Monday, June 1, 2015

KEUTAMAAN KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT

 (Disiarkan pada 30. 5. 2015)
Iman dan takwa kepada Allah swt. merupakan teras kepada ibadah dalam kelangsungan hidup di dunia yang fana ini. Kelahiran iman dan takwa dalam diri seseorang terhadap Allah swt adalah disebabkan kehadiran ilmu yang memandunya ke jalan yang benar. Orang yang paling bertakwa kepada Allah swt ialah Baginda Rasululullah Nabi Muhammad saw kerana ilmunya Baginda adalah Al-Quran yang diterjemahkan beliau dalam dirinya. Dalam kata lain Baginda Rasul merupakan “A walking Al-Quran”.
               Setiap kalimat yang diturunkan Allah kepada beliau melalui malaikat Jibril diterjemahkannya dalam diri baginda sebelum ditarbiahkan kepada umat Baginda. Maka Baginda dikatakan oleh isterinya Siti Aisyah ra apabila ditanya oleh sahabat mengenai akhlak Baginda ialah “Al-Quran.”
               Allah swt menyuruh setiap Rasul-Nya supaya berilmu serta mengesakan-Nya terlebih dahulu. Suruhan itu disusuli dengan beristigfar. Itu adalah perbuatan yang perlu dilakukan bagi meraih keampunan Allah swt. Amalan serta ucapan Rasulullah saw adalah amalan dan ucapan yang mudah untuk difahami oleh umat. Allah swt menerangkan dalam surah Fatir, ayat 35:28 yang bermaksud:
               ‘....Sebenarnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya hanya orang yang berilmu.”
               Hanya dengan ilmu menjadikan seseorang itu takut kepada Pencipta. Ilmu juga menghalang hamba-hamba-Nya daripada melakukan kemungkaran. Ini kerana, apabila seorang memahami perbuatan yang dilakukan, pasti mereka melakukan perbuatan itu dengan baik.
               Pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam yang penuh dengan rintangan dan cemuhan malah sampai peringkat membahayakan keselamatan Baginda. Walaubagaimana pun semua itu diterima Baginda dengan hati yang sabar serta memohon Allah agar mereka memahami apa yang dilakukan itu.
               Pada suatu ketika apabila Baginda berjalan bersama Ali bin Abi Talip di sebuah perkampungan Quraisy, Nabi dilimparkan dengan batu sampai berdarah di mukanya! Lalu sahabatnya meminta izin  kepada Rasul untuk membalas mereka dengan mengangkat bukit Uhud untuk ditimpa kepada mereka, biarlah mereka mampus semua!
               Baginda tidak mengizinkan Ali malah beliau berkata, “Mereka tidak tahu apa yang mereka buat. Jika mereka faham perbuatannya itu salah di sisi Allah S.W.T. maka mereka tidak akan melakukannya.
               Kita perlu mendahulukan kegiatan manuntut ilmu sebelum sesuatu amalan dilakukan. Ini berdasarkan surah terawal yang diturunkan dalam Al-Quran, iaitu iqra yang bermaksud bacalah. Membaca adalah kunci ilmu pengetahun. Kemudian, Allah swt menurnikan perintah yang menuntut kepada perbuatan dalam surah Al-Mudatthir, ayat 1 hingga ayat 4.
               “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhan mu, maka ucapkanlah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah kamu bersihkan.”
               Setiap perkara yang kita lakukan memerlukan ilmu. Ilmu perlu diutamakan. Ini kerana, hanya dengan ilmu kita dapat membezakan antara perkara yang betul dan salah dalam sesuatu kepercayaan. Ilmu juga mampu membetulkan setiap kesilapan dalsm percakapan, menjelaskan segala salah faham dalam urusan ibadat seharian.
               Dengan ilmu juga kita dapat membezakan perkara halal dan haram yang berlaku dalam urusan pelaburan, kebaikan dan keburukan daripada segi akhlak, perkara yang diterima dan ditolak dalam urusan timbangan, serta ketepatan dalam ucapan dan perbuatan.
               Jestru, kita dapati banyak hasil penulisan golongan ulama terdahulu bermula dengan bab ilmu. Antaranya hasil karya Imam Al-Ghazali, iaitu Ihya’ Ulumuddin dan Manhaj Al-‘Abidin.  Al-Mundziri, melakukan perkara yang sama dengan kitab At-Taghrib wa At- Tarhib. Selepas disebutkan beberapa hadith mengenai niat, ikhlas, dan mengikut Al-Quran dan sunnah, kitab ilmu pun dimulakan.
