Sunday, August 9, 2015

SOLIDARITAS SOSIAL TULANG BELAKANG PEMBANGUNAN UMMAH

 (Disiarkan pada 8. 8. 2015)
               Ilmu akhlak adalah membahaskan tentang pengertian baik buruk, serta menerangkan apa yang patut manusia lakukan dalam hubungan sesama mereka. Ia juga menerangkan tujuan yang perlu dicapai oleh mereka dalam tingkahlaku mereka di samping menunjuk jalan tentang apa yang perlu untuk sesuatu pekerjaan.
               Tidak diragukan lagi bahawa akhlak ialah asas utama untuk memelihara hakikat kewu- judan bangsa-bangsa. Dengan sebab itu kita lihat para pemyelidik dan ahli-ahli falsafah bersetuju bahawa akhlak itu wajib ada pada seseorang demi untuk  kebajikan dirinya sendiri dan masyarakat seluruhnya. Kalaulah individu dapat  dirosakkan oleh perbuatannya yang dusta, dengki, jahat dan tipu maka demikian juga masyarakat menjadi rosak dengan merebak nya salah satu dari sifat-sifat tersebut dalam masyarakat.
               Dengan sebab itulah ahli-ahli falsafah dan ahli-ahli perundangan, dalam memajukan masyarakat manusia, pertama sekali menyeruh kepada akhlak yang mulia sebab akhlak yang mulia itu menjadi tiang pertama dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera.                     
               Agama yang dibawa oleh nabi-nabi menggalakkan manusia supaya berakhlak mulia. Al-Qur’an juga sentiasa menyeruh umat Islam supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia kerana tingkah laku demikian akan menjamin kejayaan di akhirat.
               Pembangunan sosial merupakan agenda terpenting dalam membina tamadun. Majunya masyarakat satu-satu bangsa wajar berasaskan kepada akhlak yang mulia. Elemen-elemen yang ada dalam diri seorang individu yang dikawal oleh akhlak yang mulia sentiasa melahir kan suasana ukhuwah kemanusiaan dan kasih sayang sesama mereka, kelak mendekatkannya kepada kasih sayang Allah SWT yang Maha Pemberi dan Maha Pengasihani. Elemen demikian melahirkan solidaritas sosial yang menjadi teras dalam pembangunan ummah.
               Adalah menghairankan bahawa musuh-musuh Islam cuba merosakkan Islam dengan memperkaburkan perkara-perkara yang jelas. Antaranya seperti yang terdapat dalam buku “Perbincangan Tentang Agama yang benar.” Dalam buku ini Islam telah dilimparkan dengan sifat-sifat yang keji serta dianggap bahawa Islam tidak mempunyai “akhlak”.
               Tuduhan ini sama sekali tidak mempunyai asas. Ianya dapat ditolak begitu sahaja dengan ayat-ayat al-Qur’an. Tetapi sebelum kita membentangkan asas-asas akhlak al-Qur’an, kita cuba bawakan contoh-contoh kenyataan/ realiti kepada mereka. Umpamanya seperti yang dikatakan oleh Dr. Gostaph Lobon, seorang penulis Peranchis di dalam bukunya:”Tamaddun Arab”, bahawa: “Asas-asas Akhlak dalam Al-Qur’an sangat tinggi dan mengatasi semua akhlak agama lain!
               Pengiktirafan Dr. Gostaph Lobon tentang al-Qur’an ini mempunyai nilai ilmiah. Ia merupakan pengiktirafan kebenaran. Pengiktirafan itu dibuat sesudah ia meneliti akhlak al-Qur’an. Sememangnya Dr. Gostaph Lobon adalah seorang yang mengkaji agama-agama dan dia juga pakar dalam ilmu kemasyarakatan. Jadi, kerana pengiktirafannya dalam bidang ini dibuat maka pengiktirafannya itu adalah mempunyai nilai.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                             
               Tentang asas-asas akhlak al-Qur’an ia mendahulukan  pembentangan tentang sifat-sifat yang baik yang digalakkan kemudian dituruti dengan sifat-sifat keji. Tujuannya ialah untuk membimbing saudara kita sesama manusia ke arah ajaran-ajaran yang betul yang akan memberi kebahagian kepada mereka.
               Sifat-sifat yang baik disuruh oleh Al-Qur’an ialah sifat-sifat manusia sebenar yang seluruh ahli-ahli falsafah dan tokoh-tokoh masyarakat bersetuju dengannya. Sifat itu jika diamalkan oleh manusia nescaya mereka memperolehi kebaikan yang besar di dunia yang bergolak ini.
               Sifat keji yang ditegah oleh  Islam ialah sifat-sifat yang boleh membawa kepada pergaduhan dan permusuhan di kalangan masyarakat manusia. Adanya sifat itu tidak diragukan lagi akan menimpakan  kemudaratan kepada manusia.
