Tuesday, August 10, 2010

HAKIKAT INSAN (Disiarkan pada 07. 08. 2010)

Perkataan insan ialah manusia iaitu makluk yang berakal. Atau dalam bahasa sainsnya ‘a thinking animal’. Hakikat adalah sesuatu yang sudah nyata dan tidak dapat dinafikan lagi. Sebagai contoh pada hakikatnya kemiskinan boleh memundurkan masyarakat. Hakikat manusia adalah sebenar ialah rohnya. Yang menjadikan manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya.
Menjadikan manusia mukalaf, merasa senang, dan susah dan yang ditanya di Akhirat nanti adalah rohnya. Mukalaf adalah orang yang telah akil baligh dan diwajibkan mematuhi perintah Allah, yakni hukum-hukum Islam. Orang yang telah cukup umur dan bertanggugjawab sepenuhnya ke atas segala perintah Allah sewaktu hidup di muka bumi ini.
Roh itulah yang kekal, sebab itu ia dikatakan ilmu hakikat. Apabila kita memahami bersungguh-sungguh ilmu rohani itu hingga kita berjaya membersihkan hati, lalu kita memiliki sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat terkeji itu tidak ada lagi menginap dalam hati nurani kita. Maka itu jadilah kita orang yang bertakwa. Mereka yang bertakwa akan sentiasa diberi bantuan oleh Allah di dunia dan di akhirat kerana hatinya bersih.
‘Ibadat-‘ibadat wajib dan’ibadat-‘ibadat sunat adalah merupakan makanan kepada rohani. Sekiranya dilaksanakan dengan sempurnanya, sehatlah rohani. Apabila rohani sehat, maka lebih hampirlah ia kepada Allah. Walaupun begitu rohani sama juga dengan jasmani iaitu memerlukan kebersihan dan kesuciannya. Untuk membersih rohani kenalah mengikut peraturan yang secucuk dengan sifat dan perilakunya.
Rohani yang suci bersih sahaja yang mendapat kasih-sayang Allah. Menyuci rohani ialah membersih dan menyuci nafsu rohani. Nafsu yang jahat yang kotor itulah yang hendak dibersihkan. Firman Allah yang bermaksud: “Demi jiwa(nafsu) serta penyempurnaannya(ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (nafsu) itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa (nafsu)itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” Surah Asy Syams: Ayat 7-10.
Apabila hati itu bersih segala amal ibadahnya diterima oleh Allah seperti puasanya, perjuangannya, wirid dan zikirnya, dan pengorbanannya. Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam, walaupun kedua-dua amalan lahir dan batin diperintahkan melaksanakannya tetap penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini bersesuaian dengan Hadis yang bermaksud:
“Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertakwa.”
Dua rakaat sembahyang seorang yang bertakwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hatinya masih kotor. Sembahyang hati yang bertakwa akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu boleh mencegah dirinya dari perbuatan kemungkaran dan kemaksiatan, lahir dan batin.
Setiap manusia dituntut mencari ilmu. Orang yang berilmu memahami hakikat dirinya. Kejahilan membawa martabat kemanusiaan ke jurang yang paling bawah sekali. Orang yang berilmu selalunya waras dan bertimbang rasa. Mempunyai ilmu yang luas wajar dalam pembangunan kehidupan. Luas ilmu bermakna manusia yang berpengetahuan dalam segala bidang sama ada ilmu akhirat, ilmu duniawi mahupun ilmu kerohanian.
Ilmu boleh menerokai alam metafizik dan dapat melihat dengan mata hati. Mata hati dapat melihat berbagai alam lebih luas lagi jika dibandingkan dengan mata kepala sendiri. Mata hati itu dapat melihat segala pengalaman yang telah kita lalui sejak kecil. Dengan kehadiran iman dalam diri mata hati boleh mentafsir keadaan alam rohani.
Anak yang lahir diperkenalkan Tuhannya dengan mengazankan ditelinganya bagi bayi lelaki dan dikamatkan bagi anak perempuan. Ini penting supaya ilmu yang pertama menginap dalam hatinya bersifat bersih dan bercahaya. Apabila ilmu yang bersih ada dalam hatinya (rohnya) maka setiap ilmu yang kotor yang akan alami dalam hidup seorang anak nanti, ia tidak akan terbuai dan terkeliru.
Oleh yang demikian dalam usaha mengilmukan pelajar di sekolah setiap individu wajar melalui penyucian hati. Hati itu adalah raja dalam diri manusia. Kalau ia baik maka baiklah seluruh kehidupan manusia dan jika hati itu rosak atau buruk maka rosaklah jentera perlaksanaan ibadahnya.
Perjuangan pelajar dalam menuntut ilmu sudah tentu memerlukan hati atau roh yang bersih yang sentiasa bertakwa kerana itu Allah menerima perjuangannya. Segala urusan menimba ilmu akan dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Harus kita faham hahawa segala amal ibadah yang kita laksanakan adalah tawakal semata-mata. Kejayaan atau produktivitinya adalah prirogatif Allah yang Maha Berkuasa.
Perjuangan seorang guru adalah memanusiakan insan kerana Allah. Membentuk pelajar agar menjadi insan yang mempunyai sifat-sifat mahmudah. Maka itu seorang guru wajar memiliki sifat-sifat mahmudah terlebih dahulu kerana apa yang guru ada dalam hati atau rohnya akan tertuang kepada pelajar yang mengikuti disiplin pengajarannya. Adalah amat sukar bagi seorang guru yang mempunyai sifat-sifat mazmumah untuk membentuk pelajar agar membangun dengan sifat-sifat mahmudah.
