Saturday, March 15, 2014

ALAM GHAIB DALAM PERSPEKTIF TAUHID (Sambungan)

 (Disirkan pada 15. 3. 2014)
Firaun  bersama bala tenteranya mengejar Nabi Musa bersama Bani Israil lari dari Mesir menuju ke Baitul Maqdis untuk menyelamatkan diri dari penindasan Raja yang Zalim itu. Setelah sampai di tepi laut Merah, Firaun merasa megah melihat air laut yang berbelah itu dan menganggap dirinya mempunyai kekuasaan yang luar biasa maka bersama dengan bala tenteranya menyusuli bekas laluan  Nabi Musa bersama kaumnya Bani Israil mengikutinya untuk seberang ke sebelah pantai.
Apabila Firaun bersama-sama dengan semua bala tenteranya berada di tengah lautan yang berbelah itu, dengan kuasa Allah maka air laut pun kembali menutup laluan mereka. Maka Firaun bersama bala tenteranya  teggelam di dalam lautan Merah.
Pada detik-detik akhir hayat Firaun untuk meyelamatkan diri dari maut yang sudah berada di depan matanya berkata: “Aku percaya bahawa tiada tuhan selain Tuhan Musa dan Bani Israil. Aku beriman kepada Tuhan mereka dan berserah diri kepada-Nya sebagai salah seorang mukmin.”
               Berfirmanlah Allah kepada Firaun yang sedang menghadapi sakaratul-maut:
“Baru sekarangkah engkau menyatakan beriman kepada Musa dan berserah diri kepada-Ku? Tidakkah kekuasaan ketuhananmu dapat menyelamatkan engkau dari maut? Baru sekarangkah engkau sedar dan percaya setelah sepanjang hidupmu bermaksiat, melaku kan penindasan dan kezaliman terhadap hamba-hamba-Ku dan berbuat  sewenang-wenang, merosak akhlak dan aqidah manusia-manusia yang berada di bawah kekuasaanmu. Terima lah sekarang pembalasan-Ku yang akan menjadi pegajaran bagi orang-orang yang akan datang sesudahmu. Akan Aku terapungkan tubuh kasarmu untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang meragukan kekuasaan-Ku.”(Yunus: 90 – 92)
               Manusia yang keras kepala tidak mahu memahami kekuatan alam ghaib (Allah) atau Zat yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa terhadap segala kewujudan makhluk di alam nyata mahupun di alam ghaib akan hanya beriman kepada–Nya apabila keadaan sudah memaksanya berbuat demikian. Demikianlah pembangunan kehidupan yang hanya menumpukan keseronokan dunia semata dan mengabaikan tanggungjawab kebajikan akhirat, atau dalam erti kata lain tidak meyakini bahawa kehidupan akhirat yang lebih kekal itu wujud.
               Jasad bersifat nyata tetapi roh bersifat ghaib. Orang beriman mempunyai keyakinan atau keimanan tentang keberadaan fenomena ghaib. Nabi Musa membawa tujuh puluh orang untuk menyertainya pergi ke bukit Thur Sina tempat bermunajat untuk menerima Kitab Taurat dari Zat yang Maha Ghaib, Allah dan mengangkat  Nabi Harun sebagai wakilnya mengurus serta memimpin kaum yang ditinggalkan selama kepergiannya.
               Pada saat yang telah ditentukan, tibalah Nabi Musa seorang diri di bukit Thur Sina, mendahului tujuh puluh orang yang dibawanya turut serta. Dan ketika ia ditanya oleh Allah: “Mengapa engkau datang seorang diri mendahului kaummu, hai Musa?” (Surah Thaha: 83-84)
               Musa menjawab: “Mereka sedang menyusul di belakangku, wahai Tuhan. Aku cepat-cepat datang lebih dahulu untuk mencapai redha-Mu.”
               Dalam saat bersoaljawab Nabi Musa dengan Allah, ia hanya mendengar suara tanpa bentuk. Allah dalam keadaan ghaib. Berkatalah Musa dalam munajatnya dengan Allah:” “Wahai Tuhanku nampakkanlah Zat-Mu kepada ku agar aku dapat melihat-Mu.”
               Allah berfirman: “Engkau tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi cobalah lihat bukit itu, jika ia tetap berdiri tegak ditempatnya sebagaimana sediakala, maka nescaya engkau dapat melihatku.” Lalu menoleh Nabi Musa mengarakan pandangannya ke jurusan bukit yang dimaksud itu yang seketika itu juga dilihatnya hancur luluh masuk ke dalam perut bumi tanpa menghilangkan bekas. Maka terperanjatlah Nabi Musa, gementarlah seluruh tubuhnya dan jatuh pengsan.
               Setelah ia sedar kembali dari pengsannya, bertasbih dan bertahmidlah ia seraya memohon ampun kepada Allah kelancangannya itu dan berkata: “Maha Besar Engkau wahai Tuhan, ampunilah aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang yang pertama beriman kepada-Mu”.
               Dalam kesempatan bermunajat itu, Allah memberikan kepada Nabi Musa kitab suci “Taurat” berupa kepingan-kepingan batu atau kepingan kayu menurut setangah ahli tafsir yang di dalamnya tertulis segala sesuatu secara terperinci dan jelas mengenai pedoman hidup dan penuntun kepada jalan yang diredhai oleh Allah.  (Bacalah surah Al-A’raf: ayat 142– 145).
               Pada suatu ketika berpidatulah Nabi Musa di hadapan kaumnya Bani Israil. Ia berdakwa kepada mereka, memberi nasihat dengan mengingatkan kepada mereka akan kurnia dan nikmat Allah yang telah dicurahkan kepada mereka yang sepatutnya diimbangi dengan syukur dan perlaksanaan ibadah yang tulus, melakukan segala perintah-Nya dan meninggal kan segala larangan-Nya. Kepada mereka yang beriman, bertaat dan bertakwa, Nabi Musa menjanjikan pahala syurga  dan bagi mereka yang mengigkari nikmat Allah diancam dengan seksaan api neraka.
               Sebaik sahaja Nabi Musa mengakhiri pidatonya, bangunlah seorang diantara para hadirin bertanya kepada Musa, siapakah di atas bumi Allah ini yang paling pandai dan paling berpengetahuan? Musa menjawab “Aku”. Dan tidak ada yang lebih pandai daripadanya. Nabi Musa merasa megah kerana telah melalui berbagai kelebihan daripada manusia biasa seperti: dapat menakluki Firaun yang zalim itu; ia dapat kesempatan bercakap dengan Allah secara langsung; dan dapat membelah lautan dengan tongkatnya.
               Rasa sombong dan keunggulan diri yang tercemin dalam kata-kata Nabi Musa, dicela oleh Allah yang memperingatkan kepadanya bahawa ilmu itu adalah lebih luas untuk dimiliki oleh seorang walaupun ia adalah seorang rasul dan bahawa bagaimana luasnya ilmu dan pengetahuan seseorang, nescahaya akan terdapat orang lain yang lebih pandai dan lebih alim daripadanya.
               Ilmu yang Nabi Musa tidak memperolehi adalah ilmu yang bersandarkan kekuasaan ghaib seperti dapat melihat peristiwa masa hadapan. Allah menguji Nabi Musa dengan berdamping Nabi Al-Khidhir dan menawarkan diri menjadi muridnya. Nabi Khidhir setuju dengan syarat Nabi Musa tidak akan mendahului bertanya tentang sesuatu sebelum Nabi
Khidhir memberi  tahu kepada Nabi Musa.
               Walau bagaimana pun pelanggaran pertama terhadap persyaratan Al-Khidhir terjadi tatkala mereka berdua sampai di tepi pantai di mana terdapat sebuah perahu sedang berlabuh. Nabi Khidhir minta pertolongan pemilik perahu itu, agar menghantar mereka ke suatu tempat dituju. Tatkala mereka berada di dalam perut perahu yang sedang melucur dengan lajunya, tiba-tiba Musa melihat Al-Khidhir melubangi perahu itu dengan mengambil dua keping kayunya. Musa menegurnya! Teguran pertama Musa meminta maaf, maka Al-khidhir terima.        
