Saturday, April 16, 2016

PERUBAHAN MEMANTAPKAN PEMBANGUNAN

 (Disiarakan pada 16. 04. 2016)
Falsafah pembangunan semestinya berlandaskan kepada disiplin pengurusan ibadat yang sentiasa melahirkan perubahan mengikut faktor yang dimainkan oleh masa. Apa kejayaan pada hari ini semestinya ditingkatkan pada hari esok dan kejayaan pada hari esok wajar diperbaiki pada hari-hari berikutnya. Fenomena serupa ini merupakan jalan menuju ke arena kecemerlangan pembangunan dalam hidup sama ada di dunia ini atau di alam akhirat kelak.
Dengan pada itu juga mementingkan peningkatan amal ibadat untuk hidup pada masa-masa yang akan datang akan sentiasa mendapat keredaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an surah Al-Hasyr ayat 59 :18 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah s.w.t. dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah s.w.t., sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Setelah Allah menyebutkan sifat orang-orang munafik dan Yahudi dan menggambar kan keburukan perangai masing-masing serta menasihati orang-orang Mukmin dengan nasihat yang baik supaya tidak berkeadaan seperti orang-orang yang disebutkan itu, lalu Allah menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya mereka sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t., yakni takutkan Allah jangan sampai diseksa iaitu dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi tegahan-tegahan-Nya.
Dan hendaklah setiap hari memperhatikan apa yang hendak dibuatnya untuk hari esok. Yakni hendaklah beramal di dunia dengan amalan-amalan yang baik yang akan mendatangkan keuntungan di akhirat kelak. Kerana setiap amalan itu akan dipamirkan di hadapan Allah s.w.t. untuk diperkirakan dan diberi pembalasan. Semua manusia waktu itu  akan merasakan panik seperti orang yang mabuk sedangkan mereka bukanlah mabuk tetapi dalam ketakutan menyaksikan hari yang menggemparkan oleh kedatangan azab.
Hari esok yang dimaksudkan di sini ialah  hari akhirat atau kiamat, kerana terlalu cepat dan dekat kedatangannya, seolah-olahnya keesokan hari ia akan muncul. Ini dijelaskan oleh Allah pada ayat 16:77 surah an-Nahl yang bermaksud:
“.......Dan kecepatan kiamat itu hanyalah sekelip mata atau lebih cepat lagi.....”
Di antara perkara-perkara yang ghaib itu ialah adanya saat kiamat. Bagi Allah saat kiamat itu dapat didatangkan-Nya dalam tempoh yang secepat-cepatnya, iaitu dalam sekelip mata sahaja. Begitulah cepatnya saat kiamat itu didatangkan oleh Allah, malahan dapat diadakan-Nya lebih cepat lagi daripada sekelip mata. Kerana apabila Allah menghendaki sesuatu, cukuplah hanya dengan mengatakan “kun” (jadilah engkau), maka jadilah ia.
Kemodenan adalah perubahan sesuatu fenomena alam kehidupan. Zaman sains dan teknologi ini banyak melahirkan kemodenan atau memantapkan pembangunan. Pemikiran manusia sentiasa berlegar di ufuk kehidupannya hendak membuat sesuatu perubahan pada disiplin pembangunannya agar ia tidak statik atau membosankan akibat peredaran masa yang sentiasa bergerak.
Dalam hidup ini sentiasa tidak statik yang dimainkan oleh masa, maka setiap individu harus mengikuti peredaran masa untuk berpartisipasi dalam pemodenan kehidupan itu sendiri.  Dari kaca mata agama, pemodenan itu sebenar adalah peningkatan ibadat kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. telah bersumpah:
“Demi masa sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian.” (Al-Ashr: 1-3)
Ia bermaksud bahawa, manusia dianjurkan untuk bergerak memodenkan pembangunan diri atau dalam erti kata lain meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan peredaran masa. Falsafah dalam menuntut ilmu ialah: “Semakin saya tahu semakin saya tidak tahu.” Konotasi ini memberi satu gambaran kepada kita bahawa ilmu yang ada di alam kehidupan yang diham
parkan Allah s.w.t., ditamsilkan sebagai air lautan yang tidak bertepi itu. Air yang membashi
jari kita jika diculupkan ke dalam air laut umpama banyaknya ilmu yang kita telah perolehi. Maka itu semakin banyak ilmu kita perolehi kita dapati semakin banyak lagi ilmu yang belum dapat diterokai atau diketahui.
               Keseronokan  hidup haruslah dihiasi dengan amal ibadat yang kiblatnya adalah ketakwaan kepada Allah s.w.t. kerana hidup ini tidak bermakna  tanpa keredaan dari Allah s.w.t. yang Maha berkuasa, Penyayang dan Pengasih serta Maha Bijaksana.
               Setiap kejayaan dalam hidup merupakan pemodenan atau perubahan pada diri manusia itu sendiri. Kekuatan manusia untuk mencapai cita-citanya ialah hanya tawakal kepada Allah s.w.t.. Kejayaan yang diingininya dalam mentamadunkan kehidupan adalah ketentuan Allah s.w.t. seperti mana firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11.
“Allah tidak mengubah keadaan hidup sesuatu kaum jika kaum itu sendiri tidak mengubahnya.”
Oleh yang demikian setiap kejayaan dalam memodenkan atau membuat perubahan dalam hidup harus diiringi dengan rasa syukur kepada Allah kerana dialah membuat perbubahan itu lewat usaha tawakal kita sebagai hamba Allah s.w.t..
               Membuat pembaharuan atau memodenkan cara hidup kita sering disalahgunakan oleh manusia terutama sekali generasi remaja. Mereka menumpukan pemikiran mereka semata-mata kepada keseronokan dunia yang tidak mengundang kemanfaatan kepada diri mereka di mata Allah s.w.t. sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti.
               Membuat pembaharuan atau perubahan kepada cara berpakaian sebagai contoh, pihak lelaki merekabentukkan pakiannya terutama sekali bahagian seluar. Fesyen memakai seluar sentiasa berubah-ubah mengikut selerah sesetengan masyarakat. Satu masa ia memakai seluar dengan keadaan bahagian kakinya kecil serta ketat sehingga botol sahaja pun tidak bisa dimasukkan!
               Pada masa yang lain pula berubah kepada fesyen yang bertentangan dengan fesyen yang pertama. Potongan bahagia kaki seluarnya terlalu besar. Bukan hanya botol boleh masuk tetapi seekor monyet pun mudah memasukuinya. Keadaan demikian kita dapat saksikan di pihak lelaki; bagaimana pula di pihak perempuan?
               Fesyen kain baju pihak perempuan wajar diberi keutamaan kepada menutup aurat, seperti mana disarankan oleh agama Islam. Oleh sebab mementingkan keseronokan dunia dan tidak menghiraukan kuderat kewanitaannya maka saranan agama dipinggirkan. Fesyen bajunya seolah-olah membuat baju dengan kain yang tidak mencukupi. Apa yang kebiasaan kita saksikan ialah memakai baju seperti kita membungkus nangka  untuk mengelakkan ia di ganggu oleh serangga sebelum masak!
               Pembaharuan tentang menutup kepala masyarakat Islam wanita juga mengikuti fesyen moden yang tidak mengikut apa yang diwajibkan oleh Islam. Sepenggal daripada kepala ditutup manakala bahagian sepenggalnya rambutnya terburai ditiup angin. Ada individu lainnya memakai tudung dengan betul tetapi menutup badannya terdedah bentuk badannya terutama sekali bahagian dada, lebih-lebih lagi bahagian kaki jelas kelihatan bentuk badannya bagikan ia tidak berpakaian!
               Ada cara yang lebih sofistikated lagi untuk memodenkan atau membuat perubahan pada keadaan badan indivudu. Memakai anting-anting pada bahagian kuping telinga terutama sekali masyarakat wanita wajar tetapi memakai anting-anting lebih daripada satu agak melucukan sehingga anting-antingnya bergantungan dikupingnya. Begitu juga halnya kepada masyarakat remaja lelaki.
               Membuat pemodenan atau perubahan pada keadaan badan masyarakat perempuan mahupun lelaki berjalan seiring. Satu lagi yang lebih sofistikated yang kita saksikan ialah membuat tatu pada badannya sama ada lelaki  mahu pun perempuan. Ada yang membuat tatu pada bahagian lehir, kaki, lengan mahupun pada badanya, depan dan belakang. Dan ada juga
membuat tatu di atas kepalanya kursus kepada kepala yang tidak tumbuh rambutnya.
               Membuat perubahan atau pembaharuan pada keadaan badan biarlah bermanfaat pada kehidupan. Harus faham bahawa Allah s.w.t. membentuk manusia dalam keadaan yang amat sempurna dan jika amalan yang menokok tambah kecantikan ciptaan Allah s.w.t. maka pasti mengundang dosa yang besar.
Sesetengan wanita berkata bahawa menutup aurat adalah fesyen, dan hanya memen tingkan dunia untuk memaparkan kemolekan badannya yang amat mengiurkan syahwat para remaja yang memandangnya. Gejala-gejala sosial yang sering menghiasi muka depan di dada-dada akbar tempatan sentiasa laris di mana sahaja ia dijual akibat menyiarkan warta yang mengusik jiwa itu.
               Seperti mana firman Allah s.w.t. surah Al-Hadid ayat 57:20 yang bermaksud bahawa kehidupan dunia hanyalah berupa sandiwara dan lakunan belaka yang mengasikkan naluri setiap individu tidak kira masyarakat mukmin  atau musrikin. Masyarakat Islam terutama sekali harus sedar apa sepatutnya perjuangan kita dalam hidup mengikut al-Quran. Islam adalah agama manusia yang diturunkan Allah s.w.t. ke bumi ini yang menunjukkan cara hidup (ad-Din) yang diredai Allah s.w.t. .
               Kehidupan di dunia, manusia patut membuat perubahan kepada pembangunan yang
bersifat positif. Ingat setiap individu, ada dua malaikat menemani kita. Satunya ialah mencatat segala amal kebajikan yang kita lakukan dan yang kedua mencatat segala amal-amal yang tercela yang bertentangan dengan Islam sebagai ad-Din.
Setiap kita harus memahami bahawa kehidupan dunia merupakan sementara sahaja dengan segala keseronokan  hidup yang menyemarakkan nafsu syahwat manusia. Berteman lah kepada malaikat yang membimbing kita dalam hidup dan jangan bertemankan iblis dan syaitan kerana mereka sudah mendapat kebenaran dari Allah s.w.t. untuk memesongkan kita dari cara hidup yang akan menjanjikan kebahagian di akhirat.
Membuat perubahan dalam hidup sebenar adalah perancangan untuk hidup di akhirat. Kebanyakan ahli mufassirin (ahli tafsir) mentafsirkan “hari esok” dengan “akhirat” seperti mana yang dijelaskan oleh Abdullah Yusof Ali “Hereafter.” (Dalam The Holy Quran 1527). Termasuklah kata ini sabda baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Bacalah perhitungan ke atas dirimu sebelum kamu dihitung (di akhirat)”
Begitu juga ucapan Saidina Omar bin Al-Khatab: “Buatlah perhitungan terhadap dirimu tentang amal yang kamu kerjakan dan lakukanlah nilai (timbangan) sebelum kamu dinilai nanti (di akhirat).” Kedua-dua perancangan ini hendaklah dilakukan oleh setiap muslim iaitu perancangan hidup di dunia dan perancangan untuk hidup di akhirat.
Berdasarkan kenyataan di atas jelaslah kepada kita bahawa hidup di dunia ini manusia sentiasa diuji dan dicuba, makin besar pangkat dan lebih besar darjat kian besar pula ujian yang terpaksa ditumpuinya. Ini kerana Tuhan ingin meyakinkan amalan seseorang dan kebenaran tauhid kepadanya sejak dari kecil hingga sampai akhir hayat adalah penuh dengan percubaan.
Kita seharusnya menghadapi alunan hidup yang bergelombang ini dengan perlahan-lahan, program dan rencana-rencana tertentu agar hidup ini akan melahirkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. *
Dalam hidup ini kita hendaklah berniat bahawa kita adalah hamba Allah, dan Allah s.w.t. jadikan kita untuk beribadat kepadanya seperti firman-Nya  dalam surah Adz-Dzariyat ayat 51:56 yang bermaksud:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”
Maka itu tidak ada apa-apa di dalam hati kita kecuali hanya niat untuk beribadat kepada-Nya dan segala penyerahan diri yang telah kita serahkan kepada Allah s.w.t. seluruh hidup kita, mati kita, rezeki kita dan apa yang ada pada kita hanya kepada Allah s.w.t. sahaja
diserahkan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah An-An’aam ayat 6:162 yang bermaksud:
“Bahawa solatku, ibadatku, hidupku, matiku semuanya bagi Allah Tuhn semesta alam.”
Segala tindakan kita dalam membuat perubahan dalam hidup ini hendaklah berdasar kan kepada Al-Quran dan Hadith. Kita lakukan sesuatu atau kita tingalkannya adalah mengikut garis panduan Islam, iaitu mengikut arahan al-Quran dan Al-Hadith. Dengan demikian hati kita sentiasa mengingati Allah dengan tahmid, tahlil dan takbir, baik ketika keseorangan atau di tempat orang ramai, sama berada di tempat-tempat sunyi ataupun tempat terang, semuanya dalam  rangka zikrullah dan lahirlah pada peribadi kita amal soleh dan sifat-sifat terpuji dan mulia.
Ini selaras dengan saranan Rasululla s.a.w. supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. di mana sahaja kita berada, sekalipun dengan melatih kita supaya hati sentiasa ingat kepada Tuhan dan akan lahir pada perbuatannya sifat-sift orang yang bersyukur kepada Allah s.w.t.

*Mohd. Ali bin Abu Bakar: Liku-Liku Perjuangan Hidup Manusia - Al-Hidayah Publication Kuala Lumpur 2007. 

No comments:

Post a Comment