               Fiqh aulawiyyat adalah ilmu yang  membincangkan berkenaan struktur serta bab dalam setiap ilmu. Melalui fiqh aulawiyyat, kita dapat mengenal pasti apa yang sepatutnya didahulukan serta urusan apa yang perlu ditunaikan selepas itu. Tanpa mempelajari ilmu sebegini, sesuatu perbuatan itu pasti dilakukan secara membuta tuli.            
               Umar bin Abdul Aziz berkata, “Sesiapa yang melakukkan sesuatu perbuatan tanpa berlandaskan ilmu pengetahuan, amalannya itu  ternyata lebih memberi keburukan berbanding dengan kebaikan.”
               Perkara serupa ini jelas berlaku terhadap sebahagian daripada golongan Muslim yang
bertakwa tinggi, ikhlas, dan bersemangat. Tetapi, mereka kekurangan ilmu serta pemahaman tujuan syariat serta hakikat sebenar agama Islam.           
               Itu yang berlaku kepada puak Khawarij. Mereka membunuh Saidina Ali bin Abi Talib r.a. kerana kelebihan serta kedudukan beliau dalam menyumbang kepada kemenangan agama Islam. Saidina Ali bin Abi Talib r.a. adalah juga orang yang paling dekat dengan Rasulullah s.a.w. kerana keturunan beliau. Di samping itu, beliau adalah menantu dan insan kesayangan Baginda.
               Orang yang berilmu akan mendapat kefahaman tentang objek-objek selaras dengan faedah-faedahnya dan kefahaman objek terebut yang memandu ke arah perilaku yang baik dan mulia. Manurut Al-Ghazali dalam tulisannya yang bertajuk “Ayyuh al-Wallad” katanya “Sekiranya tujuan anda mencari ilmu adalah untuk mendapat tempat, untuk merasa sombong kepada rakan-rakan anda, rugilah anda. Tatapi sekiranya tujuan anda mencari ilmu itu adalah untuk medalamai syariat yang diturunkan melalui Nabi dan untuk pembersihan diri (nafs ammata), anda akan dirahmati.”
               Memperolehi ilmu pengetahuan mempunyai banyak kelebihan dan ini dapat dibuktikan dalam beberapa firman Allah dalam Al-Quran. Antaranya ialah surah Ali Imran ayat 3:18 yang bermaksud:    
               “Allah telah menyatakan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, dan malaikat-malaikat serta orang yang berpengetahuan pun naik saksi (bahawa Allah keadaanNya) berdiri dengan adil, dan tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang Maha Perkasa lagi Bijaksana.”
               Allah menerangkan keesaan-Nya, dan Malaikat serta orang-orang yang berilmu pengetahuan naik saksi – berikrar  dengan lisan dan membenarkan di dalam hati – bahawa Allah itu berdiri dengan adil.
               Maksud berdiri dengan adil disini iaitu; berkuasa mentadbir semua makhluk-Nya dengan adil, yakni melalui jalan tengah di dalam iktikad, beribadat, akhlak dan amanah. Adil atau jalan tengah di dalam iktikad itu ialah, mentauhidkan Allah atau mengesakan-Nya.  Maka tauhid atau pengesaan itu adalah  terletak di tengah-tengah pengingkaran dan penyekutuan.
               Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 29:43 yang bermaksud:
               “Dan perumpamaan- perumpamaan yang demikian itu Kami buatkan untuk manusia. Dan tiada yang memikirkan melainkan orang-orang yang berilmu pengetahuan.”
               Perumpamaan seperti ini dibuatkan oleh Allah dalam Quran, gunanya ialah untuk memberikan pendekatan kepada manusia, yang mempunyai fahaman sangat jauh dari kebenaran. Perumpamaan-perumpumaan yang serupa ini jugalah yang akan menghuraikan apa jua masalah yang mereka hadapi, dan menerangkan kepada orang-orang yang kurang memahami kesimpulan dan pengajarannya serta memperlihatkan pengajaran tersebut hanyalah orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan suka merenungkan kesudahan sesuatu perkara.
               Kelebihan ilmu telah meletakkan manusia pada martabat yang ketiga selepas Allah
S.W.T. ini menunjukkan ilmu mempunyai suatu daya untuk mengamati alam ini, hakikat dan permasalahan. Ilmu diibaratkan pakaian yang menutup tubuh badan. Oleh manusia yang tidak berilmu laksana seorang manusia yang berbogel. Allah berfirman dalam al-Quran surah al-A’raaf ayat 7:26 yang bermaksud:
               “.....dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.....”
               Yang dimaksudkan dengan pakaian takwa itu ialah, pakaian yang maknawi (dalam pengertian sahaja)- bukan pakaian yang hissi (jenis yang dapat dilihat). Pakaian yang dipakai dengan didasarkan atas rasa takwa kepada Allah, itulah yang lebih baik.
