Sunday, April 29, 2012

IBADAT TANGGUNGJAWAB SETIAP INSAN

(Disiarkan pada 28. 4. 2012) Ibadat adalah bakti kepada Tuhan seperti sembahyang, berdoa atau bersedekah, berbuat baik sesama manusia dan sebagainya. Pekerjaan menurut perintah Tuhan; menunaikan suruhan agama. Pertanyaan timbul: “Mengapakah kita melaksanakan ibadat kepada Tuhan? Untuk menjawab persoalan tersebut, perlu kita bersandarkan kepada firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an yang bermaksud (terjemahan): “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepadaku”. (Surah Az-Zaariyat ayat (51)56. Tujuan Allah mewujudkan manusia di dunia ini secara umum adalah dua. Pertama, sebagai hamba Allah dan wajib menyembah dan beribadat serta memuji-Nya. Kedua memelihara hubungan sesama manusia yang diikat dengan perasaan kasih sayang dan seterusnya memelihara hubungan manusia dengan Allah s.w.t.. “Hablumminnas dan hambul minallah”. Untuk melaksanakan ibadat kepada Allah wajar kita mengenali diri sendiri terlebih dahulu. Dari kefahaman serta mengenali diri sendiri akan menjadi inspirasi kepada kita untuk mengenali Tuhan sebagai penciptanya. Berpangkal kepada kejadian Adab a.s. sebagai manusia pertama wujud di alam dunia ini kemudian dilanjutkan kejadian manusia apabila Hawa diwujud kan dari tulang rusuk Adam. Adam dijadikan dari sari pati tanah iaitu jasad manusia dijadikan daripada tanah kemudian Allah hembuskan roh ciptaan-Nya ke dalam jasad maka jadilah manusia yang berperasaan dan berkemahuan. Siti Hawa wujud daripada sebahagian anggota Adam iaitu tulang rusuk Adam, maka lahirlah perasaan kasih sayang antara keduanya, Adam dan Hawa. Perasaan kasih sayang inilah yang menjadi tarikan antara kedua-dua mereka. yang dikenali sebagai fitrah atau cinta. Kehadiran ‘cinta ‘ dalam hati kedua-dua lembaga, lelaki dan perempuan disebabkan telah mengetahui asal kejadian mereka. Perempuan dapat menemui dari mana asalnya dan lelaki juga mengenali bahagiannya yang telah hilang. Selain dari perasaan cinta dan kasih sayang yang dibekalkan kepada manusia oleh Allah s.w.t., ada banyak lagi fitrah lainnya yang hanya Allah sahaja yang berkuasa membekalkan kapada makhluk manusia. Segala nikmat yang ada pada manusia seperti melihat, berfikir, merasa dan menghidu serta segala pergerakan berbagai anggota badan adalah kekuasaan Allah s.w.t. untuk menggerakannya. Pergerakan jantung mengepum darah ke seluruh anggota badan manusia adalah kekuasa- an Allah s.w.t. Nikmatnya mempunyai gigi yang membantu manusia dalam menghacurkan makanan sebelum dimasukkan ke dalam perut untuk dihadam kelak manjadi tenaga untuk membesar dan dapat melaksanakan ibadat. Semua aktiviti pergerakan dalam jasmani manusia adalah berpunca kepada Allah s.w.t.. Mengikut pandangan seorang doktor perubatan di salah satu klenik swasta Keningau, Dr. Alifudin; satu molekul darah hanya mampu menjadi aktif untuk diguna dalam proses kehidupan selama lima belas hari sahaja. Selepas itu darah berkenaan menjadi tidak aktif dan harus diganti yang baru. Menukarganti darah yang baru dalam badan manusia, para doktor tidak mengetahui bagaimana? Tetapi doktor muslim memhaminya adalah Allah yang berkuasa untuk menukar ganti. Setiap ibadat yang kita laksanakan adalah arahan dari anggota otak manusia menyalurkan arahan tersebut kepada anggota berkenaan untuk membuat tindakan. Pergerakan serta aktiviti yang berlaku dalam kelangsungan hidup adalah berpunca kepada kehadiran rohani yang Allah bekalkan kepada manusia. Jasad manusia yang telah ditinggalkan oleh rohani kita tidak dapat berbuat apa-apa. Mata dan otak masih ada tetapi tidak lagi dapat melaksanakan ibadat. Jangankan mata melihat, terbuka sahaja pun tidak. Mulutnya pun masih utuh tetapi tidak dapat lagi berkata-kata dan segala anggota badan masih ada tetapi tidak ada gunanya lagi kerana tidak dapat melaksanakan ibadat demi kelangsungan hidup. Maka itu jika segala perlaksanaan aktiviti kehidupan manusia adalah atas kekuasaan Allah s.w.t., wajarkan manusia melaksanakan seruhan Allah seperti mana dalam firman-Nya dalam surah Az-Zaariyat ayat (51) 56? Hidup dan mati segala makhluk di alam ini adalah kekuasaan Allah s.w.t.. Tujuan manusia dihidupkan di dunia adalah sebagai hamba Allah dan wajib sujud menyembah dan memuji Allah s.w.t.. Kedua, memelihara hubungan manusia dengan Allah. Manusia diberi keistemewaan oleh Allah dengan adanya fakulti akal dan fikiran. Akal merupakan rasul dalam diri manusia yang dapat memimpin ibadatnya yang dilaksanakan dalam hidup. Hidup ini merupakan satu disiplin “give and take” antara makhluk manusia dengan Tuhan. Tuhan memberi kita hidup maka wajib diimbali dengan menyembah dan memuji Tuhan. Dengan pada itu Tuhan tidak jatuh dari taktah keTuhanan jika manusia tidak menyembah dan beribadat kepadanya. Firman Allah s.w.t. ayat 57-58 surah Az-Zaariyat, yang bermaksud (terjemahan): “(Aku) Allah tidak menghendaki sedikitpun rezeki dari mereka dan aku tidak menghendaki supaya mereka memberi aku makan. Sesungguhnya Allah itulah pemberi rezeki, yang mempunyai kekuatan lagi sangat tegap.” Dengan menugaskan mereka menyembah Allah, bukanlah Allah hendak meminta rezeki dan memberi-Nya makan daripada mereka sedikitpun, atau mereka menanggung rezeki dan makan mereka sendiri atau rezeki dan makan pihak yang lain, tidaklah sekali-kali! Sebaliknya Allah itulah sebenarnya, yang mempunyai kuasa memberi rezeki kepada sekalian hamba-Nya dan menjamin adanya rezeki bagi mereka yang menghajatinya. Ayat ini seolah-olah Allah mengatakan: Aku tidak perlukan pertolongan seperti seorang tuan memerlukannya dari hamba-hamba sahayanya. Kerana hamba-hamba sahaya yang dimilikinya itu dipergunakannya untuk menyempurnakan penghidupannya. Oleh sebab itu berkerjalah kamu mengikut tujuan kamu diciptakan iaitu mengabdikan diri kepada–Nya. Kerana di samping Allah pemberi rezeki, Dia tersangat kuat lagi tegap mengatur urusan hamba-hamba-Nya. Segala aktiviti kehidupan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga, masyarakat, bangsa dan negara secara keseluruhan termasuklah setiap makhluk yang ada di alam kehidupan ini adalah ibadat kerana Allah s.w.t. Kita sebagai pemakmur dan pemudahcara untuk kelangsung hidup makhluk lain yang ada di alam kehidupan. Maka Allah jadikan manusia sebagai khalifah-Nya untuk menanggungjawab ibadat–ibadat tersebut. Manusia hidup di dunia hanya buat seketika sahaja maka hidup akhiratlah yang kekal abadi. Untuk menempuhi hidup bahagia di akhirat kelak buat selama-lamanya kita kena buat ibadat di dunia untuk membolehkan kita mendapat kebahagian hidup yang berkekalan di alam akhirat yang dikenali sebagai syurga. Kebahagian hidup di syurga tidak ada serupanya kebahagian di dunia. Hidup di dunia memerlukan ibadat kita iaitu menggunakan tenaga, pemikiran, akal dan sebagainya untuk mendapatkan segala keperluan hidup yang diingini. Allah itu Maha adil dan Maha bijaksana untuk mengatur hamba-hamba-Nya supaya dapat melaksanakan ibadat yang diredhai-Nya. Manusia dibekalkan segala fitrah atau fakulti dalaman untuk menangani kehidupan seperti otak untuk mengolah ibadat kepada Allah, tenaga untuk memyempurnakan aktiviti kehidupan di samping memelihara ukhuwah kemanusiaan dan juga hubungan makhluk manusia dengan Allah s.w.t. sebagai zat yang Maha berkuasa dan Maha bijaksana terhadap segala sesuatu. Tanggungjawab utama dalam hidup ialah melaksanakan ibadat kepada Allah s.w.t. Ia dipertanggungjawabkan ke atas manusia melakukannya umtuk mendekatkan diri kepada-Nya, mencari keredhaannya serta meraih pahala-pahala yang disediakan-Nya. Ia adalah sebagai gambaran hakikat keimanan manusia dan memberi keyakinan kepada mereka untuk bertemu dengan Allah serta perhitungan-Nya. Syiar yang paling jelas ialah empat (dan dua kalimah syahadah) yang lebih dikenali sebagai rukun Islam serta binaan-binaannya yang paling besar iaitulah yang dikhususkan oleh ahli fiqh dengan istilah “ibadat”. Sebagai menunjukkan ketinggian rukun Islam, terdapat sebuah Hadith Masyhur yang bermaksud: Islam itu terbina di atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan. Selain dari empat kefardhuan tersebut ada lagi dua fardhu asas lain yang ditekan dan dianjurkan oleh Islam serta dimuliakan kedudukannya. Kedua perkara ini wajar dikelaskan sebagai tiang dan siar Islam yang utama. Perkara yang dimaksudkan ialah kefardhuan amar ma’ruf nahi munkar (memerintah ke arah kebaikan dan melarang dari kejahatan) dan kefardhuan berjihad di jalan Allah s.w.t. Lantaran itu fardhu-fardhu dan syiar-syiar amali yang asasi berjumlah enam semuanya, iaitulah: 1. Mendirikan solat, 2. Mengeluarkan zakat, 3. Berpuasa Ramadan, 4. Menunaikan haji, 5. Amar ma’ruf nahi mungkar dan 6. Jihad di jalan Allah. Semua fardhu ini sebagai syiar kerana ia adalah tanda-tanda penampilan, jelas dan membezakan antara kehidupan Muslim dan non-Muslim. Ia juga membezakan antara kehidupan masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam.(Sumber: Prof. Yusuf Al-Qardhawi: “Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan”. Penerbitan Seribu Dinar 2000. h 83) Melaksanakan serta mengagungkan semua syiar ini adalah bukti kekuatan akidah di dalam sanuberi serta kemantapannya di sudut hati. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hajj: 32 yang bermaksud (terjemahan): “Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa yang mengagungkan syiar-syair Allah, maka sesungguhnya ia timbul dari ketakwaan hati”. Kewajipan dan syiar yang pertama ialah solat. Solat adalah tiang Islam dan kewajipan Islam yang berbentuk harian serta diulang-ulang. Solat adalah perkara pertama bagi orang beriman yang akan dihitung pada Hari Qiamat kelak. Solat adalah garis perbezaan pertama antara Islam dan kufur serta antara orang beriman dan orang yang kafir. Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam Hadith-hadith Baginda. Antaranya: “Perbezaan antara seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan solat”. “Perjanjian yang membezakan antara kita dan mereka ialah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti ialah telah kufur.”(Hadith shih) Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Mukminun: 1, 2. yang bererti (terjemahan): “sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) yang khusyuk di dalam solatnya.” Ini adalah satu bukti tentang kedudukan solat dalam kehidupan individu Muslim dan masyarakat Islam. Zakat merupakan syiar kedua di dalam Islam dan salah satu rukun kewangan masyarakat yang terbesar. Ia adalah umpama saudara kandung kepada solat di dalam al-Qur’an. Ia berbentuk perintah seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 43, yang bermaksud (terjmahan) “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat”. Amar ma’ruf nahi munkar, merupakan kewajipan atau siar kelima di dalam Islam. Ia ibarat pagar dan pengawal kepada syiar-syair sebelumnya. Al-Qur’an menjadikan amar ma’ruf nahi munkar sebagai keistimewaan utama umat Islam yang menjadikan mereka terunggul di atas permukaan bumi. Firman Alah dalam Surah Ali Imran: 110 yang bermaksud (terjemahan): “Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyeruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah”.

Saturday, April 14, 2012

KASIH SAYANG KEMURNIAN BERMASYARAKAT

(Disiarkan pada 14. 4. 2012)
Kasih sayang adalah naluri manusia yang berpangkal daripada hati. Ia merupakan satu perasaan ingin memperolehi atau memiliki sesuatu yang menyenangkan hati atau menghiburkan jiwanya atas kehadirannya. Dengan adanya sesuatu fenomena yang menggamit keselesaan pada perasaan ia menjadi pemangkin jiwa untuk memikirkan satu persepsi yang mendekatkan kita kepada Zat Yang Maha Esa.
