Thursday, February 24, 2011

IMAN KEPADA ALLAH KESELAMATAN HIDUP MANUSIA DUNIA DAN AKHIRAT
((Disiarkan pada 26. 2. 2011)
Beriman kepada Allah adalah kemuncak kepada segala kepercayaan manusia. Beriman kepada Allah ialah percaya dengan sebenar-benar percaya yang Allah itu sebenar-benarnya ada, dan percaya bahawa di sebalik kejadian langit dan bumi ada Tuhan (yang berhak disembah) yang bernama Allah. Allah inilah yang mencipta langit dan bumi dan seluruh makluk, baik di langit dan di bumi. Allah jugalah yang mentadbir ‘alam dan semua makhluk, baik makhluk bernyawa atau makhluk tidak bernyawa. Makhluk di alam nyata atau makhluk di alam ghaib.
Makhluk bernyawa seperti manusia; haiwan berbagai jenis; segala kehidupan dalam laut; kuman berbagai jenis; tumbuh tumbuhan dan sebagainya. Makhluk yang tidak bernyawa seperti udara; air; minyak; gas; tanah; batu; logam berbagai jenis dan lain-lainnya. Makhluk-makhluk di alam ghaib seperti malaikat; iblis, syaitan; dan jin. Allah berkuasa mewujudnya serta mentadbir kesemuanya.
Allah itu Maha Esa, Maha Tunggal. Kuasa-Nya dan ‘ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. Kewujudan segala makhluk sama ada yang hidup mahupun yang tidak hidup adalah kekuasaan Allah. Tidak ada yang wujud dengan sendirinya. Makhluk-makhluk yang hidup dan yang tidak hidup yang ada di dunia seperti yang ada di perut bumi, dalam lautan, di muka bumi, di angkasa mahupun segala makhluk yang ada di alam ghaib adalah kekuasaan Allah s.w.t.
Ilmunya Allah meliputi segala sesuatu sama ada yang di alam nyata mahupun di alam ghaib. Jika air lautan dijadikan tinta untuk mencatit semua ilmunya Allah sehingga air lautan itu kering sekalipun tidak dapat habis mencatatnya. Dan jika digandakan banyaknya air laut itupun juga tidak dapat mencatat. Semuanya.
Kewujudan segala makluk tersebut adalah untuk kemanfaatan manusia serta makluk lain. Antara makhluk dengan makhluk yang lain Allah wujudkan supaya menjadi pembangunan kehidupan makhluk masing-masing. Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan hidup kerana ada baja di dalam tanah. Tumbuhan yang bermacam jenis itu menjadi makanan haiwan seperti kambing, sapi, dan sebagainya dan makluk haiwan itu menjadi makanan makhluk lain termasuklah manusia.
Di antara makhluk Tuhan itu, manusialah makhluk yang terindah, terbaik, dan paling sempurna. Maka itu kita membicarakan hubungan antara Tuhan dengan makhluk-Nya yang terindah, terbaik dan paling sempurna itu. Semenjak kejadian manusia dari setitik air mani kemudian sesudah empat puluh hari berubah menjadi segumpal darah; empat puluh hari kemudian berubah menjadi segumpal daging; lalu diberi kerangka tulang belulang dan urat syaraf; dan empat puluh kemudian dipompakan kepadanya roh, sehingga waktu itu kita berubah menjadi makhluk yang hidup.
Semenjak kita berupa setitik air mani sampai kita mati di dalam umur tujuh puluh atau lapan puluh atau lebih mengikut usia masing-masing yang ditentukan Allah, setiap detik dengan ta’ putusnya, kita selalu dihujani rahmat dan nikmat oleh Tuhan yang menciptakan dan menghidupkan. Tidak pernah satu detik masa sekalipun kita putus dari rahmat Tuhan itu. Tuhan berikan kepada mu segala rupa keperluan hidupmu.
Allah berfirman dalam al-Qur’an Surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud (terjemahan): “Sekiranya kamu cuba menghitung nikmat Allah, sungguh kamu tidak aka sanggup menghitung kerana terlalu banyak, tetapi sayang masih banyak manusia yang zalim, tidak pandai berterima kasih atas nikmat Allah itu”.
Allah bukan hanya mencipta kita, tetapi saban detik dari kehidupan kita Allah selalu menghubungi kita dengan bermacam rahmat dan nikmat. Allah ta’ pernah putus hubungannya
dengan kita.
Nikmat Tuhan yang berupakan bumi dengan segala isinya, matahari, bulan dan bintang dengan sinarannya, hawa,udara, air, buah-buahan yang menjadi kebuntuhan hidup yang amat penting, adalah sebahagian kecil dari rahmat Allah itu. Apa lagi nikmat berupa kaki, tangan, paru-paru, jantung dan semua bahagian dari badan kita, yang berupa mata, hidung, otak dan fikiran, jiwa atau roh yang menghidupkan kita, adalah nikmat yang tidak dapat dinilai dengan emas dan belian sekali pun berapa sahaja banyaknya.
Semua itu saban waktu dan ketika kita terima dan kita perolehi dari Allah yang menciptakannya, yang kita harus mengingatnya dan jangan dilupakan bagitu saja. Cobalah renungkan dan khayalkan agak sejenak, alangkah susah dan sengsara seorang manusia yang ta’ mempunyai kaki atau tangan. Kalau kita dapati satu orang manusia tidak diberi Tuhan kaki atau tangan, itu adalah sebagai contoh dan peringatan kepada semua manusia, agar manusia ingat selalu akan hebat dan pentingnya nikmat Tuhan yang bernama kaki dan tangan itu.
Tidak ada Tuhan disamping-Nya dan tidak ada sebarang kuasa di sisi-Nya melainkan kuasanya jua. Segala kuasa yang ada pada makhluk termasuk manusia, adalah anugerah-Nya belaka. Tidak ada suatu makhluk pun yang memiliki kuasa mutlak bagi dirinya. Segala-galanya tunduk dan patuh kepada kehendak Allah.
Dalam diri manusia ada bermacam organ dan setiap organ itu Allah tetapkan fungsinya dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh organ jantung mengepum darah ke seluruh anggota badan yang membawa oksigen dan berbagai jenis logam atau zat makanan sebagai zat pembangunan kehidupan manusia. Siapa yang menggerakkan jantung untuk melaksanakan tugas dalam badan? Kesemua mekanisme dalam badan manusia adalah kekuasaan Allah untuk menggerak dan menghidupkan untuk melaksanakan fungsi masing-masing..
Kekuasaan yang paling unggul Allah berikan kepada manusia ialah kehadiran roh-Nya dalam diri manusia. Kita tahu bahawa jasad yang tidak ada roh tidak wujud kehidupan. Jasad tanpa roh akan mati dan akan menjadi busuk lalu kembali menjadi tanah seperti asalnya. Guru agama mengatakan bahawa jarak antara mata yang hitam dengan yang putih, jauh lagi berbanding jauhnya Allah dengan kita. Kita berfikir untuk memahami sesuatu fenomena, Allah bekalkan kita dengan fitrah berfikir. Manusia dapat bertindak dengan menggunakan akal yang dibekalkan Allah kepada manusia.
Manusia diperingatkan supaya tidak memikirkan Dzat Allah. Tetapi manusia diwajibkan mengenal Allah dengan sebenar-benar kenal. Iman kepada Allah adalah mengenali kekuasaan-Nya. Allah adalah Tuhan semesta ‘alam. Tidak ada Tuhan selain Allah. Allah adalah tuan punya seluruh ‘alam. Allahlah yang memiliki seluruh ‘alam. Allahlah yang mentadbir seluruh ‘alam.
Setiap manusia wajar meningkatkan keyakinannya tentang Allah dengan merenung dan memikirkan ayat-ayat Al-Qur’an yang menerangkan tentang Allah seperti berikut:
“Dengan nama Allah Yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta ‘alam” – Surah Al-Fatiha ayat 1-2
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Katakanlah Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang sebanding Dia”. – Surah Al-Ikhlas: ayat 1 – 4.
“………sembahlah Allah , sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya”. Surah Al-a’raf ayat 59.
“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah menciptakan langit dan bumi dan makhluk melata yang ditebarkanNya keduanya dan Dia Maha Kuasa mengumpulkan semuanya
apabila dikehendakiNya”. Surah Asy-Syura ayat 29.
“ Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”. Surah Al-Baqarah ayat 163.
Dalam ayat Kursi Surah Al-Baqarah ayat 255 Allah Ta’ala menyatakan yang bermaksud (terjemahan): “Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhlukNya), tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang dilangit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ‘ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Tinggi dan Maha Besar.”
Beriman kepada Allah keselamatan hidup manusia di dunia dan di akhirat kerana Allah berkuasa segala segi di dunia mahupun di akhirat. Jika segala keperluan manusia masa hidup di dunia adalah pemberian Allah maka tidak ada sebab mengapa makluk manusia tidak beriman kepada Allah. Hidup di dunia adalah sebatas umur yang ditentukan oleh Allah dan akan beralih ke alam berikutnya iaitu alam barzakh dan seterusnya di alam akhirat.
Kebahagian hidup di dunia kita memerlukan pertolongan dari Allah s.w.t. Segala pertolonganNya manusia wajar bersyukur kerana tanpa pertolongan dariNya tidak ada apa yang manusia boleh buat untuk dirinya. Sebenarnya hidup ini hanya manusia meminjam dari Allah s.w.t. Persembahan kita mengolah agenda kehidupan adalah dari kekuasaan Allah. Kita memerlu kan berbagai keperluan dalam membangunkan kehidupan. Allah telah sediakan untuk manusia. Manusia hanya pelaksananya sahaja. Segala keberhasilan adalah kekuasaan dari Allah s.w.t. untuk memberinya
Dzat Allah adalah ghaib dari segala ghaib. Ianya ghaib dari fikiran manusia. Ghaib dari pandangan dan peglihatan manusia, ghaib dari pendengaran manusia, ghaib dari pancaindera manusia. Dzat Allah tidak dapat difikirkan oleh manusia bagaimana keadaanNya. Manusia tidak mempunyai daya sedikitpun untuk membayangkan tentang Dzat Allah.
Nabi Musa pernah dengan seikhlas hati meminta izin Allah kerana hendak melihat bentuk dan rupa Allah tetapi Allah hanya mempersembahkan kekuasaNya kepada Nabi Musa dengan mengarahnya melihat dari mulut goa di mana Nabi Musa berada untuk melihat ke hadapan. Dengan sekelip mata Nabi Musa melihat gunung yang berdiri tinggi di hadapannya menjadi cair. Melihat keadaan demikian Nabi Musa pun jatuh pengsan menyaksikannya.
Manusia buntu dan fikirannya kosong dari gambaran Dzat Allah. Maka wajarlah manusia mengeluh dan mengaku tidak tahu bagaimana Dzat Allah. Walaupun bagitu manusia diwajibkan mengenal Allah. Dan Allah memperkenalkan diriNya kepada manusia menerusi rasul-rasulNya.
Bagi umat di akhir zaman ini, termasuklah manusia, Allah mengutus Rasul akhir zaman iaitu Nabi Besar kita Nabi Muhammad shallallu ‘alaisallam dan menerangkan dengan sejelas-jelasnya sifat Allah sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi Shallallu ‘alaihi wasallam.
Untuk mengelak terjebak kepada fahaman yang salah dan sesat, maka setiap orang perlu kepada ilmu pengetahuan asas mengenai Dzat Allah. Saudara para pembaca Bicara Minda yang dikasihi, cuba buka minda saudara sekejap. Renung dan fikirlah sedalam-dalamnya akan satu ketika di mana seluruh ‘alam belum wujud lagi. Di mana manusia belum wujud lagi. Langit dan bumi belum dicipta oleh Allah. Bulan, bintang, malam dan siang belum wujud lagi, bahkan masa dan zaman belum wujud lagi. Ingatlah ketika itu hanya Allah sahaja yang wujud. Dzat Allah yang Maha Esa dan Maha Tunggal sahaja yang wujud ketika itu.
Beriman kepada Allah kita wajar mengetahui kekuasan Allah mewujudkan alam semesta dengan segala isinya. Sebagai makhluk Tuhan yang terindah antara makhluk ciptaan-Nya kita wajar memahami hubungan kita dengan Allah dengan segala nikmat dan rahmat-Nya. Tanggungjawab kita sebagai hambah Allah ialah melaksanakan apa yang diperintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ingat, menyekutukan Allah merupakan dosa yang paling besar dan sukar mendapat keampunan dari Allah s.w.t..

No comments:

Post a Comment