Sunday, January 23, 2011

HIDUPKU, IBADAHKU DAN MATIKU HANYA KEPADA ALLAH
(Disiarkan pada 22. 01. 2011)
Hidupku, ibadahku dan matiku merupakan jaringan kehidupan yang setiap manusia mukmin menelusui dalam kehidupan sebagai hambah Allah. Perjalanan hidup itu harus dilihat dalam tiga perspektif di mana ketiga-tiganya mempunyai hubungan yang amat erat kepada Zat Yang Maha Pengasih, Penyayang dan Berkuasa terhadap segala-galanya sama ada di alam dunia mahupun di alam ghaib (akhirat).
Hidup mempunyai dua unsur iaitu jasmani sebagai benda yang nyata dan roh yang berupa ghaib yang tidak nyata. Allah membentuk jasad manusia dari tanah yang busuk dan ia menjadi hidup atas kehadiran roh Allah di dalamnya. Jasad tanpa roh dikategorikan sebagai bangkai dan tidak bertahan lama ia menjadi buruk dan busuk kelak akan kembali kepada asalnya tanah.
Allah hembuskan roh-Nya ke dalam jasad manusia apabila janin, iaitu hasil dari percantuman air mani seorang ibu dangan air mani si suami semasa hubungan kelamin, dalam rahim ibu genap usianya 120 hari maka jadilah manusia yang berperasaan. Maka hidup ini hanya kepada Allah kerana dialah yang menciptanya dan bukan kepada makluk Allah.
Untuk hidup memerlukan pembangunan berupa material mahu pun spiritual. Pembangu- nan material atau yang biasa dikenali sebagai pembangunan jasmani kita perlukan zat makanan yang membina cel-cel otak. Organ otak adalah central prosessing unit atau pusat pemprosesan unit. Organ-organ lain seperti hati, paru-paru, ginjal, ursus dan sebagainya adalah perajurit pelaksana dalam mengekalkan pembanguan kehidupan seorang insan.
Segala keperluan dalam badan untuk mengekalkan kehidupan adalah pregoratif Allah s.w.t.. Sebagai contoh, mengikut pengetahuan seorang doktor, Mohd. Alifuddin, satu molekul darah hanya mampu hidup dalam badan manusia selama lima belas hari sahaja, kemudian ia menjadi tidak aktif atau mati dan diganti dengan molekul yang baru.
Menukar ganti molekul tersebut, kepakaran sains belum mendapat jawapannya bagaimana ia berlaku dan fenomena mana yang bertanggungjawab mengenai kewujudan system berkenaan. Tetapi doktor yang mukmin memahaminya adalah kekuasaan Allah s.w.t.. Inilah teknologi Allah yang tidak dapat difahami serta diterokai oleh ilmu sains.
Pergerakan jantung mengepum darah ke seluruh anggota badan telah bermula sejak bayi berumur 120 hari dalam rahim ibu iaitu apabila roh Allah ditiupkan-Nya ke dalam janin berkenaan. Maka bermulalah hidup seorang manusia hinggalah ia lahir ke dunia dan menjadi pemain dalam kelangsungan pembangunan kehidupan di alam dunia sehingga ajal menjemput nyawa. Maka itu hidup itu hanyalah kepada Allah. Allah berhak menciptanya dan Allah juga bertanggungjawab membekalkan segala keperluan hidup berupa fitrah kepada seorang insan.
Manusia hidup dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:(terjemahan) “ Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada ku” Surah Az-Zaariyat (51) 56. Menyembah Allah sebagai zat yang amat berkuasa terhadap ciptaan-Nya melalui berbagai ibadah. Manusia dipertanggungjawabkan memegang dan memelihara amanah Allah iaitu melaksanakan kekhalifahannya di atas bumi ini.
Allah memberi tanggungjawab kepada manusia sebagai pemurni dalam kehidupan di muka bumi ini. Untuk melaksanakan amanah Allah s.w.t. Ia membekalkan fitrah kemahiran berfikir untuk memahami teka-teki kehidupan serta ranjau-ranjau dalam kehidupan. Melaksana kan amanah tidak semudah yang difikirkan. Ia memerlukan pengorbanan dan untuk kelangsung an hidup kita berjuang dengan sedaya upaya yang dapat dilaksanakan dengan menggunakan segala fitrah Allah s.w.t.
Amanah adalah satu tanggungjawab terhadap kelangsungan hidup di alam dunia ini.
