Sunday, August 16, 2015

TANGAN DI ATAS LEBIH MULIA DARIPADA TANGAN DI BAWAH

 (Disiarkan pada 15. 8. 2015)
Hidup bermasyarakat  seharusnya diserikan dengan budaya tolong monolong antara sesama. Manusia hidup di dunia dikategorikan sebagai makhluk bersosiai kerana mengamal kan budaya dalam hidup sebagai pemberi dan penerima atau dalam bahasa Inggerisnya, “Give and take.” Orang yang memberi itu sewajarnyalah meletakkan tangannya di bahagian atas  dan orang yang menerima  tangannya adalah diletakkan di bahagian bawah. Pepatah Melayu mengatakan “Tangan yang di atas adalah lebih baik berbanding tangan yang di bawah”.
Tangan yang di atas dianalogikan sebagai orang yang berkemampuan untuk membantu orang lain yang kurang mampu. Rezeki yang Allah berikan kepadanya dibahagikan kepada orang yang perlu pertolongan. Budaya demikian akan menghidupkan serta merapatkan kasih sayang bermasyarakat dan kelak menjadi nadi pembangunan ummah.
Manusia diwujudkan Allah SWT berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dan setiap kita wajar berkenal-kenalan antara satu sama lain. Walaubagaimana pun dalam pandangan Allah SWT bahawa orang yang termulia di antara kita si sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Firman Allah  surah Al-Hujerat ayat 49:13 yang bermaksud:
“Hai manusia sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (ibu dan bapa), dan kami jadi kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat), dan bersuku-suku, supaya kamu  berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengetahui.”
Orang bertakwa  adalah mereka yang takut  kepada Allah maka segala perintah-Nya diamal, dilaksanakan serta diterjemahkan sebagai pembangunan dalam kehidupan di dunia Segala tegahan-Nya yang mengundang kemuderatan dan kedosaan kepada kehidupaan, dijauhi dan tidak diamalkan sebagai cara hidup.
Ibadat memberi pertolongan kepada orang yang berwajib merupakan amalan orang yang mempunyai hati yang mulia dalam pandangan Allah SWT. Membatu orang lain adalah cerminan kepada ketakwaan kepada Zat yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi Rezeki. Ia juga akan melahirkan ukhuwah dan kasih sayang antara sesama insan. Jika Allah sayangkan hamba-Nya yang bertakwa dan berhati mulia maka adalah wajar kita juga sebagai hamba-Nya  menyerikan hidup kita dengan membudayakan cara hidup yang melahirkan tamadun kehidupan.
Perkataan takwa bagaimana pun terbitan dari tiga komponen perkataan yang melambangkan keimanan kepada Allah SWT. Perkataan pertama dari kata takwa ialah ‘ta’ yang melambangkan sifat tawadhu. Orang yang sentiasa bersifat tawadhu ialah hatinya mulia dan sentiasa merasa rendah diri terhadap orang lain kerana tidak ada yang dibanggakan dalam hidup ini kerana segalanya adalah pemberian dari Allah SWT. lewat usaha tawakal kita kerana Allah.
Tawadhu  membawa makna tidak mahu dipuji, sentiasa rendah diri, tidak angkoh dan  sombong dan mempunyai sikap kefahaman mental. Pemimpin yang berwibawa  adalah golongan manusia yang tawadhu.
Syadina Abu Bakar, setelah dipilih oleh  rakyatnya sebagai pemimpin berkata: “Saya telah dipilih oleh kamu untuk  memimpin tuan-tuan. Kalau saya benar bantu saya tetapi kalau saya lari dari kebenaran tegur saya.” Inilah contoh orang yang bersikap tawadhu. Dia tidak meloncat sombong setelah dipilih malah kalau  boleh dia menolak perlantikan itu  tetapi oleh kerana kecintaannya kepada rakyat yang inginkan kepimpinan yang berwibawa maka ia menerima dengan harapan agar rakyat berganding bahu membantunya dalam melaksanakan pembangunan. Maka dengan hati yang ikhlas dan redha, ia menerima jawatan itu dan bersedia menerima kritikan dari rakyat yang dipimpinnya.
Komponen kedua dari perkataan takwa ialah “kof” dari perkataan Qanaah yang membawa makna merasa cukup dengan apa yang Allah telah redhai kepadanya. Sifat memadai sekadar apa yang ada tanpa tamak dan haloba. Misalan seorang pemimpin berkata kalau rakyat saya lapar (miskin), biarlah saya jadi orang yang pertama merasa kelaparan; tetapi  kalau rakyat saya kenyang (kaya) biarlah saya orang terakhir  merasa kenyang. Budaya kepimpinannya memberi keutamaan kepada  rakyat terlebih dahulu.
Komponan perkataan yang ketiga dalam kata takwa ialah “wau” terbitan dari perkataan warak yang bermaksud terpilihara baik yang subahat lebih-lebih lagi yang haram. Tidak sama sekali mendekati korupsi. Almarhum Tuan Haji Muda, seorang ulamak dari Pakistan yang telah menetap di kampung Bakiang Lahad Datu, Sabah tidak sama sekali menyentuh barang yang bukan kepunyaannya secara mutlak.
Rumahnya berhampiran dengan kebun jirannya yang mempunyai tanaman  kelapa seperti juga halnya dengan kebun tuan Haji sendiri. Buah kelapa tua kepunyaan jirannya yang jatuh ke tanah kemudian melantun ke kawasannya akan diperiksanya bersama kelapa tuanya sendiri dengan mendengar bunyi air kelapa apabila digoncangnya. Apabila ia mengenalinya bahawa kelapa berkenaan bukan kepunyaannya maka dia mengembalikan kelapa berkenaan kepada kebun jirannya sebelah.
               Pemimpin yang mengamalkan rasuah dalam pentadbiran negara, macamanapun dia menyembunyikan amalan yang terkutuk itu lambat laun Allah akan menjelaskan kepada rakyatnya; seperti pepatah Melayu mengatakan: “Sepandai-pandai tupai melompat ada kalanya juga ia terjatuh ke tanah”.
               Mereka yang mendekati amalan rasuah hidupnya tidak akan dimudahkan Allah SWT. Nafkah hidup yang diperolehi dari amalan rasuah akan melahirkan zuriat yang sentiasa berfikiran serung dan sentiasa membudayakan hidup dengan kepentingan diri lebih diutamakan daripada kepentingan orang awam.
 Amalan rasuah sering berlaku kepada mereka yang mengikuti sebut harga dalam setiap projek kerajaan yang dibuka iklannya kepada orang ramai untuk mengikuti sistem sebut harga. Maka itu kepentingan sebut harga tidak lagi dijadikan sebagai medan pertaruhan harga kerana budaya bawah meja pasti berlaku!
Siapa makan lada maka dialah akan merasa pedasnya! Orang yang mengamal rasuah kedua-dua pihak terlibat sama iaitu yang memberi rasuah mahupun yang menerima rasuah sama-sama dikategorikan sebagai rasuah. Sistem pentadbiran sedemikian rupa orang awam mungkin tidak mengetahuinya  tetapi Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui amalan manusia yang berkepentingan diri. Ingat, akibatnya dalam budaya rasuah tidak berlaku serta merta tetapi lambat laun ia akan terkena akibatnya juga.
Kalau dalam hidup di dunia ia terlepas dari ganjaran rasuah pasti di akhirat kelak akan menemuinya. Walaubagai mana pun ganjaran yang amat getir sekali dari amalan rasuah ialah apabila ia mengena kepada keturunannya. Mereka yang menjadi mangsa akibat amalan orang tuanya yang terkutuk tidak ada penghujungnya. Ia merebak turun temurun dalam generasi kehidupan manusia.
               Dalam suasana pembangunan rohani tidak dijadikan lagi keutamaan dalam hidup. Budaya rasuah ini akan berjalan terus dari genarasi ke generasi sama ada di pihak pemimpin atau orang awam turut sama terlibat kerana anak yang dibesarkan dengan hasil rasuah akan membentuk jiwa serta akalnya dengan zat rasuah.
               Akibat dari malapetaka pembangunan sosial demikian halnya maka tidak hairanlah Allah jatuhkan berbagai ujian dalam pembangunan masyarakat seperti keruntuhan moral anak-anak remaja kerana akhlak mereka bercelaru dengan pembangunan dunia dengan pembangunan akhirat.
Anak-anak gadis yang masih menuntut ilmu di sekolah sering dipaparkan di dada-dada akhbar kerana melahirkan anak tanpa bapa yang sah. Pembunuhan anak yang baru lahir oleh ibunya kerana mengelakkan diketahui oleh masyarakat umum. Yang sedih sekali ialah kebanyakan mereka yang terlibat dalam kanca kemerosotan kuderat kewanaitaan ini
ialah pelajar-pelajar Islam dari institute pengajian tinggi.
Tangan di atas adalah lebih mulia daripada tangan di bawah dengan syarat tangan di atas itu tidak memberi bantuan dari hasil kerja-kerja rasuah. Jika demikainlah berlaku dalam pembangunan ummah maka tunggu sahajalah akibatnya akan melanda kepada pembangunan kehidupan.
Kehidupan yang dilalui oleh baginda Rasul Nabi Muhammad SAW wajar dicontohi kerana akhlak baginda adalah al-Qur’an. Beliau terjemahkan isi al-Qur’an itu dalam dirinya dan mengamalkannya dalam kelangsungan hidup di dunia. Beliau adalah pemimpin negara yang terunggul tetapi tidak pernah kekayaan menginap dalam rumahnya. Apabila ia tidur bertikarkan daun kurmah sehingga berbekas di pipinya kerana tidak punya alas yang lembut seperti sewajarnya.
Pernah pada suatu ketika apabila baginda Rasul Nabi Muhammad SAW pergi menziarah sahabatnya kemudian dihidangnya secawan kopi dengan tiga keping roti. Ia memakan roti itu kemudian baginda mengeluarkan air mata. Setelah ditanya oleh sahabat mengapa baginda menangis? Lalu baginda menjawab bahawa ia mengingati anak dan isterinya di rumah sudah tiga hari tidak menyentuh makanan. Baginda meminta izin kepada tuan rumah untuk membawa dua keping roti yang tinggal itu diberi kepada anak dan isteri. Maka sahabat dengan penuh ikhlas mengizinkannya.
Seorang pemimpin negara yang membawa agama Islam diterbiahkan kepada rakyat nya mempunyai kedudukan ekonomi keluarga yang amat sederhana. Seorang pemimpin negara yang disegani tidak mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan negara yang dipimpinnya. Malah beliau lebih seronok hidup dalam keadaan yang amat sederhana daripada hidup mewah seperti halnya Malik bin Dinar dan sesetengah pemimpin dunia di zaman sekarang!      
Walaubagaimana pun ulamak  Malik bin Dinar disedarkan oleh Allah melalui mimpi nya bahawa dia dilimparkan ke neraka. Akibat dari mimpi yang dialaminya itu badannya berkelopak seperti terkena api. Pengajaran dari mimpinya menyedarkannya bahawa kemewahan dunia tidak membawa kebahagian hidup di akhirat nanti. Maka hidupnya Malik bin Dinar diubahnya dari insan yang serba serbi kekayaannya kepada menjadi pendakwa ke seluruh dunia  dan meninggalkan kekayaannya di dunia yang berupa sementara itu.
Budaya memberi pertolongan biarlah dalam suasana ikhlas dan keredhaan hati untuk membantunya. Janganlah budaya membantu itu mempunyai udang di sebalik batu! Kerana amalan demikian merupakan subahat yang akan menelurkan amalah rasuah kelak. Jangan menggunakan kesempatan yang Allah berikan kepada kita. Allah itu Maha Bijaksana  dan sentiasa menguji hati orang yang suka melihat kehidupan yang bersifat duniawi.
Saidina Ali pernah ditanya oleh Nabi Muhammad saw jika ia ditawarkan untuk memilih antara dua iaitu kekayaan di dunia atau  ilmu pengetahuan. Saidina Ali  memilih ilmu pengetahuan kerana mengikut Ali, harta kekayaan kita yang menjaganya tetapi ilmu pengetahuan itu dia(ilmu) yang menjaga kita. Kekayaan itu akan melemahkan iman untuk berbuat sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Tetapi ilmu itu akan memimpin kita ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Kelemahan manusia berpunca kepada kelemahan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. Apabila berhadapan dengan kemewahan dunia imannya goyah maka persepsi pemba- ngunan kehidupan di dunia menjadi taruhannya. Kemewahan dunia sebenarnya adalah kepunyaan Allah SWT yang diberi kepada manusia untuk ditadbirkan sebagai aset pembangunan manusia di bawah kepimpinannya.
Dengan adanya kemewahan dunia wajar difahami sebagai pemberian dari Allah SWT. maka di situlah kita kiblatkan pemikiran demi melahirkan   keimana dan ketakwaan kepada Zat yang Maha Pencipta. Masalah utama dalam memimpin diri untuk menyelenggarakan kekayaan dunia ialah iman kepada Allah yang Maha Pencipta itu.
Mengambil satu contoh apabila Nabi Ibahim mentarbiahkan Raja Namrud, pemimpin
kaum Nabi Ibrahim yang tersesat itu menyembah patung-patung buatan mereka sebagai Tuhan mereka. Nabi Ibrahim mengajak Raja Namrud untuk menyembah Tuhan yang satu yang berkuasa terhadap menghidupkan dan mematikan manusia.
Raja Namrud berkata bahawa ia juga berkuasa seperti Allah, apabila seorang rakyat nya yang didapati telah melakukan kesalahan yang besar  dan pasti dihukum mati! Tetapi jika saya (Namrud) mengampunkan kesalahannya maka saya juga boleh menghidupkannya dengan tidak melakukan hukum bunuh. Inilah pemikiran orang yang bercelaru dengan falsafah kemewahan dunia dan membelakangi Allah Zat yang Maha berkuasa. 

Hidup di alam dunia semestinya penuh dengan onak dan duri. Musuh utama manusia ialah syaitan dan iblis kerana gara-gara manusia (Adam) makhluk berkenaan disingkir dari hidup bahagia di syurga. Walaubagaimana pun adanya Al-Qur’an sebagai dokumen wahyu Allah yang memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah, maka ibadat kita dapat dilaksanakan dengan mudah dan selamat. Insya-Allah!

No comments:

Post a Comment