Kemudian perjalanan dilanjutkan di darat bertemulah mereka dengan seorang anak lelaki yang sedang bermain-main dengan kawan-kawannya. Tiba-tiba dipanggillah anak itu oleh Al-Khidhir, dibawanya  ketempat yang agak jauh kemudian dibunuhnya. Musa yang menyaksikan terperanjat lalu ia menegur mengapa dibunuh? Perlanggaran syarat kedua berlaku lalu Musa meminta maaf lagi, dan Al-Khidhir masih boleh menerimanya.
               Dengan janji terakhir yang diterima oleh Al-Khidhi dari Musa, diteruskan perjalanan mereka berdua sampai tiba di sebuah desa. Mereka meminta pertolongan di mana mereka ingin beristirahat. Mereka berusaha mendapatkan tempat penginapan sementara dan sedikit barang makanan untuk sekadar dapat mengisi perut kosong mereka, namun tidak seorang pun dari penduduk desa yang memang terkenal bakhil itu yang mahu menolong mereka dan memberi tempat beristirehat. Dengan rasa kecewa mereka segera meninggalkan desa itu.
               Dalam perjalanan Musa dan Al-khidhir hendak keluar dari desa itu, mereka terlihat dinding salah satu rumah desa itu nyaris roboh. Segera Al-Khidhir menghampiri dinding itu dan ditegakkannyalah kembali. Dan secara spontan, tanpa disedar, berkatalah Musa kepada Al-Khidhir: “mengapa engkau berbuat kebaikan bagi orang-orang yang jahat dan bakhil ini”.
               Al-Khidhir menjawab: “Wahai Musa, inilah saat untuk kami berpisah sesuai dengan janjimu yang terakhir. Cukup sudah aku memberi mu kesempatan dan uzur. Akan tetapi sebelum alasan-alasan perbuatan-perbuatanku yang engkau rasakan tidak wajar dan kurang patut”.
               Al-Khidhir menghuraikan: “bahawa kerosakan bahtera yang kami tumpang itu adalah dimaksud untuk menyelamatkannya dari perampas oleh seorang raja yang zalim yang sedang mengejar di belakang bahtera itu. Dengan melubangnya dianggapnya rosak. Tentang anak yang saya bunuh, maka tujuan ku ialah menyelamatkan kedua orang tuanya dari gangguan anak yang durhaka. Kedua-dua orang tua itu adalah orang yang mukmin”.
“Sedang mengenai dinding rumah yang perbaiki dan ku tegakkan kembali itu adalah kerana di bawahnya terpendam harta peninggalan milik dua orang anak yatim piatu. Ayah mereka adalah orang yang soleh ahli ibadah dan Allah menghendaki bahawa warisan yang ditinggalkan untuk kedua anaknya itu  sampai ke tangan mereka selamat”.
Kisah Musa dan Al-Khidhir ini dapat  dibaca dalam surah Al-Kahfi ayat 60 sehingga ayat 82. Segala pemberian Allah wajar kita bersyukur dan rasa lebih tawadhu dan bukan menjadi hati meggah dan lupa diri kerana fenomena ghaib itu manusia tidak ada kuasaan melainkan izin Allah.
Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s. mendedahkan banyak fenomena ghaib yang kita dapat pelajari; antaranya Nabi Isa sendiri sebagai Rasul yang menerima kitab berkenaan mempunyai beberapa fenomena ghaib. Kelahiran Nabi Isa dari seorang ibu, bernama Maryam putra Imran, seorang gadis yang suci  bersih yang telah dipilih oleh Allah untuk melahirkan seorang bayi yang telah ditakdirkan pula oleh-Nya bahawa ia akan melakukan peranan yang besar dan suci bagi umat manusia sebagai Nabi dan Rasul.
Nabi Isa sejak lahir dan masih dalam buaiannya dapat berkata-kata: “Sesungguhnya aku ini adalah  hamba Allah. Allah memberiku sebuah kitab menjadikan aku seorang nabi. Aku diberkahi oleh-Nya di mana pun aku berada dan kepada ku diwasiatkan untuk melakukan solat dan zakat sepanjang hidupku dan berlaku bakti terhadap ibuku dan tidaklah Dia menjadikan aku seorang yang sombong dan celaka. Dan semoga kesejahteraan dan  kedamaian dilimpahkan kepadaku di hari lahirku dan di hari aku meninggal serta di hari aku dibangkit kan hidup kembali.”
Ayat-ayat Al-Quran yang mengisahkan pokok cerita di atas  terdapat  pada surah Ali Imran ayat 45, 46, 47, 48 dan lima surah Maryam ayat 16 hingga 35, surah Al-Anbiya’ ayat 91 dan surah At-Tahrim ayat 12.
               Setelah mencapai usia tiga puluh tahun, nabi Isa menerima tugas kenabian tatkala ia bersama ibunya berada di bukit “Zaitun”. Ia diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah-risalah kepada Bani Israil yang telah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran Nabi Musa. Sewaktu ia bersembahyang di atas bukit itu, terlihatlah olehnya sinar cahaya yang bergeme- lapan diikuti oleh serombongan malaikat yang tidak terbilang hitungannya. Para malaikat itu mengelilinginya, lalu oleh Malaikat Jibril ia diberi sebuah kitab yang berkilau-kilau laksana sebuah cermin.
               Dalam usaha Isa menyebarkan risalah dari langit itu ia ditentang oleh Bani Israil dan meminta Isa tunjukkan sesuatu yang boleh meyakini mereka kebenaran risalan  tersebut. Isa mengemukakan  beberapa kejadian ghaib atau mukjizat yang dibekalkan Allah kepada Isa, di antaranya: Ia dapat dengan izin Allah menciptakan seekor burung yang dibuatnya dari tanah liat. Ia juga dapat menyembuhkan kebutaan orang yang buta sejak lahirnya dan menjadikan elok kembali; demikian pula penyakit sopak. Selain itu ia dapat mengetahui apa yang mereka lakukan di rumah, apa yang mereka makan dan minum serta apa yang mereka simpan.
               Nabi Muhammad saw merupakan penutup para nabi dan rasul yang menerima risalah dari langit (Al-Quran) dengan perantaraan Malaikat Jibril selama 23 tahun. Baginda berketurunan Quraisy yang dikenali sebagai masyarakat jahiliah, juga melalui berbagai fenomena yang digerakkan oleh kuasa ghaib dalam menyebarkan risalah langit itu.
               Antara fenomena yang digerakkan oleh kuasa ghaib ialah kisah isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad saw dari Al-
Masjidil-Haram ke Al-Masjil-Aqsha dan seterusnya naik kelangit ke Sidratil Muntaha kemudian kemali ke bumi dalam tempuh semalam sahaja  adalah antara perkara ghaib.
Selanjutnya marilah kita telusuri perjalanan Nabi Muhammad saw dari masjidil Aqsha ke Sidratil Muntaha.  Sesampainya Nabi saw, bersama Jibril dalam perjalanan Isra’ ke Masjididil Aqsha, ternayata telah berkumpul para Nabi terdahulu dan selanjutnya Nabi s.a.w. solat berjemaah bersama mereka, bahawa Nabi saw memperolehi kehormatan bertindak mengimami solat. Setelah selesai solat berjemaah dengan para nabi Malaikat Jibril menyediakan tangga mi’raj yang diambil dari surga. Tangga mi’raj itu  terbuat dari emas dan perak berlapiskan mutiara.
               Melalui tangga inilah dengan berkendaraan  Buraq Nabi saw, bersama-sama Malaikat Jibril lalu naik ke tujuh lapis langit hingga ke Sidratil Muntaha. Apabila Nabi Muhammad diangkat naik setingkat lagi sampai ke ‘Arasy Allah sendirian tanpa ditemani oleh Malaikat Jibril, di situlah Nabi Muhammad saw menerima perintah solat yang wajib dilaksanakan oleh Nabi saw dan segenap umatnya sebanyak lima puluh kali sehari semalam. Di situlah  juga Nabi Muhammad saw menerima surah  Al-Fatihah langsung dari Allah.
               Perintah solat lima puluh kali sehari semalam dipendikkan Allah sebanyak lima kali sehari semalam setelah Nabi Muhammad saw kembali ke Arasy Allah memohon dikurangkan atas pandangan Nabi Musa as. Kerana memandangkan umat Muhammad lemah dan kurang mampu melaksanakan sebanyak itu. Walau bagaimana pun pahalanya sama dengan solat lima puluh kali sehari semalam.

