Friday, February 4, 2011

IMAN CERMINAN IBADAT KHYUSUK
(Disiarkan pada 29. 01. 2011)
Setiap manusia mukmin biasanya mengkategorkan dirinya sebagai beriman kepada Allah s.w.t. Walaupun pada hakikatnya ibadatnya kadang-kadang tidak menunjukkan kehadiran iman dalam dirinya. Dalam erti kata lain, ibadatnya tekun sekali tetapi amalan yang mengundang kedosaan juga berjalan lancar.
Satu contoh yang amat baik, seorang ahli keluarga yang lanjut usianya tinggal dalam satu perkampungan Islam, rajin betul mendirikan solat lima waktunya tetapi pada masa yang sama rajin juga mengambil bahagian dalam mencari nasib berlandaskan aktiviti perjudian empat ekor. Adalah tidak mustahil dalam melaksanakan solat lima waktunya, kalau orang lain mungkin merasa curiga bahawa doanya juga diisi dengan meminta Allah melimpahkan rezeki dari aktiviti empat ekor tersebut!
Lebih mengaibkan lagi ialah ia menggalakkan anak-anak kandungnya untuk turut sama mencari nasib dalam perjudian empat ekor tersebut. Untuk memelihara kefahaman mengenai amalan halal atau haram ia hanya percaya kepada dirinya sendiri sahaja. Nasihat dari orang lain tidak diindahkannya.
Di pehak lain pula imannya sentiasa menurun kerana ia menaruh dendam kesumat pada seorang yang paling dekat dengannya iaitu suaminya sendiri. Berdendam pada seseorang itu biarlah bertempat atau kalau boleh dilupai sahaja segala ranjau-ranjau kehidupan mereka berdua yang telah mereka alami pada masa yang lalu malah merasa syukur kerana ia masih hidup di bawah naungan seorang suami walaupun pada pemikirannya suami itu telah membuat hidupnya bagikan seorang hambah abdi.
Kasih sayang antara sesama terutama sekali dalam keluarga wajar dijadikan teras dalam membina keluarga bahagia. Kemurnian bermasyarakat bermula dari rumah tangga. Sebagai contoh yang amat baik, Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah menggunakan perkataan kasat kepada keluarganya walaupun kadang-kadang isterinya Siti ‘Aisah berbuat kesilapan tidak sengaja yang tidak menyenangkan kepada Baginda.
Pernah pada suatu hari isteri tersayang Baginda telah memasak lauk tersilap membubuh garam terlalu masin. Semasa Baginda makan Siti A’isyah bertanya kepada suami tersayang bagaimana rasa masakannya? Baginda menjawab sedap! Tetapi untuk merasakan sendiri masakannya Baginda menjemput Isteri makan bersama kerana secara kebetulan pada kali itu isteri tidak makan bersama Baginda seperti mana kelazimannya. Setelah Siti A’iysah merasa masakannya ia memohon maaf kepada suaminya kerana terlalu banyak garamnya, tetapi Baginda tidak marah malahan menerima masakan isteri sebagai lezat.
Pernah Baginda mendirikan sembahyang bersama sahabat; apabila beliau sujud anaknya yang yang kecil naik di belakangnya. Maka itu Baginda sujud lama membiarkan anaknya bermain dibelakangnya sehingga puas. Apabila turun barulah Baginda berdiri. Sahabat bertanya mengapa terlalu lama sujud? Baginda menjawab dia beri peluang kepada anaknya bermain di belakangnya sehingga puas.
Keunggulan manusia berbanding dengan makluk Allah yang lain adalah kehadiran iman pada diri setiap individu. Iman adalah pegangan teguh di hati seseorang akan adanya Allah dan mematuhi segala hukumnya. Ia merupakan ketetapan, dan kekuatan batin terhadap kehadiran Zat yang Maha Berkuasa terhadap segala-galannya sama ada di alam nyata mahu pun di alam ghaib. Iman itu berkeyakinan sepenuh-penuhnya terhadap Islam dan berpegang teguh kepada ajarannya.
Orang yang beriman sentiasa mempamirkan perwatakan yang unggul dan sempurna, sabar menangani masalah merasa syukur terhadap segala kejayaannya dalam hidup. Ia meyakini bahawa segala keadaan dalam hidup adalah kekuasaan Allah menentukannya. Ia memahami kebahagian dan kesengsaraan hidup merupakan ujian Allah s.w.t.
Amal-amal ibadatnya dilaksanakan sebagai tawakkal kepada Allah. Allah berhak memberi dan mengambil balik tentang pemberian itu apabila sampai masanya. Orang yang beriman sentiasa hidup bersifat qanaah iaitu sifat memadai apa yang ada tanpa tamak dan haloba. Misalan seorang pemimpin berkata kalau rakyat saya lapar, biarlah saya orang yang pertama merasa kelaparan; dan jika rakyat saya kenyang biarlah saya yang terakhir merasa kenyang.
Iman cerminan ibadat khyusuk membawa maksud kekhyusukan pada setiap amal ibadat sentiasa mencirminkan iman individu berkenaan yang mantap dan sentiasa bertambah. Dan itu wajar kerana ibadat yang dilaksanakan adalah berupa tawakkal kepada Allah s.w.t. Khyusuk dengan penuh tumpuan, serta sebulat hati dan bersungguh-sungguh. Pemikirannya tertumpu antara ibadatnya dengan Allah dan merasa tidak ada gangguan dalam perantaraannya.
Ibadat merupakan jambatan bagi manusia untuk mencapai kehidupan yang bahagia di akhirat kelak. Ibadat adalah matlamat utama Allah menjadikan manusia. Sebagaimana firman Allah Ta’ala, maksudnya: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk ber’ibadat kepada Ku.” Ibadat juga merupakan balasan terima kasih hamba terhadap PenciptaNya Allah.
Sebagai contoh, Siti ‘A’isyah menegur suaminya mengapa baginda beribadat di waktu malam begitu sekali sehingga bengkak kakinya dengan berkata “Bukankah segala kesalahan engkau telah diampunkan oleh Allah, baik kesalahan yang lalu mahupun yang akan datang jika ada.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam menjawab: “Aku tidak tahu adakah aku ini cukup bersyukur kepada Allah berbanding dengan ni’mat Allah yang Allah kurniakan kepadaku.”
Cuba periksa diri kita bagaimana pula. Sememangnya tidak terbalas ni’mat Allah terhadap kita. Namun begitu cukuplah kita sempurnakan apa yang difardhukan ke atas kita. Allah tidak memberati seseorang itu kecuali sekadar kemampuan dan ikhlasnya.
Ibadat terbahagi kepada dua bahagian, iaitu ‘ibadat yang fardhu ‘ain dan ‘ibadat yang fardu kifayah. ‘Ibadat fardhu ‘ain adalah menuntut ilmu, sembahyang, puasa, zakat, menunaikan Haji, berbuat baik kepada kedua ibubapa, lebih-lebih lagi semasa mereka sudah tua, berjihad, berda’wah, menjaga agama (Islam), menjaga diri dan ahli keluarga dari api neraka, dan lain-lain lagi.
‘Ibadat fardhu kifayah pula ialah mendirikan mesjid (ditempat yang wajib), mengurus mayat Islam, perkhidamatan perubatan, menyediakan peralatan perang, mengadakan kilang kain bagi menutup aurat dan sembahyang, mengusahakan pertanian untuk keperluan makanan umat Islam, mengadakan institusi pembelajaran untuk orang Islam khususnya mengenai ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, penda’wah bagi menjalankan tugas rasul terhadap kumpulan orang-orang bukan Islam dan lain-lain lagi.
Memantapkan iman perlu kehadiran ilmu. Setiap individu yang ‘aqil baliqh diwajibkan menuntut ‘ilmu. Ilmu yang pertama-tama diwajibkan ialah ‘ilmu mengenai ma’riftullah. Kemudian diikuti dengan ‘ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Islam menggalakkan umatnya supaya menuntut ‘ilmu sampai tua sehingga terdaya olehnya.
Tidak ada istilah tamat belajar dalam Islam. Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasalam menganjurkan supaya menuntut ‘ilmu yang bermanfaat dan menghindari ilmu yang tidak bermanfa’at sebagaimana hadith riwayat Ibnu Najah dan Jabir yang bermaksud: “kita berlindung dengan Allah dari ‘ilmu yang tidak bermanfa’at. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam yang diriwayatkan oleh ibnu Majah dari Anas yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib atas tiap-tiap muslim”.
Mengenai orang yang ber’ilmu pula, Allah Ta’ala befirman yang bermaksud: “…………..
diangkat oleh Allah orang-orang yang beriman daripada kamu dan orang-orang yang diberi ‘ilmu dengan beberapa darjat…” (Surah Al-Mujadala: Ayat 11)
Allah sangat-sangat suka kepada orang yang menuntut ‘ilmu. Mereka yang berada di majlis ‘ilmu mendapat pahala seperti sembahyang sunat lima ratus raka’at. Mereka yang dalam perjalanan menuntut ‘ilmu sekiranya mati, maka dihitung mati syahid. Dan banyak lagi riwayat-riwayat mengenai kelebihan menuntut ‘ilmu.
Ilmu adalah antara nilai yang tertinggi yang dibawa oleh Islam serta dibangunkan kehidupan manusia di atasnya sama ada kehidupan maknawi atau kebendaan, kehidupan Akhirat atau dunia, menjadikannya sebagai jalan keimanan dan peransang kepada amalan. Ilmu merupa kan kekuatan ibadat khuyusuk dan meneguhkan iman kepada Allah s.w.t. Dengan ilmu jiwa mendapat motivasi untuk melaksanakan ibadat khyusuk.
Al-Quran telah menjadikan orang-orang yang berilmu sebagai orang-orang yang bersaksi kepada Allah dengan ketauhidan bersama para malaikat. Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas perbezaan antara manusia. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu” (Surah al-Zumar: ayat 9).
Orang-orang yang berilmu adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah serta bertakwa kepadaNya. Maka itu mereka yang takut dan bertakwa kepada Allah adalah mereka yang beriman dan beramal soleh. Ibadat mereka sentiasa khyusuk dan tawadhu kerana hatinya dapat melihat keberadaan Allah di sisinya semasa beribadat. Maka itu iman merupakan cerminan ibadat khysuk setiap individu dalam melaksanakan amal-amal soleh.
Amal yang dikehendaki oleh Islam ialah “amal soleh”. Soleh merangkumi semua amal yang membawa kebaikan kepada agama dan dunia serta kepada individu dan masyarakat. Ia merangkumi ibadat dan muamalat, atau amal kehidupan dan kematian sepertimana yang diung- kapkan oleh para ulama Rahimahunullah.
Al-Quran telah menjelaskan bahawa Allah s.w.t. telah menciptakan langit dan bumi, kematian dan kehidupan serta menjadikan di atas bumi sebagai perhiasan kepadanya untuk matlamat yang jelas iaitu untuk Allah menguji manusia siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya, (al-Mulk:2) dan untuk Allah menguji manusia siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya, (A-Kafi:7).
Allah s.w.t. tidak mahukan amal-amal biasa atau sekadar amal baik dari manusia, sebaliknya Allah mahukan “amal yang terbaik” dari manusia. Persaingan antara manusia bukanlah antara amal jahat dan amal baik tetapi antara amal baik dengan amal yang terbaik.
Antara dorongan Rasulullah s.a.w. yang paling menarik dalam menjelaskan nilai amal ialah sebuah Hadith, yang mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Apabila berlakunya kiamat sedangkan ketika itu terdapat di tangan salah seorang kamu benih kurma, jika kamu berupaya menanamnya sebelum terjadinya kiamat maka tanamlah benih itu”.
Kenapakah ia perlu menanamnya sedangkan kiamat sudah hampir berlaku. Malah sesiapapun tidak akan dapat mengambil manfaat dari tanamannya itu?! Ini membuktikan bahawa amal itu sendiri adalah dituntut dan setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dan produktif sehingga sampai ke tetik terakhir kehidupannya. Amal adalah ibadat dan satu kerja yang mendekatkan diri kepada Allah, sama ada manusia dapat menikmati hasilnya atau pun tidak.
Amal merupakan ibadat dan iman adalah cerminan ibadat yang khyusuk. Kepentingan dalam beramal adalah iman yang membawa kepada kekhyusukan kelak melahirkan kemahiran berfikir yang mendekatkan kita kepada Allah untuk memohon keredhaan-Nya. Segala perlak- sanaan ibadat adalah merupakan tawakkal kepada Allah yang Maha pemberi dan Maha
mengasihani. Keredhaannya adalah rahmat pada kehidupan umat manusia. Maka itu jangan jemu beramal kerana manusia dihidupkan Allah untuk beramal dan beribadat kepadaNya.

No comments:

Post a Comment