Saturday, July 14, 2012

ANTARA KEBAHAGIAN DUNIA DAN AKHIRAT MENGIKUT ISLAM

 (Disiarkan pada 14. 7. 2012)
Islam adalah agama Allah. Dialah menciptanya untuk hamba-Nya yang beiman dan bertakwa kepada-Nya. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah diamanahkan untuk menerima wahyu dari Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibril selama 21 tahun. Dokumen wahyu tersebut ialah al-Quran yang mengandungi firman Allah s.w.t. sebanyak 6,666 ayat sebagai satu pegangan serta panduan hidup masyarakat muslim untuk mencapai kesempurnaan hidup di alam dunia dan juga di alam akhirat nanti.
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “……..Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah  Ku cukupkan kepada mu ni’mat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagi mu.” (Al-Maaidah ayat 5 : 3)
Ayat ini diturukan pada hari Jumaat lepas asar bertepatan hari Arafah tahun 10 hijrah semasa Nabi  s.a.w. mengerjakan Haji Wada’ waktu wukuf di padang Arafah. Ketika itu Baginda sedang mengenderai untanya, hampir sahaja lutut untanya terperosok, lalu  unta itu pun terduduk kerana terlampau berat menerima turunya wahyu.
Manakala ayat ini diturunkan, Sayidina Umar telah menangis. Nabi s.a.w. bertanya mengapa ia menangis? Sayidina Umar menjelaskan bahawa sesuatu yang sudah sampai pada puncaknya, tidak  ada lagi jalan yang boleh dilalui, hanya jalan menurun. Dan jika agama Islam  semasa itu telah sempurna dilengkapkan Tuhan, bererti Rasulullah yang membawa agama itu tidak lama lagi akan berpisahlah dengan mereka yang ada, kerana  telah selesai tugasnya. Kerana itulah Sayidina Umar menangis bersedih hati.
Mulai dari turunnya ayat itu Rasulullah s.a.w. hanya hidup kira-kira 81 hari, lalu meninggal dunia pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.
Antara dunia dan akhirat mempunyai perbezaan yang amat ketara dalam segala segi pembangunan kehidupan. Antaranya ialah dunia berupa semantara manakala akhirat adalah kekal abadi. Dunia adalah tempat amal ibadat kerana Allah s.w.t. sebagai semaian pahala untuk bekalan hidup di akhirat nanti. Dunia juga merupakan tempat Allah s.w.t. menguji kepada setiap individu mukmin untuk melihat sejauh mana keteguhan iman dan takwanya kepada perintah dan larangan Allah s.w.t..
Baginda Rasul diutus sebagai Rasul ke dunia guna untuk memperbaiki akhlak dan amal-amal manusia berpandu kepada dokumen wahyu yang diterimanya dalam menangani kehidupan terutama sekali mengenai ukhuwah kemanusiaan yang diikat dengan perasaan kasih sayang demi melahirkan iman dan ketakwaan  kepada zat yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, Allah.
Kedatangan Islam ke alam kehidupan dunia telah membentuk manusia daripada dunia kejahilan kepada masyarakat yang mempunyai wawasan pembangunan  dunia dan akhirat. Islam membentuk manusia mengenali halal dan haram serta mempunyai visi dalam kehidupan sebagai makhluk Allah yang berpotensi serta mampu memegang amanah Allah sebagai pemamur alam kehidupan yang dikenali sebagai khalifah Allah s.w.t.
Kehidupan di alam dunia mempunyai wawasan yang setiap individu mukmin diwajibkan menjadi pemain yang proaktif demi memelihara kebajikan kedua-dua unsur manusia iaitu jasmani dan rohani. Jasmani adalah untuk kebajikan kehidupan dunia  manakala rohani adalah mengenai kebajikan atau pembangunan ahkirat iaitu destinasi mutlak setiap makhluk manusia kerana hidup ini adalah dari Allah dan kepada Allah juga kita kembali.
Kesempurnaan hidup dunia dan akhirat semestinya dengan iman dan takwa kepada Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tanpanya manusia sukar menjadi pemakmur alam kehidupan di alam dunia kerana segalanya adalah prerogatif Allah s.w.t. untuk mewujudkan segala sesuatu. Mendekati Allah s.w.t. menjadi agenda utama dalam segala muamala manusia di dunia kerana segala bentuk pembangunan adalah kekuasaan Allah s.w.t. untuk mewujudkan sebelum manusia mendapat kejayaan dalam segala hal aktiviti kehidupan.
Iman ertinya percaya. Jika perkataan iman itu disendirikan, termasuklah kepadanya segala amalan yang lahir atau batin,  ahli fikir Islam mengatakan: “Iman itu ialah perkataan dan perbuatan (qaulun wa’ amalun). Ertinya perkataan hati dan lidah dan perbuatan hati dan anggota!”
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Orang yang beriman itu adalah yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian itu tidak ada ragu-ragunya lagi, dan mereka berjihad dengan harta benda dan diri mereka sendiri pada jalan Allah.  Itulah orang-orang yang benar pengakuannya.” (Al-Hujarat: 15)
Kaum Mukmin yang benar-benar beriman itu hanyalah  mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:  Percaya kepada Allah dan Rasulnya; Tidak terdapat dalam hati mereka perasaan ragu-ragu dan syakwasangka; Tidak bergoncang imannya, bahkan tetap teguh di dalam satu keadaan; Berjihad, iaitu  berjuang  pada jalan Allah dan mencari keredhaan-Nya, dengan membelanjakan harta yang disayanginya dan mengorbankan nyawa yang dikasihinya.
                Firman Allah lagi  yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya orang yang mukmin  (yang sejati) itu ialah yang apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah bertambah-tambahlah iman mereka, dan bertawakal mereka kepada Tuhan. Iaitu orang-orang yang mendiri kan sembahyang dan mengadakan rezeki yang Kami berikan. Itulah mukmin yang sejati.” (Al-Anfal: 2,3 dan 4)
                Orang-orang yang dikatakan beriman hanyalah yang terhimpun pada diri mereka lima macam sifat:  Pertama, apabila disebut nama Allah, hati mereka penuh ketakutan, iaitu sentiasa berhati lembut dan lunak tidak  berani menentang kebesaran Allah, apalagi menderhaki-Nya sehingga setiap ia teringat ia gementar.
Kedua, apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya dari al-Quran nescaya bertambahlah keimanan mereka. Yang dikatakan keimanan itu ialah suatu kumpulan tiga serangkai, iaitu  mempercayai dengan hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota badan.
Ketiga: Mereka serahkan semua urusan mereka kepada Allah semata-mata tidak mengharapkan kepada yang lain. Kerana orang-orang yang yakin kepada janji dan ancaman-ancaman Allah, mereka pasti berserah kepada-Nya. Maka ketiga-tiga sifat  yang disebutkan di atas, iaitu hati penuh ketakutan, iman bertambah semasa mendengar bacaan ayat-ayat Quran dan berserah kepada Allah adalah merupakan amalan hati.
Keempat: Mereka tetap mengerjakan sembahyang. Iaitu menunaikannya tepat pada waktunya dengan cukup syarat rukunnya termasuk sunat-sunatnya yang dijiwai pula dengan rasa khusyuk dan tawadhu semasa merayu Tuhannya, memikir dan merenungkan ayat-ayat Quran yang dibacanya. Maka dengan demikian  dapatlah  dirasakan kelezatan dari hasil sembahyang yang mereka kerjakan, sehingga  sembahyang itu benar-benar menjadi penahan dan peghalang dari perbuatan keji dan yang mungkar.
Kelima: Mereka membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan. Seperti berzakat, memberi nafkah yang wajib atau sunat dan sebagainya kepada orang-orang yang ditanggungnya dan orang lain yang berhajat kepada bantuannya – dibelanjakan harta itu semata-mata ke arah mentaati Allah s.w.t.. Maka orang-orang yang disebutkan sifatnya tadi ialah orang-orang mukmin yang sebenarnya sebagaimana firman Allah “Itulah orang-orang Mukmin yang sejati”.
                Firman-Nya lagi yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah yang percaya pada Allah dan Rasul-Nya. Kalau ada mereka pada suatu pekerjaan bersama-sama tidaklah mereka pergi saja (meninggalkan majlis) sebelum meminta
izin kepadanya.” (An-Nur: 62).
                Iman dan amal merupakan landasan hidup yang membawa kemurnian dunia dan akhirat. Kekuatan iman  menjamin kehidupan manusia itu lebih sempurna dan terbela. Kenikmatan mempunyai keimanan kepada Allah s.w.t. akan mendorong kita lebih  bertawakal dan mensyukuri segala apa yang ada pada diri.
                Kesempurnaan hidup di dunia semestinya dengan takwa kepada Allah s.w.t.. Takwa adalah sifat ketaatan  mengerjakan perintah Allah. Bertakwa  adalah menaruh  perasaan takut, kasih, hormat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan) “Hai manusia sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (ibu dan bapa), dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat), dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa, sungguh Allah  Mengetahui lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujerat ayat 13.)
                Allah memberitahukan, bahawasanya sekalian manusia itu asalnya telah dijadikan daripada seorang lelaki, iaitu Nabi Adam(a.s.) dan seorang perempuan  iaitu Siti Hawa. Kemudian  dari kedua-duanya, Allah telah menjadikan  pula berbagai-bagai bangsa dan suku.
                Maka tiadalah seyogia manusia itu bermegah-megah antara satu sama lain, dengan menyombongkan keturunannya, kebangsawanannya atau pangkatnya. Janganlah menghina orang lain, atau mengejek-ejek, mencela, mentertawakan dan sebagainya. Sedangkan mereka semuanya berasal dari satu keturunan, walaupun  berlain-lainan bangsa, bahasa, warna kulit  dan bentuk roman mukanya. Apalah yang hendak dimegah-megahkan, walhal semuanya berasal dari air dan tanah.
                Manusia yang hidup di dunia ini sentiasa berlumba-lumba di antara satu dengan yang lain untuk mencari kemuliaan. Dalam hubungan ini, Ibnu Abbas (r.a.) ada mengatakan: Bahawa kemuliaan di dunia ialah kekayaan, sedangkan kemuliaan di akhirat pula ialah takwa (kebaktian kepada Allah s.w.t.)
                Setiap tahap pencapaian dalam hidup seseorang itu umat Islam harus mengucapkan syukur ke atas kejayaannya kerana segala-galanya  itu merupakan pemberian dari Allah s.w.t.. Manusia bertawakal dan berikhtiar, tetapi segala kejayaannya  Allah yang tentukan. Kejayaan yang diperolehi bukan mengubah seseorang itu untuk menjadi megah dan sombong tetapi haruslah dijadikan kejayaan itu  sebagai iktibar untuk membantu orang lain berbuat demikian.
                Tidak lengkap dan kukuh ketakwaan seseorang itu jika ia tidak menjauhi diri dari pekerjaan yang subahat yang membawa manusia ke lembah hina. Amalan-amalan hidup yang sentiasa memelihara kesucian Islam itu akan membawa manusia bertemankan iman. Iman merupakan benteng segala kekufuran dan kebathilan. Iman itu adalah jaminan Allah s.w.t. untuk memasuki SyurgaNya.
                Falsafah hidup sebagai pemain atau khalifah Allah s.w.t. dalam kelangsungan hidup di dunia demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak wajar berlandaskan satu muamala yang yang berbunyi: “Kalau kita menanam padi tanpa diundang rumput turut tumbuh subur. Tetapi kalau kita tanam rumput jangan mimpi padi akan turut tumbuh.”
                Maka itu pastikan agenda dalam pembangunan dunia wajar keutamaan diberi kepada kebajikan kerohanian (akhirat) kerana dunia akan dengan sendirinya turut terbela kebajikannya.

No comments:

Post a Comment