               Selepas menerima perintah solat serta risalah lainnya Baginda turun ke bumi dan sempat solat berjemaah dengan umat Baginda saw. Demikianlah peristiwa kekuasaan ghaib yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw. Kekuasaan tersebut wajar diimani oleh setiap mukmin kerana Allah.

Saturday, March 8, 2014

ALAM GHAIB DALAM PERSEPSI TAUHID

 (Disiarkan 8. 3. 2014)
Islam adalah agama Allah yang dilahirkan untuk memahami serta mentafsirkan konsep alam ghaib. Falsafah kehidupan yang bersandarkan konsep tauhid adalah asas kepada keimanan kepada Allah Subhanuhu Wa ta’ala, Zat yang Maha Berkuasa terhadap kewujudan segala-galanya, samada di alam ghaib mahupun di alam nyata. Zat Allah bersifat ghaib yang hanya dapat dicenakan kehadiran serta kekuasaannya tentang kewujudan alam kehidupan dengan kehadiran iman pada setiap insan.
               Islam amat berbeza falsafahnya berbanding dengan agama lain terutama sekali tentang kensep serta pemahaman mengenai Tuhan Yang Maha Berkuasa. Islam bersandarkan konsep akidahnya kepada dokumen wahyu yang diterima manusia (Muhammad) dari Allah dalam perantaraan Malaikat Jibril.
               Dokumen wahyu yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya ada empat iaitu, Kita Zabur yang diterima oleh Nabi Daud, Kitab Taurat yang diterima oleh Nabi Musa; Kitab Injil yang diterima oleh Nabi Isa dan Kitab Al-Quran yang diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad Shallalla Alaihi Wassalam.
               Kesemua dokumen tersebut diturunkan Allah kepada manusia yang dipilih-Nya(Rasul) melalui Malaikat Jibril. Risalah dokumen tersebut, diperanggungjawabkan kepada Rasul yang dipilih untuk menyebarkan ajaran tauhid kepada manusia. Mereka dibekalkan Allah dengan beberapa kekuasaan yang luar biasa dalam menjalankan amanah Allah.
               Pengajaran yang dapat dipetik dari kisah Nabi Daud seperti Allah telah memberi contoh bahawa seseorang yang bagaimana pun besar dan pekasanya yang hanya menyandar kan diri kepada kekuatan jasmaninya dapat dikalahkan oleh orang yang lebih lemah dengan hanya sesuatu benda yang tidak bererti, sebagaimana Daud yang muda usia dan lemah fisikal mengalahkan Jalout yang perkasa itu dengan bersenjatakan batu sahaja.
               Seorang yang lemah dan miskin tidak patut berputus asa mencari hasil dan memperolehi kejayaan dalam usaha dan perjuangannya selama ia bersandar kepada takwa dan iman kepada Allah yang akan melindunginya.
               Kemenangan Daud atas Jalout tidak menjadikan dia berlaku sombong dan takabur, bahkan sebaliknya ia bersikap rendah hati dan lemah-lembut terhadap kawan mahupun lawan. Bersikap sabar memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah kerana sikap sombong itu merupakan bisikan iblis.
               Sifat sabar merupakan kekuasaan manusia menahan diri dari hasutan iblis yang akan menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan. Sifat sabar merupakan perilaku manusia yang berbentuk ghaib, tidak dapat dilihat mahupun disentuh keberadaannya. Kita hanya dapat menyaksikan akibatnya.  
               Kepadanya Allah turunkan kitab “Zabbur”, kitab suci yang menghimpunkan qasidah-qasidah dan sajak-sajak serta lagu-lagu yang mengandungi tasbih dan puji-pujian kepada Allah, kisah umat-umat yang dahulu dan berita nabi-nabi yang akan datang, di antaranya Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam. 
               Beberapa keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Daud adalah seperti berikut: Allah mengutuskannya sebagai nabi dan rasul, mengurniainya hikmah, kesempurnaan ilmu, ketelitian amal perbuatan serta kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.
Allah menundukkan gunung-gunung dan memerintahnya bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud tiap pagi dan senja. Burung-burung pun turut bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud berulang-ulang.
               Nabi Daud diberi pengertian tentang maksud suara/bahasa burung-burung. Allah telah
memberinya kekuatan melembutkan besi sehingga ia dapat membuat baju-baju dari lingkaran-
lingkaran besi dengan tangannya tanpa pertolongan api. Nabi Daud telah diberi kesempatan menjadi raja memimpin kerajaan yang kuat yang tidak dapat dikalahkan oleh musuh, bahkan sebaliknya ia selalu memperolehi kemenangan di atas semuanya.
               Nabi Daud dikurniakan suara yang merdu oleh Allah yang enak didengar, sehingga kini ia menjadi kiasan, bila seseorang bersuara merdu dikatakan bahawa ia memperolehi suara Nabi Daud.
               Kitab Taurat adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa ta’ala kepada Nabi Musa a.s.. Nabi Musa merupakan Rasul yang menentang kezaliman kerajaan Firaun, yang mengistiharkan dirinya sebagai tuhan. Ramalan dari seorang ahli nujum kerajaan, mengikut perhitungan  falaknya, seorang bayi lelaki akan lahir dari kalangan Bani Isra’il yang kelak akan menjadi musuh kerajaan dan bahkan akan membinasakannya.
               Maka itu raja Firaun  segera mengeluarkan perintah agar semua bayi lelaki yang lahir di dalam daerah lingkungan kerajaan Mesir dibunuh dan agar diadakan penyiasatan yang teliti sehingga tidak seorang pun dari bayi lelaki, tanpa dikucuali, terhindar dari tindakan itu. Maka dilaksanakan perintah raja oleh para pengawal dan tenteranya. Setiap rumah dimasuki dan diselidiki dan setiap perempuan hamil menjadi perhatian mereka pada saat melahirkan anak.
Nabi Musa berketurunan dari Bani Isra’il dilahir di zaman kerajaan Firaun yang zalim itu. Firaun tidak mengetahui bahawa kehendak Allah tidak dapat dibendung dan bahawa takdirnya bila sudah berfirman “Kun” pasti akan terwujud dan menjadi kenyataan “Fayakun.” Tidak sesuatu kekuasaan bagaimana pun besarnya dan kekuatan bagimana pun hebatnya dapat menghalangi atau menggagalkannya. 