               Manusia melakukan sesuatu dalam hidup ini sama ada kebaikan ataupun keburukan adalah disebabkan oleh dorongan dari dalam atau pengaruh dari luar.
               Antara tujuan agama yang terpenting ialah mengawasi manusia dari  melakukan kejahatan. Cara mengawasinya ialah dengan memberi amaran, menyatakan tentang bahaya dan menyeru manusia supaya menurut rencana yang telah ditetapkan oleh Allah. Jadi langkah “pemulihan” (al-Islah) adalah menjadi sebab paling utama ke arah peningkatan akhlak, memperbaiki keadaan manusia serta memperkenalkan kebahagian di kalangan manusia itu.
               Jika manusia tidak mempunyai  kepimpinan hendak meneguhkan pendirian atau (istiqamah) maka ia akan lemah untuk menerima kebaikan dan sesuatu objektif yang hendak dicapainya akan mudah terjerumus ke dalam dosa. Dengan sebab ini kita dapati Islam sangat mementingkan istiqamah dan menyuruh manusia supaya mempunyai sifat itu. Cara yang digunakan adalah menarik dan memberi kesan. Ini kerana suruhan atau ajakan itu disertakan dengan janji pahala di dunia dan  di akhirat.
               Firman Allah surah Fussilat ayat 41: 30 –31 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka berpendirian tetap, para malaikat akan turun kepada mereka (seraya berkata): “Janganlah kamu takut dan jangan berdukacita. Dan sambutlah berita gembira mengenai syurga yang dijanjikan kepada kamu. Kami (Allah) menjadi pelindung kamu di dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan kamu mendapat di sana apa yang menjadi keinginan nafsumu, dan kamu mendapat di sana apa yang kamu minta.”
Allah menerangkan, bahawa orang-orang yang beriman itu sifatnya selalu berikrar dengan mengucap (Tuhan kami ialah Allah). Mereka mengaku bertuhankan dan mengesakan Nya – tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain. Apabila ikrar itu  mereka ucapkan, kemudian dengan serta-merta mereka beristiqamah yakni menetapkan pendirian mereka dengan berdiri tegap di atas keimanan, mereka tidak  berganjak walau setapak untuk mening- galkan keimanan, termasuk di sini segala perkara Ibadat dan iktikad, mereka memegangnya teguh-teguh
Beristiqamah itu, ialah sentiasa berlaku taat di dalam iktikad, perkataan dan perbuatan. Para Malaikat membawa kegembiraan dari sisi Allah, yang diinginkan oleh orang-orang Mukmin tersebut dari perkara-perkara yang mendatangkan manfaat, atau menolak muderat, ataupun yang boleh menghilangkan kedukaan. Yang mana semua itu ada kena-mengena dengan urusan keduniaan dan keagamaan.
Malaikat juga akan mengatakan: Bergembiralah kamu nanti kerana memperolehi syurga yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kamu menerusi lidah para rasul semasa di dunia dahulu. Pasti kamu menjadi penghuninya di sana untuk selama-lamanya dengan bersenang-lenang merasakan nikmat-nimat yang abadi.
Allah berikan kegembiraan yang paling besar dari segala kegembiraan – yang maksudnya: Kamilah Tuhan yang menjadi pelindung. Yakni penolong, untuk membantu kamu dalam urusan keduniaan. Kami tunjukkan kamu perkara yang hak dan kebenaran. Kami pimpin kamu ke arah yang mendatangkan keuntungan dan kebaikan dalam urusan keduniaan. Dan kami bekal bersama kamu pula di akhirat.
Di dalam syurga itu kamu dapati segala macam nikmat yang diingini oleh nafsu manusia dari segala macam kelezatan, kemewahan dan keseronokan. Tidak ada sesuatu yang kamu pinta melainkan sentiasa ada tersedia, dan dengan mudah kamu mendapatkannya.
Semuanya itu merupakan pahala dan ganjaran yang diturunkan oleh Allah sebagai balasan dan penghormatan dari Tuhan yang mengampuni segala dosa kamu, dan penyayang tidak akan mengenakan seksa sebaik-sebaik sahaja kamu bertaubat kepada-Nya,
Allah juga menjanjikan kepada mereka dengan firman-Nya dalam al-Qur’an surah Al-Ahqaf ayat 46:13 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian
mereka tetap istiqamah, maka mereka tiada didatangi ketakutan dan tidak pula berdukacita.”
               Keadaan orang-orang Mukmin, iaitu yang melengkapkan pendiriannya dengan keimanan, mentauhidkan Allah dan beristiqamah yakni berpendirian tetap di dalam menjalankan syariat Allah – tidak bercampur syirik dan tidak menyalahi perintah dan tegahan Allah, maka Allah jauhkan mereka dari rasa takut melihat kegemparan kiamat di akhirat, dan tidak merasakan sedih dan berduka atas apa yang ditinggalkan di dunia.
               Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah saw dan menyatakan kepada baginda “Berilah nasihat kepada saya wahi Rasulullah”, Maka Rasulullah menjawab dengan satu ayat yang pendik lagi menarik: “Katakanlah, saya beriman dengan Allah kemudian saya istiqama”.
                Membaiki jiwa atau islah an-nafs adalah sesuai dengan makna istiqamah, kerana jika seseorang itu sentiasa berada dalam kejahatan ia akan mengakibatkan keburukan kepada seseorang atau kepada masyarakat. Dengan sebab itu Allah menjanjikan kepada orang-orang yang memperbaiki dirinya dengan janji mendapat keredaan dan keampunan. Firman Allah surah Al-Ma’idah ayat 5:39 yang bermaksud:
               “Maka siapa kembali daripada perbuatannya yang aniaya (telah bertaubat)dan berbuat kebaikan, pasti Allah akan menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah itu Pengampun lagi Penyayang.”
               Orang yang tadinya telah mencuri, kemudian bertaubat tidak mahu mengulangi lagi perbuatannya yang aniyaya itu, dan disertakan pula dengan berbuat amal kebajikan, sesungguhnya taubatnya itu diterima oleh Allah dan akan disedia pula, kerana Allah itu bersifat Pengampun lagi penyayang.
               Adapun hukum bertaubat tersebut diterima oleh Allah dan hukuman potong tangan itu tidak pula gugur kerana itu adalah hak Allah. Begitu pula barang curian itu wajiblah dikembalikan kepada pemiliknya kerana barang itu hak anak Adam. Demikianlah pendapat kebanyakan  para ulama.
               Membersihkan jiwa juga selari dengan istiqamah. Pengertian membersih jiwa adalah menyucikannya dari kekotoran, menjauhkan dari kekurangan, meletakkan jiwa pada tempat nya serta meninggikan nilainya supaya mendapat keredaan Allah dan dimuliakan oleh manusia. Sesungguhnya al-Qur’an memberi galakan supaya membersikan jiwa dengan menjanjikan kejayaan kepada orang-orang yang berbuat demikian. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-A’la ayat 87:14 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).”
               Orang yang beruntung dengan mendapat kejayaan ialah orang yang telah dapat membersihkan jiwanya dari kekufuran dengan adanya iman serta tulus ikhlas di dalam segala amalannya, yang semata-mata dipersembahkan kepada Allah.
               Firman Allah lagi surah As-Syams ayat 91:9 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu.”
               Setelah Tuhan memberikan ilham dan petunjuk, mana jalan yang salah dan mana jalan yang takwa, terserahlah kepada manusia itu sendiri, mana yang akan ditempuhnya, sebab dia diberi Allah akal budi. Maka bahagialah orang-orang yang membersihkan jiwanya atau dirinya, gabungan di antara jasmani dan rohaninya. Jasmani dibersihkan dari hadas dan najis, hadas besar atau kecil baik najis ringan atau berat. Dan jiwanya dibersihkanya daripada penyakit-penyakit yang mengancam kemurniannya. Penyakit paling berbahaya bagi jiwa ialah mempersekutukan Tuhan dengan yang lain, mendustakan kebenaran yang dibawa oleh rasul, atau bersifat hasad dengki kepada sesama manusia, benci, dendam, sombong, angkuh dan lain-lain.
               Firman Allah surah Fatir ayat 35: 18 yang bermaksud:
               “......Dan barang siapa yang membersihkan diri mereka sesungguhnya ia membersih kan diri untuk kebaikan dirinya sendiri dan kepada Allahlah kembalinya.”
               Istiqamah membersih dan memperbaiki jiwa merupakan sifat-sifat yang membuka
harapan kepada orang-orang yang banyak membuat dosa untuk mereka menukarkan cara hidup yang hina itu kepada cara hidup yang lebih baik. Sifat-sifat ini juga dapat menghapus kan sifat putus asa yang tidak  berfaedah itu.
               Untuk melahirkan ukhuwah dan solidaritas sosial sebagai tulang belakang pembangu nan ummah, modelnya ialah akhlak yang mulia dan mempunyai hati yang bersih dan membersihkan jiwanya secara istiqamah. Model insan yang bertakwa kepada Allah ialah beriman kepada Allah kemudian  istiqamah dalam ibadatnya
Model pembangunan manusia yang kita kehendaki dalam hidup bertamadun ialah melahirkan insan yang berakhlak mulia, mempunyai hati yang bersih serta sentiasa bertakwa kepada Allah. Segala sinario berkenaan wajar diperolehi secara istiqamah dalam kelangsu- ngan hidup di dunia yang fana ini.


No comments:

Post a Comment