap pada orang yang imannya tidak menentu. Disiplin perlaksanaan ibadah kurang berlandaskan kepada tawakal kerana Allah.  
               Penyakit takut timbul dari jubun. Hawa kemarahan badan sudah terlalu dingin dan beku. Sebab itu timbullah ketakutan. Takut kerana menyangka ada bahaya, atau perkara yang tidak  diingini. Sebab yang diakui bukanlah barang yang telah kejadian tetapi yang akan datang, perkara besar, atau kecil, sukar atau mudah!
               Barang yang boleh jadi datang dan belum tentu, belum pasti. Sebab itu janganlah kita putuskan saja bahawa perkara yang belum pasti akan terjadi juga. Kalau berat sangkaan bahawa perkara itu pasti datang, yang ditakuti itu kadang-kadang tidak seberat yang kita sangka.
               Hidup yang senang bahagia dan yang aman, ialah hidup yang mempunyai persangkaan dan pengharapan baik, cita-cita yang tinggi dan perinsip yang teguh, dan tidak terlalu banyak memikirkan barang yang belum tentu akan terjadi. Misalnya seseorang enggan berniaga kerana takut rugi, enggan menyewa tokoh besar, takut tidak terbayar sewanya, enggan beristeri, takut tidak akan terbelanjai. Semua ketakutan itu menghalangi langkah mencapai kemajuan hidup. Padahal yang lebih patut ditakuti ialah yang tidak ada kemajuan itu.
               Tetapi kalau yang ditakuti itu datang dari kesalahan sendiri, hendaklah kita awas dan hati-hati. Kalau takut diseksa, singkirkan dosa. Kalau takut rugi berniaga, hendaklah hati-hati. Kalau pekerjaan ditimpa bahaya, jangan lupa mengawasinya. Kalau segala usaha dan ikhtiar telah cukup dilakukan dan dalam hati masih ada ketakutan juga, ini adalah penyakit. Pergilah ke doktor. Kalau memang datang juga bahaya itu, padahal ikhtiar dan usaha telah cukup, tidak lah seorang yang sihat akalnya merasa takut dan menyesal lagi!    
               Ketakutan yang begini, kerana dia datang dari fikiran, maka ubatnya ialah dari dalam fikiran juga. Misalnya seorang berniaga takut rugi, hendaklah diubati dengan perasaan, bahawa jatuh miskin itu bukanlah penyakit, sebab orang yang lebih miskin pun boleh hidup. Yang jadi penyakit ialah ketakutan itu.
Ingatlah bahawa sorang manusia dilahirkan tidak berharta dan berkain sehelai benang juga, kemudian dia kembali ke akhirat, pun hanya dengan 3 lapis kafan. Semuanya itu adalah biasa, tidak perlu ditakutkan.       
Dua perkara yang mesti datang dan sangat ditakuti oleh manusia iaitu, tuan dan mati. Apakah ubatnya takut itu? Harus diingat, bahawa semua manusia inginkan panjang umur, takut tua dan takut mati. Inilah suatu perasaan ganjil. Gila saja pun tidak segila ini. Sebab orang gila ada keinginan hidup, sebagaimana tidak mengingini mati juga.
Kalau suka umur panjang, tentu ertinya suka tua, bukan? Adakah berumur panjang tidak menemui tua? Tidakkah terlalu tamak orang yang ingin umur panjang dan ingin terus muda? Al Akhthal, penyair Nasrani di zaman Khalifah Bani Umaiyah menyairkan:
“Manusia itu semuanya cinta umur panjang.
Padahal tidaklah ku lihat umur panjang hanya menambah tolol belaka.
Kalau engkau hendak membanggakan harta benda.
Tidaklah ada harta benda yang melebihi amal soleh.”
Bila umur panjang tua pasti datang. Sebab kalau hidup telah lanjut, timbangan panas dingin
telah reda, darah telah usang, anggota badan pun lemah. Kegiatan habis, kekuatan pencernaan hilang, gigi goyah dan kadang-kadang  tanggal semuanya. Alat keturunanpun lemah dengan sedirinya. Apalagi orang tua itu  kerapkali menyaksikan orang yang lebih muda daripadanya, terutama di dalam kalangan kuluarganya sendiri, yang dicintainya, mati dahulu daripadanya. Itupun menambah tua juga.  
               Takut itu satu sifat naluri manusia terutama sekali apabila memikirkan tentang kehidupan yang serbah mencabar. Walaubagaimana pun naluri takut itu jika disandarkan  kepada pembangunan rohani seperti takut kepada kedosaan, takut melakukan kemaksiatan dan takut kepada menghianati perintah Allah, merupakan satu naluri manusia yang mulia dan digalakkan dalam pembangunan dunia dan akhirat.            
               Allah berfiman Surah Ali Imran ayat 3:110, yang bermaksud:
               “Adalah kamu sebaik-baik umat yang dibangkitkan bagi manusia supaya kamu  menyuruh mengerjakan kebajikan dan kamu melarang berbuat kejahatan serta percaya kepada Allah. Kalau berimanlah Ahli Kitab (Yahudi atau Nasrani) nescahaya lebih baik bagi mereka. (tetapi sesetengah mereka itu mukmin dan kebanyakan mereka fasik.”
               Sebabnya ayat ini diturunkan kerana ada beberapa orang Yahudi iaitu Malik bin ash-Shaif dan Wahab bin Yahada telah berkata kepada orang-orang Islam iaitu Abdullah bin Mas’ud, Mu’adz bin Jabal dan Salim (hamasahaya Hudzaifah) begini: “Kami lebih mulia daripada kamu dan agama kami lebih baik daripada agama yang kamu dakwahkan.” Maka Allah turunkan ayat ini.
               Maksud ayat tersebut iaitu; Kamulah  sebaik-baik umat yang ada sekarang dengan sebab kamu ada menyuruh mengerjakan kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan serta beriman dengan sebenar-benar iman. Sedang umat yang lain yang telah tenggelam di dalam kejahatan dan tidak ada di antara mereka yang menyuruh kaumnya berbuat kebajikan dan mencegahkan dari kejahatan serta tidak pula beriman dengan Allah sebenar-benar iman.
               Sekiranya mereka itu beriman dengan sebenar-benar iman yang tertanam di dalam hati dan sebati dengan jiwa—sebagaimana keimanan orang-orang mukmin – maka  yang demikian itu amatlah baiknya iaitu akan mendapat ketinggian di dunia dan pahala di akhirat dengan memasuki syurga.  
               Di antara orang-orang Ahli Kitab itu terdapat juga orang-orang yang telah beriman dengan tulus ikhlas dalam sebarang amalannya seperti; Abdullah bin Salam dan kumpulan  daripada orang-orang Yahudi, dan kumpulannya dari orang-orang Nasrani. Tetapi kebanyakan nya bermaharajarela di dalam kekufuran.            
               Orang mukmin sejati adalah orang yang takut kepada Allah S.W.T. dengan semua anggota tubuhnya. Seperti apa yang telah diperkatkan oleh Abul Laits; “Takut kepada Allah S.W.T.  akan terlihat tanda-tandanya dalam tujuh macam hal.
(a)     Lidahnya, dia tentu akan mencegahnya dari dusta menggunjing, mengadu domba, membual dan perkataan tidak bermanfaat. Lagi pula dia akan menjadikannya sibuk dengan zikir kepada Allah S.W.T. membaca Al-Qur’an dan memperbincangkan ilmu.
(b)     Hatinya, dia tentu akan mengeluarkan dari dalamnya perasaan bermusuhan, kedustaan, dan dengki terhadap kawan kerana kedengkian akan menghapuskan segala kebaikan; seperti apa yang disabdakan Rasulullah SAW.,
“ Hasad (dengki) menghancurkan kebaikan sebagaimana api menghancurkan kayu bakar.”
       Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya hasad itu termasuk penyakit hati yang berat dan semua penyakit tidak dapat disembuhkan kecuali dengan ilmu dan amal.
(c)     Penglihatannya, dia tidak akan memandang yang haram, baik makanan, minuman,  pakaian, atau yang lain, tidak memandang kepada dunia  dengan keinginan, akan tetapi dia memandangkannya dengan mengambil ikhtibar dan dia tidak  akan memandang kepada sesuatu yang tidak halal baginya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda’
“Sesiapa memenuhi matanya dengan sesuatu yang haram, Allah S.W.T. akan memenuhi matanya besok hari kiamat dengan api neraka.”
(d)     Perutnya, dia tidak akan memasukkan suatu yang haram ke dalamnya, kerana hal itu merupakan dosa besar. Rasulullah SAW bersabda: “Ketika  sesuap haram jatuh pada perut anak cucu Adam, semua malaikat dibumi dan langit memberi laknat kepadanya selama suapan itu  berada dalam perutnya, dan  sekiranya ia mati dalam  keadaan begitu maka tempatnya adalah jahanam.”
(e)    Tangannya, dia tidak akan meraih sesuatu yang haram tetapi  meraih sesuatu yang terdapat unsur taat Allah di dalamnya. Diriwayatkan dari Ka’bil Ahbar, dia berkata: “Sesungguhnya Allah S.W.T. menciptakan perkempungan dari zabarjad hijau, di dalamnya terdapat seribu rumah dan di dalam setiap rumah terdapat seribu buah bilik, tidak akan menempatinya kecuali seorang lelaki yang diberikan sesuatu yang haram kepadanya, lalu dia meninggalkannya kerana takut kepada Allah S.W.T.
(f)      Telapak kakinya, dia tidak akan berjalan di dalam kemaksiatan kepada Allah tetapi berjalan di dalam ketaatan pada-Nya dan reda-Nya, serta ke arah pergaulan dengan ulama dan orang-orang soleh.
(g)    Ketaatannya, dia tentu akan menjadikan ketaatannya itu murni kerana reda Allah S.W.T. dan dia khuatir dari riya’ dan kemunafikan.
Sekiranya dia telah melakukan semuanya itu, maka dia termasuk orang-orang yang
difirmankan Allah S.W.T.:
               “Kehidupan akhirat di sisi Tuhanmu itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”Surah Az-Zukhruf ayat 43:35.
               Di kampung akhirat di mana syurga berada di sana cukup dengan kenikmatan yang tak terhitung banyaknya disediakan oleh Allah bagi orang-orang mukmin yang takwa dengan menjauhi syirik dan dosa dan beramal ke arah mentaati Allah serta lebih mengutamakan
kepentingan akhirat daripada kepentingan hidup di dunia.
               Abu Laits berkata, “Sesungguhnya Allah S.W.T. memiliki malaikat-malaikat di langit yang selalu sujud sejak Allah S.W.T. menciptakan mereka sampai hari kiamat, persendian mereka gementar kerana takut menyalahi perintah Allah S.W.T.. Apabila telah datang  hari kiamat, mereka mengangkat kepala mereka dan berkata “Maha Suci Engkau, kami belum
mengabdi kepada-Mu dengan sepenuhnya pengabdian.” Itulah maksud firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nahl ayat 16:50:
               “Mereka takut kepada Tuhannya yang berkuasa atas mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan pada mereka.”
               Berlakunya kerosakan akhlak, perbuatan maksiat serta  merebaknya jenayah di dunia pada masa sekarang adalah disebabkan oleh kelalaian manusia terhadap Penciptanya, serta ketiadaan perasaan takut kepada Allah.
               Takut kepada Allah merupakan asas kehidupan rohani yang membawa ke arah kebaikan. Oleh sebab itu semua agama cuba menanamkan perasaan ini kepada semua orang yang melakukan kesalahan.   
               Sekiranya tidak ada perasaan takut kepada Allah nescaya manusia akan sentiasa melakukan perbuatan keji, sentiasa mengikut nafsu tanpa mempedulikan kepentingan orang lain. Demikian juga segala undang-undang yang dibuat untuk mengawasi manusia daripada menganiayai orang lain akan memberi sebarang hukuman jenayah.
               Di samping Islam memperundangkan hukuman jenayah dan larangan-larangan yang boleh mengelakkan manusia dari melakukan kejahatan, Islam tidak pula lupa mengingatkan manusia supaya takutkan keseksaan Allah, sebab peringatan seperti ini akan membawa manusia kepada mentaati Allah serta akan mengikuti jalan yang  diredhai dan mencapai kemenangan dengan nikmat-Nya. Ayat Al-Quran yang menyaksikan demikian ialah:

               “Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan ketakwaan kepada-Ku, maka mereka adalah orang-orang yang  mendapat kemenangan”. Surah An-Nur:24:52.

No comments:

Post a Comment