Sifat-sifat mahmudah atau sifat positif atau sifat yang baik, antaranya ialah jujur, ikhlas, rendah diri (tawadhuk), amanah, taubat, sangka baik, pemaaf, pemurah, syukur, zuhud, timbang rasa (tolak ansur), sabar, redha, berani, lapang dada, lemah lembut, kasih sayang, selalui ingat mati, tawakal, takut Allah, sukakan atau cintakan ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Sifat-sifat mazmumah, atau sifat negatif atau sifat-sifat yang keji, di antaranya riak, ujub, takabur atau sombong, hasad dengki, pemarah, dendam, bahkil, penakut, cinta dunia, gila pangkat, gila puji, jahat sangka, putus asa, tamak, tidak suka ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Keilmuan terhadap sifat-sifat mahmudah dan mazmumah ini sangat penting dikuasai oleh setiap individu kerana dengan adanya ilmu tersebut memudahkan seseorang itu mengenali hakikat dirinya iaitu kenal sungguh sifat-sifat batinnya. Mengenali sifat-sifat baik dan jahat itu pasti ada dalam diri seseorang maka tindakan seterusnya perlu dikuasi.
Sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) itu hendaklah kita terjemahkan dalam diri kita kerana sifat-sifat tersebut dikehendaki dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul serta digemari oleh manusia seluruhnya yang mana itulah bunga diri pada seseorang itu. Menterjemahkan sifat-sifat yang baik dan terpuji itu dalam amal ibadah kita akan menjadi dakhwah kepada orang lain untuk mencontohi. Apabila itu berlaku makan akan melahirkan ukhuwah kemanusiaan yang diikat dengan sifat kasih sayang.
Sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) pula hendaklah ditumpaskan, dikikis, dibuang, dihapus dan dicabut. Ini perlu dilakukan melalui proses (mujahadatun nafsi) melawan hawa nafsu. Yakni melalui latihan terus-menerus terhadap nafsu (riadatun nafsi). Wajib dicabut buang sifat-sifat keji ini kerana sifat-sifat ini sangat dibenci oleh Allah dan rasul serta dibenci oleh manusia seluruhnya.
Masyarakat pendidik mahupun pelajar dan keseluruhan masyarakat yang membentuk satu kerajaan wajar mengenali diri mereka (batin) iaitu sifat-sifat yang terpuji dan yang terkeji ada dalam diri mereka masing-masing serta membuat susulan tindakan yang perlu dilakukan kerana dengan cara demikian akan lahir kesejahteraan ummah yang mendukung cita-cita yang dihiasi dengan perasaan kasih sayang antara sesama.
Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Membersihkan hati adalah wajib kerana bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya. Jika hati yang kotor atau rosak maka rosaklah keseluruhan kehidupan manusia kerana segala amal ibadahnya dipimpin oleh hawa nafsu yang tidak kenal batasan kemanusiaannya.
Cara-cara memimpin hati ialah dengan mempelajari ilmu tentang hati atau roh, tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kedua perlu juga latihan-latihan praktikal melalui: mujahadatunnafsi, istiqamah, tafakur, bergaul dengan orang yang baik-baik dan pimpinan mursyid
Mujahadatun nafsi itu di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli – Mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji
3. Tajalli – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.
Ketiga-ketiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan melawan atau memerangi semua kehendak–kehendak hati yang jahat yang didorong oleh hawa nafsu (riadatunnafsi)
Takhalli - Peringkat ini kita mesti melawan dan membuang secara memaksa terus-menerus kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh secara terus menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.
Kejahatan hawa nafsu itu telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Allah telah berfirman yang bermaksud: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah Al-Jasiyah: 23).
Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya lagi. Bila iman tidak ada, ,manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Maka itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudahkan dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar.
Melawan nafsu sangatlah susah kerana ia dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus. Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.
Mengenali diri adalah satu perjuangan dan perjuangan itu adalah pengorbanan dan pengorbanan itu akan lahirlah pembangunan. Manusia yang membangun akan mendekati diri kepada Allah S.W.T. Pepatah mengatakan kenalilah dirimu sebelum mengenali Tuhan. Apabila kita mengenal Tuhan maka lahirlah ketakwaan dalam hati.
Apabila di dalam hati seseorang itu tidak ada Allah sedikit pun, maka budi pekertinya amat jahat sekali. Dalam hidupnya tidak ada pantang larang. Ia akan ikut sahaja apa sahaja arahan atau suruhan syaitan. Halal-haram sama sahaja baginya (minta Tuhan lindungkan). Inilah sejahat-jahat manusia di atas muka bumi. Lupa diri yang dijadikan oleh Allah, dan lupa kepada segala nikmat yang Allah kurniakan kepadanya. Ia lupa bahawa setiap saat dia meni’mati kurniaan Allah. Lupa ia yang ia tinggal di bumi Allah, memakan rezeki yang Allah beri, bernafas dengan nyawa yang Allah kurniakan. Amat banyak sekalilah jika hendak dihitungkan pemberian Allah kepada setiap insan.
Oleh itu walau di mana kita berada, ingatlah akan diri dan ingatlah Allah sentiasa. Ingatlah setiap amal ibadah kita kerana akan dibalas oleh Allah, kalau tidak di dunia, akan dibalasNya di akhirat kelak. Ingatlah, sedarlah, jadikanlah diri sebagai orang yang berbudi. Walaupun sebanyak mana kita ber’ibadat kepada Allah, budi Allah, kurnia Allah, jauh lebih besar, tidak dapat kita hendak membalas pemberian Allah kepada kita.

No comments:

Post a Comment