Thursday, March 3, 2011

BERIMANKAN RASUL-RASUL ALLAH WAJAR KEPADA ORANG ISLAM.
(Disiarkan pada 5. 3. 2011)
Beriman kepada rasul adalah Rukun Iman yang kedua pentingnya selepas berimankan Allah, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyampaikan kepada manusia akan segala ajaran Allah. Tanpa mempercayai rasul, maka seluruh pengajaran yang Allah hendak sampaikan akan terhalang. Tidak mempercayai rasul samalah tidak mempercayai Allah.
Agama Islam mendidik kita bahawa terlalu ramai nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan kepada manusia bermula dengan Nabi Adam ‘Alahissalam dan berakhir dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara nabi-nabi yang ramai itu terdapat (di dalam al-Qur’an) seramai 25 orang rasul sahaja dikehendaki mengetahui.
Dalam al-Qur’an surah An-Nahl ayat 36, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap seorang rasul. Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi thaghut…..”
Allah menerangkan bahawa setiap umat manusia, sebelum Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam Allah utuskan seorang rasul dan Allah tugaskan rasul-rasul itu supaya menyeru manusia menyembah Allah dan serentak dengan itu melarang manusia menyembah thaghut dan jangan mengikuti kehendak thaghut atau berhala dan apa sahaja yang menyesatkan.
Dalam surah An-Nisa’, ayat 150 dan 151, Allah Ta’ala berfirman: “Dan sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan rasulNya dan orang-orang yang hendak membeza-bezakan (iman mereka) di antara Allah dan rasul-rasulNya, dan orang-orang yang berkata: Kami beriman kepada setengah rasul-rasul dan Kami kufur (ingkar) kepada setengah nya yang lain, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain (iman dan kufur) itu: Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami pula telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu ‘azab seksa yang amat menghinakan.”
Kedua-dua ayat 150 an 151 ini ditujukan kepada orang-orang yang kufur kepada Allah dan kepada utusan-utusanNya, iaitu orang-orang Yahudi yang telah percaya kepada Nabi Musa dan kitab Taurat, tetapi telah kufur atau ingkar untuk mempercayai Nabi Isa dan kitab Injil, begitu pula ingkar untuk mempercayai Nabi Muhammad (s.a.w.) dan kitab Qur’an.
Setengah kaul mengatakan: Bahawa ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi dan juga orang-orang Nasrani, yang mana orang-orang Yahudi itu percaya kepada Nabi Musa tetapi ingkar kepada Nabi Isa dan Nabi Muhammad (s.a.w.). Sedang orang-orang Nasrani pula percaya kepada Nabi Isa tetapi ingkar kepada Nabi Muhammad dan nabi-nabi yang lain.
Allah menyatakan: bahawa mereka itu hendak membeza-bezakan antara Allah dan rasul-rasul-Nya dan mereka mengatakan : “Kami percaya kepada sebahagian rasul dan tidak percaya kepada sebahagian yang lain.” Perbuatan tersebut menyebabkan iman mereka tidak sah dan tidak diterima oleh Allah, kerana iman mereka tidak penuh, setengan kufur dan setengah iman. Perbuatan mereka mengambil jalan tengah yang seperti ini, Allah sifatkan bahawa mereka itu adalah “orang-orang yang kafir yang sebenarnya.” Orang-orang yang kafir itu akan disediakan oleh Allah seksa yang mendatangkan kehinaan kepada mereka.
Rasul-rasul ialah pembawa risalah atau syari’at dari Allah kepada manusia. Rasul-rasul mengajar manusia perkara-perkara yang diperlukan oleh manusia sesuai dengan zamannya masing-masing. Nabi Musa Alaihissalam mengajar umatnya sesuatu dengan keperluan umatnya. Bagitulah juga rasul-rasul yang lain ,mengajar umatnya yang diperlukan oleh umatnya. Dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pun begitu juga, baginda mengajar umatnya apa yang diperlukan oleh umatnya.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasalam mengajar umatnya, itu ialah yang tepatnya, Nabi hanya menyampai ajaran Allah. Allahlah yang sebenar-benar guru. Ada yang menggelar-
kan Allah sebagai Maha Guru Agung. Dari segi maksud bolehlah dipakai perkataan Maha Guru Agung itu Allah. Walau bagaimana pun gelaran tersebut belum pernah jumpa dari mana asalnya. Sebagaimana ditegaskan oleh Allah sendiri dalam ayat yang mula-mula turun kepada Nabi Besar Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Dia Allah mengajar manusia apa yang tidak di- ketahuinya.”
