Tuesday, August 10, 2010

HAKIKAT INSAN (Disiarkan pada 07. 08. 2010)

Perkataan insan ialah manusia iaitu makluk yang berakal. Atau dalam bahasa sainsnya ‘a thinking animal’. Hakikat adalah sesuatu yang sudah nyata dan tidak dapat dinafikan lagi. Sebagai contoh pada hakikatnya kemiskinan boleh memundurkan masyarakat. Hakikat manusia adalah sebenar ialah rohnya. Yang menjadikan manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya.
Menjadikan manusia mukalaf, merasa senang, dan susah dan yang ditanya di Akhirat nanti adalah rohnya. Mukalaf adalah orang yang telah akil baligh dan diwajibkan mematuhi perintah Allah, yakni hukum-hukum Islam. Orang yang telah cukup umur dan bertanggugjawab sepenuhnya ke atas segala perintah Allah sewaktu hidup di muka bumi ini.
Roh itulah yang kekal, sebab itu ia dikatakan ilmu hakikat. Apabila kita memahami bersungguh-sungguh ilmu rohani itu hingga kita berjaya membersihkan hati, lalu kita memiliki sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat terkeji itu tidak ada lagi menginap dalam hati nurani kita. Maka itu jadilah kita orang yang bertakwa. Mereka yang bertakwa akan sentiasa diberi bantuan oleh Allah di dunia dan di akhirat kerana hatinya bersih.
‘Ibadat-‘ibadat wajib dan’ibadat-‘ibadat sunat adalah merupakan makanan kepada rohani. Sekiranya dilaksanakan dengan sempurnanya, sehatlah rohani. Apabila rohani sehat, maka lebih hampirlah ia kepada Allah. Walaupun begitu rohani sama juga dengan jasmani iaitu memerlukan kebersihan dan kesuciannya. Untuk membersih rohani kenalah mengikut peraturan yang secucuk dengan sifat dan perilakunya.
Rohani yang suci bersih sahaja yang mendapat kasih-sayang Allah. Menyuci rohani ialah membersih dan menyuci nafsu rohani. Nafsu yang jahat yang kotor itulah yang hendak dibersihkan. Firman Allah yang bermaksud: “Demi jiwa(nafsu) serta penyempurnaannya(ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (nafsu) itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa (nafsu)itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” Surah Asy Syams: Ayat 7-10.
Apabila hati itu bersih segala amal ibadahnya diterima oleh Allah seperti puasanya, perjuangannya, wirid dan zikirnya, dan pengorbanannya. Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam, walaupun kedua-dua amalan lahir dan batin diperintahkan melaksanakannya tetap penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini bersesuaian dengan Hadis yang bermaksud:
“Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertakwa.”
Dua rakaat sembahyang seorang yang bertakwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hatinya masih kotor. Sembahyang hati yang bertakwa akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu boleh mencegah dirinya dari perbuatan kemungkaran dan kemaksiatan, lahir dan batin.
Setiap manusia dituntut mencari ilmu. Orang yang berilmu memahami hakikat dirinya. Kejahilan membawa martabat kemanusiaan ke jurang yang paling bawah sekali. Orang yang berilmu selalunya waras dan bertimbang rasa. Mempunyai ilmu yang luas wajar dalam pembangunan kehidupan. Luas ilmu bermakna manusia yang berpengetahuan dalam segala bidang sama ada ilmu akhirat, ilmu duniawi mahupun ilmu kerohanian.
Ilmu boleh menerokai alam metafizik dan dapat melihat dengan mata hati. Mata hati dapat melihat berbagai alam lebih luas lagi jika dibandingkan dengan mata kepala sendiri. Mata hati itu dapat melihat segala pengalaman yang telah kita lalui sejak kecil. Dengan kehadiran iman dalam diri mata hati boleh mentafsir keadaan alam rohani.
Anak yang lahir diperkenalkan Tuhannya dengan mengazankan ditelinganya bagi bayi lelaki dan dikamatkan bagi anak perempuan. Ini penting supaya ilmu yang pertama menginap dalam hatinya bersifat bersih dan bercahaya. Apabila ilmu yang bersih ada dalam hatinya (rohnya) maka setiap ilmu yang kotor yang akan alami dalam hidup seorang anak nanti, ia tidak akan terbuai dan terkeliru.
Oleh yang demikian dalam usaha mengilmukan pelajar di sekolah setiap individu wajar melalui penyucian hati. Hati itu adalah raja dalam diri manusia. Kalau ia baik maka baiklah seluruh kehidupan manusia dan jika hati itu rosak atau buruk maka rosaklah jentera perlaksanaan ibadahnya.
Perjuangan pelajar dalam menuntut ilmu sudah tentu memerlukan hati atau roh yang bersih yang sentiasa bertakwa kerana itu Allah menerima perjuangannya. Segala urusan menimba ilmu akan dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Harus kita faham hahawa segala amal ibadah yang kita laksanakan adalah tawakal semata-mata. Kejayaan atau produktivitinya adalah prirogatif Allah yang Maha Berkuasa.
Perjuangan seorang guru adalah memanusiakan insan kerana Allah. Membentuk pelajar agar menjadi insan yang mempunyai sifat-sifat mahmudah. Maka itu seorang guru wajar memiliki sifat-sifat mahmudah terlebih dahulu kerana apa yang guru ada dalam hati atau rohnya akan tertuang kepada pelajar yang mengikuti disiplin pengajarannya. Adalah amat sukar bagi seorang guru yang mempunyai sifat-sifat mazmumah untuk membentuk pelajar agar membangun dengan sifat-sifat mahmudah.
Sifat-sifat mahmudah atau sifat positif atau sifat yang baik, antaranya ialah jujur, ikhlas, rendah diri (tawadhuk), amanah, taubat, sangka baik, pemaaf, pemurah, syukur, zuhud, timbang rasa (tolak ansur), sabar, redha, berani, lapang dada, lemah lembut, kasih sayang, selalui ingat mati, tawakal, takut Allah, sukakan atau cintakan ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Sifat-sifat mazmumah, atau sifat negatif atau sifat-sifat yang keji, di antaranya riak, ujub, takabur atau sombong, hasad dengki, pemarah, dendam, bahkil, penakut, cinta dunia, gila pangkat, gila puji, jahat sangka, putus asa, tamak, tidak suka ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Keilmuan terhadap sifat-sifat mahmudah dan mazmumah ini sangat penting dikuasai oleh setiap individu kerana dengan adanya ilmu tersebut memudahkan seseorang itu mengenali hakikat dirinya iaitu kenal sungguh sifat-sifat batinnya. Mengenali sifat-sifat baik dan jahat itu pasti ada dalam diri seseorang maka tindakan seterusnya perlu dikuasi.
Sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) itu hendaklah kita terjemahkan dalam diri kita kerana sifat-sifat tersebut dikehendaki dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul serta digemari oleh manusia seluruhnya yang mana itulah bunga diri pada seseorang itu. Menterjemahkan sifat-sifat yang baik dan terpuji itu dalam amal ibadah kita akan menjadi dakhwah kepada orang lain untuk mencontohi. Apabila itu berlaku makan akan melahirkan ukhuwah kemanusiaan yang diikat dengan sifat kasih sayang.
Sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) pula hendaklah ditumpaskan, dikikis, dibuang, dihapus dan dicabut. Ini perlu dilakukan melalui proses (mujahadatun nafsi) melawan hawa nafsu. Yakni melalui latihan terus-menerus terhadap nafsu (riadatun nafsi). Wajib dicabut buang sifat-sifat keji ini kerana sifat-sifat ini sangat dibenci oleh Allah dan rasul serta dibenci oleh manusia seluruhnya.
Masyarakat pendidik mahupun pelajar dan keseluruhan masyarakat yang membentuk satu kerajaan wajar mengenali diri mereka (batin) iaitu sifat-sifat yang terpuji dan yang terkeji ada dalam diri mereka masing-masing serta membuat susulan tindakan yang perlu dilakukan kerana dengan cara demikian akan lahir kesejahteraan ummah yang mendukung cita-cita yang dihiasi dengan perasaan kasih sayang antara sesama.
Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Membersihkan hati adalah wajib kerana bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya. Jika hati yang kotor atau rosak maka rosaklah keseluruhan kehidupan manusia kerana segala amal ibadahnya dipimpin oleh hawa nafsu yang tidak kenal batasan kemanusiaannya.
Cara-cara memimpin hati ialah dengan mempelajari ilmu tentang hati atau roh, tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kedua perlu juga latihan-latihan praktikal melalui: mujahadatunnafsi, istiqamah, tafakur, bergaul dengan orang yang baik-baik dan pimpinan mursyid
Mujahadatun nafsi itu di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli – Mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji
3. Tajalli – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.
Ketiga-ketiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan melawan atau memerangi semua kehendak–kehendak hati yang jahat yang didorong oleh hawa nafsu (riadatunnafsi)
Takhalli - Peringkat ini kita mesti melawan dan membuang secara memaksa terus-menerus kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh secara terus menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.
Kejahatan hawa nafsu itu telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Allah telah berfirman yang bermaksud: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah Al-Jasiyah: 23).
Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya lagi. Bila iman tidak ada, ,manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Maka itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudahkan dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar.
Melawan nafsu sangatlah susah kerana ia dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus. Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.
Mengenali diri adalah satu perjuangan dan perjuangan itu adalah pengorbanan dan pengorbanan itu akan lahirlah pembangunan. Manusia yang membangun akan mendekati diri kepada Allah S.W.T. Pepatah mengatakan kenalilah dirimu sebelum mengenali Tuhan. Apabila kita mengenal Tuhan maka lahirlah ketakwaan dalam hati.
Apabila di dalam hati seseorang itu tidak ada Allah sedikit pun, maka budi pekertinya amat jahat sekali. Dalam hidupnya tidak ada pantang larang. Ia akan ikut sahaja apa sahaja arahan atau suruhan syaitan. Halal-haram sama sahaja baginya (minta Tuhan lindungkan). Inilah sejahat-jahat manusia di atas muka bumi. Lupa diri yang dijadikan oleh Allah, dan lupa kepada segala nikmat yang Allah kurniakan kepadanya. Ia lupa bahawa setiap saat dia meni’mati kurniaan Allah. Lupa ia yang ia tinggal di bumi Allah, memakan rezeki yang Allah beri, bernafas dengan nyawa yang Allah kurniakan. Amat banyak sekalilah jika hendak dihitungkan pemberian Allah kepada setiap insan.
Oleh itu walau di mana kita berada, ingatlah akan diri dan ingatlah Allah sentiasa. Ingatlah setiap amal ibadah kita kerana akan dibalas oleh Allah, kalau tidak di dunia, akan dibalasNya di akhirat kelak. Ingatlah, sedarlah, jadikanlah diri sebagai orang yang berbudi. Walaupun sebanyak mana kita ber’ibadat kepada Allah, budi Allah, kurnia Allah, jauh lebih besar, tidak dapat kita hendak membalas pemberian Allah kepada kita.

ISTIQAMAH DALAM PENDIDIKAN (Disiarkan pada 31. 07. 2010)

Amal-amal kebaikan sama ada dari aspek hubungan manusia dengan Allah ataupun hubungan manusia sesama manusia adalah penting kerana ia melahirkan kesejahteraan dan kebahagian hidup semasa di dunia mahu pun akhirat. Ramai di kalangan kita yang coba untuk menghiaskan diri dengan amal-amal tersebut tetapi kebanyakannya akan terhenti di tengah jalan kecuali bagi mereka yang mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.
Berterusan dalam melakukan amalan yang baik itulah dinamakan istiqamah. Amalan sedikit yang dilakukan secara berterusan lebih baik daripada amalan yang dilakukan dengan banyak tetapi tidak berterusan. Seorang ulama pernah bekata yang bermaksud: “Sebaik-baik amalan ialah yang dilakukan secara berkekalan walau pun sedikit.”
Sudah menjadi pegangan para sufi bahawa istiqamah adalah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan diri seseorang semasa didunia dan juga di akhirat. Mereka kekal dengan jalan lurus dan berlandaskan kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya ini adalah jalan-Ku yang lurus maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain kerana-jalan-jalan tersebut boleh memecahbelahkan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian adalah perintah Allah kepada semua kamu bertaqwa.” Sirah An-An’am : 153.
Istiqamah dengan amalan baik dapat mengangkat martabat dan kedudukan manusia ke puncak kesempurnaan serta menyelematkan manusia dari kejahatan moral. Islam memberi bimbingan kepada manusia dari kejahatan moral. Islam memberi bimbingan kepada manusia agar beristiqamah, teguh pendirian dalam menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Melalui istiqamah seseorang memperolehi keuntungan yang sangat besar di akhirat kelak.
Repetion needs perfect membawa maksud lebih kurang istiqamah mendekati kesempurnaan. Setiap ibadah atau perlakuan kerja amal itu jika dilaksanakan secara istiqamah menjadi mudah untuk mendapatkan penghasilannya. Budaya istiqamah dalam pendidikan wajar menjadi amalan oleh setiap individu kerana ia adalah cara yang terbaik untuk membangunan dan membuat perubahan pada diri sendiri.
Belajar adalah satu proses yang berterusan mengikut usia individu. Manusia berubah usianya mengikut keadaan masa yang bergerak yang dimainkan oleh matahari. Setiap hari masa bergerak usia manusia meningkat kepada satu keadaan yang memerlukan sesuatu faktor kehidupan untuk mengisi keadaan sesuai dengan perubahan itu.
Masa itu bergerak secara istiqamah. Masa berubah akibat bumi mengelilingi mata hari secara istiqamah dari Timur ke Barat. Semua makluk Allah yang bersifat hidup akan berubah keadaan fisikalnya mengikut peredaran masa secara istiqamah. Maka itu wajar setiap individu mempunyai tanggungjawab membuat pengisian kepada masa yang baru dalam hidupnya. Dalam erti kata lain setiap individu wajar membangun untuk menyesuaikan dengan keadaan masa yang bergerak.
Satu peristiwa berlaku kepada seorang remaja yang kerjanya suka mengambil barang kepunyaan orang lain tanpa izin. Dalam erti kata lain pemuda itu budayanya suka mencuri apa sahaja benda yang menarik hatinya. Dalam hukum Islam sesiapa yang didapati mencuri hukumannya ialah dipotong tangan atau dalam bahasa Arabnya hukuman hudud.
Hukuman itu wajar dilaksanakan kerana ia tidak tahu bagaimana menggunakan tangan yang dibekalkan oleh Allah untuk mengurus kehidupannya. Jika kita tidak pandai menggunakan nya maka adalah lebih baik dikembalikan sahaja kepada yang Maha Berkuasa yang memberi tangan itu. Tanggugjawab dalam memanfaatkan fitrah yang Allah bekalkan merupakan satu ibadah yang wajar diselenggarakan kerana Allah. Kegagalan dalam melaksanakan tanggung jawab tidak akan membuahkan apa-apa manfaat kepada kehidupan.
