Sunday, August 31, 2014

MASJID AT-TAQWA - DARI ANDA KEPADA ANDA

 (Disiarkan pada 30 Ogos 2014)
Masjid  At-Taqwa Keningau di bawah kepimpinan Pengurusi yang Baru Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Tuah, bersama dengan ahli jawatan kuasanya yang baru telah melakarkan satu sejarah apabila mereka mengadakan samabutan Hari Raya Aidil Fitri  di perkarangan masjid selepas solat Jumaat  pada 16. 8. 2014.
               Sebelum memulakan solat Jumaat, Pengerusi menyampaikan ucapan yang merupakan jemputan kepada seluruh para jemaah masjid selepas solat Jumaat untuk turut sama menjamu selerah di perkarangan masjid yang telah disediakan untuk sama-sama meraihkan sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Oleh sebab jamuan serupa ini julung kalinya diadakan di masjid, khususnya masjid At-Taqwa Keningau, beliau turut sama memberikan sedikit penerangan mengapakah jamuan seperti ini di adakan yang berupa sekalung budi dari Tuan Pengerusi.
               Jemputannya kepada para jemaah solat Jumaat ke Jamuan berkenaan yang dinamakan sebagai “Dari Anda Kepada Anda”, melambangkan keperhatinan Pengerusi bersama Ahli Jawatan Kuasanya terhadap usaha menghidupkan dan mengeratkan hubungan siraturahim kepada kaum muslimin dan muslimat seluruh masyarakat masjid At- Taqwa khasnya dan kepada masyarakat Keningau amnya.
               Pengerusi merasa amat sukacita mengenai kerjasama para jemaah masjid atas sumbangan mereka kepada tabung masjid yang amat baik dan memberansangkan. Mengikut pendapat salah seorang pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah cawangan Keningau (JHEAINS), beliau mengatakan bahawa tabung masjid At Taqwa Keningau di bawah kepimpinan Pengerusi yang baru, adalah antara yang tertinggi subangannya setiap bulan berbanding dengan masjid-masjid  lain yang ada di negeri di bawah bayu.
               Atas dasar itu maka Pengerusi Masjid At-Taqwa dengan ikhlas mengadakan jamuan yang dinamakan “Dari Anda Kepada Anda” sebagai tanda kesyukurannya atas kerjasama yang mulia tersebut. Pengerusi juga memikirkan bahawa “Makan dan Minum” merupakan keutmaan dalam hidup setiap insan. Maka beliau tidak dapat memikirkan penghargaan yang lebih bermakna selain dari mengadakan jamuan yang tidak sepertinya ini.
Beliau menyandarkan keimanannya kepada Allah s.w.t. tentang kewujudan manusia sebagai makhluk yang bersosial dan bermasyarakat. Kepentingan makan dan minum amat bermakna dalam senario pembangunan manusia sebagai insan yang beriman dan bertakwa kepada Khaliknya, di samping sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini.    
               Mulai dengan kejadian manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa, Allah perintahkan pertama kepada Adam dan Hawa untuk memakan buah-buahan yang ada di syurga dikecuali buah khuldi itu! Di situ Allah menunjukkan keutamman hidup manusia, iaitu makan dan minum di samping memelihara amanat yang Allah pesankan.
               Allah wujudkan Siti Hawa dari tulang rusuk sebalah kiri Nabi Adam untuk  menjadi teman hidupnya kerana Allah mengetahui dari gerak gerik Adam, tidak begitu selesa hidup seorangan di syurga Allah tanpa teman. Maka jelaslah kemahuan manusia untuk menenang kan jiwanya dalam hidup adalah dalam keadaan berteman. Setelah itu Allah perintahkan mereka berdua supaya menjaga makan dan minum di syurga supaya jangan sampai melampaui batas dan tidak memikirkan had keredhaan Allah s.w.t.. 
Pengerusi juga menghimbau mengenai kelahiran seorang bayi di dunia pun begitu juga keadaannya. Setelah dimadikan bayi itu, pertamanya doktor yang mengurus kelahiran anak menasihatkan supaya bayi itu hendaklah menyusukan titik ibunya. Maka itu falsafah pemikiran  Pengurusi masjid untuk hidangan kepada para jemaah yang amat sesuai sebagai tanda kasih sayangnya ialah makan dan minum.
Setelah memperolehi tenaga dari air susu seorang ibu maka anak itu memerlukan belaian kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari seorang ibu yang melahirkannya.