Sekali-kali tidak terlintas dalam fikiran raja yang kejam dan zalim itu bahawa kerajaannya yang megah, menurut apa telah tersirat dalam Lauhul Mahfuz, akan ditumbang
kan oleh seorang bayi yang jestru diasuh dan dibesarkan di dalam istannya sendiri akan mewarisi kelak oleh umat Bani Isra’il yang dimusuhi, dihina, ditindas dan disekat kebibasannya. Bayi asuhan mereka itu ialah laksana bunga mawar yang tumbuh di antara duri-duri yang tajam atau laksana fajar yang tumbuh menyinsing dari tengah kegelapan yang mencekam. 
Yakabad, Isteri Imran yang melahirkan Musa atas pertolongan seorang bidan melahirkan bayinya. Kelahiran Musa dirahsiakan oleh bidan itu. Setelah bayi mencapai usia tiga bulan, Allah memberi ilham kepada Yakabad agar menyembunyikan bayi di dalam sebuah peti yang tertutup rapat, kemudian membiarkan peti yang berisi bayinya itu terapung  di atas Sungai Nil.
Peti itu di awasi dan diikuti oleh kakak Musa di mana ia berlabuh. Alangkah cemasnya kakak Musa, ketika melihat dari jauh bahawa peti yang diawasi  itu, dijumpai oleh putri raja yang kebetulan berada ditepi Sungai Nil lalu diambilnya dan diserah kepada ibunya iaitu isteri Firaun. Langsung Firaun memerintahkan membunuh bayi itu tetapi isterinya sangat tertarik hati kepadanya kemudian dijadikan anak angkatnya.
Demikianlah jika Allah Yang Maha Kuasa menghendaki sesuatu, maka dilicinkan jalan bagi terlaksananya takdir itu. Selamatlah nyawa putra Yakabad yang telah ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi Rasul-Nya, menyampaikan amanah wahyu-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang sudah sesat.
Musa diasuh oleh Firaun selama lapan belas tahun, cara pemikirannya tetapi Musa sentiasa menentangnya dengan memberi beberapa fakta agar Firaun beriman kepada Tuhan. Musa menunjukkan kekuasaan ghaib atau mukjizat kepada Firaun seperti meletakkan tongkatnya di atas lantai  lalu segera menjelma menjadi seekor ular besar yang melata meng- hala ke Firaun mengakibatkannya ketakutan dan melarikan diri.
Kemudian Musa memasukkan tangannya ke dalam saku bajunya . Tatkala tangan itu
dikeluarkan dari saku, bersinarlah tangan Musa itu menyilaukan mata Firaun dan orang-orang yang sedang berada disekelilingnya. Walau bagaimana pun Firaun menyaksikan semua itu dianggapnya sebagai sihir.
Maka itu Firaun menjemput ahli-ahli sihir seluruh negara datang ke istana untuk melawan sihir Musa. Setelah berlakunya pertandingan antara sihir-sihir negara, nyata Musa memenangi petandingan itu dengan tongkatnya yang menjadi ular besar memakan semua ular-ular ahli sihir yang lain. Maka semua ahli-ahli sihir  tercengang dan hairan lalu beriman kepada Tuhan dengan sujud di hadapan Musa.
Mereka berkata: Itu bukanlah perbuatan sihir yang kami kenal yang diilhamkan oleh syaitan tetapi sesuatu yang digerakkan oleh kekuatan ghaib yang menandakan kebenaran kata-kata Musa dan Harun maka tidak ada alasan bagi kami untuk tidak mempercayai risalah mereka dan beriman kepada Tuhan sesudah apa yang kami lihat dan saksikan dengan mata kepala kami sendiri.”
Seorang penyokong Firaun yang mukmin menyembunyikan iman kepada Tuhan berusaha memberi kefahaman kepada penyokong-penyokong Firaun dan beriman kepada Tuhan tetapi tidak mempedulikan ajakan tersebut. Kedegilan hati Firaun tidak sedikitpun mendengar nasihat orangnya yang mukmin itu. Firaun meningkatkan penindasan ke atas Bani Isra’il kian meningkat sehingga mereka tidaklagi bertahan di bawah pimpinan Firaun. Mereka meminta Nabi Musa untuk mengeluarkan mereka dari tanah Mesir iaitu tanah tumpah darah  mereka sendiri.  
Kemudian bertolaklah rombongan orang-orang Bani Israil dibawah pimpinan Nabi Musa meninggalkan Mesir menuju ke Baitul Maqdis dengan berjalan kaki yang cepat, kerana takut tertangkap oleh Firaun dan bala tenteranya yang mengejar mereka dari belakang. Setelah fajar mereka sampai di tepi lautan merah.
Berkatalah seorang daripada sahabat  Nabi Musaa, bernama Yusha’ bin Nun: “Wahai Mu kemana kami harus pergi? Musuh berada di belakang kami sedang mengejar dan laut berada didepan kami yang tidak dapat dilintasi tanpa sampan.” Nabi Musa menjawab: “Jnganlah kamu khuatir dan cemas. Perjalanan kami ini diperintahkan oleh Allah kepadaku, dialah  yang akan memberi jalan keluar seta menyelamatkan kami dari cengkaman musuh yang zalim itu.”
Pada saat yang kritikal itu, di mana para pengikut Nabi Musa berdebar-debar ketakutan, seraya menanti tindakan Nabi Musa yang kelihatan tenang saja, turunlah wahyu Allah kepada Nabi-Nya dengan perintah agar memukul air laut dengan tongkatnya. Maka dengan izin Allah terbelahlah lautan itu, tiap-tiap belahan merupakan seperti gunung yang besar. Di antara kedua belahan air laut itu  terbentang dasar laut yang sudah mengering dan dengan segera di bawah pimpinan Nabi Musa dilewatilah oleh Bani Israil menuju ke tepi Timurnya.   
Terbelahnya air laut itu menunjukkan sesuatu yang digerakan oleh kekuatan ghaib yang di mana mata kepala manusia tidak dapat melihatnya tetapi hanya dapat menyaksikan kesannya. Kekuasaan Allah itu tiada sesiapa pun dapat menghalangnya. Allah berkuasa terhadap segala sesuatu samada di alam ghaib mahupun di alam nyata kerana Dialah yang mewujudkan maka Dialah juga berkuasa untuk membentuk semula dalam apa juga kehendak Allah.
Setelah mereka sudah berada di bahagian tepi Timur dalam keadaan selamat terlihatlah oleh mereka Firaun dan bala tenteranya menyusuri jalan yang sudah terbuka diantara dua belah gunung air itu. Kembali rasa cemas dan takut mengganggu hati mereka seraya memandang kepada Nabi Musa seola-ola bertanya apa yang hendak dilakukan selanjutnya.
Dalam pada itu Nabi Musa telah diilhami oleh Allah agar bertenang, menantikan
Firaun dan bala tentera turun semua ke dasar laut. Kerana Takdir Allah telah mendahului bahawa mereka akan menjadi bala tentera yang tenggelam. Raja Firaun setelah sampai ketepi laut Merah merasa bangga melihat kekuasaannya sehingga lautan berbelah menjadi dua memberi jalan kepada mereka.

Setelah Firaun dan bala tenteranya berada di tengah-tengah lautan yang berbelah itu, jauh dari kedua tepinya, tibalah perintah Allah dan kembalilah air yang menggunung itu menutupi jalur jalanan yang terbuka di mana Firaun dan rombongannya sedang memimpin barisan tenteranya mengejar Musa dan Bani Israil. Terpendamlah mereka hidup-hidup di dalam perut laut dan berakhirlah riwayat hidup Firaun dan kaumnya untuk menjadi kenangan sejarah dan ibrah bagi generasi akan datang.. (Bersambung)                                     

Saturday, March 1, 2014

UNSUR ROHANI DALAM PEMBANGUNAN INSAN

 (Disiarkan pada 1. 3. 2014)
Beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’la ialah asas kehidupan rohani. Ia juga menjadi punca kepada semua ketenangan serta menjadi sumber kepada semua kebahagiaan. Iman ini tidak hanya  setakat beriman bahawa ada Tuhan yang menguasai alam, tetapi dengan mengetahui kesucian Allah, kebesaran-Nya dan melahirkan kesan keimanan ini dengan perbuatan-perbuatan yang lahir.             
               Beriman kepada Allah membebaskan seseorang daripada belenggu kebendaan. Dia tidak tunduk kepada nafsu dan tidak mempedulikan faedah dan bahaya yang khas. Seseorang yang beriman akan berusaha untuk dirinya, untuk bangsa dan umat manusia seluruhnya. Jadi setiap apa yang berlaku kepada orang itu  sama ada amalan kebajikan dan pengorbanannya  adalah kerana imannya dengan Allah.
               Hakikat  ini disokong oleh pengalaman-pengalaman manusia secara umum. Pada setiap kerajaan dan setiap masa terdapat manusia yang mengorbankan dirinya untuk kebajikan dan kebahagiaan manusia seluruhnya. Pengorbanan ini dibuat lantaran keimanan kepada Allah yang mendorongkannya berbuat demikian.
               Hakikat iman seperti ini diakui oleh Al-Quran. Sebab itu kita lihat tiada ayat Al-Quran yang menyebut “mereka yang beriman”, melainkan disertakan dengan “dan beramal soleh”. Ini menunjukan bahawa keimanan wajib disertakan dengan amal soleh di mana amal soleh ini sebenarnya adalah buah dari keimanan itu.             
               Sesungguhnya beriman kepada Allah dan amal soleh melahirkan keredhaan Allah dan diberi ganjaran di akhirat. Contoh untuk demikian ialah terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkan seperti:
“Sesungguhnya orang beriman dan mengerjakan amal soleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.”
“Dan sampaikan berita  gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik bahawa bagi mereka disediakan syurga.”
“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.” (Al-Kahfi: 30.)
Iman menjadi penghalang kepada seseorang dari melakukan maksiat. Sebab apa juga yang dilakukan oleh manusia dan apa jua yang lahir darinya adalah bergantung kepada akidahnya. Dengan sebab itulah Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tidak berzina seseorang penzina sedang semasa dia melakukan zina itu dia mukmin, tidak mencuri seorang pencuri sedang semasa ia mencuri itu ia mukmin dan tidak minum arak oleh peminum sedang semasa ia minum itu ia mukmin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
               Iman yang sempurna menegah seseorang mukmin melakukan apa yang bercanggah dengan keimanannya iaitu meninggalkan apa yang dilarang. Beriman kapada Allah akan menerangkan kegelapan hidup kita ini. Dalam saat kegagalan, seseorang mukmin akan mengingati bahawa dia mempunyai tempat  untuk meminta tolong  iaitu Allah s.w.t. Jadi tidak ada sebab baginya untuk berputus asa. Hatinya menjadi tenang dan peristiwa malang yang dialamainya akan dianggap sebagai perkara kecil sahaja. Allah memberitahu orang-orang mukmin bahawa Allah sentiasa menolong mereka. Ayat-ayat berikut memboktikannya:
               Firman Allah surah At-Taghabun:11 yang bermaksud (terjemahan): “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah maka Allah sentiasa memberi petunjuk atau memimpin hatinya.”
Orang yang beriman dengan Allah serta tahu setiap kejadian mengikut qadak Allah dan kadarNya, nescahaya orang itu akan dikurniakan sifat sabar dan reda serta tetap iman di dalam hatinya.
Firman Allah surah Al-Hajj : 54 yang bermaksud (terjemahan):
“Dan sesungguhnya  Allah adalah pemimpin orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.” 
               Allah itulah  yang telah memberi petunjuk dan pimpinan kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulnya, dengan memberi kemudahan-kemudahan untuk men- dapatkan perkara yang hak lagi benar serta jelas lagi terang. Begitu juga  dengan menghapuskan perasaan ragu-ragu yang dibisikkan oleh syaitan ketika rasul membaca Quran, dan memelihara dasar-dasar agama yang benar, serta beramal seberapa yang boleh ke arah jalan tersebut.
Firman Allah lagi dalam surah Al-Baqarah: 257 yang bermaksud (terjemahan):
“Allah pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (iman)
               Apabila iman telah subur, kepercayaan kepada Allah dipelihara, dijadikan didikan, disiarkan dan dimajukan, maka Allah sendirilah yang akan memimpin umat yang beriman itu. Sebab iman kepada Allah Yang Tunggal, tidak memberi tempat buat mempercayai yang lain. Hubungan yang langsung dengan Allah, tidak memakai perantaraan, menyebabkan jiwa mendapat sinar selalu dari Illahi.
               Iman kepada Allah itu membawa terbukanya akal. Iman membawanya tunduk kepada syariat Illahi dan peraturanNya. Iman menimbulkan ukhuwah Islamiah dalam menyuburkan hidup berjemaah. Iman menimbulkan masyarakat yang bercorak Islam. Kelak akan sangat terasa perbedaan hidup dalam cahaya dengan hidup dalam gelap.
               Firman Allah juga  dalam surah An-Nahlu: 97, yang bermaksud (terjemahan):
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman maka sesungguhnya akan Kami berikan  kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik apa yang telah kerjakan”.
               Allah menerangkan persamaan antara lelaki dan perempuan dalam beramal soleh akan mendapat ganjaran yang sama, dengan syarat mereka itu orang yang beriman, sebagai tanda rahmat dan kemurahan Allah tidak membeza-bezakan kedua orang yang berlainan jenis itu selagi masing-masing berusaha menunjukkan kebaktian.
               Maka itu manusia dalam kehidupan ini berada ditengah-tengah gelombang dukacita dan kesusahan. Sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan tidak menjadikan-Nya  sebagai tempat memohon pertolongan ketika susah maka dia adalah menjadi manusia yang paling malang dalam hidupnya. Hal in berlainan dengan orang mukmin yang dengan imannya, dia dapat hidup dengan baik seperti yang disyaratkan oleh Al-Quran.
               Unsur rohani dalam pembangunan insan berteraskan kepada keimanan dan beramal soleh. Maka itu pembangunan rohani sewajarnyalah dengan iman dan ketakwaan kepada Allah. Kelemahan manusia dalam memahami antara pembangunan rohani dengan pembangu- nan jasmani berpaksi kepada ilmu mengenai pembangunan yang nyata dengan pembangunan yang berbentuk ghaib.
               Pembangunan yang bersifat nyata dapat dilihat dengan mata kepala kemanfaatannya dalam kehidupan berbeza dengan pembangunan rohani yang bersifat ghaib, hanya iman dapat merasakan kehadirannya. Maka begitu juga dengan pahala dan dosa individu sukar memaha- minya tanpa kehadiran iman.
               Antara tujuan kehidupan rohani ialah menimbulkan ketenangan dalam jiwa manusia,
membuang kesusahan hati dan keluh-kesah yang menjadi musuh utama kepadanya. Sesung- guhnya zikrullah merupakan suatu cara yang berkesan untuk sampai kepada tujuan tersebut.
               Setengah orang mengatakan bahawa kesusahan hati dan pergolakan jiwa tidak ada hubungan dengan jasmani atau badan. Tetapi kajian sains telah membuktikan bahawa susah hati yang berpanjangan dan jiwa yang  sentiasa tidak tenteram, merupakan perkara fisiologi yang melemahkan tugas-tugas serta menampakkan berbagai penyakit ke atas mereka.
Hakikat ini diakui Dr. Brel yang mengatakan: “Sesungguhnya seorang yang beragama sebenarnya tidak mengalami penyakit jiwa.” Katanya lagi: “Sesungguhnya doktor-doktor  jiwa mendapai bahawa keimanan yang kuat memberi jaminan kepada tidak berlakunya perasaan tidak senang atau penyakit saraf, malah keimanan tersebut dapat mengubati penyakit-penyakit itu”.
               Zikrullah atau mengingatkan Allah adalah salah satu dari kesan-kesan iman. Ianya menjadi santapan rohani dan menimbulkan ketenangan jiwa. Ini diakui oleh Al-Quran seperti dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud (terjemahan):
               “Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”
Orang-orang yang kembali kepada Allah itu, ialah mereka yang beriman sedang  hati mereka menjadi tenteram dan cenderung untuk mengingat Allah. Mengingat Allah mengikut kata Muqatil–mengingat dengan Quran, yang dibaca dan merenungkan isinya. Atau mengingat tentang adanya pahala dan rahmat Allah yang dijanjikan-Nya, maka menjadi tenteramlah hati mereka.
               Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah sahajalah hati orang-orang Mukmin menjadi tenteram selama-lamanya, iaitu akan hilang segala syak dan ragu-ragu, hilang rasa bimbang gelisah, disebabkan sinaran iman yang menerangi hati mereka.
               Dengan ayat ini kepada kita dijelaskan bahawa iman adalah menyebabkan sentiasa ingat kepada Tuhan, atau zikir. Iman menyebabkan hati kita mempunyai pusat ingatan atau tujuan ingatan. Dan ingatan kepada kepada Tuhan itu menimbulkan tenteram, dan dengan sendirinya hilanglah segala macam kegelisahan, fikiran kusut, putusasa, ketakutan, kecema- san, keragu-raguan dan duka cita.
               Ketenteraman hati adalah pokok kesihatan rohani dan jasmani. Ragu dan gelisah adalah pangkal segala penyakit. Orang lain sukar dapat menolong orang yang meracun hatinya sendiri dengan kegelisahan. Kalau hati telah ditumbuhi penyakit, dan tidak segera diobati dengan Iman iaitu iman yang menimbulkan zikir dan zikir yang menimbulkan Thuma’ninah, maka celakalah yang akan menimpa. Hati yang telah sakit akan bertambah sakit. Dan punca segala penyakit hati ialah kufur akan nikmat Allah. (Prof. Dr.HAMKA)
               Zikrullah mempunyai kesan besar dalam pendidikan rohani. Seseorang yang meng- ingati Allah dan mengaggungkan kebesaran-Nya, akan menjadikan hatinya khusyuk dan lembut. Perbuatan-perbuatan yang dilakukannya semua baik belaka, sebab dia mengetahui bahawa Allah memerhatikannya. Sedang mereka yang tidak ingatkan Allah dan tenggelam dalam keseronokan, hati mereka  keras dan akan melahirkan perbuatan –perbuatan keji. Oleh sebab itulah Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan sampai  kepada keadaan yang tidak diingini ini.
               Firman Allah surah Al-Hadid ayat 16 yang bermaksud (terjemahan): “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman  supaya tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepada mereka. Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka orang-orang yang fasik”.
               Oleh kerana Islam mementingkan zikrullah, maka ia menjadikan sembahyang itu  dilengkapkan dengan zikir-zikir. Islam menetapkan sembahyang ini mesti dilakukan lima kali dalam sehari semalam, malah dituntut  supaya ditambah pada waktu malam yang dinamakan tahajud, sebab waktu malam jiwa menjadi bersih dan tenang membolehkan seseorang yang berkeadaan demikian bermunajat. Inilah yang disuruh oleh Allah.
               Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 78 – 80 yang bermaksud (terjemahan):
“Dirikanlah semahyang dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula sembahyang) subuh. Sesungguhnya sebahyang  subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan Pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. Dan katakanlah: “Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah padaku dari sisi Engkau kekuasaan yang dapat menolong”.

               Sembahyang adalah patinya ibadat. Kerana di dalam sembahyang, seorang hamba itu menyembah Tuhannya, untuk memohon dan merayu, serta meninggalkan segala pekerjaan dan ingatan yang lain – semata –mata ingatannya itu ditumpukan bulat-bulat kepada Allah.

Saturday, February 22, 2014

UNSUR JASMANI DALAM PEMBANGUNAN INSAN

 (Disirkan pada 22.2.2014)
Manusia adalah sejenis makhluk ciptaan Allah yang terbentuk daripada cantuman roh yang besifat ghaib dan kekal dengan jasad yang bersifat nyata dan sementara. Roh mempunyai empat fungsi yang utama, iaitu kalbu, akal, jiwa, dan ruh. Jasad pula merupakan alat yang digunakan oleh roh untuk menjalani kehidupan di dunia.
               Roh dicipta oleh Allah dahulu daripada jasad dan ia sudah mempunyai beberapa pengetahuan kerohanian sebelum bercantum dengan jasad. Selepas roh bercantum dengan jasad, terdapat empat unsur asas yang membentuk  ciri semula jadi manusia, iaitu unsur syahwat, unsur marah, unsur kesyaitanan dan unsur ketuhanan.
Unsur syahwat berkait dengan keperluan fisiologi, unsur marah berkait dengan keperluan keselamatan, dan unsur ketuhanan berkait  dengan keperluan psokologi. Manakala unsur kesyaitanan pula tidak berkait dengan sebarang keperluan asas, tetapi boleh melahirkan sifat buruk seperti menipu, mungkir janji, dan bercakap bohong. (Nik Aziz Nik Pa 1999)
Manusia mempunyai potensi kekuatan dan kelemahan yang tertentu. Mana-mana kekuatan atau kelemahan akan berkembang subur dengan banyak berdasarkan kepada beberapa faktor seperti jiwa manusia, corak asuhan, kualiti pendidikan, persekitaran fisikal dan persekitaran sosio-budaya.
Satu kekuatan asas yang ada pada manusia ialah kebolehan untuk membina ilmu, membuat pilihan hidup, dan mengurus diri sendiri. Kelemahan manusia yang paling utama ialah sifat lalai dan lupa. Sifat inilah yang menjadi punca kezaliman, kejahilan, penderhakaan dan ketidaktaatan manusia terhadap peraturan dan suruhan Allah Subhanahu Wa Talah. Itulah sebabnya manusia dinamakan insan kerana sifat pelupanya.
Melalui unsur kesyaitanan dan sifat pelupa manusia terdedah kepada bisikan syaitan, iaitu sejenis makhluk yang menjadi musuh utama manusia yang sentiasa berusaha untuk membawa manusia ke neraka. Untuk membantu manusia menjalani kehidupan duniawi dengan baik, Allah menurunkan petunjuk dalam bentuk dokumen wahyu iaitu Al-Quran dan al-Sunnah. Dengan berpandukan ilmu wahyu, pemikiran rasional, dan pengalaman yang konstruktif, manusia dapat menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi dengan baik.
Maka itu manusia yang dekat dengan Allah Subhanahu Wa Talah, syaitan tidak dapat mengganggunya. Bisikan syaitan tidak dapat mempengaruhi hati manusia yang sentiasa menghiasi hidupnya dengan ibadah kepada Tuhan. Amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wa Talah menjadi perisai manusia hidup di dunia kerana tujuan manusia diwujudkan Allah Subhanahu Wa talah ialah melaksanakan ibadah kepada Nya.
Jasad merupakan alat bagi roh dalam kehidupan duniawi. Oleh itu jasad perlu dipelihara dan dilindungi dengan baik. Manusia perlu mengambil bahan yang berfaedah dan bersuaian dengan kesihatan badan (keperluan fisiologi) dan mengelakkan diri daripada perkara yang boleh mencacatkan dan membinasakan badan (keperluan kesihatan). Kelalaian manusia menjaga dan dilindungi jasadnya, Allah akan mengambil balik kesihatan jasad. Maka itu manusia akan ditemani oleh permasalaan kesihatan. Keperluan fisiologi merupakan keperluan untuk mendapat makanan, minuman, oksigen, tidur, rehat, aktiviti fizikal, seks dan kepuasan deria.
Keperluan keselamatan merupakan keperluan untuk mengelakkan diri daripada kecederaan dan kesakitan, mendapat jaminan ketenteraman yang lahir daripada keadaan yang berstruktur, dan merasa terlindung daripada ancaman luaran dan dalaman.
Allah telah mewujudkan dua mekanisme dalam roh kehaiwanan bagi memenuhi keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan, iaitu mekanisme pendorong mengarahkan dan memfokoskan keperluan yang ditimbulkan oleh unsur syahwat dan unsur marah, manakala mekanisme penggerak pula menggerakkan anggota badan untuk mencapai pelbagai matlamat, termasuk memuaskan keperluan yang ditimbulkan oleh unsur syawat dan unsur marah.
Unsur syahwat terbit daripada sifat  kehiwanan. Unsur ini bertanggungjawab terhadap tabiat kehaiwana yang ada pada diri manusia seperti makan, tidur, dan seks. Matlamat utama unsur syahwat ialah memuaskan keperluan fisiologi. Jika dikawal dengan baik, keinginan syahwat dapat memberi  beberapa manfaat kepada manusia. Bagaimanapun, unsur syahwat mempunyai untuk mendesak manusia memenuhi keinginannya dengan bebas.
Sekiranya mekanisme pendorong dikuasai unsur syahwat, maka manusia akan melakukan perbuatan yang berunsur kehaiwanan seperti tamak, keganasan seks, pengotor, gopoh dalam tindakan, bakhil pada keperluan, tebal muka, suka belanja besar tidak kena pada tempatnya, dan golojoh.
               Al-Ghazali (1988) menyatakan bahawa syahwat perut dan syahwat jantina merupakan dua jenis syahwat yang paling banyak meruntuhkan akhlak manusia. Antara lain, beliau mencadangkan aktiviti berikut bagi mengatasi kedua-dua jenis syahwat seperti berikut:-
1.      Membiasakan diri dengan amalan puasa sukarela dan melatih diri untuk makan secara sederhana.
2.      Melatih diri untuk bertafakur (berfikir) tentang bidang ketaatan, bidang kemaksiatan, sifat-sifat yang membinasakan, dan sifat-sifat yang menyelamatkan.
3.      Membiasakan diri dengan amalan muraqabah, iaitu meneliti diri sebelum, semasa, dan selepas melaksanakan sesuatu perbuatan.
4.      Membiasakan diri dengan adab yang mulia seperti adab makan, dan minum, adab berkomunikasi, adab bergaul, dan adab berkeluarga.
5.      Membiasakan diri dengan amalan tahara, iaitu mensucikan anggota badan daripada najis dan kotoran, mensucikan anggota badan daripada perbuatan dosa, mensuci kan fikiran daripada perkara yang keji, dan mensucikan rohani daripada perkara yang batil seperti takbur, syirik, riya’, dan percaya kepada tahayul dan khurafat.
Unsur marah pula terbit daripada sifat kekerasan, kebuasan, dan kebengisan. Unsur kekerasan tidak sama sekali memberi laluan diri untuk berfikir secara logik dalam sinario keimanan. Semua hujah di pihak lain tidak difikirkan mengandungi kebenaran. Masalahnya ialah ia hanya berfikir kebenaran diri sendiri sahaja. Perkara demikian berlaku pada dirinya mungkin disebabkan falsafah pemikiran tidak dijadikan sebagai pokok untuk mencari kebenaran.
               Ciri-ciri pemikiran yang tidak dilandaskan kepada akal dan keimanan akan meng- hanyutkannya ke jurang kekerasan hati yang tidak berkompromi dengan apa sekali pun sudut-sudat kebaikan dan kebenaran. Demi menegakkan kebenarannya, ia akan membawa berbagai masalah lain yang tidak ada kaitan sama sekali tentang agenda yang merumitkan lagi kefahamannya.
               Sekiranya mekanisme pendorong dikuasai unsur mara, maka manusia akan memaparkan sifat-sifat yang ganas dan buas  seperti dengki, dendam, suka membangkang tanpa pembaikan, buruk perangai, suka bermusuh, tidak sabar, degil mempertahankan kelemahan dan keburukan diri, suka menghina dan merendahkan usaha orang lain, tamak, suka memfitnah, bercakap lucah, suka menghukum, buruk sangka, suka mencarut, dan suka mencerca.
               Ketiadaan sifat marah pada diri manusia juga dianggap sebagai sifat yang tercela kerana seorang kehilangan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang mengganggu kehormatan diri atau kehormatan keluarganya. Ini menimbulkan sifat tidak peduli ketika peribadi isterinya dihina dan dicaci oleh orang yang buruk akhlak.
               Walau bagaimana pun orang yang buruk akhlak sebenar tidak tahu diri samada dia mempunyai penyakit rohani seperti itu. Memperbaiki atau menyedarkan diri orang berkenaan adalah lebih bermanfaat daripada mempersembahkan sifat marah kepadanya. Kita balik kepada iman di mana segala sifat manusia merupakan fitrah dari Allah Subhanahu Wa Talah.
               Baginda Rasul Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasalam pernah bersabda kepada sahabatnya Syaidina Ali apabila beliau meminta izin kepada baginda untuk membalas orang quraisy yang menyakiti baginda. Nabi Muhammad tidak membenarkan Ali untuk bertindak dengan alasan mereka (Quraisy) tidak sedar atau tidak tahu apa yang mereka buat adalah bersifat jahat. Kalaulah mereka tahu dan faham apa yang dilakukan adalah salah pasti mereka tidak berbuat demikian.
               Akal merupakan sumber kerohanian yang digunakan oleh roh rasional untuk mengenali dan membeza kebenaran daripada kebatilan. Maka itu anak yang belum baliq atau anak yang masih kecil tidak dapat mengenali dan membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Mereka tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah dengan menggunakan pemikiran mereka.
               Apabila anak itu sudah baliq atau umurnya kira-kira tujuh tahun kanak-kanak berupaya mengenali dan membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Akal dalam diri seorang insan berfungsi sebagai rasul maka pemikiran wajar dilandaskan kepada  akal untuk menimbang kebenarannya.
               Unsur ketuhanan berada dalam roh manusia semenjak mula kejadiannya. Bagai manapun, unsur ini mula berfungsi dengan jelas selepas roh bercantum dengan jasad. Unsur ketuhanan melahirkan sifat-sifat seperti suka kepada pujian, kekuasaan, pencapaian hasrat diri, apresiasi daripada orang lain, prestij, mengetahui, dan memahami. Antara lain, matlamat asas unsur ketuhanan adalah untuk memuaskan beberapa keperluan manusia seperti keperluan emosi, sosial, pencapain hasrat diri, penjernihan diri dan rohani.
               Jika mekanisme pendorong dikuasai unsur ketuhanan tanpa bimbang pemikiran rasional dan syariat Islam, maka manusia akan memaparkan tingkah laku yang negatif seperti suka kepada kekuasaan dan keitemewaan yang mutlak, mahu kebebasan berbuat segala perkara, mahu terlepas daripada ikatan sifat kehambaan, mengaku dirinya mengetahui dan menguasai berbagai-bagai ilmu, dan suka kepada pujian.
               Sebaliknya, unsur ketuhanan yang dikembangkan berpandu kepada pemikiran rasional dan bimbingan Allah yang terkandung dalam syariah Islam akan melahirkan sifat-sifat yang baik seperti cinta kepada ilmu, harga diri, yakin diri, hikmah, berusaha mempelajari hakikat segala sesuatu, berusaha menguasai urusan kehidupan dengan kekuatan ilmu dan pandangan hati, dan kasih sayang.
               Dalam keadaan seperti ini, manusa tidak akan mengabdikan diri kepada dorongan syahwat dan marah. Dengan mengawal dorongan syahwat dan mengembalikannya kepada batas kesederhanaan, maka terpancarlah sifat-sifat yang mulia dalam diri manusia seperti berdisiplin dalam setiap pekerjaan, berbudi mulia, suka kepada aktiviti yang beradab, bercita-cita tinggi, berpandangan jauh, bijaksana dalam membuat pertimbangan; cermat dalam percakapan, taat kepada perintah Allah, takwa, gembira melakukan kebaikan, kuat bekerja, cintakan ilmu yang bermanfaat, bersih fikiran, kemas dalam tindakan, dan suka bekerjasama.
               Isilah akhlak merujuk seluruh aspek kehidupan manusia seperti disiplin diri, aktiviti harian, sikap, watak, gaya hidup, corak pemikiran, perilaku, dan cara pembawaan diri dalam pergaulan sesama manusia. Akhlak yang mulia terbentuk daripada cantuman disiplin yang tinggi. Amalan yang salih, sikap yang kontruktif, pemikiran yang luas dan terbuka, pergaulan yang beradab.
               Kekuatan syahwat yang bermanfaat ialah kekuasaan syahwat yang berada di bawah kawalan akal rasional dan syarak. Kekuatan syahwat yang bermanfaat akan mendorong pembentukan peribadi yang suci, jauh dari perbuatan maksiat. Manakala kekuatan syahwat

yang tidak bermanfaat akan mendorong pembentukan peribadi yang buruk. Keburukan peribadi menggambarkan orang yang berakhlak rendah.

Friday, February 14, 2014

CIRI-CIRI PEMBANGUNAN MANUSIA MENURUT PERSPEKIF ISLAM

 (Disiarkan  pada 15. 2. 2014)
Memahami ciri-ciri pembangunan insan wajar bermuara dari disiplin  hubungan manusia dengan dunia menurut pandangan Islam. Agendanya wajar berlandaskan kepada keseder- hanaan  antara kehendak rohani dengan jasmani.  Islam tidak melarang seseorang mengguna kan kebendaan selama diperolehinya kebendaan itu dengan cara-cara  yang betul. Banyak terdapat ayat Al-Quran yang memberi galakan untuk mendapatkan kedudukan yang baik dalam kedua-dua bidang, rohani dan kebendaan secara bersama.    
               Allah berfirman surah Al-Qasas:77 yang bermaksud (terjemahan): “Dan carilah pada apa yang telah dianugerah oleh Allah kepada kamu (kebahagiaan) di akhirat, dan janganlah  kamu melupakakan bahagian kamu dari (keni’matan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada kamu”.
               Islam mengharuskan seseorang berhias dan mengambil faedah daripada benda-benda yang diinginkannya dengan syarat ia melakukannya secara sederhana. Firman Allah surah Al-A’raf: 31 -33 yang bermaksud (terjemahan):
               “Hai anak Adam, pakailah  pakaian yang indah pada setiap (memasuki) masjid. Dan makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah, “Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pula mengharamkan) rezeki yang baik”. Katakanlah, “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman (dan orang-orang yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia, semata-mata bagi orang-orang yang beriman di hari kiamat. Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui”.
               Allah menitik-beratkan supaya menghiasi diri, adalah mengajar manusia bertamadun dan tahu akan kesopanan dirinya terutama pada masa menyembah Allah, yang seolah-olahnya memberikan gambaran bahawa manusia itu sebelum tahu menciptakan pakaian misalnya mereka yang tinggal di gua-gua dan hutan-hutan adalah hidup dalam keadaan bertelanjang. Namun demikian oleh kerana mereka ada perasaan malu, maka semundur-mundur bangsa  manusia mahu juga ia bercawat dengan daun kayu atau kilit binatang yang telah diburuhnya, untuk menutup kemaluannya. Inikan pula manusia yang telah bertamadun dan maju seperti sekarang ini, sudahlah selayaknya mereka di samping menutup auratnya hendaklah  meng- hiasi pula akan dirinya.
               Sebabnya ayat ini diturunkan, mengikut kata Ibnu Abbas (r.a.): Adalah orang-orang Arab jahiliah mengerjakan tawaf berkeliling Kaabah dengan bertelanjang. Orang lelaki pada waktu siang dan kaum perempuan pada waktu malam. Mereka berkata: Kami tidak mahu tawaf dengan pakaian yang mengandungi dosa kami kepada Allah. Maka turunlah ayat ini. 
               Allah menyuruh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan kepada orang-orang Arab jahiliah yang tawaf dengan bertelanjang itu: Siapakah yang melarang kamu  mempergunakan perhiasan yang Allah jadikan untuk makhluk-Nya supaya kamu pakai dan berhias diri dengannya pada masa kamu tawaf dan sebagainya? Allah tidak ada membuat yang demikian itu.
               Di zaman moden ini remaja perempuan tidak menganggap menutup aurat itu sebagai syariat tetapi lebih kepada fesyen atau perhiasan untuk mencantikkan jasad sebagai tuntunan awam. Menutup aurat direka sedemikian rupa yang lebih memperlihatkan bentuk badan daripada menutup aurat yang bersifat kesopanan.
Berpakaian dengan bertudung melambangkan kesucian dan kecantikan Islam tetapi malangnya kesucian tersebut dicemari oleh bahagian badan yang lain yang ditutup bagikan membungkus buah nangka! Ciri-ciri pembangunan di situ tidak menampakkan ketamadunan
hidup seperti yang dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang tersebut di atas.
               Membentuk akhlak manusia biarlah dari rebungnya tetapi jika masyarakat di mana anak itu membesar tidak ada ciri-ciri yang mendidiknya sebagai insan yang bersopan, tahu malu dan bertamadun maka jangan hairanlah masyarakat remaja sekarang, gejala-gejala sosial tumbuh bagikan kulat di pagi hari selepas ditimpa hujan semalaman.
               Ada anak-anak apabila didaftar belajar kesekolah pada kali pertamanya menjadi kelangkabut kerana tidak tahu siapakah ia harus memanggil bapa yang menjadi bin atau binti dalam daftar kemasukan sekolah. Bolehkan nama bapanya  sebagai “telanjur” atau yang lebih sesuai lagi dicatat sebagai bin “ramai-ramai”! 
               Pada suatu ketika penulis bertemu dengan salah seorang pegawai perubatan hospital Keningau baru-baru ini. Berbincang mengenai akhlak para remaja pegawai berkenaan amat kesal terhadap pembangunan remaja masa kini. Lalu beliau bertanya kepada penulis apakan pandangannya mengenai masyarakat remaja masa sekarang? Penulis memberi gambaran dengan singkat dan jelas menyatakan bahawa budaya malu itu tidak bersama lagi dengan masyarakat remaja.
               “Makna dasar malu adalah mencegah, lalu diguna dalam erti kata lain iaitu menahan. Yang dikatakan dengan mencegah ialah kesan daripada malu. Kesan sesuatu bukanlah asalnya. Oleh kerana mencegah termasuk kesan malu, maka galakan untuk sentiasa memiliki rasa malu merupakan motivasi mencegah diri daripada perbuatan tercela.
                    Begitu juga malu disebut kehidupan dunia dan akirat. Maka itu siapa sahaja yang tidak mempunyai rasa malu maka ia dianggap mati di dunia dan akan menderita di akhirat. Para pujangga mengatakan, “Hidupnya wajah berkat sifat malu, sebagaimana hidupya tanaman berkat air.”
Berdasarkan hal demikian, hidupnya hati atau nurani seseorang menunjukkan kuatnya sifat malu pada orang tersebut, sebaliknya kurangnya rasa malu menandakan matinya hati dan jiwa.  Kerana itu selama nurani terus hidup maka selama itu pun akhlak malu akan sempurna.   Malu (al-baya’) ialah sifat atau perasaan yang menimbulkan keengganan melakukan sesuatu yang rendah atau kurang sopan. Malu merupakan ciri khas sikap manusia yang menyingkap nilai iman seseorang dan berpengaruh bagi tinggi rendahnya akhlak seseorang.”1
(1Surianshah Mohd Farid: Satu Kajian Analisis dan Takhru – Diploma Pengajian Islam(AlQuran dan As-Sunnah), Kolej Universiti Islam Antara Bangsa Selangur 2010. Hlm 31-32 ).
               Pegawai berkenaan menceritakan bahawa hospital Keningau telah menerima pesakit remaja (perempuan) dalam keadaan tenat, bersama anaknya  dalam sebuah bakul. Bayi itu baru lahir tapi tidak bernyawa lagi. Plasentanya masih bersamanya belum dipotong. Setelah disiasat oleh pihak hospital didapati anak yang malang itu tidak punya bapa yang sah.                               Pandangan penulis sepintas lalu keadaan masyarakat remaja masa kini sudah menyamai masyarakat jahiliah masa lampau. Inilah akibat kesan dunia globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Gejala sosial dari negara luar dapat masuk dengan mudah ke dalam masyarakat Malaysia terutama sekali melalui internet yang tanpa kawalan.
               Pengaruh agama tidak dapat membendung gejala ini sebab masalahnya penyakit tersebut telah disebatikan dengan pembangunan insan semasa dalam perut ibu lagi. Ibu mengandung, suaminya kurang memahami ciri-ciri pembanguna insan yang bakal di lahir oleh seorang isteri. Pepatah Melayu mengatakan:  “Jika bapa borek pasti anaknya rintik”. Jangan salahkan ibu mengandung tetapi salahkan akhlak kedua suami isteri dalam menangani pembangunan kehidupan keluarga.
               Allah bekalkan manusia dengan akal dan kemahiran berfikir maka jangan mengkufuri nikmat yang Allah beri. Ilmunya Allah telah dibekalkan kepada manusia dalam dua media iaitu ilmu Allah yang terucap seperti al-Quran dan ilmu Allah yang tercipta iaitu alam ini. Baca dan ikhtiarkan diri untuk memahaminya. Allah tidak mencipta sesuatu dalam hidup ini dengan sia-sia.   
               Membaca alam ini seperti memahami kehidupan seekor ikan di laut. Air laut rasanya masin tetapi ikan yang hidup di dalam air laut dagingnya tidak merasa masin. Ini menunjukkan satu analogi atau tamsil bahasa mengenai kehidupan seorang insan. Jika kejadian insan itu semasa di alam rahim terbentuk dari bahan yang bersih maka apabila lahir kelak insan berkenaan akan mempunyai akhlak yang luhur.
Kalau pun ia terdedah kepada masyarakat yang hilang harga diri dan suka menagi dadah, najis itu tidak akan mempengaruhi akhlak anak  berkenaan. Badannya merasa jijik melihatnya dan ta’ punya kerelaan hati untuk menyentuh sekali pun mengenai najis dadah tersebut. Allah menciptakan ikan di laut untuk manusia memahaminya mengenai falsafah hidupnya yang boleh diterjemahkan kepada pembangunan manusia.  
Seperkara lagi yang elok diambil sebagai panduan hidup dalam membina insan dalam rahim ibu ialah melihat mengenai amalan seorang ibu semasa mengandung. Mengambil satu contoh seperti peristiwa yang berlaku kepada keluarga Mohd.Yunus Ashasi di kampung Baginda, Keningau Pedalaman atas.
Anaknya bernama Susilawati bte Mohd Yunus, berusia empat tahun telah dijemput oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JAHEINS) datang ke Kota Kinabalu untuk membuat persembahan membaca surah Yassin tanpa menggunakan teks, sempena menyambut perayaan Mauludi Rasul 1983, di hadapan khalayak ramai di padang Bandaran Kota kinabali.
Anak itu membuat persembahannya membaca surah Yassin tanpa teks dengan mudah bermula ayat Yassin hingga akhir ayat tanpa masalah. Hanya kecacatannya dari segi tadjuid yang agak kurang jelas kerana logat bercakap pun belum pantas kerana usianya terlalu muda baru genap empat tahun sahaja.
Setelah upacara tersebut selesai, seorang pemberita tempatan menemuduga orang tua anak tersebut dan mendapati bahawa ibunya Puan Nasilah bte Salim, semasa mengandung anak berkenaan ia (ibu) sentiasa suka mengaji terutama sekali membaca surah Yassin. Seolah-olah membaca Al-Quran itu bagikan mengindam kepadanya. 
Demikianlah peristiwa yang menggambarkan amalan seorang ibu semasa mengan- dung, akan mendidik anak dalam kandungannya. Dan adalah tidak mustahil bagi seorang bapa atau suami juga jika ia mempunyai amalan yang suci atau tabiat yang tercela, akan membentuk keperibadian anak dalam kandungan isterinya. 
Dunia ialah ujian kepada manusia. Al-Quran menganggap kehidupan dunia sebagai menguji seseorang. Dunia menjadi perantaraan untuk mencapai kebahagiaan akhirat. Setiap urusan dunia sama ada urusan rumahtangga, pasar, tempat bekerja, kedai dan majlis perwakilan, semuanya merupakan ujian-ujian yang berbeza bagi sesorang.
Ciri-ciri pembangunan manusia tidak terkecuali dari menempuhi ujian Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Angkabut: 2 – 3 yang bermaksud (terjemahan):
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka  dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak akan diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”
Maksud ayat ini adalah manusia menyangka bahawa cukuplah bagi mereka setakat mengatakan kami telah beriman?  Adakah mereka tidak lagi perlu diperiksa bagi menjelaskan sama ada mereka sebenarnya orang-orang yang benar atau pendusta? Jadi dalam Islam, bukanlah memadai dengan hanya menjadi penganut Islam, tetapi hendaklah dilahirkan kesan-kesan ajaran Islam itu dalam semua keadaan, sama ada ketika susah atau ketika senang.
Semua perkara, sama ada baik atau buruk yang menimpa diri manusia adalah menjadi ujian bagi melahirkan kebenarannya. 
               Di tempat lain Allah berfirman dalam surah Al-Mulk: 1 – 2 yang bermaksud (terjemahan):
               “Maha suci Allah yang di tanganNyalah segala kekuasaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya”.

               Pandangan hidup seperti ini adalah menjadi pendorong utama seseorang untuk maju, ia juga menjadi pendorong yang kuat untuk seseorng itu berjihad melawan keburukan atau kekejian yang diinginkan olehnya. Pandangan seperti ini mengubahkan sebahagian daripada pandangan agama lain yang menganggap bahawa penganut agama tidak perlu berjihad menentang keburukan.