Pemuda berkenaan telah didapati mencuri dan ditangkap untuk dihukum dipotong tangannya di atas pantas yang disaksikan oleh khalayak ramai. Setelah peristiwa itu berlau sekian lama dan bekas tangan pemuda yang dipotong itu pun sudah sembuh, ia melakukan lagi amalan yang sama. Apabila kedapatan ia ditangkap dan dihukum potong tangannya yang kedua.
Setelah peristiwa yang kedua berlalu buat seketika sehingga pekas yang dipotong itu pulih, pemudah itu melakukan lagi amalan yang terkutuk itu. Pemuda itu lalu ditangkap dan akan menerima hukuman yang sama tetapi kali ini ia tidak mempunyai tangan lagi kerana kedua-duanya telah dipotong. Walau bagaimanapun ia mesti menerima hukuman ‘potong’.
Jika amalannya semasa mempunyai kedua belah tangan ialah mencuri maka setelah mempunyai satu tangan lebih mendesak lagi hatinya untuk mencuri. Kemudian jika kedua-dua tangan itu sudah hilang dipotong apakah yang akan jadi pada pemuda itu untuk menyarah hidupnya?
Amat luar biasa sekali, dengan mempunyai kedua belah tanganya kudung pemuda itu masih tidak sedarkan diri. Ia didapati lagi melakukan budaya mencuri kemudian ditangkap. Kali ini tidak ada tangan lagi yang hendak dipotong sebagai hukumnya. Walaubagaimanapun pengadilan tetap dijalankan kerana telah melakukan amalan yang terkutuk itu. Pengadilan telah dibuat dengan menjalankan hukuman lehirnya dipotong. Ini bermaksud hukuman bunuh.
Hukuman dijalankan di tempat yang sama sejak dari mula lagi ia menjalankan hukuman potong. Tetapi sebelum dipotong lehirnya tiba-tiba seorang ahli sufi naik ke pentas dan mencium pipi pemuda yang bakal dihukum bunuh itu. Orang ramai pun terpegun melihat gelagat yang dipersembahkan oleh seorang ulama sufi berkenaan. Remaja yang bakal dihukum bunuh itu adalah penjenaya tetapi ulama sufi itu malah merasa kasihan dengan mencium pipinya. Orang ramaipun kaku melihat kejadian itu.
Setelah mencium pipi remaja yang akan dipotong lehirnya itu ulama sufi berkenaan lalu berdiri menghadap orang ramai seraya berkata, “Saya mencium pipi remaja itu bukan kerana kesihan padanya kerana sekejap lagi ia akan dipotong lehirnya tetapi aku mencium pipinya kerana kagum dengan perbuatannya yang dilakukan secara istiqamah.”
Perlakuan yang dilaksanakan secara istiqamah adalah satu budaya yang amat digalakkan kepada setiap individu. Disiplin istiqamah dalam melaksanakan pembangunan manusia menggun dang kejayaan yang mendapat keredhaan Allah S.W.T.. Setiap ibadah yang diaksanakan secara istiqamah pasti mendapat ganjaran setimpal dengan amalannya.
Istiqamah dalam pendidikan wajar menjadi amalan bagi setiap individu sama ada di pihak guru mahupun di pihak pelajar. Guru memberi ilmu kepada murid dan murid menerima dengan kefahaman serta mengamalnya dalam bentuk penulisan untuk mengembangkan ilmu berkenaan Pengajaran yang bersistem akan membuahkan disiplin pembelajaran yang mudah difahami. Ia memudahkan para pelajar mengikuti perkembangan pelajaran jika guru persembahkan penga- jarannya secara istiqamah.
Jika disiplin pengajaran disampaikan mengikut urutan pemahaman yang memudahkan maka mataranti pembelajaran akan pasti memberi kemudahan dalam pemahaman pelajar mengenai agenda yang disampaikan. Jika kefahaman berlaku dalam mengikuti aktiviti pembela- jaran maka ia akan menggamit keseronokan pelajar untuk berpatisipasi dalam percambahan fikiran mengola perbincangan satu-satu isu pembelajaran.
Budaya istiqamah membentuk disiplin suka belajar. Apabila suasana suka belajar itu timbul maka sepertiga dari kejayaan pengajaran telah berlaku. Tetapi harus dijaga, dikukuhkan dan disuburkan suasana suka belajar itu dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokan. Membazir masa yang tidak ada manfaatnya wajar dielakkan dari diri anda. Pergunakan masa sebaik mungkin dengan setiasa sibuk dengan aktiviti yang mendatangkan kebaikan.
Amalan yang sedikit tetapi budayakan istiqamah membuahkan kejayaan. Menyediakan rancangan kerja seminggu lebih awal memberi peluang untuk membuat pembetulan di mana-mana wajar yang dilakukan. Kerja yang tersusun rapi dan mempunyai system mengundang keseronokan berkerja. Setiap amalan itu jika dilaksanakan sebagai routine (rutin)atau amalan harian akan memudahkan cara. Kerja yang berat jika dilaksanakan secara sedikit demi sedikit akan menjadi ringan.
Pelajar yang membudayakan belajar secara istiqamah akan menggunakan masa sepenuh nya dengan baik dan teratur. Kerja yang kecil dan senang jika dilakukan serta merta akan memudah cara tetapi jika kerja yang sedikit itu ditangguh sehingga ia menjadi banyak maka disitulah berlakunya masalah hendak mengbiriskannya.
Hendak seribu daya ta’ hendak seribu dalih. Belajar dengan cara bersungguh-sungguh dan berterusan akan membuahkan kejayaan. Tetapi jika alasan demi alasan yang mengawal budaya kerja pasti akan menemui kegagalan kerana kerja yang sedikit sudah menjadi banyak dan masa pun tidak mengizinkan lagi.
Penulis buku budayakan disiplin istiqamah dalam perlaksanaan kerja-kerja penulisannya. Setiap hari menjadi kemestian baginya untuk menyambung penulisannya walaupun mengambil masa hanya beberapa minit sahaja atau membuat ayat dua atau tiga sekali pun untuk menyambung pemikiran yang belum selesai itu. Amalan harian tersebut semestinya dilaksanakan mengikut peredaran masa. Hari ini semestinya tidak sama pada hari esok dan hari esok tentu sekali berbeza keadaanya berbanding masa lusa dan sebagainya.
Teknik melaksanakan ibadah dengan mengikuti budaya istiqamah sentiasa mengundang kejayaan kerana ia merengankan cara perlaksanaannya. Allah lebih suka kerja amal yang dilakukan secara istiqamah daripada budaya kerja yang bersungguh-sungguh tetapi mengguna kan semangat hangat-hangat tahi ayam. Kesungguhnya mendadak tetapi selepas itu menjadi sejuk dan tidak ada daya juangnya lagi.
Beristiqamah di dalam agama Allah tanpa merasa bosan dan jemu adalah sifat orang-orang plhan iaitu orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan memiliki akhlak yang luhur, bahkan nilai istiqamah dalam mengerjakan tuntutan agama itu lebih baik daripada banyak beribadah tetapi hanya sesekali sahaja.
Maka itu dapat kita faham orang-orang yang istiqamah ialah mereka yang selalu berada di atas landasan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan tidak melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan secara terus menerus walaupun terpaksa merintasi sifat-sifat malas, bosan dan sebagainya yang menghalang dirinya dari beristiqamah dengan sesuatu amalan yang baik.
Didikanlah hati anda untuk melaksanakan amalan yang baik secara istiqamah kerana dengan berbuat demikian akan mendekatkan anda kepada kesempurnaan hidup berdisiplin. Disiplinkan hidup anda kepada amalan-amalan yang bersifat mulia dengan sesama manusia lebih-lebih lagi hubungan anda dengan Allah S.W.T. dan laksanakan secara istiqamah kerana itulah menjadi bunga dalam taman jiwa anda sebagai manusia yang bertakwah.