Hubungan yang intim antara seorang ibu dengan anaknya melahirkan satu keimanan atau
kepercayaan kepada sang bayi bahawa disitulah anak itu memulakan pembangunan seorang
insan untuk mengenali hidup ini sebagai ibadah.
Bermula dengan kepercayaan atau keimanan tersebut maka anak itu akan mengem- bangkan keikhlasannya untuk mendekati ibu sebagai agen segala keperluan hidup seorang bayi. Perjanjian antara anak itu dengan Allah semasa di alam rahim akan dimertainya apabila anak itu mula mengenali fitrah akal yang Allah bekalkan kepadanya sebagai rasul dalam diri seorang insan serta nafsu pembangunan sebagai khalifah Allah.
Masjid At-Taqwa serupa juga dengan kejadian seorang bayi yang diasuh oleh seorang ibu yang mengandungnya serta melahirkannya. Bermula dengan jamuan makan dan minum, Pengerusi masjid berkeyakinan bahawa masyarakat masjid at Taqwa akan mengubah langkah ke arena pembangunan rohani demi kesejahteraan pembangunan jasmani.
Berkat dari nama “Taqwa” akan melahirkan satu genarasi yang mempunyai kepim- pinan diri ke arah insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.. Orang yang sentiasa muliakan hidupnya dengan beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. akan menempuhi hidup yang sentiasa Allah beri jalan keluar dari kesulitan yang dihadapinya dalam menangani ranjau-ranjau perjalanan hidup sebagai hamba Allah. 
Mendapat berkat dan rezqi dari Allah adalah sesuatu yang setiap mukmin mengingini dalam hidupnya. Firman Allah Surah  Al-R’raaf ayat 96 yang bermaksud:
“”Kalau penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa kepada Allah, nescaya Kami (Allah) bukakan  pintu keberakatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan juga lalu  Kami seksa mereka disebabkan perbuatan yang mereka usahakan.”
Keberakatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberakatan dari bumi ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan. Termasuklah keberkatan yang berbentuk segala macam nikmat dan rezeki seperti wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi. Mereka yang beriman dan bertakwa, nescahaya Allah mewahkan hidup mereka dan memudahkan dengan segala macam keberakatan, sebagai ganti dari azab dan malapetaka yang ada di bumi.
Falsafah pemikiran Pengerusi tentang mengadakan jamuan tersebut kepada para jemaah masjid adalah dalam konotasi “menang-menang”. Para Jemaah masjid dengan hati yang ikhlas kerana Allah, menghulurkan sumbangan kepada masjid dengan tujuan dapat kiranya memanfaatkan hasil keikhlasan hati mereka kepada pembinaan kesejahteraa masjid serta memelihara nama baik masjid sebagai masjid “At-Taqwa”di sisi Allah s.w.t..
Para Jemaah masjid memberi sumbangan kepada masjid sebagai satu kesyukuran dipihak masjid dan masjid memberi kembali kesyukurannya kepada para jemaah dalam bentuk makanan dan minuman demi menjaga kesihatan jasmani dan rohani para jemaah sekalian semoga dengan kesihatan Allah kurniakan itu akan menjadi motivasi dalaman para jemaah untuk menyemerakan suasana masjid sebagai rumah Allah.     
Falsafah pemikiran Pengerusi masjid merupakan sehaluan dan satu haluan  dengan khutbah para Khatib solat Jumaat yang dikumandangkan setiap Jumaat menyeruh para jemaah mengekalkan kecekalan hati memanfaatkan masa solat di masjid sebagai mana yang telah dilaksanaka semasa bulan Ramadan.
Merapatkan hati kepada masjid merupakan tanda keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. serta menyinarkan kasih sayang kepada Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sebagai kekasih Allah yang sentiasa cintakan umatnya dari dunia hingga akhirat. Baginda menerima Islam dari Allah untuk mentarbiahkan umat manusia seluruh alam ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. dalam hayatnya tidak pernah meninggalkan Rumah Allah hingga di ambang akhir hayat Baginda pun sempat lagi mengimami solat subuh bersama jemaah masjid.
Dokumen wahyu yang diterimanya dari Allah melalui Malaikat Jibril selama 23 tahun, mengandungi disiplin pembangunan untuk “Memanusiakan Manusia”. Manusia dijadikan Allah sebagai hamba-Nya sememangnya dalam keadaan lemah maka ilmu tauhidlah yang membetulkan persepsi kemanusiaannya membentuk ke jalan yang diredhai Allah s.w.t..
Menghadirkan diri dengan hati yang ikhlas kerana Allah, ke masjid untuk melaksanakan ibadah “Tujuh Belas Rakaat” merupakan satu kemuliaan dan kemurnian hidup seorang mukmin di sisi Allah s.w.t. yang akan membuka jalan keluar kepada segala kesulitan dalam hidup di dunia yang fana ini. Allah akan melimpahkan segala rahmat dan nikmat hidup yang tidak disangka-sangka kepada ahli ibadah masjid yang sentiasa khusyuk beribadah kerana Allah.
               Kehadiran para jemaah solat Jumaat dalam jamuan itu amat memberansangkan. Masajid telah sediakan sepuluh kemah di perkarangan masjid dan penuh dengan jemaah menjamu selera. Kehadiran Yang Berhormat Datuk Haji Sairin Haji Karno sebagai Penaung Masjid menyerikan lagi suasana kemerian ukhuwah kemanusiaan.
               Oleh sebab jamuan itu diadakan pada hari Jumaat maka para jemaah kebanyakannya tergesa-gesa menjamu selera mengejarkan masa untuk balik ke pejabat kepada mereka yang berkerja. Para Jemaah yang telah bersara serta masyarakat kampung turut sama mengambil masa yang terluang beramah mesra dengan para hadirin sekalian.
               Masjid At-Taqwa sangat bertepatan namanya kepada para jemaah yang sentiasa menyemarakkan masjid setiap waktu azan berkumandang di udara. Mengikut tafsiran Kiai Indonesia M.Z. Zainuddin, Taqwa adalah nama terbitan dari tiga huruf iaitu “Ta’” , “kof” , “wou”; dan masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.
               “Ta’” dari perkataan tawadhu yang membawa makna tidak mahu dipuji, sentiasa rendah diri, tidak angkoh dan tidak sombong dan mempunyai sikap kefahanan mental. Pemimpin yang berwibawa adalah golongan manusia yang tawadhu. Syaidina Abu Bakar setelah dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin berkata:
               “Saya telah dipilih oleh kamu untuk memimpin tuan-tuan. Kalau saya benar  bantu saya tetapi kalau saya lari dari kebenaran tegur saya. Inilah  contoh orang yang bersikap  tawadhu. Dia tidak meloncat sombong setelah dipilih malah kalau boleh dia menolak perlantikan itu tetapi oleh kerana kecintaannya kepada rakyat yang inginkan kepimpinan yang berwibawa maka ia menerima dengan penuh harapan agar rakyat berganding bahu membantu nya. Dengan hati yang ikhlas dan terbuka beliau menerima pelantikan tersebut dan bersedia menerima kritikkan dari rakyat yang dipimpinnya.
               ‘Qof’, terbitan dari perkataan Qanaah yang membawa makna, merasa cukup dengan apa yang diberikan Allah. Sifat memadai sekadar apa yang ada tanpa tamak dan haloba. Misalan seorang pemimpin berkata kalau rakyat saya lapar, biar saya jadi orang yang pertama merasa kelaparan. Tetapi kalau rakyat saya merasa kenyang biarlah saya orang yang terakhir merasa kenyang.
               Menurut pandangan Prof. Dr. HAMKA dalam bukunya bertajuk “Tasauf Moden”, Qanaah itu mengandugi lima perkara:
1.       Menerima dengan rela akan apa yang ada.
2.       Memohonkan kepada Tuhan tabahan yang pantas, dan berusaha.
3.       Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
4.       Bertawakal kepada Tuhan.
5.       Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.
Itulah yang dinamai Qanaah, dan itulah kekayaan yang sebenarnya.
Rasululah s.a.w. bersabda:
       “Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta, kekayaan ialah kekayaan jiwa.”
Ertinya: Diri yang kenyang dengan apa yang ada, tidak terlalu haloba dan cemburu, bukan orang yang meminta lebih terus terusan, kerana kalau masih meminta tambah, tandanya masih miskin.
       Rasulullah s.a.w. bersabda juga: “Qanaah itu  adalah harta yang tak akan hilang dan
para (simpanan) yang tidak akan lenyap.” (HR: Thabrani dan Jabir)
       Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.
       Berkerjalah, kerana manusia dikirim ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan ada menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh menganggur.

       Sifat ketiga dari perkataan taqwa ialah “Wou”, terbitan dari perkataan warak yang bermaksud terpelihara baik yang subahat lebih-lebih lagi  yang haram. Tidak sama sekali mendekati corruption atau rasuah. Maka itu orang yang taqwa mempunyai sifat ketiga-tiga tersebut di atas. Semoga para jemaah masjid at-Taqwa sedemikian sifat pembangunan dalam hidup mereka. Insyallah! Bicara Minda mengucapkan “Selamat menyambut Hari Kemerdekaan”.

Saturday, August 9, 2014

TAKWA NADI KESEMPURNAAN IBADAH KEPADA ALLAH S.W.T.

 (Disiarkan pada 9. 8. 2014)
Takwa ialah menjalankan semua yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala yang dilarang oleh Allah. Falsafah takwa ialah menyesuaikan diri dalam hidup ini dengan kehendak dan kereadaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Takwa bererti berhati-hati dalam segala geak-gerik, tidak hanya semuanya saja, tetapi disesuaikan dengan ajaran Allah dan rasulnya.
               Kalau ada manusia yang sudah yakin dan iman terhadap Allah tetapi berlaku semau-maunya di dalam hidup, tidak perduli perintah perintah dan larangan Allah, tidak kenal halal dan haram, maka itulah manusia yang terpedaya, atau tertipu di dalam hidup ini,  tertipu atau terpedaya oleh kehidupan dunia.
               Firman Allah Surah Luqman ayat 33 yan bermaksud:
               “Hai sekalian manusia! Bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu dan takutlah (kedatangan) hari di mana seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan tidak juga seorang anak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka jangan sekali-kali kamu tertipu oleh kehidupan dunia, dan jangan pula – dengan sebab Allah kasihan – kamu tertipu oleh syaitan yang amat penipu.”
               Setelah Allah membentangkan dahlil keesaan-Nya dengan berbagai-bagai contoh dan misalan, maka diseru-Nya pula manusia itu supaya bertakwa kepada-Nya sebagai nasihat dan mengingatkan mereka tentang kedatangan hari kiamat, di mana Allah akan mengadakan pengadilan untuk menghukum hamba-hamba-Nya. Lebih-lebih lagi peringatan itu ditujukan kepada orang-orang kafir Quraisy daripada kaum Nabi Shallallahu alaihi wasallam dan juga lainnya.
               Allah menyuruh supaya takut kepada kemurkaan Allah dan jangan sampai ditimpa kemurkaan-Nya, kerana pada hari kiamat nanti tidak seorang pun dapat menolong orang lain semasa dijatui hukum dan diseksa. Umpamanya bapa, dia tidak dapat lagi menolong anaknya, begitu pula si anak juga tidak dapat menolong bapanya. Kerana urusan menghukum di tangan Allah, dan tidak berguna di sisi Allah apa jua jenis pertolongan yang biasanya diberikan di dunia dahulu.
               Sebaliknya tidak ada yang dapat menolong hanyalah satu sahaja, iaitu amalan yang salih yang telah dipersembahkan oleh seseorang di dalam kehidupan di dunia dahulu. Kemudian Allah menguatkan suruhannya dengan menyebutkan Sesungguhnya janji Allah adalah benar.
               Kedatangan hari akhirat atau kiamat itu benar, kerana Allah telah menjanjikannya. Allah tidak sekali-kali memungkiri janji.
               Setelah itu Allah mengingatkan supaya awas dan berhati-hati, jangan sampai terpengaruh oleh dua perkara iaitu (1) kehidupan dunia dan (2) Dan jangan pula – dengan sebab Allah kasihan – kamu tertipu oleh syaitan yang amat penipu.
               Kalau penduduk negeri semuanya beriman dengan Allah dan rasulnya serta mentaati apa-apa yang diperintahkan kepada mereka, dan bertakwa yakni menjauhi apa-apa yang dilarang-Nya, tidak berbuat  syirik dan berbuat bencana di muka bumi ini, Allah akan buka pintu keberakatan dari langit dan bumi.
               Mendapat Berakat dan Rizqi dari Allah adalah sesuatu yang setiap mukmin mengingini dalam hidupnya. Firman Allah Surah Al-A’raaf ayat  96 yang bererti:
               “Kalau penduduk negeri itu beriman dan bertakwa kepada Allah, nescaya Kami (Allah) bukakan pintu keberakatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan juga , lalu Kami seksa mereka disebabkan perbuatan yang mereka usahakan”.
               Yang dimaksudkan keberakatan dari langit ialah turunnya hujan, dan keberakatan dari bumi ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan. Termasuklah keberakatan tersebut segala macam nikmat  dan rezeki, begitu  pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi.  Dan erti berkat ialah adanya kebaikan yang ditetapkan Tuhan di dalam sesuatu.
               Kesimpulannya ialah kalau mereka beriman dan bertakwa, nescaya Allah mewahkan hidup mereka dan memudahkan dengan segala macam keberkatan, sebagai ganti dari  azab dan melapetaka yang setengahnya diturunkan dari langit dan setengahnya  pula ditimbulkan dari bumi.
               Adalah menjadi dasar yang diakui oleh Al-Qur’an, bahawa adanya keimanan yang sejati dan adanya agama yang benar, akan menyebabkan pula adanya kebahagiaan di dunia. Kebahagian di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang  yang mahu beriman. Dan di antara yang turut sama menikmati kebahagiaan dalam segi kebendaan sahaja ialah orang-orang yang mahu beriman.  
Di antara yang turut sama menikmati kebahagian dalam tiga segi kebendaan sahaja ialah orang-orang kufur, sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-An’am ayat 44 berbunyi:
“Setelah mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami bukakan kepada mereka pintu segala sesuatu.
               Sebenarnya pintu segala sesuatu (peluang-peluang) yang dibukakan kepada orang-orang yang kufur  itu tak lain hanyalah merupakan  ujian Tuhan dalam kehidupan mereka. Kesan ujian tersebut, kiranya tidak menambahkan  syukur, malahan  derhaka kepada Tuhan, akibatnya nikmat yang mereka terima bertukar menjadi musibah dan keberakatan bertukar menjadi malapetaka.                                
               Lain halnya dengan orang-orang yang beriman, maka pintu segala sesuatu atau peluang-peluang yang baik  kalau dibukakan kepada mereka kesannya adalah baik, kerana akan menambahkan  pula kesyukuran  mereka kepada Allah. Dan ini akan mereka terima di dunia dan pahala di akhirat.
               “Tetapi mereka mendustakan juga, lalu Kami seksa disebabkan perbuatan yang mereka lakukan”.
               Yakni, Allah membukan pintu keberakatan dari langit dan bumi, serta memberikan peluang yang baik kepada mereka, tujuannya supaya mereka itu beriman. Akan tetapi mereka tidak juga mahu beriman, malahan mereka mendustakan para rasul. Itulah sebabanya mereka ditimpa malapetaka disebabkan kejahatan dan kezaliman yang mereka lakukan.
               Rezeki dan jalan keluar bagi orang-orang yang iman dan taqwa dapat juga disaksikan dalam firmanAllah surah At-Thalaaq ayat 2 dan 3, yang bererti:
               “Sesiapa yang takwa (Taat) terhadap Allah, nescaya Allah tunjukkan kepadanya jalan keluar (dari kesulitan) dan Allah akan beri ia rezeki dengan jalan yang tidak disangka-sangka.”
               Allah sentiasa menunjuk  kan jalan keluar dari berbagai kesulitan dan bahaya dari hamba-Nya yang bernama manusia yang benar-benar beriman dan bertakwa, patuh menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi larangan Allah dalam hidupnya. Dalam erti kata lain barang siapa yang takutkan Allah dengan memelihara hukum-hukum-Nya nescaya Allah akan memberi kepadanya jalan keluar dan susah menjadi senang, dan kesempatan hidup menjadi lapang dan dikurniakan rezeki dari arah yang tidak terlintas dalam hatinya. Sedikitpun dia tidak mengetahui dari mana datangnya.
               Para mufassirin: Ayat-ayat ini ditujukan kepada umum. Pernah diturunkan untuk di tujukan kepada “Auf  bin  Malik al-Asyja’i yang anaknya telah ditawan oleh kaum musyrikin, lalu mendatangi  Rasulullah shallallahu alaihi wasalam dan mengadukan kepadanya akan kesusahan dan berkata: Sesungguhnya musuh telah menawan anak saya, menyebabkan ibunya berkeluh kesah. Maka apakah yang patut tuan hamba perintahkan kepada saya?
               Nabi shallallahu alaihi wasalam menjawab:
               “Bertakwalah  engkau kepada Allah dan bersabarlah, saya perintahkan kepadamu dan juga iserimu supaya memperbanyakkan bacaan “Lahaula wala quataillabillah” (tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah).
               Maka ‘Auf bersama isterinya mengamalkan bacaan itu. Pada suatu hari sedang dia
berada di dalam rumahnya tiba-tiba pintu rumahnya diketuk oleh anaknya, ia membawa 100 ekor unta kepunyaan musuh ketika musuh telah terlalai tentang kehilangannya, lalu unta-unta pun dibawanya pulang.
               Beberapa kejadian-kejadian di mana Tuhan menunjukkan jalan keluar dari berbagai kesulitan dan bahaya dari manusia yang benar-benar beriman dan bertakwa. Di antara kejadian yang tercantum dalam Al-Qur’an ialah kejadian atas Maryam, Nabi Isa Al-Masih dan Nabi Musa alaihi salam.                  
               Diterangkan dalam al-Qur’an bahawa Mariam sejak dikandung ibunya, sudah dinazar kan oleh ibunya untuk jadi abdi Tuhan. Sejak masih kecil ketika Maryam di bawah asuhan Nabi Zakaria, Maryam benar-benar menjadi sorang manusia yang istemewa berbeza sekali dengan manusia lain yang hidup di zaman itu.
Orang yang hidup ketika itu seakan-akan serigala lapar, yang hari-hari berebut benda, tetapi Maryam tak sedikit pun perhatiannya terhadap benda itu. Dia mengurung dirinya saban hari untuk semata-mata beribadat menyembah Allah. Makan dan minum pun seakan-akan dilupakannya, tidak dihiraukan sedikit juga.
Kerana manusia itu hidup harus  minum dan makan, sedang Maryam tak menghirau kan minum dan makan, maka Allah mengirimkan makanan buat Maryam saban hari dengan perantaraan Malaikat. Saban hari, dengan tak diketahui dari mana datangnya dan siapa yang membawanya, makanan itu tersedia di hadapan Maryam.
Bukan hanya sekali dua kali, tetapi terus menerus selama Maryam iktikaf di tempat peribadatannya. Dan makanan yang dikirimkan Tuhan itu bukan saja satu makanan, tetapi bermacam-macam. Kadang-kadang berupa buah-buahan, kadang berupa daging dan lain sebagainya. Bahkan menurut satu hadis pernah didatangkan kepada Maryam buah-buahan musim dingin di ketika musim panas dan sebaliknya.  
Tiap kali Nabi Zakariah masuk mendapatkan Maryam, Nabi Zakaria melihat sendiri makanan tersebut. Nabi Zakaria bertanya kepada Maryam:
“Hai Maryam, dari mana makanan itu  datangnya?” Maryam menjawab: Makanan itu dari Allah kerana memberi rezeki terhadap siapa yang Ia kehendaki dengan  tak disangka-sangka.”Al-Quran Al-Imran (keluarga Imran) ayat 37: yang bererti:
“Tiap hari  tatkala Zakaria datang menjumpai Maryam dimihrab, dia dapati ada makanan di dekat Maryam, maka ia bertanya: Hai Maryam dari manakah  engkau dapati itu? Maryam menjawab: Itu (makanan) adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Ia kehendaki dengan tidak terkira.”
Lama kemudian, tatkala Maryam menjadi hamil sekalipun tak pernah disentuh oleh laki-laki, dan mengasingkan diri jauh kerana malu. Akhirnya dia melahirkan kandungannya itu di satu tempat yang amat terpencil, di mana tak ada manusia yang dapat  menolong, tidak ada air untuk diminum dan tidak ada makanan untuk dimakannya.
Dalam keadaan lelah payah setelah bersalin, ditambah perasaan khawatir akan diketahui orang  ramai, ditambah dengan  perasaan lapar dan dahaga yang memuncak itu, Maryam berserah diri bulat-bulat kepada Allah. Dan berserah diri kepada Allah ini adalah satu petanda Iman yang sempurna.
Di saat yang amat kritis itu, tiba-tiba Maryam mendengar suara dari dekat  yang amat terang sekali: “Janganlah engkau sedih, didekatmu sudah dijadikan Tuhan sebuah anak sungai yang kecil dengan airnya yang jernih. Dan gocangkanlah batang kurma tempat engkau bersandar itu, nescaya akan berjatuhan buahnya yang masak. Makanlah dan minumlah, dan senangkan hati dan tenangkanlah  jiwamu.”Al-Qur’an Surah Maryam ayat 24, 25, dan 26.
Begitulah caranya Tuhan telah memberi minuman dan makanan kepada Maryam di tempat di mana tidak ada minuman dan makanan. Hati maryam ditenangkan Tuhan, dikala dia susah dan sedih memuncak akibat dia melahirkan bayi tanpa bapa, iaitu bayi yang bernama Isa Al-Masihi. Beginilah caranya Tuhan memberi jalan keluar bagi hamba-Nya yang iman dari kesulitan dan begini Tuhan memberi rezeki yang tidak tersangka-sangka itu.