Saturday, March 26, 2011

PERSAUDARAAN SEJAGAT WAJAR DALAM AJARAN ISLAM
(Disiarkan pada 26.3. 2011)
Manusia adalah makhluk berbudaya menyukai kebersamaan dan persaudaraan. Kasih sayang Allah s.w.t. menjadikan mereka sebagai saudara yang saling mencintai, tolong menolong, saling berhubungan dan berbalas kasihan. Manusia mempunyai keperluan hidup yang serupa di mana sahaja belahan bumi Allah ini mereka berada.
Semua umat manusia pemegang saham (rahmat) Allah dalam hidupnya. Setiap manusia di alam kehidupan di seluruh pelusuk dunia atau alam sejagat adalah pemegang saham tersebut. Udara, cahaya mata hari, air, bumi dengan berbagai jenis logamnya, dan berbagai-bagai lagi rahmat Allah yang ada di alam dunia ini diperlukan oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira masyarakat mukmin atau sebaliknya. Oleh kerana setiap manusia di muka bumi ini membuntuhi rahmat Allah tersebut maka adalah wajar menghidupkan persaudaraan sejagat.
Udara adalah sesuatu keperluan dalam kelangsungan hidup manusia dan bukan setakat kehadiran udara semata tetapi ia mesti bersifat bersih dengan segala keperluan lainya yang ada dalam udara seperti oksijen, karbondiosida, hydrogen, nitrogen serta gas-gas yang lain. Manusia menangani pembangunan memerlukan rahmat Allah tersebut.
Fenomena alam sedemikian rupa yang dibekalkan Allah kepada makhluk manusia mahupun segala kehidupan (haiwan) yang lain mendidik kita manusia yang berakal fikiran bahawa Allah mewujudkan persaudaraan sejagat. Mengkafirkan diri terhadap rahmat Allah tersebut merupakan makhluk yang bertopengkan manusia tetapi berjiwa kehaiwanan.
Haiwan tidak mempunyai kemahiran berfikir seperti manusia. Ia bergerak mencari makanan kerana perutnya merasa lapar maka itu secara instinct atau naluri semulajadi ia bertindak untuk mendapatkan makanan. Manusia boleh berfikir apa yang baik dan apa yang tidak baik kepada dirinya tetapi mengapakan tidak menggunakan kemahirannya berfikir mengenai nikmat Allah s.w.t. dan merasa syukur terhadapnya.
Antara kita sesama manusia tidak ada yang dibanggakan sebenar. Semuanya berasal dari keturunan yang sama iaitu masyarakat Bani Adam. Kita lahir ke dunia semua melalui dua lobang yang hina, iaitu lobang kencing seorang bapa semasa kita dalam bentuk air mani yang dipancarkan ke dalam rahim seorang ibu semasa berlaku hubungan kelamin lalu bercantum dengan air mani si ibu maka jadilah segumpal darah.
Segumpal darah tersebut kemudian menjadi janin. Janin itu dibekal dengan tulang kemudian dibungkus dengan kulit lalu menjadi lembaga. Lembaga itu, oleh Allah dihembuskan rohNya setelah usianya 120 hari atau empat bulan.dalam rahim ibu lalu menjadi manusia. Yang berperasaan. Setelah membesar dalam rahim ibu hingga usianya sembilan bulan sepuluh hari maka ia dilahirkan ke dunia melalui lobang kedua iaitu lobang kencing si ibu.
Apabila manusia sudah membesar menjadi remaja ia lupa akan asal usulnya. Allah bekalkan telinga tetapi tidak diguna untuk mendengar nasihat Allah yang ada dalam ilmu tauhid-Nya. Allah bekalkan perasaan kasih sayang antara sesama tetapi tidak digunakan fitrah tersebut malah perasaan benci terhadap orang lain dan tidak kenal persaudaraan. Nikmat Allah sentiasa diberi kepada manusia setiap detik masa hidupnya tetapi tidak dijadikan sebagai alasan untuk mengenal keturunannya sebagai Bani Adam.
Semua makluk yang hidup memerlukan cahaya matahari. Setiap detik masa dalam hidup manusia merasa selesa apa sahaja dilakukan kerana cahaya matahari meneranginya untuk melihat. Coba fikirkan sejenak bagaimana keadaan hidup ini jika tidak ada cahaya menerangi kita. Setiap makhluk manusia memerlukan nikmat cahaya yang Allah bekalkan kepada manusia. Manusia tidak ada pelabuaran untuk mengekalkan cahaya itu maka bersyukurlah kerana diberi cahaya. Dengan penggunaan cahaya tersebut wajarkan semua manusia memikirkan untuk bertanggungjawab mengeratkan persaudaraan sejagat?
Dalam pernafasan manusia memerlukan oksigen dari udara yang dibekalkan Allah untuk meneruskan kehidupan. Tidak ada manusia yang tidak memerlukan oksijen untuk bernafas. Allah itu maha adil. Segala nikmat tersebut adalah pemberian-Nya tanpa syarat. Maka itu patutkan manusia bersengkita antara sesama kerana gagal mengenali fitrah persaudaraan sebagai keturunan Bani Adam? Nikmat Allah sedemikian besar faedah kepada manusia maka adalah wajar persaudaraan sejagat itu diikat dengan nikmat Allah yang kita kecapi.
Bagitu juga kegunaan air kepada kehidupan makhluk Allah s.w.t. Tanpa air sebarang makhluk tidak boleh hidup kecuali makhluk Allah yang tidak hidup seperti batu, logam dan sebagainya. Kita lihat di planet lain seperti bulan yang tidak mempunyai udara dan air tidak ada makhluk yang hidup di situ kecuali makhluk yang mati. Semua keperluan hidup tersebut wajar menyedarkan kita sebagai pengguna bahawa setiap manusia tahu diri tidak ada yang kita boleh lakukan tanpa bantuan dari Allah s.w.t. Maka itu wajar mensyukuri nikmat yang kita guna bersama dan itu adalah faktor untuk menyatukan perasaan persaudaraan sejagat.
Allah sediakan bumi tempat tinggal makhlukNya dan melantik satu ketua untuk menga- walselia alam kehidupan di bumi ini sebagai khalifah Allah. Di perut bumi terdapat berbagai jenis makhluk yang menjadi punca pembangunan manusia sejagat. Logam yang bernilai tinggi dari segi ekonominya seperti intan, belian, emas, dan besi. Minyak, gas dan sebagainya adalah antara keperluan manusia dalam hidup. Negara yang mempunyai rahmat Allah demikian wajar bersyukur kepada Allah dan kesyukurannya sewajarnyalah mengeratkan tali persaudaraan sejagat.
Memproses bahan binaan pembangunan tersebut menjadi amanah Allah s.w.t. untuk keperluan manusia lain di alam dunia ini. Kita berusaha untuk menyediakan keperluan mereka mengenai logam tersebut dan mereka membalas dengan imbalan berupa wang ringgit sebagai satu system jual beli. Tanpa kehadiran mereka di bumi ini tiada apa yang manusia boleh lakukan. Maka itu wajarlah persaudaraan sejagat itu dipelihara dan elakkan dari menimbulkan pergesaran nilai yang akan mengakibatkan persengkitaan antara sesama.
Allah menamakan dirinya Al-Rahim dan Al-Rahman, ertinya Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Tuhan adalah zat yang penuh dengan kasih dan sayang terhadap akhluk-Nya. Semua yang boleh dilihat, tidak dapat dilihat, didengar tanpa kecualinya adalah rahmat Allah dan setiap manusia memerluknnya seperti bumi dengan segala isinya, matahari dengan cahayanya, bulan dengan sinarannya yang lunak, bintang dengan sinarannya yang berkedip-kedip, semua ini adalah rahmat atau kasih sayang Allah.
Rahmat Allah yang tak dapat kita lihat, tetapi dapat kita rasakan. Perasaan enak atau nyaman ketika kita makan dan minum. Perasaan enak atau nyaman ketika kita melihat pandangan yang indah adalah rahmat Allah yang jauh lebih tinggi dari benda yang kita kelihatan. Apa lagi rahmat Tuhan yang berupa cinta dan kasih terhadap anak isteri dan keluarga kita atau terhadap manusia umumnya, adalah rahmat Tuhan yang jauh lebih tinggi lagi dari rahmat yang telah kita bincang di atas.
Firman Allah surah Al-Ruum ayat 21 yang bermaksud: “Sebahagian dari tanda (rahmat) Allah, bahawa Allah telah menjadikan bagimu isteri agar kamu dapat bersenang-senang dengan mereka dan Allah timbulkan antara kamu dan isteri kamu itu rasa cinta dan kasih sayang . Dan dalam hal ini terdapat tanda kekuasaan Allah bagi orang yang dapat berfikir.”
Firman Allah lagi Surah Al-Qashash ayat 73 yang bermaksud: “Dan sebahagian dari rahmat Allah, ialah bahawa Allah telah menjadikan siang dan malam untuk kamu, agar kamu dapat berehat melepaskan lelah dan supaya kamu dapat mencari karunia Allah. Dan mudah-mudahan kamu bersyukur kepada Allah.”
Rahmat Allah yang merupakan siang dan malam, bukanlah rahmat yang kecil, tetapi adalah rahmat yang maha besar dan penting. Sekiranya Allah jadikan malam terus menerus, maka semua manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan akan mati dan musnah seluruhnya, kerana tidak ada matahari, maka keadaan hawa akan semakin dingin, dalam waktu beberapa hari sahaja hawa menjadi dingin sedingin-dingannya sehingga paras beku.
Dan jika Allah jadikan siang terus menerus maka seluruh manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan akan mati dan musnah kerana bila siang terus menerus dan ta’ hentinya dalam waktu beberapa hari sahaja, hawa undara akan menjadi semakin panas sehingga manusia dan lain-lain makhluk ta’ sanggup menanggungnya, sehingga semua harus mati dan musnah, semuanya harus terbakar menjadi abu.
Beberapa contoh rahmat Allah yang manusia wajar memikirkan bahawa untuk menikmati bersama ia membawa kepada perasaan persaudaraan sejagat. Jika budaya tersebut itu dipingirkan dan tidak dijadikan sebagai nadi pembangunan kerohanian sejagat maka tunggu sajalah Allah akan mendatangkan bencana-Nya yang akan meranapkan kebahagian manusia hidup di dunia.
Manusia dengan sombong dan angkohnya mendedahkan keilmuan yang canggih mengenai kajian tentang masalah dunia tetapi kesemua kepakaran tersebut tidak ada makna apabila azab Allah sudah melanda pembangunan manusia tersebut. Gempa bumi yang melahirkan tsunami seperti yang berlaku di Jepun beberapa kali di abad ini. Begitu juga keadaan di negara jiran seperti yang berlaku di Sumatra yang menjadikan Banda Ache padang jarak padang tekukur, adalah contoh-contoh yang amat ngeri dan menjadi igauwan masyarakat manusia yang telah melalui bencana tersebut yang telah meranapkan kebahagian manusia yang tidak mengenal persaudaraan sejagat.
Kepakaran manusia mengkaji berbagai ilmu pengetahuan termasuklah perubatan yang boleh menyelamatkan manusia dari serangan berbagai penyakit begitu meningkat dari tahun ke tahun tetapi mengapakah manusia tidak dapat mengkaji mengapakan manusia tidak mengakui diri adalah keturunan Bani Adam? Mengakui diri sebagai keturunan Bani Adam semata tidak cukup; semestinya mengikatkan tali persaudaraan sejagat yang membetulkan persepsi masyara kat yang memahami dunia tanpa sempadan.
Naluri kasih sayang yang Allah bekalkan kepada manusia disalah gunakan. Perasaan kasih sayang yang sepatutnya menjadi pengikat tali persaudaraan sejagat hanya digunakan untuk melepaskan naluri keganasan seks yang mengakibatkan meningkatnya masyarakat yang tidak tahu ke manakah ia mencari bapanya yang sah.
Kecanggihan ilmu manusia mewujudkan persenjataan moden untuk melepaskan kegaira hannya untuk membunuh manusia sejagat dengan sewenangnya adalah satu agenda yang tidak ada penyelesain kepada keamanan dunia. Manusia di zaman sains dan teknologi ini telah mengkufuri nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepada manusia dalam kelangsungan hidup di alam dunia. Selain itu manusia juga mengkufurkan diri untuk mengikat tali persaudaraan sejagat terutama sekali ikatan kasih sayang antara sesama seperti mana sewajarnya yang ada dalam naluri manusia kerana menerima roh Allah s.w.t.
Kehadiran roh ciptaan Allah dalam diri setiap insan wajar difahami sebagai satu kekuatan manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kelak membina perasaan kasih sayang antara sesama. Inilah tali persaudaraan sejagat sebenar kerana manusia hidup atas kehadiran roh Allah Subhanahu wa Ta’ala

No comments:

Post a Comment