               `Beberapa hadis Rasulullah menyentuh tentang kelebihan ilmu pengetahuan. Antaranya ialah: Apa yang terdapat di langit dan di bumi disediakan untuk orang yang berilmu;
Manusia yang terbaik ialah seorang yang beriman dan bijaksana. Jika dia dikehendaki dia akan menjadi orang yang berguna. Jika sekiranya dia tidak dikehendaki dia boleh berdirikari;
               Manusia yang hampir kepada  kenabian adalah mereka yang berilmu pengetahuan dan berjuang ke jalan Allah (jihad). Orang yang berilmu akan memimpin manusia ke jalan yang disuruh oleh para Nabi. Orang yang berjihad pula ialah mereka yang memegang pedang di atas jalan Nabi dan Allah;
               Kematian seluruh anggota masyarakat untuk sesuatu kaum atau suku kaum dapat diterima tetapi kematian seorang yang berilmu adalah sukar dicari ganti;
               Manusia yang berpengatahuan merupakan pemegang amanah Allah di muka bumi ini;
               Martabat yang tertinggi iaitu orang yang berilmu menguasai orang yang rajin beribadat adalah sama dengan kelebihan bulan dengan menguasai bintang-bintang lain apabila bulan itu menjadi penuh;
               Orang yang berriman dan berpengetahuan berada 70 darjah lebih tinggi dari orang yang beriman biasa.
               Kumpulan hadis yang tersebut di atas menghuraikan keistimewaan orang yang berilmu. Al-Ghazali berpendapat bahawa manusia yang berilmu sahajalah dapat dianggap manusia sejati kerana manusia dijadikan mempunyai potensi untuk mengetahui. Menurut beliau sajian ahti ialah ilmu dan hikmah sebagaimana makanan untuk keperluan jasad.
               Oleh itu hati akan kelaparan sekiranya tidak disajikan dengan ilmu. Hati yang kekurangan ilmu pengetahuan akan merana dan akibatnya kematian merupakan sesuatu yang pasti walaupun ia mungkin tidak menyedari.
               Pengunaan ilmu yang sempurna akan melahirkan akal kemalaikatan. Ia akan menguasai keinginan manusia melayan nafsu dan kiblatkan fikiran kepada kebaikan dan kemanfaatan dalam hidup. Selain daripada menguasai ilmu pengetahuan yang dipusakai dari ahli-ahli fikir yang lain atau wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., para ilmuan atau ahli fikir dapat mempunyai hikmahnya kepada manusia.
               Allah telah menaburkan hikmah-hikmah-Nya di seluruh alam, di langit, di angkasa lepas, bintang-bintang, bulan dan matahari, di lautan, di pertut bumi di alam kehidupan manusia samada di duniawi mahu pun ukhrowi dalam alam rohani semuanya mempunyai hikmah Allah S.W.T. Manusia tidak akan dapat menemukan hikmah-hikmah itu jika penguasaan ilmu pengetahuan tidak dijadikan budaya kehidupan manusia.
               Ilmu pengetahuan memberi pelita kepada  kesempurnaan kehidupan manusia dan memahami diri bahawa segala apa yang diperolehi adalah hidangan Allah kepada kepada hamba-Nya yang membudayakan kesyukuran. Hati yang bersih dengan sajian ilmu pengetahuan yang tinggi dapat melandaskan segala amalan manusia jauh dari kekufuran kepada nikmat-nimat Allah.
               Cintalah ilmu kerana ilmu itu semakin kita tahu semakin kita tidak tahu. Ilmu itu tidak boleh dikuasai semuanya oleh seorang maka eratkanlah hubungan kita antara sesama terutama sekali kepada orang yang berilmu pengetahuan atau orang yang alim kerana dengan cara demikian pergaulan itu membuahkan banyak manfaatnya dalam kehidupan.
               Jangan biarkan usia itu berlalu tanpa di isi dengan ilmu terutama sekali ilmu akidah yang mendekatkan kita kepada Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ingat, Allah pengasih kepada semua hamba-Nya yang bernama manusia tetapi Allah hanya sayang kepada  hamba-Nya yang bergelar mukmin. Dengan ilmu Allah pemudahkan hidup ini apabila dada kita disajikan dengan ilmu.

               Jangan  persulitkan urusan hidup tanpa sajian dengan ilmu kerana segala ibadat yang kita laksanakan merupakan tawakal. Orang yang bertawakal memahami agenda pembangunan kerana tanpa keredhaan Allah S.W.T. tidak ada yang dapat kita jayakan maka perkayakan diri dengan keutamaan ilmu kerana suasana demikian mendekatkan kita kepada Allah kelak membuahkan ibadat tawakal kita kepada Allah S.W.T. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment