Friday, May 6, 2011

BENARKAH SAYA MUSLIM
(Disiarkan pada 7. 5. 2011)
Islam yang diciptakan Allah sebagai agama umat manusia adalah tatacara pembangunan kehidupan yang membentuk akhlaq dan peribadi mulia setiap insan. Dalam erti kata lain Islam adalah cara hidup manusia sebagai pemakmur alam kehidupan di dunia nyata. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah al-Maaidah ayat (5) 3 yang bermaksud (terjemahan) “….Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama mu.”
Allah S.W.T. telah wujudkan manusia dalam keadaan yang amat sempurna berbanding makhluk lain di cekerawala alam ini. Di samping itu Allah juga lengkapi dengan berbagai fitrah termasuklah tatacara kehidupan itu sendiri melalui contoh-contoh yang diteladani oleh hamba-hamba-Nya yang dikenali sebagai nabi dan rasul-Nya. Allah juga membekalkan dengan disiplin pembangunan untuk membina tamadun kehidupan seperti yang termaktub dalam dokumen wahyu Allah S.W.T..
Namun di zaman moden yang dikategorikan sebagai zaman sains dan teknologi ini pengertian kita tentang Islam terkikis sedemikian rupa. Mengapa pengertian menyeluruh tentang kehidupan insani dalam semua aspeknya, suatu pengertian tentang alam dan hakikatnya, tentang manusia dan kehidupan terkikis dan menipis sehingga yang tinggal hanya sekadar peribadatan yang dilaksanakan secara formality (upacara rasmi)?
Bahkan adakalanya hanya niat sahaja yang dilaksanakan, dan yang paling menyedihkan terkadang niat itu pun telah hilang. Kemudian masihkan terfikir dalam pemikiran kita, bahawa kita tergolong kaum muslimin yang setia terhadap Islam?
Mengapa Islam yang sempurna itu, terhapus dari hukum yang mengatur kehidupan seluruh kehidupan umat manusia baik dalam perekonomian, kemasyarakatan, kebendaan, kerohanian, politik, idea, peribadatan dan seluruh tingkah laku kehidupan? Akhirnya yang tinggal hanya ibadah buta, yang tidak berbekas pada kegiatan dan fakta kehidupan masyarakat. Ibadah yang tidak mampu mengislamkan fikiran, perasaan dan wawasannya sendiri.
Pada kelazimannya masyarakat emas sahaja yang menyemarakkan masjid dan tempat-tempat peribadatan yang lain. Walau pada itu kumpulan tersebut ilmunya tentang agama tidak menerawang luas daripada ilmunya yang telah diperolehi sejak usia muda lagi. Tentunya di peringkat usia emas itu wajar menumpukan hidup kepada peribadatan tetapi hanya melalui ilmunya yang sempit. Menuntut ilmu pada peringkat itu amat sukar kerana penampilan kemampuan fisikal dan mentalnya sudah di ambang magrib.
Muslim yang tidak merasa asing hidup di tengah-tengah masyarakat yang tidak Islami, kerananya tidak terlintas dalam fikirannya untuk mengubah dirinya dan masyarakat supaya bertingkah laku sesuai dengan Islam, baik dalam hubungannya dengan Allah, hubungan peribadi dengan peribadi, hubungan peribadi dengan masyarakat dan negara, atau hubungan antara atasan dengan bawahan.
Masyarakat Islam pada sesetengah kawasan di bumi Allah ini mengkategorikan diri mereka sebagai Muslim kerana ia dilahirkan dalam keluarga Islam. Maka dengan itu yang melekat pada jiwanya ialah jenama Islam tetapi bukan sebagai hambah Allah. Di dunia yang penuh dengan pencerobohan elemen-elemen yang merosakkan akidah Islam akan menghanyutkan keimanan masyarakat Muslim khusus kepada mereka yang imannya tidak menentu.
Setiap kita wajar memahami bahawa iman seseorang itu tidak boleh diturunkan oleh seorang ayah atau sesiapa pun. Dan iman itu tidak boleh diperolehi di mana sahaja di alam kehidupan ini tanpa menanamkan keyakinan bahawa di sebalik kehidupan ini ada yang bertanggungjawab untuk mewujudkan hidup itu. Setiap individu hanya menerima beres segala keperluan hidup seperti kasih sayang, kemahuan, pembangunan dan sebagainya. Manusia hanya bertawakal semata urusan produktiviti ibadah adalah prirogative Allah S.W.T.
Memahami diri menjadi keutamaan dalam segala hal pembangunan kehidupan. Siapakah kita? Apakah tanggungjawab yang wajar kita seleggarakan? Apakah tujuan hidup ini? Untuk siapa dan mengapa kita dipetanggugjawabkan dalam berbagai hal pembangunan? Apakah yang ada pada diri kita dalam membentuk masyarakat? Dan yang amat penting sekali ialah kepada siapakan kita wajar meminta pertolongan?
Siapakah saya? Pertanyaan tersebur wajar mendapat jawapan dari setiap individu yang bergelar manusia. Pada diri kita secara lazimnya atau dalam pandangan kejadian biologinya adalah seorang insan yang dilahirkan apabila berlaku pertemuan jodoh antara lelaki dan wanita yang dikenali sebagai suami isteri.
Pada pandangan akidah pula kelahiran manusia telah menumpang pada jasad seorang ibu dimana berlaku proses pembentukan janin setelah berlaku hubungan kelamin antara suami dan isteri. Janin tersebut adalah hasil dari percantuman air mani suami dengan telur indung atau ovum seorang isteri maka jadilah satu lembagga. Kemudian Allah tiupkan roh-Nya ke dalam lembagga tersebut maka jadilah seorang insan.
Pembesaran insan dalam rahim ibu melibatkan tiga fenomena alam yang akan memben- tuk insan tersebut agar menjadi manusia sebagai pemain yang berwibawa dalam kelangsungan pembangunan hidup di alam dunia. Pertama ialah kekuasaan Allah S.W.T. dalam menentukan jangka hayatnya hidup di dunia di samping membekalkan ilmu pengetahuan dari dokumen wahyu Allah S.W.T. yang diterima oleh manusia (Rasul)
Keduanya ialah penampilan akhlaq seorang bapa dalam menangani agenda kehidupan seperti mengenali halal dan haram dalam segala geraklaku muamalah. Pembawaan diri dalam hubungan masyarakat dalam kelangsungan hidup bermasyarakat. Ringan tangan dalam membantu segala hal permasalahan orang lain. Tingkah laku seorang ayah adalah cerminan kepada pembentukan peribadi mulia anak yang bakal di lahir.
Dan ketiganya ialah peribadi mulia seorang ibu mengandung termasuklah amalan-amalan kemanfaatan hidup seperti menjaga solat, membudayakan ilmu-ilmu yang besifat suci yang kiblatnya kepada keagungungan Allah S.W.T. Memelihara hubungan kemanusiaan yang akan melahrkan perasaan kasih sayang yang mengikat ukhuwah kemanusiaan.
Apa tanggungjawab yang wajar kita selenggarakan dalam hidup? Keutamaan dalam arena pembangunan seorang insan ialah menimba ilmu pengetahuan. Orang yang berilmu Allah suka dan cinta kepadanya. Ilmu adalah zat pembangunan di samping sebagai satu kekuatan naluri insan untuk mendekati Allah S.W.T. dan melaksanakan ibadat dengan sempurna.
Menjadi pemain dalam pembangunan manusia seharusnya dengan ilmu. Kebahagiaan dunia dan akhirat memerlukan ilmu pengetahuan. Ilmu wajar dalam kedua-dua fenomena kehidupan iaitu keilmuan di alam jasmani dan keilmuan di alam kerohanian. Setiap insan harus membudayakan dalam hidup bahawa menuntut ilmu adalah sepanjang zaman. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menyarankan kepada umat manusia supaya menuntut ilmu biarlah dari buaian hingga ke liang lahad.
Gunakan ilmu yang ada pada diri anda untuk kemanfaatan orang lain kerana amalan demikian merupakan amal jariah yang akan menemani anda dalam perjalanan hidup di alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Amal jariah yang telah anda laksanakan semasa hidup di dunia akan mengekalkan kehadiran anda di dunia walaupun jasad telah di kandung tanah.
Apakah tujuan hidup ini? Setiap manusia harus memahami tujuan Allah mewujudkan manusia di dunia. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Az-Zariat ayat(51)56 yang bermaksud
(terjemahan) “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku…..manusia diwujudkan oleh Allah dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada-Nya.”
Untuk siapa dan mengapa kita dipertanggungjawabkan dalam berbagai hal pembangunan? Soalan ini amat penting dalam kefahaman hidup seorang insan. Allah melantik manusia sebagai kahlifah di muka bumi ini untuk memakmurkan alam kehidupan. Allah bekalkan manusia fitrah kemahiran berfikir maka pergunakanlah untuk mengeratkan hubungan kita dengan Allah dan juga sesama manusia. Hablum minallah dan hablum minannas.
Setiap manusia dipertanggungjawabkan oleh Allah memegang amanah untuk kesejahtera an hidup bertamadun. Antara amanah yang dipertanggungjawabkan ialah memimpin zuriat agar menjadi pemain yang berwibawa dalam pembangunan tamadun. Mensia-siakan amanah terutama sekali mendidik dan mentarbiyah zuriat sendiri adalah dosa besar. Ibubapalah menentkan corak kehidupan seorang anak.
Apakah yang ada pada diri kita dalam membentuk masyarakat? Kita dalam masyarakat mempunyai tanggunjawab yang wajar dilaksanakan. Keberadaan kita sebagai ahli masyarakat akan melahirkan ukhuwah kemanusiaan yang dibalut dengan fitrah kasih sayang sebagai ikatan melahirkan masyarakat madani.
Hidup ini menyeronokkan kerana kehadiran orang lain yang akan melahirkan suasana budaya kekompakan bersosial kelak membentuk satu disiplin “give and take” dalam kelangsungan hidup bermasyarakat. Kerana tidak semua yang kita perlukan dalam hidup boleh dilaksanakan oleh kita sendiri tanpa mengharapkan orang lain. Maka itu elemen yang perlu setiap individu sebagai pemain ialah kerjasama yang akan melahirkan semangat “win, win situation.. Inilah yang dikatakan dalam agama Islam sebagai “cara hidup” atau addin.
Terpenting dalam kehidupan ialah kepada siapa kita wajar meminta pertolongan? Fahamilah kedudukan kita sebagai hambah Allah dalam senario kehidupan di dunia. Walaupun pada lazimnya segala produktivti ibadah atau gerakkerja, manusialah yang mencurahkan segala keringat dan tenaga serta semangat juang tetapi fahamilah itu hanya sebagai tawakkal kepada Allah S.W.T.. Prerogative keberhasilan Ibadah atau gerakkerja adalah tanggungjawab Allah S.W.T. yang menentukannya. Oleh itu wajarkah anda mendekati Allah pada setiap detik masa hidup ini? Maka itu mengalami kejayaan atau kegagalan dalam ibadah atau gerakkerja kehidupan wajar diterima dengan rasa syukur.
Kedua-dua fenomena tersebut, menempuhi kejayaan atau kegagalan, adalah ujian Allah S.W.T.. Maka itu apabila berjaya wajar diikuti dengan Alhamdulillah syukur dan tidak menjadi faktor diri untuk merasa megah atau sombong kepada orang lain dan jika gagal pun wajar mengucapakan insya-Allah dan jauhi diri dari budaya mempersalahkan Allah kerana tidak mengabulkan doa!
Badan serta jasmani dijiwai oleh jiwa atau nyawa. Tetapi jiwa it sendiri pun wajib dijiwai lagi oleh Nur yang dipancarkan oleh Tuhan dari langit. Kalau Nur itu tidak ada, hidup itu sendiri tidak ada ertinya. Sebaliknya kalau Nur ini telah ada, mati pun pada hakikatnya adalah hidup.
Maka itu Nabi mengajarkan, tegasnya satu rangka dari ajaran Islam itu ialah ibadat. Mula sekali diajarkan bahawasanya hidup itu sendiri adalah ibadat, langsung kepada Allah bukan kepada benda dan bukan kepada alam. Masalahnya ialah menanamkan keimanan kepada sesuatu yang ghaib amat sukar menjemput jiwa dan hati untuk menerokai serta mentarbiyahkan diri tentang alam kerohanian.
Hidup di dunia ini sangat terbatas, dan mati itu mudah benar datangnya. Sebelum kita ada
usia dunia pun akan berjalan entah berapa ribu tahun lagi. Kalau hidup yang sangat pendek ini tidak diisi dengan kebaktian, dengan ibadat, masa itu akan berlalu juga tanpa berkompromi dengan kelalaian kita untuk berbakti maka habis percumalah hidup ini.
Ibadat solat yang menjadi tiang dari segala-galanya dalam kelangsungan hidup di sisi
Allah S.W.T.. Dengan amalan solat jiwa yang telah diperkuatkan dengan iman tadi selalu tidak dilepaskan dari mendekati Allah. Bertambah khusyuk solat, maka bertambah merasa dekat dengan Allah, bertambah penuh pulalah jiwa oleh pancaran sinar Allah. Solat dimulakan dengan Allahu Akbar! Dengan Allahu Akbar jiwa tetap menuju kekuatannya.
Maka itu fikirkanlah bahawa adakah kita telah laksanakan tanggungjawab sebagai Muslim? Benarkah saya Muslim? Tepuk dada tanyalah iman!

No comments:

Post a Comment