Monday, January 17, 2011

HIDUP BETAWAKAL MENURUT AJARAN ISLAM
(Disiarkan pada 15. 01. 2011)
Menurut Syaikh Muhammad Nawawi, tawakkal ialah percaya kepada Allah dan mengharapkan rezeki diri-Nya. Berusaha dan bertawakal merupakan amal ibadah yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. kepada hambah-hambah-Nya sebagai proses untuk memenuhi kehendak takwa. Penghasilannya adalah satu kejayaan atau kemenangan yang besifat rahmat Allah kelak akan menggamit keimanan yang akan membetulkan persepsi pembangunan manusia.
Berusaha melaksanakan sesuatu ibadah wajar ditemani dengan semangat tawakkal kerana segala penghasilan daripada ibadah berkenaan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.. Hidup ini adalah kerana Allah dan segala disiplin serta felosofi pembangunan kehidupan wajar di atas landasan ketakwaan kepada yang Maha Pencipta.
Dalam semua perlaksanaan ibadah jalan pemikiran itu adalah berkiblat kepada Allah yang mempunyai prerogatif terhadap keberhasilan setiap ibadah. Hidup ini adalah satu perjuangan dan perjuangan itu merupakan pengobanan. Berkorban kerana Allah untuk tujuan mendapatkan sesuatu penghasilan yang setimpal dengan kehendak naluri manusia sebenar adalah tawakkal.
Hidup bertawakkal membawa maksud untuk meneruskan hidup wajar berusaha dan usaha itu adalah tawakkal untuk mengharapkan redha Allah s.w.t.. Bertawakkal memerlukan kepekaan mengola pembangunan mengikut arus perkembangan tamadun kehidupan. Tidak ada alasan mengapa manusia tidak ada kemampuan membuat perubahan hidupnya kerana Allah telah bekalkan bermacam fitrah sebagai kekuatan untuk melahirkan pembangunan.
Hidup bertawakal adalah satu kemestian kepada setiap individu yang beriman untuk membuat perubahan pada kehidupan itu. Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Raa’d (13)11 yang bermaksud (terjemahan) “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan (apa yang ada pada bangsa) selagi mereka tidak mengubah keadaan (sesuatu) yang ada pada diri mereka sendiri.”
Setiap individu disarankan supaya membuat perubahan pada diri sendiri. Gunakan fitrah kemahiran berfikir bagaimana hendak mengubah keadaan hidup itu. Ilmu pengetahuan adalah zat yang wajar ada pada setiap individu kerana kehadirannya akan memudahkan seseorang itu membuat perubahan atau membuat pembangunan kehidupan.
Hidup ini tidak statik begitu juga keadaan infrastruktur pembangunan. Ia berubah mengikut perubahan masa. Setiap sesuatu itu akan menjadi lapuk akibat peredaran masa begitu cepat. Untuk menangani fenomena tersebut, manusia perlukan usaha atau tawakkal membuat perubahan agar hidup ini sesuai dengan tamadun yang dimainkan oleh masa.
Tawakkal adalah satu sifat yang terpuji, iaitu berserah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Apabila dalam kesusahan ia tidak bergantung kepada sebarang harapan kepada makluk. Tawakkal itu adalah sifat orang-orang yang beriman. Dalam keadaan cemas itu dia bertawakkal kepada Allah semoga terselamat dari bahaya.
Nabi Ayyub a.s. telah mengalami berbagai musibah temasuklah mengalami sakit selama 7 tahun sehingga kesemua isterinya meninggalkannya. Dalam masa kecemasan itu Nabi Ayyub tidak meminta tolong kepada makluk. Ia sentiasa bertawakkal kepada Allah semoga penyakitnya akan sembuh. Semasa dalam keadaan darurat pun Nabi Ayyub sentiasa melaksanakan ibadahnya kepada Allah.
Nabi Ayyub adalah seorang mukmin sejati, ahli ibadah yang tekun. Dari rezeki yang luas dan harta kekayaan yang diberikan oleh Allah kepadanya, ia mengenepikan sebahagian untuk menolong orang-orang yang memerlukan para fakir-miskin. Hari-harinya terisi penuh dengan ibadah, sujud kepada Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan kurnia yang diberikan kepada nya.
Malaikat mengakui kebenaran mengenai kekayaan Nabi Ayyub. Nabi Ayyub bergelim- pangan dalam kenikmatan duniawi, tenggelam dalam kekayaan yang tidak ternilai besarnya, mengepalai keluarga yang besar yang hidup rukun, damai dan berbakti kepada masyarakat.
Walaubagaimana pun Nabi Ayyub tidak tersilau matanya oleh kekayaan yang dimiliki dan tidak tergoyah imannya oleh kenikmatan duniawinya. Siang dan malam Ayyub berada di mihrabnya melakukan solat, sujud dan bersyukur kepada Allah atas segala pemberian-Nya. Mulutnya tidak berhenti menyebut nama Allah berzikir, berasbih dan bertahmid.
Iblis gagal dalam usahanya memujuk Ayyub membelakangi akdahnya. Telinga Ayyub pekak terhadap segala bisikannya dan fitnahnya dan hatinay yang sudah penuh dengan iman dan takwa tidak ada tempat lagi bagi bibit-bibit kesesatan yang ditaburkan oleh iblis. Cinta dan taatnya kepada Allah merupakan benteng yang ampuh terhadap serangan iblis dengan peluru kebohongan dan pemutar belitkan kebenaran yang semuanya mengalami kegagalan dan tidak mendapatkan sasaran pada diri Ayyub.
Walaubagamana pun iblis tidak putus asa. Ia meminta izin kepada Allah supaya ia memusnahkan segala kebesaran, kekayaan dan kemasyuran Nabi Ayyub. Allah inzinkan iblis, maka seluruh pembantu-pembantu iblis dikerahnya untuk melaksanakan tugas untuk menyesat kan Ayyub. Dengan berbagai cara gangguan akhirnya berhasillah sekawanan syaitan itu menghancur-luluhkan kekayaan Ayyub.
Mulai dengan haiwan-haiwan ternakan Ayyub yang bergelimpangan mati satu demi satu sampai habis sama sekali. Kemudian disusuli ladang-ladang dan kebun-kebun tanamannya yang rosak menjadi kering dan gedung-gedungnya yang terbakar habis dimakan api, sehingga dalam waktu yang singkat sekali Ayyub yang kaya-raya tiba-tiba menjadi orang papa kerana tidak memiliki selain hatinya yang penuh iman dan takwa serta jiwanya yang besar.
Kejatuhan Nabi Ayyub menjadi papa mendapat percakapan dari masyarakatnya bahawa ia tidak ikhklas dalam ibadahnya dan semua amal kebajikannya. Seorang lain memfitnahkan dengan mengatakan bahawa mungkin amal ibadah Ayyub tidak diterima oleh Tuhan, kerana ia tidak melakukkan itu dari hati yang bersih dan sifat riya’ dan ingin dipuji dan banyak lagi cerita-cerita orang tentang kejadian yang sangat menyedihkan itu.
Iblis yang menyerupai sebagai orang tua itu mengakhiri kata-kata hasutannya seraya memperhatikan wajah Ayyub
yang tetap tenang berseri-seri tidak menampakkan tanda-tanda kesedihan atau sesalan yang ingin ditimbulkan oleh iblis dengan kata-kata racunnya. Nabi Ayyub berkata kepada iblis: “Ketahuilah bahawa apa yang telah aku miliki berupa harta benda, gedung-gedung, tanah lading, dan haiwan ternakan serta lain-lainnya, semuanya itu adalah barang titipan Allah yang dimintanya kembali setelah aku cukup menikmatinya dan memanfaatkannya sepanjang masa atau ibarat barang pinjaman yang diminta kembali oleh pemiliknya jika saatnya telah tiba.”
“Maka segala syukur dan puji bagi Allah yang telah memberikan kurnia-Nya kepada ku dan mencabutnya kembali hari ini. Dia adalah Maha Kuasa dan mengurnia kekayaan dan kerajaan kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki dan mencabutnya pula dari siapa saja yang Dia suka. Dia adalah yang Maha Kuasa mengangkat darjat seseorang atau menurukannya menurut kehendak-Nya. Kami sebagai hambah-hambah makhluk-Nya yang lemah patut berserah diri kepada-Nya dan menerima segala qadha dan takdir-Nya yang kadang kala kami belum dapat mengerti dan menangkap hikmah yang terkandung dalam qadha dan takdir-Nya itu.”
Iblis segera meninggalkan rumah Ayyub dengan rasa kecewa bahawa racun hasutannya tidak termakan oleh hati hambah Allah yang bernama Ayyub itu. Walaubagaimana pun iblis tidak putus asa dia merencanakan melanjutkan usaha gangguan dan godaannya kepada Ayyub melalui penghancuran keluarganya yang sedang hidup harmoni, damai dan saling cinta-mencintai dan harga menghargai.
Iblis berjumpa kepada Tuhan dan memberi tahu bahawa Ayyub tidak termakan oleh hasutannya dan sedikitpun tidak goyah iman dan aqidahnya kepada-Mu meski pun ia sudah kehilangan semua kekayaannya dan kembali hidup papa dan miskin, kerana ia masih mempunyai putera-putera yang cekap yang dapat ia percahayai untuk mengembalikan semua yang hilang itu dan menjadi sandaran serta tumpuan hidupnya di hari tuanya.
Menurut dugaan iblis Ayyub tidak akan bertahan apabila ia kehilangan putera-puteranya yang cekap dan tanpan itu yang ia sangat cintai dan sayangai. Maka iblis meminta izin kepada Allah untuk mencuba kesabarannya dan keteguhan hatinya melalui godan yang akan iblis lakukan terhadap keluarganya dan putera-puteranya.
Allah meluluskan perminataan Iblis dan berfirman: “Aku mengizinkan engkau mencuba sekali lagi untuk menggoyahkan hati Ayyub yang penuh iman, tawakkal dan kesabaran itu dengan cara mu yang lain, namun ketahuilah bahawa engkau tidak akan berhasil mencapai tujuanmu melemahkan iman Ayub dan menipiskan kepercayaannya kepada Ku.”
Iblis bersama pembantu-pembantunya pergi ke gedung Ayyub yang penuh dengan segala kemewahan dan kemegahan lalu digoyangkanlah gedung itu hingga roboh berantakan dan menjatuhi dan menimbuni seluruh penghuninya. Iblis cepat-cepat mengkunjungi Ayyaub di rumahnya dan menyampaikan takziah atas kematian putera-puteranya.
Ayyub mendengar kahabar musibah menimpa putera-puteranya ia menangis seraya berkata: “Allahlah yang memberi dan Dia pulalah yang mengambil kembali. Segala puji bagi-Nya Tuhan yang Maha Pemberi dan Maha Pencabut.” Ayyub hanya menangis kehilangan putera-puteranya namun ia masih tetap dalam keadaan mental yang kuat dan sihat. Batinnya, jiwanya, iman dan kepercayaannya kepada Allah tidak tergoyah sama sekali.
Iblis masih belum berjaya mengoda Ayyub tetapi kali ini ia dan kawan-kawannya mencoba mengganggu kesihatan Ayyub dengan tujuan jika Ayyub jatuh sakit ibadahnya kepada Allah menjadi lumpuh. Iblis lalu memerintahkan kepada anak-buahnya agar menaburkan benih(kuman) penyakit ke dalam tubuh Ayyub.
Kuman-kuman yang ditaburkan itu segera membinasakan kesihatan Ayyub yang menjadi
ia menderita berbagai-bagai penyakit, demam, panas, batuk dan lain-lain lagi menyebabkan badanya makin lama makin kurus dan tenaganya makin lemah. Akhirnya ia dijauhi oleh orang-orang sekampungnya dan oleh kawan-kawan dekatnya kerana penyakit
Penyakit Ayyub semakin berat tetapi mulutnya tidak berhenti berzikir menyebut nama Allah. Iblis kemudian menghasut isteri Ayyub meminta Ayyub memohon supaya Allah melepas kannya dari keseksaan dan kesangsaraan hidup. Ayyub bertanya kepada isterinya berapa lamakah mereka hidup senang lenang dan bergembiran bersama putera-putera mereka? Isterinya menjawab lapan puluh tahun. Ayyub bertanya lagi berapa lamakan mereka hidup dalam penderitaan ini? “Tujuh tahun” jawab isteri.
Ayyub merasa malu memohon dari Allah membebaskan mereka dari kesengsaraan dan penderitaan yang mereka telah alami belum sepanjang masa kejayaan yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Ayub bersumpah akan menyebat isterinya seratus kali apabila Ayyub sembuh. Ayyub kemudian halau isterinya dari rumah tinggal Ayyub sendirian sahaja menderita penyakitnya.
Kemudian Ayyub berdoa: “Wahai Tuhanku, aku telah diganggu oleh syaitan dengan kepayahan dan kesusahan serta seksaan dan Engkaulah wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang”.
Allah menerima doa Nabi Ayyub yang telah mencapai puncak kesabaran dan keteguhan iman serta berhasil memenangkan perjuangannya melawan hasutan dan pujukan Iblis. Allah mewahyukan dan berfirman kepadanya: “Hentakkanlah kaki mu ke tanah. Dari situ air akan memancut dan dengan air itu engkau akan sembuh dari semua penyakitmu dan akan pulih kembali kesihatan dan kekuatan badanmu jika engkau gunakannya untuk minum dan mandimu.”
Dengan izin Allah setelah dilaksanakan petunjuk Illahi itu, sembuhlah segera Nabi Ayyub dari penyakitnya. Seolah-olah tidak pernah terasa olehnya. Ia kembali kelihatan lebih sihat dan lebih kuat daripada sebelum ia menderita.
Demikianlah satu kisah seorang hambah Allah yang sentiasa bertawakkal kepada Allah. Ia tidak mengharapkan kepada makluk. Permasalahan dalam hidup ia sentiasa bertawakkal kepada Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui dan amat Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment