(Disiarkan pada 8. 9. 2012)
Apabila kita memikirkan tentang kekayaan dunia dan akhirat tiga faktor seharusnya ada dalam minda seseorang sebagai hamba Allah, iaitu ilmu, amal dan iman. Secara ilmiah, ketiga-tiga faktor tersebut mempunyai sandarannya tersendiri jika dilihat dari segi falsafah pembangunan nya.
Ilmu dan amal landasannya meniti keduniaan demi kebahagian akhirat manakala iman merupakan kekuatan minda meyelami alam rohani demi kemanfaatan akhirat sebagai matlamat mutlak perjalan hidup seorang hamba Allah. Memperolehi kebahagian dunia kita perlukan ilmu dan amal yang menjadi nadi perjuangan makhluk manusia demi melahirkan faktor ketiga iaitu iman untuk tikit mendapat keredhaan Allah memasuki syurga-Nya sebagai matlamat hidup setiap insan.
Persoalan timbul, mengapakan manusia diwujudkan oleh Allah s.w.t. sebagai hamba-Nya? Makhluk manusia merupakan ciptaan Allah yang terakhir setelah terciptanya alam dunia dengan segala isinya yang berupa nikmat Allah demi kemanfaatan hidup makhluk manusia. Wujudnya manusia dengan segala fasiliti hidup yang dibekalkan Allah seperti akal, kemahiran berfikir, iman dan hawa maka lengkaplah ia dan sesuai untuk memegang amanah Allah sebagai pemakmur alam kehidupan di dunia.
Dengan segala fasiliti tersebut manusia dapat melahirkan keimanan kepada Allah s.w.t. sebagai Zat yang Maha pencipta serta Maha bijaksana menguasai segala kewujudan fenomena alam kehidupan sama ada yang zahir mahupun yang berbentuk ghaib. Dengan ilmu manusia terarah melaksanakan ibadah kerana Allah dan dengan amal menjadikan hidup ini indah dan menggembirakan.
Kekayaan dunia dan akhirat adalah produk amal ibadah manusia menempuhi kehidupan yang menjadi pelengkap kemurnian pembangunan sebagai fitrah Allah di dunia demi kesejah- teraan hidup di alam akhirat nanti. Kekayaan kehidupan akhirat semestinya hasil usaha ibadah manusia sebagai hamba Allah dalam memakmurkan kehidupan di alam dunia.
Kekayaan dunia dalam persepsi Islam ialah dana pahala yang dikurniakan Allah kepada setiap amal ibadah kerana Allah. Hidup ini matlamatnya ialah akhirat maka jadikan dunia sebagai medan pertempuran melawan kerenah-kerenah hidup dipelupuri oleh iblis yang dipimpin oleh hawa. Musuh dalam selimut setiap pembangunan insan ialah hawa. Memerangi hawa nafsu merupakan pokok kepada segala kekayaan dunia demi kesejahteraan hidup akhirat.
Manakala kekayaan akhirat adalah memperolehi pahala daripada amal ibadah kerana Allah semasa hidup di dunia. Dalam erti kata lain kekayaan akhirat adalah juga kekayaan dunia dalam menyalami iman dan takwa kepada Allah s.w.t. Memurnikan ibadah dengan kemanisan iman kepada Allah pasti menempuhi kebahagian akhirat
Di dalam perjuangan melawan nafsu, manusia terbahagi kepada tiga. Pertama ialah mereka yang dikalahkan dirinya oleh hawa sampai ditahan dan diperhamba oleh nafsu itu hingga dijadikan hawa itu menjadi Tuhan. Tuhan ialah yang disembah dan diikuti perintah-Nya.
Kumpulan mereka yang kedua ialah pertempuran antara keduanya iaitu hawa dan iman. Orang yang berperang berganti kalah dan menang inilah yang patut disebut “Mujahid”. Kalau dia mati di dalam perjuangan itu, matinya mati syahid. Kerana orang mati di dalam pertempuran perang dengan musuh lahir sahaja, musuh hawa itulah yang besar.
Rasulullulah s.a.w. setelah kembali dari satu peperangan besar bersabda kepada sahabatnya: “Kita ini kembali dari peperangan yang paling kecil, menuju peperangan yang lebih besar”. Setelah ditanya orang baginda menjawab peperangan dengan nafsu itulah perang yang paling besar.
Pernah pula orang bertanya kepada Rasulullah: Apakah perang yang paling utama ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Engkau perangi hawa nafsumu.”
Sabda Rasulullah s.a.w. untuk mencukupkan bagaimana besarnya bahaya hawa nafsu: “Bukankah orang yang gagah berani itu lantaran dia cepat melompati musuhnya di dalam
pertempuran, tetapi orang yang berani ialah orang yang boleh menahan dirinya dari kemarahan.” (HR: Abu Daud)
Orang yang ketiga adalah yang dapat mengalahkan hawanya, sehingga ia yang meme- rintah hawa bukan hawa yang memerintahnya, tidak boleh hawa mengutak-atikkannya, dia yang raja, dia yang kuasa dan dia merdeka, tidak terpengaruh, tidak diperhamba hawa.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kita yang tidak bersyaitan, saya sendiri pun ada juga bersyaitan tetapi sesungguhnya Allah telah menolong saya menghadapi syaitan saya itu sehingga dia saya kalahkan.” HR:Ibnu Juzi dan Ibnu Abdurrahman Salmi)
Kalau manusia kurang hati-hati, dia tergelincir, sangkaannya sanggup memerdekakan diri dari pengaruh syaitan, dia percaya akan dirinya. Dan akan sanggup berjuang melawan syaitan atau terpengaruh oleh syaitan, dan hawa nafsu. Bahkan kadang-kadang dirinya telah jadi syaitan tanpa disedarinya, kerana yang diikutinya bukan perintah Tuhan yang tidak setuju dengan kehendak nafsunya diputarnya, dialihnya, dibajunya dengan baju agama.
Kadang-kadang orang yang lindahnya berpidato, tidak gugup naik pentas sanggup memegang pimpinan kumpulan dan orang ramai, padahal dia menurutkan hawa nafsu. Apa saja tipuan yang dilakukan kepada orang ramai, diberinya cap ‘atas nama agama’, demikian firman Allah’, demikian ‘titah Rasul’ tidak boleh dilanggar, siapa melanggar berdosa . Pada hal ayat dan hadis itu hanya diambilnya, penguatkan hawa nafsunya . Bukan hawanya yang ditaklukkan nya, kepada Quran dan hadis.
Orang kaya dengan orang miskin tentunya mempunyai pembawaan diri masing-masing. Sang Labah semasa menempuhi kemiskinan hidup bersama isteri tersayang, rajin dan patuh kepada disiplin beragama sehingga sehelai kain sembahyang sahaja mereka berdua bergilir memakainya untuk mendirikan solat.
Tetapi setelah baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menghadiakan sepasang kambing untuk dipeliharanya, Sang Labah bertukar ketaatan agamanya kepada kurang mementingkan ibadah agama dan sering meninggalkan solat setelah kambing-kambingnya menjadi banyak dan sukar nak dikawal untuk keluar kota. Sehingga membayar zakat fitrah semasa bulan Ramadhan pun ia lalai menunaikannya.
Kesenangan dan kesusahan dalam menempuhi hidup sering menjadi persoalan dalam menangani fenomena pembangunan di alam dunia. Ini disebabkan manusia sering di bawah kawalan hati sama ada akal mahupun hawa. Akal membawa manusia menuju kebahagiaan yang hakiki manakala hawa menjanjikan kebahagian yang sementara.
Seharusnya adab orang yang kaya selalu rendah hati, tidak sombong, sentiasa bersyukur, melakukan amal-amal kebajikan, bermuka manis kepada orang fakir dan mahu mendatangi mereka, menjawab salam setiap orang, menampakkan kecukupan, bertutur kata baik, bersikap mulia terhadap masyarakat, serta membantu dalam hal-hal kebaikan.
Kekayaan dunia yang berbentuk material dapat diadaptasikan sebagai kekayaan dengan syarat ia dimanfaatkan sebagai penyumbang kepada perkembangan serta kemurnian agama sebagai cara hidup. Fokus ini tertumpu kepada amal-amal ibadah yang dikategorikan sebagai ‘jariah’. Amal-amal jariah buahnya akan mengiringi kita dari dunia hingga akhirat. Ia menemani kita di liang lahad, di padang masyar dan seterusnya di syurga Allah sebagai matlamat hidup manusia,
Penglibatan atau keberadaan manusia di dunia hanya sementara waktu sahaja iaitu sebatas umur yang Allah berikan pada setiap individu. Setelah itu hubungan manusia dengan dunia terputus sama sekali kecuali tiga perkara. Pertama, ilmu yang dimanfaatkan; kedua mempunyai anak yang saleh; dan ketiga ialah amal jariah. Ketiga-tiga fenomena ini menjadi faktor kekayaan dunia dan akhirat.
Kekayaan dunia yang berbentuk material seperti harta dunia, kemewahan, kemasysuran dan sebagainya adalah merupakan sementara sahaja semasa hidup di alam duna ini. Kekayaan tersebut tidak kekal bersama kita dan ia akan terputus dengan kita setelah ajal menjemput nyawa. Kemewahan dan kesenangan dunia tidak akan menemani kita ke liang lahad. Kita pergi meninggalkan alam ini sendirian tanpa teman.
Antara kekayaan dunia adalah seperti kemewahan, rumah besar, isteri cantik, kereta berjenama tinggi pendapatan yang tidak pernah berkurangan, pembantu rumah yang jujur dan ikhlas kesemuanya itu hanya kemanfaatan dunia semata. Malah tidak ada satupun ikut menemani kita ke liang lahad, termasuklah isteri tersayang. Sehelai kain putih yang membungkus jasad kita dan pahala-pahala yang pernah kita perolehi semasa hidup di alam dunia sahaja ikhlas bersama kita ke alam barzakh.
Kekayaan dunia adalah sebahagian daripada faktor kebahagiaan. Walaubagaianapun kekayaan semata tidak menjamin kebahagian hidup di dunia, kerana ramai orang yang hidup di dunia kaya raya tetapi sukar merasa kebahagian terutama sekali orang-orang yang menjauhi agama, hidup tanpa iman, Islam dan iktikad yang kuat.
Seketika orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah erti dan rahsia kebahagiaan, baginda bersabda: “Bahagia itu ialah tetap taat kepada Allah sepanjang umur!”
Tidaklah semua hawa tercela. Ada hawa yang terpuji dan ada yang tercela. Yang terpuji ialah perbuatan Allah yang dianugerahkan kepada manusia, supaya dia dapat membangkitkan kehendak mempertahankan diri dan hidup menangkis bahaya yang akan menimpa, berikhtiar mencari dan makan dan minum dan kediaman. Hawalah yang mendorongnya.
Untuk hidup pergunakan akal fikiran. Fikiran itulah kemudi hidup. Fikiran yang waras, ialah yang berjalan di antara akal dengan syahwat. Akal terletak di atas, syahwat (nafsu) terletak di bawa dan fikiran terletak di tengah-tengah. Kalau fikiran telah condong ke bawah, renggang dari atas, alamat celaka, kalau fikiran rapat ke atas dan renggang ke bawah, alamat kebaikan. Kecenderungannya ke atas membawa keberuntungan di dalam hidup dan cenderung ke bawah membawa segala celaka dalam hidup.
Orang yang berani menghadapi musuh mendapat pujian, tetapi manusia yang paling berani menghadapi musuhnya yang besar iaitu hawa nafsunya, tidak mendapat pujian apa-apa. Apakah sebabnya? Kerana perjuangan nafsu ialah perjuangan batin. Siapakah manusia yang dapat menyelami batin?
Orang yang berani, tegasnya pahlawan, ialah orang yang takut menghadapi suatu perkara yang dipandangnya berbahaya bagi kemanusiaannya. Dia lebih takut menghadapi perkara itu darpada menghadapi mati. Sebab itu kerapkali orang yang berani itu memilih mati daripada memilih yang ditakutnya itu.
Seorang manusia berperang dengan hawa nafsunya, kerana dia takut jatuh hina kalau kalah oleh nafsu. Dalam hidup yang hanya sekejap mata ini, kerap menanggung bermacam-macam malapetaka. Itu tidak mereka takut, yang mereka takut ialah malapetaka di akhirat. Kekayaan akhirat jagalah amal ibadah mu agar sentiasa dimurnikan dengan mendapatkan pahala.
No comments:
Post a Comment