Sunday, January 25, 2015

KESYUKURAN MENGGAMIT KETAKWAAN

 (Disiarkan pada 24. 1. 2015)
Orang memberi kita menerima  seharusnya dibalas dengan kalimah terima kasih menandakan keimanan kita terhadap rezeki Allah S.W.T. lewat di tangan orang. Orang yang mengucap terima kasih  adalah gulungan orang yang merasa syukur kerana mendapat pertolongan dari orang lain. Orang bersyukur demi merendahkan diri kerana menerima pertolongan yang diperlukan dalam menangani hidupnya.
               Pertolongan itu boleh berbentuk bermacam cara mengikut keperluan yang meminta pertolongan, seperti memberi sesuatu yang bersifat benda atau khidmat atau pandangan mengenai bagimana cara menyelesaikan masalah yang mengalami kebuntuhan jalan untuk mendapat jalan penyelesaiannya.
               Pertolongan yang besifat benda ialah memberi sesuatu yang boleh digunakan dalam menyelesaikan  masalah seperti meminjamkan alat atau memberi sesuatu dengan ikhlas kerana Allah. Pertolongan serupa ini adalah untuk meringankan bebanan dalam hidup kelak melancarkan perlaksanaan ibadah yang dihadapi.
               Memberi pertolongan melalui khidmat diri merupakan lebih kepada meminjamkan tenaga atau yang biasa dikategorikan sebagai gotong royong. Suasana memberi khidmat serupa ini lebih kepada melahirkan suasana kasih sayang antara sesama dan ini akan mengukuhkan ikatan kekitaan dalam melaksanakan pembangunan yang saksama.
               Menghulurkan pertolongan yang bersifat pandangan merupakan lebih bersandarkan kepada kemahiran berfikir untuk memahami permasalahan yang dihadapi. Suasana demikian lebih kepada landasan fasafah pemikiran yang melibatkan sinario kekuasaan Allah S.W.T. yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam segala hal permasalahan pembangunan.
               Maka itu wajarlah mengikuti falsafah pemikiran dalam pembangunan masyarakat untuk melahirkan semangat ukhuwah kemanusiaan dalam semua agenda kehidupan. Pemikiran demikian wajar dilandaskan mengikut konotasi yang berbunyi, “Two heads are better than one.”, yang bermaksud dua kepala adalah lebih baik berbanding satu maka itu setiap masalah itu mudah mendapat penyelesaiannya jika dibawa ke meja perundingan.
               Sebagai contoh, Baginda Rasul Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah masuk  medan pertempuran tanpa mengadakan mesyuarat dengan pejuang-pejuangnya, untuk mendapatkan strategi yang consensus (ijmak) atau persetujuan sebulat suara. Ini penting kerana untuk menghadapi masalah yang membahayakan keselamatan, wajar mendapat pandangan orang lain untuk mendapatkan satu strategi yang semua boleh menerimanya.
               Islam menyeruh umatnya untuk saling tolong menolong dalam semua hal perlaksanaan ibadah demi kebaikan bersama. Dengan cara demikian akan melahirkan kasih sayang antara sesama dan menghidupkan suasana kehidupan yang conducive, atau cara hidup yang membantu.
               Antara ciri-ciri ketakwaan ialah tawadhu atau merendahkan diri. Budaya merendahkan diri kiblat kepada Allah S.W.T. kerana keyakinan bahawa segala nikmat yang kita perolehi samada lewat usaha kita sendiri atau melalui  khidmat orang lain adalah pemberian dari Allah S.W.T. Masyarakat mukmin sewajarnya dapat membudayakan ciri-ciri ibadah yang bersifat tawadhu kerana dalam mendirikan sembahyang lewat ketakwaan kepada Allah S.W.T. falsafah melaksanakan ibadah tersebut telah dipraktikkan budaya merendakan diri.
               Dalam tubuh manusai bahagian yang paling kita jaga dan hormati ialah kepala di mana letaknya otak sebagai CPU (central prosesing unit) dalam badan manusia iaitu  tempat memprosesan maklumat sebelum amalan dapat dilakukan. Apabila bergurau dengan teman, dipukul tangan kita, boleh diterima dengan senyum. Dipukul belakang kita masih kita boleh bersabar, tetapi dipukul kepala kita, pasti tindakan kita ialah merasa marah.
               Tetapi apabila mendirikan sembahyang kita rukuk dan kita sujud menandakan kerendah hati kita kepada Zat yang Maha Berkuasa. Kepala kita letakkan sama rata dengan telapak kaki, Allahuakbar! Maka itu mendirikan solat mendidik kita membudayakan rasa tawadhu, satu amalan yang mementingkan kudrat kemanusiaan yang beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T..
               Falsafah mendirikan sembahyang ialah kita merasakan Allah beri bermacam-macam nikmat dan rahmat hidup termasuklah hidup itu sendiri maka tidak ada dalam diri kita yang membawa perasaan kesombongan kepada Allah termasuklah kepala kita sendiri. Maka itu kita menunjukkan kerendahan serta kesyukuran diri terhadap Allah dengan cara sujud menanda kan rasa tawadhu yang akan menggamit ketakwaan kita kepada Allah S.W.T..
               Setiap usaha kita dalam melaksanakan sebarang ibadah seharusnya dihiasi dengan rasa kesyukuran sama ada keberhasilan dapat diperolehi atau sebaliknya, kerana pokok ibadah di situ ialah kita sihat dan masih dapat menjalankan amanah Allah sebagai pemain dalam pembangunan kehidupan.
               Tenaga dalam mengusahakan ibadah dalam hidup serta kemahiran kita berfikir sudah wajar kita bersyukur kerana semua itu adalah pemberian rahmat dari Allah S.W.T.. Kesyukur dalam hati kiblatkan kepada Allah kerana tanpa-Nya tidak ada wujud hidup ini dan tidak ada makna pembangunan dalam hidup.
               Segala yang dapat dilihat dan didengar tanpa kcualinya adalah rahmat Allah. Bumi dengan segala isinya, matahari dengan cahayanya yang memancar dan berputar, bulan dengan sinarannya yang lunak, bintang dengan sinarannya yang berkedip-kedip, semua adalah rahmat atau kasih sayang Allah. Itulah rahmat Allah yang kelihatan.
               Ada rahmat Allah yang ta’ dapat kita lihat, tetapi dapat kita rasakan. Perasaan enak dan nyaman ketika kita makan dan minum, perasaan enak atau nyaman ketika kita melihat pandangan yang indah adalah rahmat Allah  yang jauh lebih tinggi dari benda yang kelihatan. Apa lagi rahmat Tuhan yang berupakan cinta kasih kasih terhadap anak dan isteri dan keluarga kita atau terhadap manusia umumnya, adalah rahmat  Tuhan yang jauh lebih tinggi lagi daripada rahmat  pertama dan kedua diatas.
               Firman Allah Surah Al-Ruum 21 yang bermaksud:
“Dan dari keterangan–keterangan Allah Ia menjadikan untuk kamu pasangan (isteri) dari diri (bangsa) kamu sendiri, supaya kamu tenang (mesra) kepadanya, dan dijadikan-Nya cinta dan kasih di antara kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu  terdapat keterangan-keterangan bagi kaum yang memikirkan.”
               Allah menyatakan, di antara keterangan-keterangan yang menunjukkan Dia berkuasa mengadakan hari kebangkitan itu ialah, manusia yang hidup ini diadakan pasangan untuknya yang terdiri dari bangsa manusia itu sendiri – sama ada pasangan itu isteri untuk orang lelaki mahupun suami untuk seorang perempuan.
               Gunanya supaya manusia itu terus dapat hidup dalam suasana yang tenang dan mesra dengan pasangannya itu dan tidak akan merasa kesunyian. Pasangan suami isteri yang telah dijodohka itu agar terus dapat hidup bersama lalu dikurniakan perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain sebagai rahmat sehingga rumahtangga mereka berkekalan dan dalam hidup yang teratur.
               Kesyukuran menggamit ketakwaan membawa makna bahawa orang yang sentiasa bersyukur terhadap nikmat dan rahmat Allah yang ada di alam ini mahupun dalam dirinya  sendiri akan membuahkan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Begitu juga seorang yang sudah percaya dan yakin atau iman  terhadap Tuhan, bila dia tidak bertakwa  atau taat, tidak beribadat menyembah terhadap Allah, maka sudah sewajarnya pula manusia itu dikatakan tidak wajar, durhaka dan berdosa terhadap Tuhan.
               Taqwa ertinya ialah menjalankan semua yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala yang dilarang oleh Allah. Takwa ertinya menyesuaikan diri dalam hidup ini dengan kehendak dan keredaan Allah. Takwa bererti berhati-hati dalam segala gerak-gerik, tindak tanduk dalam hidup. Gerak gerik dan tindak tanduk hidup ini tidak hanya semuanya saja,
tetapi disesuaikan dengan ajaran Allah dan Rasulnya.
               Tidak lengkap dan kukuh ketakwaan seseorang itu jika ia tidak menjauhi diri dari pekerjaan yang subhat yang membawa manusia ke lembah hina. Amalan-amalan  hidup yang sentiasa  memelihara kesucian Islam itu akan membawa manusia bertemankan iman. Iman merupakan  benting segala kekufuran dan kebatilan. Iman itu adalah jaminan Allah untuk memasuki Syurga-Nya.
               Orang yang beriman melihat segala amalannya itu dengan mata hatinya dan berkeyakinan bahawa Allah sentiasa melihat apa yang dilakukan. Iman dan amal merupakan landasan hidup yang membawa kemurnian dunia dan akhirat. Kehidupan seseorang yang mempunyai iman yang tertanam dalam dadanya, tidak mudah digoda oleh iblis dan syaitan. Kekuatan iman menjamin kehidupan manusia itu lebih sempurna dan terbela. Kenikmatan mempunyai keimanan kepada Allah S.W.T. akan mendorong kita lebih bertawakal dan mensyukuri segala apa yang ada pada dirinya.
               Iman itu satu kekuatan dalam jiwa manusia yang meyakini bahawa segala sesuatu itu ada penciptanya. Tidak ada kewujudan sesuatu itu dengan sendirinya melainkan diciptakan. Seperti bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang, langit dan sebagainya tidak wujud dengan sendirinya tanpa ada kekuasaan yang mewujudkannya, iaitu Allah yang Maha Pencipta.
               Begitu juga segala ibadah yang kita laksanakan, tidak ada keberhasilannya tanpa kekuasaan Allah untuk mewujudkan sesuatu yang baru. Maka itu adalah wajar setiap ibadah yang kita laksanakan kita sirami dengan kalimah syukur alhamdulillah. Dengan berbuat demikian akan menggamit rasa takwa kepada Allah yang Maha Pengasih dan Maha penyayang.
               Keimanan seseorang itu berpunca kepada keyakinan bahawa keberadaan Zat  yang Maha Pencipta. Maka itu orang yang beriman adalah mereka yang percaya kepada yang bersifat ghaib. Walaubagaimana pun apabila keyakinan itu disandarkan kepada perkara yang maujud semata maka manusia akan mengalami kesan yang tidak menyenangkan.
               Sebagai contoh, pada suatu masa Nabi Musa A.S. menerima wahyu dari Allah, ia meminta kepada Allah supaya ia boleh melihat jasad-Nya kerana mendengar suara-Nya nabi Musa tidak puas hati sehingga menyaksikan bentuk Allah sendiri. Allah berfirman bahawa manusia adalah hamba-Nya  yang lemah dan tidak ada kemampuan melihat Allah.
               Oleh kerana Nabi Musa meminta diberi peluang juga maka Allah memerintahkan Nabi Musa keluar dari gua tempat ia istikaf dan melihat ke hadapan pintu goa tersebut. Apabila Nabi Musa berbuat demikian dilihatnya di hadapan hanya sebuah gunung sahaja. Dalam masa beberapa saat sahaja kelihatan oleh Nabi Musa  gunung yang berdiri megah di hadapannya menjadi cair. Nabi Musa jatuh pengsan. Apabila beliau tersedar ia meminta ampun kepada Allah dan mengakui kelemahan manusia.
               Untuk meyakini sesuatu yang ghaib sering berlaku dalam hidup yang kita sentiasa merasakannya. Lada merupakan contoh yang paling mudah untuk meyakini kewujudan sesuatu yang ghaib. Apabila  kita makan lada kita rasa pedasnya tetapi sifat pedas itu susah nak ditentukan tetapi kita yakin bahawa rasa pedas itu ada.
               Begitu juga apabila angin bertiup, angin tidak ada bentuknya tetapi kita yakin bahawa angin itu ada apabila ia bergerak. Apabia angin bergerak dengan kuat kesannya kita dapat saksikan seperti tumbangnya pohon kayu yang besar atau kelihatan daun-daun pokok bergerak  mendayu dayu tetapi kita tidak nampak dengan mata kepala kita bagaimana bentuk yang mengakibatkan pokok-pokok itu bergerak.
               Allah S.W.T. bekalkan sesuatu nikmat kepada manusia yang bersifat ghaib seperti kasih sayang, merasa enak pada perasaan melihat pemandangan, berselera makan di atas meja yang dihidang, merasa sihat dan sebagainya. Dengan pada itu jua Allah bekalkan manusia rasa sakit, tidak selesa dan sebagainya. Kesemua itu  adalah yang bersifat ghaib tetapi amat perlu kepada kehidupan. Maka itu setiap individu yang mengalaminya wajar bersyukur kerana
budaya demikian akan menggamit ketakwaan kepada Allah.
               Dalam diri manusia, kemuliaan akal yang juga bersifat ghaib, adalah dari segi menjadi sumber keluarnya ilmu dan hikmah, serta sebagai alat untuk memperolehi ilmu dan hikmah. Akan tetapi jiwa  (roh) manusia merupakan sumber bagi ilmu dan hikmah, dan keduanya telah tertanam di dalamnya dengan pasti sejak awal mula diciptakan; sepetimana ada air di dalam bumi.

               Ilmu itu ada yang dicapai tanpa melalui pelajaran manusia sebagaimana yang berlaku ke atas para Nabi Alaihimussalam, kerana ilmu-ilmu mereka itu lahir dan datang dari golongan malaikat yang luhur tanpa perantaraan manusia. Pada kelazimannya ilmu itu dipelajari dengan memakan masa yang panjang. Maka itu bersyukurlah terhadap segala yang kita nikmati dalam hidup kerana akan menggamit ketakwaan kepada Allah S.W.T..

No comments:

Post a Comment