Bermula dari dirinya sendiri, kemudian kepada keluarga dan seterusnya kepada masyarakat termasuklah makluk-makluk haiwan hinggalah kepada negeri dan negara yang bertamadun sebelum kepada tanggungjawab kepada pembanguan antarabagsa,
Tanggungjawab terhadap diri sendiri adalah yang amat berat sekali kerana segala liku-liku pembangunan alam kehidupan berpaksi kepada kesempurnaan pembentukan diri sebagai pemain yang berwibawa untuk mendukung visi dan misi pembangunan alam sejagat. Manusia, oleh Allah diberi amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Amanah ini telah diberi kepada makluk Allah yang lain seperti bumi, gunung, malaikat, langit dan sebagainya tetapi semuanya tidak sanggup menerimanya tetapi manusia sebagai makluk Allah yang mempunyai potensi intelek bersedia menjadi khalifah Allah di alam kehidupan ini.
Melaksanakan kekhalifahan di muka bumi ini wajar berlandaskan kepada kebaikan, kebajikan dan kesempurnaan hidup dan bukan melakukan amalan-amalan yang mengikuti telujuk hawa nafsu yang dipimpin oleh iblis laknatullah dan membelakangi panduan-panduan agama Islam sebagai agama Allah.
Makluk manusia oleh Allah dibekalkan dengan fitrah kemahiran berfikir serta kehadiran akal mengola ranjau-ranjau pembangunan. Dengan kepekaan akal serta kekuatan mental dapat mentafsir dan menterjemanya agenda pembangunan demi kemanfaatan hidup bertamadun. Menajamkan kemahiran berfikir manusia memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup termasuklah ilmu yang berkiblat kepada pembangunan rohani.
Ilmu wajar dalam landasan Allah redha atau tidak kerana untuk mengurus pembangunan jasmani wajar bermuara dari kesempurnaan pembangunan rohani. Sebagai analogi hidup, jika kita tanam padi tanpa diundang rumput rumpai turut sama tubuh subur! Tetapi jika kita tanam rumput jangan mimpi padi turut sama tumbuh.
Dalam erti kata yang lain, jika kita utamakan pembangunan rohani (agama) dengan sedirinya pembangunan jasmani akan terbela; tetapi jika kita utamakan pembanguan jasmani belum tentu pembangunan rohani turut sama membangunan. Sebagai contoh, kita lihat sahaja keadaan pembangunan manusia sejagat atau antarabangsa yang kita ketahui, mengutamakan pembangunan sains dan teknologi iaitu keblat pembangunannya adalah kesempurnaan hidup bersifat duniawi semata, tidak mendapat jaminan keselamatan daripada Allah s.w.t. mengenai arus pembangunan yang serba canggih itu.
Buminya sahaja pun seolah-olah sudah bosan menangani kerenah-kerenah manusia yang tidak memikirkan kebersihan alam kehidupan. Berlakunya amalan-amalan yang menyunsangkan kesempurnaan hidup seperti ajaran yang ditarbiahkan oleh agama Islam (wahyu Illah) iaitu al-Quannul Karim.
Bumi Allah yang bersih untuk tempat menabur benih-benih pembangunan, dicemari dan dikotori dengan kemaksiatan manusia seperti gadis-gadis hamil tanpa bapa yang sah; pembuangan bayi akibat melayani nafsu seks kehaiwanan; pembunuhan bermaharajarela di merata tempat tanpa segan silu dan mengenepikan undang-udang awam mahupun undang-undang agama yang dianggapkan sebagai bonika kehidupan semata.
Di merata tempat di pelusuk dunia tidak ada lagi yang sesuai untuk dihuni oleh masyarakat manusia terutama sekali mukmin; maka itu Allah datangkan musibahnya setimpal dengan olahan tangan manusia. Gempa bumi dan banjir yang dasyat meranap perkampungan penduduk dan beribu jiwa terkorban. Ada negara yang ditimpa kemarau berpanjangan mengakibatkan berlakunya hutan belantara dijilat api yang menjadikan industri pertanian seperti padang jarak padang tekukur yang mengalami kerugian berjuta-juta dollar Amerika.
Masyarakat dunia berlumba-lumba untuk meningkatkan kecanggihan sains dan teknologi
masing-masing. Negara-negara kaya tidak bersyukur terhadap kekayaanya malah meningkatkan kecanggihan persenjataannya dengan tujuan memusnahkan manusia dari negara miskin. Persau- daraan sejagat sudah menjadi bahan kelucuan bagi masyarakat membangun. Inilah akibat memen tingkan pembangunan dunia semata.
Keluarga masyarakat Islam terutama sekali masyarakat saudara baru pada keseluruhannya, tidak mempercayai pendidikan agama kepada anak-anak mereka maka menutup mata sebelah tidak menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah madrasa atau sekolah Agama Rakyat (SAR) walaupun sekolah tersebut berada di hadapan pintu rumah mereka.
Mereka yang mengucap dua kalimah shahadat kebanyakannya melalui perkahwinan dan tidak kurang pula mereka masuk Islam semata-mata mengambil jenamanya sahaja sama ada melalui keturunan keluarga Islam mahu pun mengambil kesempatan sebagai penyokong satu-satu institisi pembanguan politik semata.
Setiap ibadah dalam kelangsungan hidup makluk Allah terutama sekali manusia, kiblat perjuangannya adalah kerana Allah. Dialah yang berkuasa tehadap segalanya yang ada di alam kehidupan mahupun di alam nyata atau di alam ghaib. Prerogatif Allah s.w.t. terhadap segala keberhasilan ibadah tidak dapat dipertikaikan. Dialah yang berkuasa keberadaan segala-galanya yang bernama hidup mahupun makluk yang tidak hidup.
Maka itu setiap kali kita memulakan ibadah atau usaha untuk membuat perubahan dalam hidup wajar diserikan dengan ucapan “Bismillah”. Kita perlukan keizininya kerana ibadah yang dilaksnankan tanpa keizinan-Nya akan diporakporandakan oleh iblis yang sentiasa rasa cemburu terhadap penghasilan manusia dalam hidupnya. Mulut orang yang sentiasa dibasahi dengan kalimah Allah akan sentiasa mendapat perlundungan dari-Nya.
Setiap yang bernama hidup mesti mengalami mati. Walau panjang usia sekalipun ia akan memasuki pintu kematian juga. Nabi Adam a.s. bapa kepada semua manusia di alam dunia ini usianya mencerca dua ribu tahun tetapi ia menemui mati juga. Tiada yang kekal hanya Allah sahaja yang tidak ada permulaannya dan tidak ada penghujungnya.
Penutup kepada segala agenda di dunia yang dipertanggungkan oleh Allah s.w.t. adalah kematian. Setelah mengalami mati segala hubungan manusia dengan dunia sudah tidak ada lagi kecuali tiga perkara. Yang pertama ialah mempunyai anak yang saleh; kedua ialah ilmu yang dimanfaatkan semasa hidup di dunia dan ketiga ialah amal jariah.
Mempunyai anak yang saleh amalan seorang bapa dapat diteruskan oleh si anak maka masyarakat dunia masih mengingati keberadaan seorang bapa atas khidmat menyebarkan agama Islam kepada masyarakat yang dilaksanakan oleh seorang anak yang saleh. Ia menjadi contoh kepada masyarakat mukmin terutama sekali dan rakyat jelata keseluruhannya dengan ingatan dalam hati mahupun percakapan umum bahawa anak yang saleh itu adalah bekas didikan seorang ayah yang telah pulang ke rahmatullah. Nama si bapa masih berada di dunia walaupun ia sudah berada di alam barzakh.
Hubungan manusia yang sudah menjadi arwah dengan dunia masih ada melalui ilmu yang diamalnya semasa hidup di dunia. Seorang penulis buku yang sentiasa mendapat sambutan masyarakat umum tentang penulisannya tentu sekali namanya sentiasa segar dalam ingatan mereka yang masih hidup di dunia.
Sebagai contoh hasil penulisan seorang tokoh agama seperti Prof. Dr. HAMKA masih giat diperbanyakkan di pelusuk tanah air terutama sekali di Asian Tenggara untuk diperolehi oleh pelanggan yang setia mengikuti arus pemikiran beliau tentang perkembangan agama yang telah dibukukan oleh Allahyarham. Buku beliau yang bertajuk “TAFSIR AL-AZHAR” mempunyai 9 jilid yang mengandungi 30 juzu’ al-Quran ditulis dalam dua gaya bahasa iaitu
bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia adalah antara karya beliau yang amat bermanfaat diper- olehi oleh orang yang cintakan ilmu agama.
Perkara ke tiga yang masih memegang nama baik orang yang telah balik ke rahmatullah ialah amal jariah. Membina madrasa atau sekolah agama dan mendirikan surau atau mesjid semasa hidup di dunia adalah antara peninggalan yang mengekalkan ingatan masyarakat umum tentang nama baik Allahyarham.
Bangunan tersebut terutama sekali yang masih digunakan oleh masyarakat umum, nama orang yang membinanya akan sentiasa segar dalam ingatan para pengunjung atau jemaah yang menggunakan bangunan yang mulia itu. Maka itu rebutlah peluang tiga perkara yang mengekalkan keberadaan kita di alam dunia walaupun kita telah balik ke rahmatullah.
Allah mewujudkan hidup seseorang dan membekalkannya dengan segala fitrah pembangunan maka Allah juga yang berhak menarik balik apa yang dicipta-Nya. Maka itu hidup ku, ibadahku, dan matiku adalah kepada Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment