Saturday, April 14, 2012

KASIH SAYANG KEMURNIAN BERMASYARAKAT

(Disiarkan pada 14. 4. 2012)
Kasih sayang adalah naluri manusia yang berpangkal daripada hati. Ia merupakan satu perasaan ingin memperolehi atau memiliki sesuatu yang menyenangkan hati atau menghiburkan jiwanya atas kehadirannya. Dengan adanya sesuatu fenomena yang menggamit keselesaan pada perasaan ia menjadi pemangkin jiwa untuk memikirkan satu persepsi yang mendekatkan kita kepada Zat Yang Maha Esa.
Sifat kasih sayang yang ada pada manusia agak berbeza dengan sifat kasih sayang yang ada pada haiwan yang membiak. Iaitu kasih sayang berpangkal daripada hati dan kasih sayang secara instinct atau tabii berbeza dari perpektif felosofinya atau disiplin yang mengawal pada tindakan untuk mengeluarkan perasaan kasih sayang.
Naluri kasih sayang yang ada pada manusia sememangnya berpunca kepada kehadiran rohaniahnya yang dibekalakan oleh Allah s.w.t. Rasa keinsanan merupakan rasa kemanusiaan yang berunsur rohaniah yang mempunyai ciri-ciri kasih sayang terhadap sesama insan kerana Allah s.w.t. Sifat kasih sayanglah yang membentuk tamadun kehidupan manusia dan memberi satu kekuatan dalam melahirkan masyarakat yang bersosial.
Kekhalifaan manusia berdasarkan kehadiran naluri kasih sayang yang membentuk satu ikatan mesrah antara manusia sebagai pemakmur alam kehidupan dengan makhluk Allah s.w.t. yang hidup bersamanya di alam buana ini. Perasaan kasih sayang merupakan satu kualiti atau sifat yang mendekatkannya kepada Allah s.w.t. yang mempunyai sifat pengasih dan penyayang.
Kasih sayang dalam membina keluarga menjadi agenda utama dalam pembangunan manusia. Islam sungguh-sungguh menjadikan kasih sayang satu perwatakan yang maksimum untuk membina hubungan di dalam keluarga. Mengeratkan antara anggota-anggota keluarga berupa cinta, kasih sayang, pertolongan, ikhlas, nasihat, saling berkomunikasi, bersatu padu, saling menolong dan saling menyayangi.
Cinta antara saudara adalah sifat fitrah dan kecendrungan yang suci pada diri manusia. Islam selalu menjaga kekuatan rasa itu, semakin mendarah daging, kebesaran kemampuannya dan menjelas hak-haknya.
Kedekatan dan hubungan manusia adalah hal penting bagi keluarga dan keturunannya dan mereka adalah penolong keluarga. Dengan adanya hubungan antara manusia di dalam keluarga itu, mereka dapat menjadi senang dan ramah dalam keadaan persaudaraan. Mereka dapat menolong pada keadaan kesusahan dan dalam cubaan. Mereka adalah tempat meminta pertolongan selain dari Allah s.w.t.
Kasih sayang itu puncanya ialah Allah s.w.t.. Setiap kali kita memulakan sebarang ibadat kepada Allah kita dituntut untuk mengucapkan “Bismillahirahmanirahim”, yang bermaksud dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ar-Rahman maksudnya memberikan rahmat kepada sesiapa pun samada yang beriman atau tidak beriman kepada Allah s.w.t.. Rahmat yang dimaksudkan ialah rahmat yang kecil selama hidup di dunia sahaja.
Ar-Rahim maksudnya memberi rahmatnya hanya kepada tertentu sahaja; iaitu yang dikasihi dan disayangi oleh Allah s.w.t. sahaja dan rahmat ini adalah rahmat-rahmat besar yang tidak terbatas waktunya selama hidup di dunia. Rahmat-rahmat besar tersebut dapat dirasakan nikmat dan manfaatnya yang berkekalan buat selama-lamanya iaitu kebahagiaan di akhirat.
Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya yang baru lahir sebagai contoh, tidak ada keraguannya. Ibu menyusukan bayi, maka itu ibu harus menjaga kesihatannya agar air susu ibu sentiasa mencukupi untuk si bayi. Membina keluarga bahagia ibubapa menanamkan kasih sayang mereka dengan membekalkan makanan dan munimun yang halal di samping melayani mereka dengan ilmu yang mendatangkan kemanfaatan masa depan anak-anak tersayang.
Kedua ibubapa adalah orang yang paling dekat dari segi keturuan, dan paling terasa kasih sayangnya, serta yang paling dekat rasa cinta terhadap anak-anaknya. Sesungguhnya ibu memiliki tiga darjat daripada ayah, iaitu ia merasakan berat dan susahnya mengandung, melahirkan dan menyusu.
Ketiga perkara tersebut ditanggung dan dirasakan beratnya oleh ibu seorang diri, kemudian ayah bersama-sama dengan ibu dalam hal mendidik dan membesarkan anak. Hal tersebut telah disinggung oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya yang berbunyi (terjemahan):
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungi dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan mengasuhnya dalam dua tahun. Besyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibubapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”(Luqman: 14)
Keduanya bersama-sama di dalam perintah (wasiat), Allah memperingatkan tentang kekhususan seorang ibu pada tiga perkara, hal tersebut menunjukkan bahawa mereka berdua adalah orang pertama kali paling berhak untuk diperlukan baik dan disayangi.
Imam Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan adalah bahawa seorang ibu lebih berhak untuk diperhatikan dan diperlukan dengan baik oleh anak. Ia harus lebih didahulukan daripada ayah pada saat, berlaku kontradiksi kepentingan di antara mereka.”
Kehidupan suami isteri harus dibangunkan atas dasar kasih sayang yang tulus dan cinta yang benar. Sebab selagi perasaan yang mulia ini hidup, maka semuanya akan menjadi kebaikan dan berkat bagi orang yang memilikinya. Perkahwinan adalah hubungan yang suci, berdiri di atas makna roh dan perasaan yang mulia. Perkahwinan merupakan ungkapan persekutuan antara dua orang dalam segala urusan hidup. Ikatan perkahwinan dalam Islam berlaku untuk selama-lamanya dan harus dieratkan, kecuali Allah menghendaki susuatu yang memang harus terjadi.
Oleh kerana itu hubungan antara suami dan isteri merupakan bentuk hubungan yang paling suci dan paling kuat. Allah telah berfirman, yang bermaksud (terjemahan): “Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.” An-Nisa: 21.
Mengucap dua kalimah syahadah membuka kasih sayang pada hati individu yang diredhai Allah s.w.t. yang sentiasa pengasih dan penyayang. Allah itu pengasih kepada segala hambanya tidak kira beriman atau sebaliknya; tetapi Ia penyayang hanya pada hambanya yang beriman atau yang telah mengucap dua kalimah syahadah dengan hati yang ikhlas sahaja.
Dengan terbukanya pintu kasih sayang maka kefahaman diri di sisi Allah s.w.t. menjadi pedoman untuk menangani hidup bermasyarakat. Di antara faktor-faktor hidup yang wajar difahami ialah setiap individu yang sayangkan dirinya, keutamaan haruslah ditumpukan kepada amalan hidup yang membawa kepada keselamatan dirinya samada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.
Kasih sayang kepada diri dilihat dalam dua dimensi hidup iaitu jasmani dan rohaninya. Memelihara kedua alam ini akan mendekatkan kita kepada keesaan Tuhan kelak membawa kita mensyukuri segala nikmat hidup yang dibekalkan oleh Allah s.w.t.. Menjaga kesihatan jasmani berpaut kepada perkara halal dan haram untuk mendapatkan zat makanan.
Dalam perspektif orang Islam kasih sayang kepada diri tertumpu kepada perhatian untuk memperolehi ilmu pengetahuan sehinggalah ilmu pengetahuan boleh dianggap sebagai suatu tanggungjawab agama yang suci, yang dikenakan ke atas setiap Islam baik lelaki mahu pun perempuan.
Firman Allah yang pertama yang diturunkan kepada Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. ialah memerintahkan manusia untuk membaca iaitu “Iqra”. Membaca adalah landasan ilmu atau disiplin memahami kedatangan sesuatu makna. Dengan kedatangan sesuatu makna
itulah ilmu pengetahuan dan ia penting dalam membangunkan tamadun manusia.
Ilmu pengetahuan mestilah bersifat benar dan hakikat seperti apa yang dikatakan oleh Al-Qur’an sebagai haq dan mestilah diperolehi untuk tujuan kegunaan dalam kehidupan seharian. Supaya hidup yang dijalani oleh manusia menurut tujuan dan matlamat dijadikan-Nya, dan perintah yang diberikan mestilah dipenuhi.
Kehadiran ilmu pada manusia menjadikan ia dipilih sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini. Allah menyingkirkan iblis sebagai penghuni syurga-Nya gara-gara gagal menghormati makhluk manusia kerana kelebihannya mempunyai ilmu yang Allah ajarkan pada Adam. Ini menunjukkan begitu tinggi nilai ilmu dan jikalau ia dipunyai oleh seseorang maka ia akan di segani, dihormati dan disayangi oleh orang lain.
Agak jelas bahawa sebahagian daripada para pemimpin kita telah mulai sedar mengenai kedudukan ilmu pengetahuan sebagai prasyarat penting bagi kebangunan bangsa yang kuat dan dihormati serta disayangi.Yang Amat Berhormat mantan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Muhamad telah mengistiharkan tahun 1988 sebagai “Tahun Pembaca”.
Kementerian Pendidikan pula, selain daripada memperkenal dan menekankan mustahak nya Budaya Ilmu, juga telah memberikan tema untuk Hari Guru tahun 1988, “Guru Pengasas Budaya Membaca”, manakala Kementerian Belia dan Sukan pula memilih tema “Belia Berilmu Negara Maju” sebagai tema Hari Belia tahun berkenaan.
Telah berlaku dalam sejarah manusia bahawa bangsa yang mempunyai tradisi budaya ilmu mempunyai pengaruh besar kepada bangsa-bangsa lain yang jauh lebih besar jumlah rakyatnya dan lebih kuat bala tenteranya. Hasil keilmuan bangsa Yunani berpengaruh besar ke atas Rom dan bangsa-bangsa lain sehingga ke hari ini. Begitu juga pengaruh keilmuan Jerman amat besar terasa di Russia, Peranchis dan Amerika Syarikat.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa atau umat. Semua agama dan system sosial manusia menganjurkan ahlinya ke arah ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya sebagai satu faktor penerusan agama, kepercayaan atau warisan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Tujuannya yang paling utama ialah untuk kepentingan duniawi seperti semua system sosial manusia: dan sesetengahnya seperti Islam dan beberapa agama lain meliputi kebahagiaan ukhrawi.
Semua individu manusia dan bangsa yang berjaya dan dihormati serta disayangi – melalui jasa mereka terhadap manusia sezaman dan apatah lagi selepas zaman masing-masing – mencapai kejayaan mereka melalui ilmu pengetahuan.
Kelemah dan kejatuhan individu dan bangsa adalah merujuk pada faktor ilmu juga; iaitu daripada segi kepincangan konsep yang mungkin berasal daripada kelemahan penggubal awalnya seperti semua konsep ilmu hasil pemikiran manusia baik daripada ahli-ahli falsafah Yunani Kuno, China dan Barat moden; atau pun mungkin berasal daripada kesilapan tafsiran para pengikut mereka yang terkemudian seperti yang berlaku kepada konsep ilmu agama Keristian dan Islam.
Budaya Ilmu wajar diterapakan krusus kepada para remaja sebagai pelapis dalam pembangunan negara yang kita cintai dan sayangi. Budaya ilmu, antara lainnya bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan; dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan
Dalam budaya ini ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam system nilai
peribadi dan masyarakat di setiap peringkat. Ringkasnya budaya ilmu ialah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dan keutamaan lainnya yang dicari dan dikembangkan di setiap masa dan tempat.
Dimensi kasih sayang yang kedua ialah keselamatan dan kesejahteraan rohani yang berkait rapat dengan akhlak manusia. Memelihara hubungan antara sesama manusia, menanamkan rasa kasih sayang antara sesama insan adalah antara ibadat yang diwajibkan oleh agama Islam kerana Allah s.w.t.. Mencintai Allah s.w.t. bermakna kita wajib mengerjakan ibadat memuji Allah serta menunaikan semua rukun Islam dan rukum iman. Dengan segala ibadat tersebut yang dilaksanakan membawa rasa kasih sayang kepada diri sendiri.
Dalam segala hal ibadat masa hidup, kasih sayang sesama insan merupakan faktor keselamatan dan kesejahteraan rohani kita. Ini penting kerana jasmani hanya bermanfaat di dunia sahaja tetapi rohani kita kekal hingga ke akhirat.

No comments:

Post a Comment