Saturday, July 28, 2012

ANTARA KESABARAN DAN KEIKHLASAN MENGIKUT PENGERTIAN ISLAM

(Disiarkan pada 28. 7. 2012)
Kesabaran dan keikhlasan  merupakan ibadat seseorang mukmin. Kehadiran kedua-dua feno- mena tersebut dalam kalbu manusia disebabkan adanya iman dalam hati yang memimpinnya ke- arah membangunkan tamadun kehidupan. Paksi kesabaran berpaut kepada hati yang sihat. Begitu juga halnya keikhlasan, ia sukar wujud jika hati itu tidak bertemankan dengan iman.
                Keunggulan akhlak manusia berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain adalah disebab kan mempunyai hati yang sabar dan ikhlas kerana Allah s.w.t. Manusia dalam usaha memakmur kan alam kehidupan memerlukan kesabaran dan keikhlasan. Sabar itu besandarkan iman kepada Allah s.w.t. kerana orang yang sabar sahaja menjadi pemimpin yang berwibawa.
                Kesabaran dan keikhlasan menangani tamadun kehidupan wajar ada kerana keduanya merupakan peresai kepada kehendak  nafsu yang sentiasa mewarnai kepentingan diri yang ingin hidup seorang diri tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Orang yang sabar Allah sentiasa perkenankan urusan pembangunan kehidupan sepertimana yang diilhamkannya.
                Sabar adalah tetap hati dan tabah. Seorang yang telah mengabdikan dirinya untuk menyebarkan kebenaran di atas permukaan bumi, di tengah-tengah masyarakat manusia yang berbagai corak dan ragamnya itu, harus sabar, tetap hati dan tabah menghadapi segala macam halangan, rintangan, menghadapi segala tentangan dan permusuhan bahkan menghadapi setiap ancaman atau intimidasi dari pihak-pihak yang menentang kebenaran itu.
                Sabar itu ertinya bukan menyerah kalah terhadap musuh, tetapi tetap hati dan tabah menghadapi musuh sehingga kita mencapai kemenangan dan musuh-musuh itu dapat dikalahkan. Disebaliknya kalau seorang yang membela dan menyebarkan kebenaran itu lemah hati dan semangat, dengan sedikit  halangan dan rintangan sahaja sudah mundur ke belakang dan berhenti membela dan menyebarkan kebenaran itu, maka akhirnya kebenaran itu akan lenyap di permukaan bumi.
                Kehidupan manusia di permukaan  bumi jangan sampai merugikan, maka seluruh kehidupan kita  harus berisi empat perkara yang diterangkan dan surah Al-Ashr, iaitu iman, melakukan kebajikan, membela dan menyebarkan kebenaran, dan  sabar atau tetap hati dan tabah atas kebenaran itu.
                Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Keimanan itu ada dua bahagian, satu bahagian terleak dalam kesabaran dan sebahagian lagi terletak dalam perasaan syukur”. Sabar ialah tetap hati dan tabah menghadapi halangan dan rintangan menghadapi berbagai-bagai bahaya atau musibah. Sedang syukur ialah perasaan gembira dan terima kasih terhadap Allah bila menerima nikmat dan pemberian-pemberian-Nya. Jadi bila seorang hanya pandai bersyukur sahaja ketika menerima nikmat dan rahmat Allah, tetapi bila menghadapi bahaya-bahaya dan kesusahan tidak berhati sabar, maka orang itu baru memiliki seperdua keimanan. Ertinya belumlah dia beriman 100%.
                Ketahuilah saudara-saudara bahawa tidak semua orang yang kaya raya hidup berbahagia dan beruntung. Dan sebaliknya tidak pula semua orang yang hidup miskin dan melarat hidup celaka dan sengsara. Nikmat atau pemberian Allah yang terbesar, pemberian yang paling berharga bukan harta kekayaan, tetapi kesabaran. Orang yang sabar lebih bahagia dari orang yang kaya yang selalu gelisa, panik dan diresakan nafsu-nafsu. Kecuali orang yang kaya yang kekayaannya didapat secara halal, tidak bertentangan dengan rasa susila dan lain-lain.
                Firman Allah, surah Al-Baqarah 155 yang bemaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) akan mendatangkan sedikit cobaan kepada kamu yang merupakan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, maka gembirakanlah orang –orang yang sabar.”
                Allah akan menguji umat Islam untuk membezakan antara mereka yang taat dengan mereka yang derhaka, dengan berbagau rupa ujian:
1.        Ketakutan; yakni takut kepada musuh. Erti takut di sini ialah menanti-nanti perkara yang dibenci yang menyebabkan penderitaan di dalam hati.
2.        Kelaparan; yakni kekurangan bahan-bahan makanan.
3.        Kekurangan pada harta, yakni kerugian di dalam perniagaan dan perusahaan.
4.        Kekurangan diri manusia; yakni berlaku banyak kematian.
5.        Kekurangan buah-buahan; musim kemarau yang menyebabkan kekurangan hasil pertanian.
Maka Allah akan memberi kegembiraan dengan menyediakan syurga kepada orang yang sabar
menerima cubaan tersebut di samping mendapat keampunan dan rahmat-Nya dan mereka itu mendapat petunjuk ke jalan yang benar. 
                Dunia ini penuh dengan rahmat dan nikmat Allah, juga penuh dengan berbagai malapetaka dan kesengsaraan. Ia begitu keadaan kerana dunia ini bukan surga, di mana hanya terdapat kebahagian, dan bukan pula neraka, di mana hanya terdapat kesengsaraan dan penderitaan melulu.
                Sudah menjadi kenyataan dalam hidup manusia di permukaan bumi ini bahawa seorang yang paling pintar, paling berkuasa sekalipun, tidak dapat menghindarkan dirinya dari penderitaan dan kesengsaraan itu. Kesengsaraan dan penderitaan mencerkam orang yang bodoh, lemah dan melarat, tetapi kadang-kadang juga menimpa diri orang yang pintar, kuat dan kaya raya juga.
                Maka itu kita yakin dan percaya, bahawa keadaan hidup dan kehidupan di dunia bukan ditentukan oleh manusia tetapi yang menentukannya yang lebih kuat, lebih pintar dan lebih berkuasa iaitu Allah s.w.t. Sebab itu kita yakin dan percaya kepada qudrat dan iradat dan percaya kepada qadha dan kadar Tuhan.
                Bagi umumnya manusia yang beriman dan percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa sudah dapat dimengertikan dan dipercayai sebaik-baiknya. Tetapi disamping itu ada hal yang kejadian yang sebahagian besar manusia amat sulit untuk difikirkan dan dipecahkan, iaitu kejadian kepada orang-orang suci, termasuk para Nabi dan Rasul dan orang suci lainnya, iaitu orang yang sudah nyata menjadi Utusan dan orang kepercayaan dan dicintai oleh Tuhan, mengalami nasib dan penderitaan yang lebih hebat dalam hidup dan kehidupan di dunia ini.
                Semua Nabi dan Rasul yang suci murni, semua para wali dan Perjuang ke arah kesucian, semuanya menderita dan penderitaan yang jauh lebih hebat dan sengsara kalau dibanding dengan orang yang kafir, jahat dan penuh  dengan noda dan dosa dalam hidupnya, orang yang nyata menentang ajaran Allah, tetapi mengalami keadaan yang amat senang dan bahagia dalam kehidupan mereka di dunia ini.
                Alangkah hebatnya penderitaan yang diderita Nabi Nuuh a.s. 950 tahun berdakwa menyebarka kebenaran Islam dan sentiasa di bawah  ancaman penghinaan dan sindiran halus dan kasar dari bangsanya yang sesat dan jahat. Tetapi kerana Nuuh tahu yang dia dalam kebenaran, sedang bangsanya jahat dan bodoh, maka Nuuh a.s. sanggup menghadapi segala ancaman dan hinaan itu. Inilah yang dinamakan kesabaran yang indah. Bagaimanapun hebatnya ancaman dan kesengsaraan, hanya terasa sebagai hiburan semata.
                Begitu jugalah perjuangan Nabi Ibrahim a.s.yang terbesar dan termulia. Nabi Ibrahimlah yang pertama membawa ajaran yang diajarkan oleh Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw. Seorang  Nabi Mulia yang oleh Tuhan diberi pangkat Khalilul Rahman, ertinya Teman Tuhan. Sekalipun begitu, nasib penderitaan yang dialami oleh Nabi Ibrahim tidak kalah
dengan penderitaan Nabi dan Rasul lainya.
                Beliau berhadapan dengan bangsa yang bodoh yang menyembah berhala. Kerana beliau tidak mahu menyembah berhala maka ia menghancurkan berhala yang menjadi sembahan manusia.  Akibat perbuatannya  maka  beliau dihukum mati dengan mencampakkannya di lautan api yang tebal. Keimanan yang memberikan kesabaran yang timbul dari keinsyafan atas kebenaran ajaran yang dibawanya dan keyakinan akan Tuhan yang mengutusnya.            
                Sesudah berpuluh-puluh tahun ingin untuk beroleh seorang anak, akhirnya di beri Tuhan seorang anak, tempat Ibrahim a.s. menumpahkan cinta kasihnya. Tiba-tiba Allah memerintah kannya untuk menyembelih anak yang tercinta itu. Itu pun dijalankan Nabi Ibrahim dengan patuh, dengan tak memikirkan akibatnya, hanya semata-mata kerana tahu bahawa itu adalah perintah Tuhan. Inilah satu macam kesabaran yang indah pula dan hasilnya bukan hilangnya si anak yang tercinta tetapi tak hilang dan anak tak ada apa-apa.
                Air mata kita pasti jatuh berlinang apabila kita mendengar bagaimana penderitaan yang diderita oleh Nabi Isa al-Masih a.s. dan Nabi Muhammad saw. Begitu juga penderitaan yang dialami oleh Nabi Yakob dan anaknya Nabi Yusof a.s. Semua penderitaan itu  bagi mereka tidaklah apa-apa sebab di alam batin mereka, mempunyai satu kekuatan yang jauh lebih hebat dari penderintaan yang mereka alami itu. Kekuatan itu adalah kesabaran yang indah.
                Menangani kesabaran manusia berpaut kepada rasa keikhlasan dalam hatinya. “Apakah ikhlas itu?” Ikhlas adalah jika seluruh perbuatanmu muncul kerana Allah semata, di dalam kalbumu tidak ada hasrat sedikitpun untuk berpaling kepada makhluk, ketika dan sesudah melakukan perbuatan tersebut.
                Perkerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas. Misalnya seorang bekerja kerana diupah, semata-mata kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya, atau  ia bekerja memburu harta dari pagi sampai petang, dengan tidak jemu-jemu, kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya.
                Pekerjaan memberi pertolongan, adalah baik, tetapi  belum tentu baik jika dasarnya tidak subur. Menolong fakir dan miskin kerana Allah, bukan kerana semata mengharapkan puji dan sanjung manusia. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata.
                Ikhlas tidak dapat dipisahkan dari siddiq (benar) tulus. Lurus dan benar niat dan sengaja, kerana Allah belaka, tidak mendustai diri dengan perkataan ‘kerana Allah’. Jika di dalam hati bersarang kerana puji, kerana mencari nama dan lain-lain. Orang yang mulutnya mengaku benar, tetapi hatinya berdusta, dia termasuk dalam golongan pendusta.
                Ikhlas itu tidak dipisahkan dengan jujur yang dalam bahasa halusnya ‘tulus’, sebab itu selalu orang berkata ‘tulus ikhlas’, dan ketulusan itu bukanlah dilidah sahaja, kerana lidah mudah berputar, mudah mungkir. Kerana lidah berkata atas kehendak hati. Yang penting ialah ketulusan hati.
                Ikhlas kepada Allah, hanya semata-mata percaya kepada-Nya. Ia tidak boleh dipersekutukan dengan yang lain, pada zat, sifat dan pada kekuasaan-Nya. Hadapkan kepada-Nya segala sifat-sifat kesempurnaan yang penuh, hindarkan daripada persangkaan sifat-sifat kekurangan. Taat mengikut perintah-Nya, jauhi segala larangan-Nya dan jangan derhaka kepada-Nya.
                Ikhlas kepada Rasulullah, mengakui dengan sesungguh risalahnya, percaya pada segala yang dibawanya, taat mengikuti yang diperintahnya, menjauhi segala yang dilarangnya, membelanya di waktu hidupnya dan terus sampai wafatnya. Memusuhi orang yang memusuhinya, membela orang yang membelanya, membesarkan haknya, dan memuliakan dia. Siarkan pengajarannya dan sampaikan serta luaskan syariatnya ke seluruh bumi. Nafikan segala
tuhmat (tuduhan) yang dihadapkan orang kepadanya dengan alasan yang cukup. Pegang teguh-
teguh ilmu yang ditinggalkannya. Kerana dia diutus ke dunia untuk menyempurnakan budi peketi danTuhan sendiri yang mengajarnya beradab.
                Demikianlah sekelumit risalah mengenai kesabaran dan keikhlasan hati manusia mengikut kefahaman Islam. Maka itu tanganilah kehidupan dengan kesabaran dan keikhlasan kerana Allah s.w.t.

Saturday, July 14, 2012

ANTARA KEBAHAGIAN DUNIA DAN AKHIRAT MENGIKUT ISLAM

 (Disiarkan pada 14. 7. 2012)
Islam adalah agama Allah. Dialah menciptanya untuk hamba-Nya yang beiman dan bertakwa kepada-Nya. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah diamanahkan untuk menerima wahyu dari Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibril selama 21 tahun. Dokumen wahyu tersebut ialah al-Quran yang mengandungi firman Allah s.w.t. sebanyak 6,666 ayat sebagai satu pegangan serta panduan hidup masyarakat muslim untuk mencapai kesempurnaan hidup di alam dunia dan juga di alam akhirat nanti.
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “……..Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah  Ku cukupkan kepada mu ni’mat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagi mu.” (Al-Maaidah ayat 5 : 3)
Ayat ini diturukan pada hari Jumaat lepas asar bertepatan hari Arafah tahun 10 hijrah semasa Nabi  s.a.w. mengerjakan Haji Wada’ waktu wukuf di padang Arafah. Ketika itu Baginda sedang mengenderai untanya, hampir sahaja lutut untanya terperosok, lalu  unta itu pun terduduk kerana terlampau berat menerima turunya wahyu.
Manakala ayat ini diturunkan, Sayidina Umar telah menangis. Nabi s.a.w. bertanya mengapa ia menangis? Sayidina Umar menjelaskan bahawa sesuatu yang sudah sampai pada puncaknya, tidak  ada lagi jalan yang boleh dilalui, hanya jalan menurun. Dan jika agama Islam  semasa itu telah sempurna dilengkapkan Tuhan, bererti Rasulullah yang membawa agama itu tidak lama lagi akan berpisahlah dengan mereka yang ada, kerana  telah selesai tugasnya. Kerana itulah Sayidina Umar menangis bersedih hati.
Mulai dari turunnya ayat itu Rasulullah s.a.w. hanya hidup kira-kira 81 hari, lalu meninggal dunia pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.
Antara dunia dan akhirat mempunyai perbezaan yang amat ketara dalam segala segi pembangunan kehidupan. Antaranya ialah dunia berupa semantara manakala akhirat adalah kekal abadi. Dunia adalah tempat amal ibadat kerana Allah s.w.t. sebagai semaian pahala untuk bekalan hidup di akhirat nanti. Dunia juga merupakan tempat Allah s.w.t. menguji kepada setiap individu mukmin untuk melihat sejauh mana keteguhan iman dan takwanya kepada perintah dan larangan Allah s.w.t..
Baginda Rasul diutus sebagai Rasul ke dunia guna untuk memperbaiki akhlak dan amal-amal manusia berpandu kepada dokumen wahyu yang diterimanya dalam menangani kehidupan terutama sekali mengenai ukhuwah kemanusiaan yang diikat dengan perasaan kasih sayang demi melahirkan iman dan ketakwaan  kepada zat yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, Allah.
Kedatangan Islam ke alam kehidupan dunia telah membentuk manusia daripada dunia kejahilan kepada masyarakat yang mempunyai wawasan pembangunan  dunia dan akhirat. Islam membentuk manusia mengenali halal dan haram serta mempunyai visi dalam kehidupan sebagai makhluk Allah yang berpotensi serta mampu memegang amanah Allah sebagai pemamur alam kehidupan yang dikenali sebagai khalifah Allah s.w.t.
Kehidupan di alam dunia mempunyai wawasan yang setiap individu mukmin diwajibkan menjadi pemain yang proaktif demi memelihara kebajikan kedua-dua unsur manusia iaitu jasmani dan rohani. Jasmani adalah untuk kebajikan kehidupan dunia  manakala rohani adalah mengenai kebajikan atau pembangunan ahkirat iaitu destinasi mutlak setiap makhluk manusia kerana hidup ini adalah dari Allah dan kepada Allah juga kita kembali.
Kesempurnaan hidup dunia dan akhirat semestinya dengan iman dan takwa kepada Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tanpanya manusia sukar menjadi pemakmur alam kehidupan di alam dunia kerana segalanya adalah prerogatif Allah s.w.t. untuk mewujudkan segala sesuatu. Mendekati Allah s.w.t. menjadi agenda utama dalam segala muamala manusia di dunia kerana segala bentuk pembangunan adalah kekuasaan Allah s.w.t. untuk mewujudkan sebelum manusia mendapat kejayaan dalam segala hal aktiviti kehidupan.
Iman ertinya percaya. Jika perkataan iman itu disendirikan, termasuklah kepadanya segala amalan yang lahir atau batin,  ahli fikir Islam mengatakan: “Iman itu ialah perkataan dan perbuatan (qaulun wa’ amalun). Ertinya perkataan hati dan lidah dan perbuatan hati dan anggota!”
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Orang yang beriman itu adalah yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian itu tidak ada ragu-ragunya lagi, dan mereka berjihad dengan harta benda dan diri mereka sendiri pada jalan Allah.  Itulah orang-orang yang benar pengakuannya.” (Al-Hujarat: 15)
Kaum Mukmin yang benar-benar beriman itu hanyalah  mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:  Percaya kepada Allah dan Rasulnya; Tidak terdapat dalam hati mereka perasaan ragu-ragu dan syakwasangka; Tidak bergoncang imannya, bahkan tetap teguh di dalam satu keadaan; Berjihad, iaitu  berjuang  pada jalan Allah dan mencari keredhaan-Nya, dengan membelanjakan harta yang disayanginya dan mengorbankan nyawa yang dikasihinya.
                Firman Allah lagi  yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya orang yang mukmin  (yang sejati) itu ialah yang apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah bertambah-tambahlah iman mereka, dan bertawakal mereka kepada Tuhan. Iaitu orang-orang yang mendiri kan sembahyang dan mengadakan rezeki yang Kami berikan. Itulah mukmin yang sejati.” (Al-Anfal: 2,3 dan 4)
                Orang-orang yang dikatakan beriman hanyalah yang terhimpun pada diri mereka lima macam sifat:  Pertama, apabila disebut nama Allah, hati mereka penuh ketakutan, iaitu sentiasa berhati lembut dan lunak tidak  berani menentang kebesaran Allah, apalagi menderhaki-Nya sehingga setiap ia teringat ia gementar.
Kedua, apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya dari al-Quran nescaya bertambahlah keimanan mereka. Yang dikatakan keimanan itu ialah suatu kumpulan tiga serangkai, iaitu  mempercayai dengan hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota badan.
Ketiga: Mereka serahkan semua urusan mereka kepada Allah semata-mata tidak mengharapkan kepada yang lain. Kerana orang-orang yang yakin kepada janji dan ancaman-ancaman Allah, mereka pasti berserah kepada-Nya. Maka ketiga-tiga sifat  yang disebutkan di atas, iaitu hati penuh ketakutan, iman bertambah semasa mendengar bacaan ayat-ayat Quran dan berserah kepada Allah adalah merupakan amalan hati.
Keempat: Mereka tetap mengerjakan sembahyang. Iaitu menunaikannya tepat pada waktunya dengan cukup syarat rukunnya termasuk sunat-sunatnya yang dijiwai pula dengan rasa khusyuk dan tawadhu semasa merayu Tuhannya, memikir dan merenungkan ayat-ayat Quran yang dibacanya. Maka dengan demikian  dapatlah  dirasakan kelezatan dari hasil sembahyang yang mereka kerjakan, sehingga  sembahyang itu benar-benar menjadi penahan dan peghalang dari perbuatan keji dan yang mungkar.
Kelima: Mereka membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan. Seperti berzakat, memberi nafkah yang wajib atau sunat dan sebagainya kepada orang-orang yang ditanggungnya dan orang lain yang berhajat kepada bantuannya – dibelanjakan harta itu semata-mata ke arah mentaati Allah s.w.t.. Maka orang-orang yang disebutkan sifatnya tadi ialah orang-orang mukmin yang sebenarnya sebagaimana firman Allah “Itulah orang-orang Mukmin yang sejati”.
                Firman-Nya lagi yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah yang percaya pada Allah dan Rasul-Nya. Kalau ada mereka pada suatu pekerjaan bersama-sama tidaklah mereka pergi saja (meninggalkan majlis) sebelum meminta
izin kepadanya.” (An-Nur: 62).
                Iman dan amal merupakan landasan hidup yang membawa kemurnian dunia dan akhirat. Kekuatan iman  menjamin kehidupan manusia itu lebih sempurna dan terbela. Kenikmatan mempunyai keimanan kepada Allah s.w.t. akan mendorong kita lebih  bertawakal dan mensyukuri segala apa yang ada pada diri.
                Kesempurnaan hidup di dunia semestinya dengan takwa kepada Allah s.w.t.. Takwa adalah sifat ketaatan  mengerjakan perintah Allah. Bertakwa  adalah menaruh  perasaan takut, kasih, hormat dan patuh kepada perintah Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan) “Hai manusia sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (ibu dan bapa), dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat), dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa, sungguh Allah  Mengetahui lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujerat ayat 13.)
                Allah memberitahukan, bahawasanya sekalian manusia itu asalnya telah dijadikan daripada seorang lelaki, iaitu Nabi Adam(a.s.) dan seorang perempuan  iaitu Siti Hawa. Kemudian  dari kedua-duanya, Allah telah menjadikan  pula berbagai-bagai bangsa dan suku.
                Maka tiadalah seyogia manusia itu bermegah-megah antara satu sama lain, dengan menyombongkan keturunannya, kebangsawanannya atau pangkatnya. Janganlah menghina orang lain, atau mengejek-ejek, mencela, mentertawakan dan sebagainya. Sedangkan mereka semuanya berasal dari satu keturunan, walaupun  berlain-lainan bangsa, bahasa, warna kulit  dan bentuk roman mukanya. Apalah yang hendak dimegah-megahkan, walhal semuanya berasal dari air dan tanah.
                Manusia yang hidup di dunia ini sentiasa berlumba-lumba di antara satu dengan yang lain untuk mencari kemuliaan. Dalam hubungan ini, Ibnu Abbas (r.a.) ada mengatakan: Bahawa kemuliaan di dunia ialah kekayaan, sedangkan kemuliaan di akhirat pula ialah takwa (kebaktian kepada Allah s.w.t.)
                Setiap tahap pencapaian dalam hidup seseorang itu umat Islam harus mengucapkan syukur ke atas kejayaannya kerana segala-galanya  itu merupakan pemberian dari Allah s.w.t.. Manusia bertawakal dan berikhtiar, tetapi segala kejayaannya  Allah yang tentukan. Kejayaan yang diperolehi bukan mengubah seseorang itu untuk menjadi megah dan sombong tetapi haruslah dijadikan kejayaan itu  sebagai iktibar untuk membantu orang lain berbuat demikian.
                Tidak lengkap dan kukuh ketakwaan seseorang itu jika ia tidak menjauhi diri dari pekerjaan yang subahat yang membawa manusia ke lembah hina. Amalan-amalan hidup yang sentiasa memelihara kesucian Islam itu akan membawa manusia bertemankan iman. Iman merupakan benteng segala kekufuran dan kebathilan. Iman itu adalah jaminan Allah s.w.t. untuk memasuki SyurgaNya.
                Falsafah hidup sebagai pemain atau khalifah Allah s.w.t. dalam kelangsungan hidup di dunia demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak wajar berlandaskan satu muamala yang yang berbunyi: “Kalau kita menanam padi tanpa diundang rumput turut tumbuh subur. Tetapi kalau kita tanam rumput jangan mimpi padi akan turut tumbuh.”
                Maka itu pastikan agenda dalam pembangunan dunia wajar keutamaan diberi kepada kebajikan kerohanian (akhirat) kerana dunia akan dengan sendirinya turut terbela kebajikannya.

Monday, July 9, 2012

IBADAT SOLAT KEMESTIAN DALAM HIDUP MASYARAKAT MUKMIN

                                                              (Disiarkan pada 7. 7. 2012)
Allah berfirman : “Tidaklah Aku(Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepadaku.” (Adz-Dzariat:56). Allah s.w.t mencipta jin dan manusia tidak ada guna yang lain, melainkan buat mengabdikan diri kepada Allah. Jika seorang telah mengakui beriman kepada Tuhan, tidaklah dia akan mahu jika hidupnya di dunia ini kosong sahaja . Dia tidak boleh menganggur. Selama nyawa dikandung badan, manusia harus ingat  bahawa tempoh nya tidak boleh  kosong  dari pengabdian. Seluruh hidup hendaklah dijadikan ibadat.  
Menurut riwayat dari Ibnu Abbas, erti  untuk ibadat, ialah mengakui diri adalah budak atau hamba dari Allah s.w.t., tinduk menurut  kemahuan Allah, baik secara sukarela atau secara terpaksa, namun kehendak Allah berlaku juga. Mahu tidak mahu diri pun hidup. Mahu tidak mahu kalau umur panjang mesti mati. Mahu tidak mahu jika datang ajal mesti mati. Ada manusia yang hendak melakukan di dalam hidup ini menurut kemahuannya, namun yang  berlaku ialah kemahuan Allah jua.      
Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berzakat kepada fakir miskin, adalah sebahagian kecil, sebagai pematri dari seluruh ibadat yang umum itu. Semuanya itu kita kerjakan kerana kita iman kepada Allah. Kita beramal saleh, untuk faedah sesama kita manusia. Tanpa mengerjakan ibadat-ibadat tersebut, tidak ada ertinya hidup kita yang terbatas di dalam dunia ini.
Mengadakan da’wah kepada Jalan Allah wajar diteruskan walaupun ada orang menuduh perbuatan kita itu digelar tukang sihir atau orang gila., namun da’wah yang baik akan diterima oleh orang yang beriman. Melakukan da’wah kepada jalan yang baik adalah tugas utama dalam hidup. Pada hal jin dan manusia diciptakan ke dunia ini adalah untuk mengabdikan diri, kalau tidak beribadat kepada Allah apalah erti hidup itu. Hidup kita di dunia mesti diisi sehingga setelah manusia mati sekali pun, namun Iman dan Amal salehnya masih hidup dan tetap hidup.
Sebagai contoh, mendirikan masjid atau surau untuk kemanfaatan orang lain melaksana kan ibadat mereka seperti mendirikan sembahyang secara berjemaah terutamanya setiap hari Jumaat; melaksanakan usrah atau ceramah agama dengan para jemaah; sembahyang sunat tarawih dalam bulan Ramadan dan sembahyang sunat-sunat yang lain seperti Hari Raya Idilfitri dan Aidil Adha adalah antara aktiviti ibadat yang melahirkan ukhuwah kemanusiaan kerana Allah s.w.t..
Menggunakan keilmuan kita untuk kemanfaatan orang lain juga adalah antara amal jariah yang digalakkan oleh Islam seperti menyebarkan dakwah melalui penulisan. Jasad kita sudah di kandung tanah tetapi amal kita masih diperlukan orang yang hidup dengan membaca buku-buku karya kita sendiri.
Mengilmukan anak kita dengan ilmu tauhid agar berguna kepada pembangunan masya- rakat berlandaskan ilmu keagamaan kelak mengekalkan nama baik kita terus hidup di dunia walaupun  jasad telah perpisah dengan roh. Hidup kita di alam barzakh kelak sentiasa menikmati kebahagian kerana ditemani dengan pahala yang Allah s.w.t. peruntukkan kepada amal-amal kita yang telah kita sumbangkan kepada kehidupan dunia. 
Menyembah kepada Allah s.w.t. merupakan tugas utama manusia dalam hidup. Dan jika kita tidak menyembah Allah tidak bermaksud Tuhan akan jatuh dari takhtah ketuhanan. “Tidaklah Aku menghendaki rezeki dari mereka”(pangkal ayat 57 surah Adz-Dzariat). Menun- jukkan bahawasanya Allah Ta’ala, Maha Kaya, Maha Sempurna, sehingga tidaklah Dia menghendaki rezeki apa-apa daripada kita makhluk-Nya ini. “Dan tidaklah Aku meminta mereka memberiKu makan.” (hujung ayat 57 surah yang sama). Maka bukanlah Tuhan yang memohon kan apa-apa dari kita, melainkan kitalah yang amat berkehendak kepada-Nya, Tuhan sekalian alam.
Tempat kita berlindung hanya Allah. Dan kita diciptakan adalah semata-mata untuk mengabdiankan  diri kepadaNya. “Sesungguhnya Allah, Dialah yang memberi rezeki.” (pangkal ayat 58 surah Adz-Dzariat). Dia yang memberi rezeki, maka itu tidaklah patut manusia memohon rezeki itu kepada yang lain.
Misalnya padi yang tumbuh buat kita makan, tidaklah dia tumbuh di atas setumpuk bumi pun yang bukan kepunyaan Allah. Dan padi itu pun berkehendak kepada air. Air itu pun tidak akan ada kalau tidak ada hujan. Turun hujan  pun bukan kita yang mengatur, melainkan Tuhan juga. Jika lama hari tidak hujan, tanah pun kering, tanaman tidak akan tumbuh. Jika hujan itu terlalu lebat, dan sampai berhari-hari, maka timbullah genangan air, air bah, sehingga padi yang hampir masak habis terrendam dan rosak. Manusia tidak ada upaya buat menghambat kemalang-an yang disebabkan banjir, atau air bah itu. Sebab itu Allah itu adalah: “Yang empunyainya kekuatan yang teguh.”(Adz-Zariat 58).
Segala rezeki yang kita terima betul-betul kerana balas kasihan-Nya belaka, sesuai dengan munajat  yang diajarkan Rasulullah s.a.w. yang bererti: “Tidak ada yang dapat mengha- langi bagi apa yang Engkau halangi, tidak ada yang kuasa menolak bagi apa yang telah  Engkau tetapkan.”
Allah s.w.t. Berfirman yang bermaksud: “Maka sesungguhnya bagi orang-orang yang aniaya itu sudah ada kententuan azab sebagaimana ketentuan kawan-kawan mereka juga. Maka janganlah mereka minta kepadaku agar disegerakan. (Adz-Dzariat ayat 59)
Orang-orang kafir yang mendustakan para rasul itu ada pembahagian  seksa yang diuntuk kan bagi mereka sebagaimana pembahagian seksa yang telah  diuntukkan kepada kawan-kawan mereka yang telah dibinasakan oleh Allah dahulu seperti: kaum Nuh, kaum ‘Ad dan kaum Thamud. Tidak ada gunanya, kerana ia pasti menimpa mereka baik cepat mahupun lambat. 
Ibadat solat kemestian dalam hidup. Solat adalah kebajikan jasad dan rohani kita sebab Allah s.w.t. mewujudkan manusia hanya semata-mata mengabdikan diri kepada Tuhan. Allah s.w.t. berikan segala nikmat hidup kita tanpanya hidup ini tidak akan wujud. Kita menikmati segala rahmat dan nikmat  dalam hidup seperti mempunyai mata untuk melihat, mempunyai hati dan iman untuk melihat kekuasaan Allah s.w.t..
Kita dapat bernafas atas adanya organ paru-paru menyedut undara yang mempunyai oksijen kepunyaan Allah. Manusia dapat bernafas atas pergerakan paru-paru yang dipimpin oleh otak kepunyaan Allah s.w.t. dan ia juga menyalurkan darah yang membawa oksigen ke seluruh anggota badan atas pergerakan jantung.
Usus dapat menghadamkan makanan yang dimasukkan oleh anggota tangan melalui mulut kelak menukarkannya kepada energy untuk kemanfatan badan. Mikanisma penghadaman makanan oleh anggota badan yang terlibat adalah semuanya kepunyaan Allah atau Allah s.w.t. yang berkuasa terhadap aktiviti tersebut. Segala keperluan badan untuk hidup juga adalah kepunyaan Allah. Tidak ada dalam jasad manusia itu tidak kepunyaan Allah. Maka itu wajarkah kita mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.?        
Ibadat itu diawali atau dimulai dengan IMAN, Ia itu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah ini saja, sudah jadi dasar pertama dari hidup itu sendiri. Maka Iman yang telah tumbuh itu wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iaitu perbuatan yang baik. IMAN dan AMAL SALIH inilah pokok ibadat.
Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah s.w.t. nescaya kita pun percaya kepada Rasul-Nya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. Perintah-Nya kita kerjakan dan larangan-Nya kita hentikan. Kedua-duanya, perintah dan laranganNya jika kita patuhi merupakan ibadat kepada Allah s.w.t.
Dia Maha Kuasa memberi kita makan. Tetapi misalnya kita kaya-raya, lebih dari cukup sedia harta buat persediaan makanan, namun makanan itu tidak akan boleh dimasukkan ke dalam  rongga perut kita kalau misalnya kita sakit. Maka yang empunya kekuatan dan keteguhan atas diri kita itu jelaslah Tuhan jua adanya.
Maka tersebutlah dalam sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud: “Dari Abu Hurairah r.a. berkata dia: Berkata Rasul s.a.w., yakni bersabda Allah s.w.t.: “Wahai Anak Adam! Penuhilah hidupmu dengan beribadat kepadaKu, nescaya akan Aku penuhi dada engkau dengan kekayaan dan Aku tutup pintu fakir (miskin) dari engkau. Tetapi jika tidak engkau berbuat begitu nescaya dadamu engkau penuhi dengan  rasa bimbang dan tidaklah akan aku tutup pintu kemiskinan engkau.” (Riwayat al-Imam Ahmad, Termidzi dan Ibnu Majah)
Berdasar kepada Hadis ini dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawasanya kesetiaan beribadat kepada Tuhan  adalah menjadi kekayaan sejati bagi seorang mukmin. Kerana hati yang lapang dan fikiran yang tidak pernah merasa bimbang dan ragu akan pertolongan  Tuhan melebihi dari segala kekayaan hartabenda.
Sujud merupakan sesuatu amalan yang membantu melapangkan jiwa supaya bersih dan ini adalah salah satu  jalan ke syurga. Bagi maksud ini terdapat riwayat Imam Muslim daripada Abi Abdul Rahman bahawa Thauban (maula Rasulullah) berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu  berbanyak sujud, kamu tidak bersujud kepada Allah kecuali Allah mengangkat darjat kamu dengan sujud tersebut dan Allah membuang kesalahan kamu dengannya.”
Sujud yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam Hadith-hadith Baginda bukanlah semata-mata perbuatan yang kita sedia maklum tetapi sujud sebenarnya ialah perbuatan tersebut diiringi dengan satu pengertian yang mendalam dalam jiwa yang tertanam dalamnya kebesaran Allah s.w.t. dan keagungan-Nya, rahmat  dan kasih sayang-Nya yang membawanya tunduk secara mutlak kepada Allah Yang Gagah Perkasa. Keagungan Allah dan tunduk patuh secara mutlak kepada rahmat Allah, tersimpul dalam risalah Islam iaitu suruhan-suruhan dan larangan-Nya.
Justeru itulah risalah Islam, perkara-perkara wajib sama ada berupa suruhan mahupun larangan adalah rahmat  untuk sekalian alam. Firman Allah s.w.t. kepada rasul-Nya yang ber- maksud (terjemahan): “Dan tiadalah  Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya: 21 : 107).
Apabila sujud  ini merupakan ibarat  daripada ketundukan dan kepatuhan, maka ia merupakan ibadat iaitu  yang bermakna tunduk kepada  dan patuh kepada Allah s.w.t.. Itulah jalan ke syurga dan lebih daripada syurga iaitu ‘hampir kepada Allah s.w.t.. Firman Allah (terjemahan): “Ingatlah!  Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal saleh)! (Surah al-‘Alaq 96 : 19)
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud (terjemahan) “Sehampir-hampir hamba kepada Tuhan-Nya  ialah ketika ia sedang sujud.” 
Tingginya darjat sujud dapat dilihat apabila sembahyang itu sendiri disebut sebagai ‘sujud’. Solat al-Duh juga  dikenali sebagai Sujud-al-duh. Dengan itu Allah menyifatkan  orang yang membuktikan ketundukannya kepada Allah dan patuh  kepada perintah-Nya dengan berfirman, (terjemahan):“Sesungguhnya yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat ketera- ngan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka tidak bersikap
sombong takbur.” (Surah al-Sajdah 32:15)  
                Perintah sujud kepada Allah dipatuhi oleh satu kumpulan dan mereka menikmati keredhaan Allah. Sementara terdapat seorang yang enggan mematuhinya lalu Allah melimparkannya jauh daripada nikmat-Nya.