Manusia memang disuruh memohon do’a dan minta pertolongan Allah agar Allah menunjukkan jalan lurus, jalan yang Allah redha (surah Al-Fatihah). Nabi Muhammad s.a.w. mendapat didikan langsung dari Allah maka itu ada di antara mereka ingin berguru langsung dengan Allah. Tidak perlu lagi berguru dengan mana-mana guru sekali pun.
Maka tujuan mendapatkan ‘ilmu secara langsung dari Maha Guru Agung ini, iaitu Allah, diadakanlah cara-cara ‘ibadat tertentu. Kadang-kadang terdapat tatacara ‘ibadat yang berten- tangan dengan tatacara yang diajar oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka itu harus berhati-hati dalam perkara ini. Apa yang selaras dengan Al-Qur’an dan ajaranRasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam, maka ‘amalkanlah. Mana yang bertentengan dengan Al-Qur’an dan ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alahi wassalam tinggalkanlah. Allah memang luas kurnianNya.
Islam menggalakkan umatnya beriman kepada rasul-rasul Allah kerana rasul-rasul adalah utusan yang Allah pilih sendiri untuk menerangkan agama Allah iaitu Islam kepada manusia. Segala pengajaran Allah sampaikan kepada rasul dalam bentuk wahyu. Kemudian rasul menyam paikan ajaran tersebut kepada manusia. Seluruh ajaran Islam adalah ajaran Allah sendiri. Adalah amat silap jika dikatakan ajaran Islam, ajaran Al-Qur’an adalah ajaran Muhammad bin ‘Abdullah seorang anak yatim piatu lagi buta huruf.
Perhatikanlah isi kandungan Al-Qur’an. Mampukah seorang yang ummi dapat menerang kan segala perkara di seluruh ‘alam ini, walhal orang-orang bijak pandai sekalipun, baik di zaman dahulu atau zaman sekarang tidak mampu untuk mencipta walaupun satu surah seperti Al-Qur’an. Jelas sekalilah bahawa segala isi Al-Qur’an adalah wahyu Allah yang Allah turunkan kepada rasulNya dan rasul pula menyampaikan kepada manusia.
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Tidakkah Kami mengutus seorang rasul yang sebelum mu (Muhammad), melainkan Kami memberi wahyu kepadanya iaitu bahawa tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku sendiri, maka sembahlah Aku.” Surah Anbiya’: Ayat 25.
Isi atau inti, pokok atau pangkal agama ialah dua pekara ini; iaitu pertama mengakui tiada Tuhan melainkan Allah. Itulah yang bernama Tauhid Uluhiya. Mengakui hanya satu Tuhan. Kedua, bernama Tauhid Rububiyah. Mengakui hanya Allah yang satu itu saja yang mengatur, mengasuh, memelihara alam ini. Sesudah Dia sendiri menciptakan, Dia yang mengatur. Sebab itu maka hanya Dia saja yang patut disembah dan dipuja. KepadaNya saja ucapan syukur dan terima kasih.
Berimankan rasul adalah sama dengan mempercayai yang rasul menerima wahyu Begitu juga mempercayai atau berimankan kitab Allah memberi erti bahawa semua apa yang terkandung di dalam semua kitab tersebut adalah wahyu Allah belaka.
Mempercayai rasul adalah pesuruh Allah dan wahyu adalah firman Allah yang diturukan kepada rasul untuk disampaikan kepada manusia, adalah dua setangkai yang tidak boleh dipisahkan. Engkau (manusia) tidak mempercayai salah satu dari dua perkara tersebut bermakna tidak mempercayai rasul. Apabila tidak mempercayai rasul, maka rosaklah ‘aqidah.
Perlantikan seorang rasul wajar memenuhi ciri-ciri khas yang ditentukan oleh Allah. Allah melantik manusia dari kalangan manusia sahaja. Allah tidak melantik rasul dari kalangan malaikat dan jin. Di dalam Al-Qur’an, Allah menyebut yang bermaksud (Terjemahan): “Allah
Memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah Al-Hajj: Ayat 75.
Ayat ini tidak memberi maksud yang Allah juga melantik malaikat sebagai rasul. Ayat yang berikut boleh menjelaskan hal ini.
“Sungguh Kami mengutus beberapa orang rasul sebelummu dan Kami memberikan isteri-isteri dan keturunan kepada mereka.”….(Surah Ar-Ra’d: Ayat 38.
Maksud ayat ini, rasul itu ialah manusia bukan malaikat. Kerana malaikat tidak berkah- win dan tidak mempunyai anak. Maksud utusan pada ayat tersebut yang terdiri dari malaikat dan manusia, adalah berhubung penurunan wahyu Allah melantik Jibril dari kalangan malaikat sebagai utusanNya (utusan menurunkan wahyu kepada rasul).
Lebih jelas, Allah menerangkan yang rasul dilantik dari kalangan manusia ialah:
“Katakanlah (wahai Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam): Kalau ada di bumi , malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul. Surah Al-Tsra’: Ayat 95.
Semua rasul-rasul Allah adalah lelaki. Tidak ada seorang perempuan pun dari kalangan mereka semua. Allah berfirman dalam Surah Al-Anbiya ayat 7 yang bermaksud: “Kami (Allah) tidak pernah mengutus yang sebelummu (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melainkan orang-orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepada mereka itu.” Surah Al-Anbiya: Ayat 7.
Setiap rasul mempunyai sifat yang amat mulia jika dibandingkan dengan manusia biasa. Rasul mempunyai kekuatan diri yang unggul dari segi rohani dan jasmaninya. Seperti yang biasa yang diketahui empat sifat rasul yang masyhur ialah Shiddiq, Amanah, Tabligh dan Fathanah. Rasul tidak pernah membohongi atau menyatakan sesuatu yang palsu. Rasul juga amat amanah dengan suruhan Allah. Segala yang diperintahkan Allah semuanya dilaksanakan.
Rasul amat cedik, pintar (fathanah). Selain dari sifat-sifat tersebut di atas rasul mempunyai sifat kuat ingatan, pantas pemikiran dan bijak berbicara. Ia dapat menyampaikan pengajaran dengan baik yang mudah difahami oleh umatnya. Rasul tidak menyembunyikan sedikit pun apa sahaja pengajaran Allah yang Allah sediakan untuk manusia.
Rasul terlepas dari dosa. Rasul sememangnya ma’shum, iaitu terpelihara dari melakukan dosa. Sejarah mengatakan bahawa Nabi Adam telah dikeluarkan dari syurga oleh Allah kerana telah melakukan kesalahan atau dosa kerana memakan buah khuldi yang diharamkan Allah. Tetapi ‘ulama’ dan ahli tafsir telah memperjelaskan bahawa Nabi Adam ‘Alaihissalam tidak dikira berdosa atau derhaka kepada Allah. Mereka membawa hujah, sebagai mana firman Allah dalam surah Thaha, ayat 115 yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam ‘Alaihissalam pada masa yang lalu, tetapi ia (Adam ‘Alaihissalam) lupa dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat.”
Ahli tafsir mengukuhkan hujahnya dengan keterangan ayat yang Allah tidak mengira
dosa atau satu kesalahan sekiranya berlaku kerana terlupa bukan dengan niat atau hasrat hendak melanggar perintah Allah. Firman Allah yang menjelaskan lagi dalam surah Al-Ahzab: ayat 5 yang bermaksud: “…..tidak ada dosa atas kamu sekalian dalam sesuatu perkara yang kamu tersilap (lupa) melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengaja kan oleh hati kamu melakukannya…”
Dalam ayat lain, Allah menyebut sebagai berikut: “..….(mereka berdo’a): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau kami tersalah…..” Surah Al-Baqarah: Ayat 286
Permohonan ampun kepada Allah tidak akan ditolak oleh Allah. Maka dengan itu ahli tafsir tetap mengatakan Nabi Adam ‘Alaihissalam adalah ma’shum, seperti rasul-rasul lain juga.
Tidak diutuskan para Nabi dan Rasul itu melainkan untuk mengajak seluruh manusia menyembah Allah s.w.t. dan mendaulatkan hukum-hukumNya di dalam semua bidang dan lapangan kehidupan. Tugas Nabi dan Rasul adalah cukup besar dan mencabar dalam usaha mereka menyampai risalah Allah s.w.t. ke tengah masyarakat jahiliyah. Berbagai bentuk ancaman, ugutan dan fitnah yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul dari golongan penentang yang terdiri daripada pemimpin puak dan kaum jahiliyah.
Dengan bekalan iman dan sifat sabar pra Nabi dan Rasul akhirnya berjaya meletakkan agama Allah s.w.t. itu dikeharibaan kaum dan puak sejak umat di zaman Nabi Adam sehinggalah ke hari ini. Ini semua dapat ditelaah bersama dengan mengambil iktibar melalui pembacaan buku yang mengisahkan perjuangan 25 para Nabi dan Rasul yang wajib diketahui oleh setiap umat Islam.

No comments:

Post a Comment