Thursday, January 28, 2010

HUBUNGAN GURU DENGAN MURID BAGAI BUNGA DENGAN SEEKOR LEBAH


Allah S.W.T. telah membentuk alam kehidupan sedemikian rupa untuk berlakunya suasana menang-menang antara kehidupan berbagai makluk Tuhan. Dalam erti kata lain kehidupan itu mempunyai mata rantai yang sentiasa mengharapkan keberadaan makluk lain untuk kelang- sungan hidup sesama sendiri. Ada makluk yang hidupnya ditentukan oleh kehadiran makluk lain. Dalam bahasa Inggerisnya mengatakan “live to eat.” Ia membawa maksud ia hidup dengan memakan haiwan lain seperti halnya seekor harimau, singa, ular dan sebagainya.

            Bagitulah juga falsafah kehidupan makluk manusia, di mana disiplin hubungan sesama manusia wajar dimurnikan demi kelangsungan hidup bertamadun. Kemurnian pembangunan kehidupan adalah disebabkan kehadiran orang lain yang membentuk wawasan kehidupan itu  sebagai ibadah. Setiap  amalan yang berbentuk kebajikan merupakan ibadah kerana Allah.

Setiap manusia mempunyai tahap-tahap tertentu yang diberikan Allah S.W.T. dalam usaha mengilmukan diri sebagai satu kekuatan peribadi untuk menelusuri teka-teki kehidupan. Seorang manusia tidak mampu menguasai segala ilmu yang Allah berikan kepada manusia untuk keperluan dalam memurnikan tamadun kehidupan.

            Nabi Musa a.s. pernah diuji oleh Allah, gara-gara merasa cukup dengan ilmunya atas alasan, telah berjaya menumbangkan kerajaan Firaun. Maka itu Allah perintahkan beliau untuk berjumpa dengan nabi Hijir dan menuntut ilmu daripadanya. Nabi Musa berjaya berjumpa dengan Nabi dan diperlawakan menjadi muridnya buat seketika dengan syarat Nabi Musa tidak dibenarkan menegur atau bertanya kepada Nabi Hijir apa yang dilakukannya nanti.

Setelah menyaksikan perbuatan Nabi Hijir itu tidak dapat difahami oleh Nabi Musa maka berlakulah perlanggaran syarat yang diberi padanya sebanyak tiga kali. Maka itu Nabi Hijir tidak membenarkan lagi kepada Nabi Musa meneruskan niatnya untuk menimba ilmu darinya. Bagitulah keadaan kehidupan manusia, jangan melahirkan kemegahan dalam diri jika ada sesuatu yang membolehkan anda merasa lebih menyerlah atau lebih mampu melaksanakan sesuatu disiplin kehidupan dari orang lain sebab ilmu itu tidak mampu dikuasai semuanya oleh seorang diri.   

            Hubungan guru dengan seorang murid bagikan hubungan seekor lebah dengan bunga-bunga yang mekar menghiasi alam sekeliling kehidupan. Mengapakah seekor lebah tertarik hendak hinggap di atas bunga yang sedang mekar? Seekor lebah memahami sekuntum bunga yang mekar dengan warnanya yang cerah bahawa kehadiran madu ada di situ. 

Lebah mempunyai misinya sebagai satu tanggungjawab dalam hidup seperti mendapatkan madu dari bunga untuk disimpan ke dalam sarangnya demi kegunaan makluk lain. Sekuntum bunga mempunyai warna-warni yang indah dan cantik serta menarik bagikan hidangan permadani yang menghiasi alam sekeliling. 

Mesej yang dihidangkan Allah kepada hambah-Nya dari sekuntum bunga ialah mendidik manusia bahawa sesuatu yang bersih dan indah itu wajar ada dalam kehidupan sebagai pemangkin jiwa menggamit perasaan kasih sayang antara sesama makluk demi kehadiran Allah dalam jiwa yang khusyuk dan tawadhu. Lebah diwujudkan oleh Allah di alam ini sebagai satu tamsil bagi manusia untuk melaksanakan ibadah dalam hidupnya bagi makluk lain kerana Allah.

            Allah S.W.T. telah berfirman kepada manusia untuk membaca memahami wahyu Illahi yang terucap iaitu al-Qur’an nul Karim dan juga memahami kewujudan alam yang tercipta oleh Allah. Alam yang dimaksudkan ialah seperti kewujudan berbagai jenis makluk sama ada yang bernyawa, yang tumbuh, atau yang tidak bernyawa atau tidak aktif. Allah wujudkan semua makluk tersebut dengan satu tujuan iaitu menjadi kemanfaatan kepada kehidupan makluk berbagai jenis termasuklah manusia.

            Seekor lebah diibaratkan sebagai guru dan sekuntum bunga ditamsilkan sebagai anak murid di sekolah. Kehadiran seekor lebah menjadi agen perubahan kepada sekuntum bunga. Makluk tersebut akan mewujudkan dua perkara kepada bunga berkenaan iaitu melakukan pendebungaan (pollination) dan kedua ialah melahirkan pensenyawaan (fertilization). Kedua-dua fenomen tersebut amat penting bagi sepohon pokok atau tanaman demi mengeluarkan buah untuk membiak dan juga untuk kegunaan makluk lain sebagai tambahan makanan.  

            Kehadiran guru di sekolah akan menjadi agen perubahan kepada seorang murid. Guru melaksanakan dua perkara iaitu mengilmukan manusia dan memanusiakan ilmu. Apabila dua fenomena ini berlaku kepada seorang insan maka ia menjadi agen pembangunan kepada umat manusia. Kehadiran ilmu pada manusia amat penting sebagai pemakmur alam kehidupannya.  

Walau bagaimanapun kehadiran ilmu semata tanpa dimurnikan dengan ilmu akidah (Islam) tidak melahirkan kemanafaatan kepada pembangunan ummah seutuhnya. Sebagai contoh, ramai orang mempunyai ilmu tidak tahu bagaimana menggunakannya sebaik mungkin. Manusia telah dipilih Allah sebagai khalifah di bumi-Nya ini untuk memkmurkan alam kehidupan maka itu fahamilah tanggunjawab anda sebagai pemain dalam kehidupan.

Memanusiakan ilmu bermakna mengenali tanggungjawab sebagai hambah Allah. Segala perlaksanaan tanggungjawab kebajikan merupakan ibadah kerana Allah. Ilmu yang dimanfaatkan demi kepentingan agama   dan bangsa melahirkan budaya amal jariah yang akan mensahkan kehadiran anda di hadapan Allah S.W.T.

Akibat kegagalan manusia memanfaatkan ilmu untuk kemakmuran kehidupan maka berlakulah budaya penyalahgunaan ilmu kelak memandunya ke arena kemaksiatan dan kekufu- ran. Hatinya tidak sehaluan dengan nafsunya dalam menelusuri kehidupan. Nafsu kekufuran lebih dominan atau lebih kuat daripada nafsu pembangunan. Semakin tinggi ilmunya semakin kuat nafsunya untuk menyelami agenda yang mementingkan dunia semata.

Hidup semestinya dihiasi dengan ilmu agama yang memandu manusia ke arah yang diredhai Allah S.W.T. Tanpa agama maka berlakulah budaya menghaiwankan akhlak manusia kelak membudayakan amalan yang menyungsangkan kemakmuran hidup bertamadun seperti perompakan, memperkosakan, pembunuhan dan penipuan. Peraturan yang digarisbawahkan oleh al-Qur’an tidak dijadikan sebagai cara hidup.

Manusia serupa ini hanya mampu membaca ilmu duniawi semata tetapi merasa asing dengan ilmu al-Qur’an serta gagal memahami ilmu yang tercipta oleh Allah S.W.T. seperti alam ini. Ilmu al-Qur’an atau ilmu wahyu menggarisbawahkan kehidupan yang conducive demi melahirkan kehidupan yang bertamadun.

Seperti juga halnya sekuntum bunga, ia banyak manfaat kepada keadaan alam di sekelilingnya. Warnanya sahaja menghidupkan suasana keadaan alam yang akan melahirkan kecantikan dan kebersihan dan menyegarkan pada mata memandang. Bunga itu sendiri mendapat manfaat dari mempunyai warna yang cerah dan cantik kerana dapat menarik bermacam jenis serangga untuk melawatinya dan menghisap madu kelak membantunya dalam proses pendebungaan.

            Apabila proses tersebut berlaku maka persenyawaan atau fertilization pada bunga berkenaan berlaku yang mengakibatkan kejadian buah yang menjadi aset pembangunan kepada manusia. Bukan itu sahaja tetapi buah itu boleh disemai menjadi pokok yang baru kelak menjadi kemanfaatan kepada kehidupan makluk Allah yang ada di alam ini.

            Seorang murid sekolah menerima ilmu dari gurunya yang akan membentuk manusia berakal dan berpengetahuan serta berwawasan. Orang yang berilmu lebih berguna kepada masyarakat berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Allah lebih suka hambah-Nya yang berakal dan berpengetahuan daripada manusia yang hanya menjadi penonton kepada pembangu- nan manusia sahaja.

            Dalam firman Allah yang pertama yang diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. ialah mengarah manusia supaya membaca. Mesej tersebut memberi kefahaman bahawa sebagai kahlifah di bumi Allah ini kehadiran ilmu menjadi kemestian kepada setiap insan. Dengan ilmu yang disulami dengan ilmu akidah, hidup itu lebih terarah dan bermanfaat kepada orang lain serta makluk-makluk yang hidup di alam ini.

            Profesion keguruan membawa banyak kemanfaatan kepada kehidupan. Sesiapa yang memilih pekerjaan sebagai guru handaklah bersedia membantu orang lain untuk mengilmukan dirinya agar menjadi pemain yang berwibawa dan berketerampilan. Tugas sebagai pendidik merupakan ibadah kerana Allah. Tidak ada dalam kehidupan ini yang tidak melalui pendidikan kecuali Baginda Rasul Nabi Muhamad s.a.w. yang mendapat didikan dari langit melalui Malaikat Jibril iaitu dari Zat  yang Maha Besar.

            Masyarakat jahiliah telah memboktikan kepada dunia bahawa kegagalan mengilmukan diri terutama sekali ilmu tauhid akan menyunsangkan pembangunan manusia sebagai hambah Allah. Perasaan kasih sayang antara sesama, sukar hidup dalam masyarakat jahiliah. Peraturan hidup mengikut undang-undang rimba. Siapa yang gagah maka dialah yang berkuasa.

            Hidup ini merupakan satu perjalanan jauh menuju ke alam akhirat di mana disediakan Allah kemakmuran di syurga  atau kesangsaraan di neraka jahanam. Manusia tidak wajar berpandukan kepada alasan tidak menjadi pemain yang berwibawa kerana Allah telah sediakan segala keperluan hidup termasuklah membekalkan akal kepada manusia.

            Ilmu, memanusiakan manusia yang dibekalkan oleh seorang guru di sekolah. Akhlak manusia dimurnikan dengan ajaran dan panduan agama (Islam) yang disediakan oleh Allah melalui seorang guru agama atau ustaz/ustazah. Memurnikan pembangunan manusia dapat diselenggarakan dengan kehadiran ilmu pengetahuan. Hubungan antara sesama insan dapat dihidupkan dengan kehadiran perasaan kasih sayang kelak melahirkan budaya ukhuwah kemanusiaan yang menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat. Dengan ilmu yang dimurnikan dengan kesucian beragama, hidup menjadi terarah. Oleh itu jadikanlah sebagai pemain yang lengkap dengan ilmu duniawi  dan ukrowi agar amalanmu sentiasa mendapat keredaan Allah S.W.T.   InsaAllah!

No comments:

Post a Comment