Sifat kasih sayang yang ada pada manusia agak berbeza dengan sifat kasih sayang yang ada pada haiwan yang membiak. Iaitu kasih sayang berpangkal daripada hati dan kasih sayang secara instinct atau tabii berbeza dari perpektif felosofinya atau disiplin yang mengawal pada tindakan untuk mengeluarkan perasaan kasih sayang.
Naluri kasih sayang yang ada pada manusia sememangnya berpunca kepada kehadiran rohaniahnya yang dibekalakan oleh Allah s.w.t. Rasa keinsanan merupakan rasa kemanusiaan yang berunsur rohaniah yang mempunyai ciri-ciri kasih sayang terhadap sesama insan kerana Allah s.w.t. Sifat kasih sayanglah yang membentuk tamadun kehidupan manusia dan memberi satu kekuatan dalam melahirkan masyarakat yang bersosial.
Kekhalifaan manusia berdasarkan kehadiran naluri kasih sayang yang membentuk satu ikatan mesrah antara manusia sebagai pemakmur alam kehidupan dengan makhluk Allah s.w.t. yang hidup bersamanya di alam buana ini. Perasaan kasih sayang merupakan satu kualiti atau sifat yang mendekatkannya kepada Allah s.w.t. yang mempunyai sifat pengasih dan penyayang.
Kasih sayang dalam membina keluarga menjadi agenda utama dalam pembangunan manusia. Islam sungguh-sungguh menjadikan kasih sayang satu perwatakan yang maksimum untuk membina hubungan di dalam keluarga. Mengeratkan antara anggota-anggota keluarga berupa cinta, kasih sayang, pertolongan, ikhlas, nasihat, saling berkomunikasi, bersatu padu, saling menolong dan saling menyayangi.
Cinta antara saudara adalah sifat fitrah dan kecendrungan yang suci pada diri manusia. Islam selalu menjaga kekuatan rasa itu, semakin mendarah daging, kebesaran kemampuannya dan menjelas hak-haknya.
Kedekatan dan hubungan manusia adalah hal penting bagi keluarga dan keturunannya dan mereka adalah penolong keluarga. Dengan adanya hubungan antara manusia di dalam keluarga itu, mereka dapat menjadi senang dan ramah dalam keadaan persaudaraan. Mereka dapat menolong pada keadaan kesusahan dan dalam cubaan. Mereka adalah tempat meminta pertolongan selain dari Allah s.w.t.
Kasih sayang itu puncanya ialah Allah s.w.t.. Setiap kali kita memulakan sebarang ibadat kepada Allah kita dituntut untuk mengucapkan “Bismillahirahmanirahim”, yang bermaksud dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ar-Rahman maksudnya memberikan rahmat kepada sesiapa pun samada yang beriman atau tidak beriman kepada Allah s.w.t.. Rahmat yang dimaksudkan ialah rahmat yang kecil selama hidup di dunia sahaja.
Ar-Rahim maksudnya memberi rahmatnya hanya kepada tertentu sahaja; iaitu yang dikasihi dan disayangi oleh Allah s.w.t. sahaja dan rahmat ini adalah rahmat-rahmat besar yang tidak terbatas waktunya selama hidup di dunia. Rahmat-rahmat besar tersebut dapat dirasakan nikmat dan manfaatnya yang berkekalan buat selama-lamanya iaitu kebahagiaan di akhirat.
Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya yang baru lahir sebagai contoh, tidak ada keraguannya. Ibu menyusukan bayi, maka itu ibu harus menjaga kesihatannya agar air susu ibu sentiasa mencukupi untuk si bayi. Membina keluarga bahagia ibubapa menanamkan kasih sayang mereka dengan membekalkan makanan dan munimun yang halal di samping melayani mereka dengan ilmu yang mendatangkan kemanfaatan masa depan anak-anak tersayang.
Kedua ibubapa adalah orang yang paling dekat dari segi keturuan, dan paling terasa kasih sayangnya, serta yang paling dekat rasa cinta terhadap anak-anaknya. Sesungguhnya ibu memiliki tiga darjat daripada ayah, iaitu ia merasakan berat dan susahnya mengandung, melahirkan dan menyusu.
Ketiga perkara tersebut ditanggung dan dirasakan beratnya oleh ibu seorang diri, kemudian ayah bersama-sama dengan ibu dalam hal mendidik dan membesarkan anak. Hal tersebut telah disinggung oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya yang berbunyi (terjemahan):
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungi dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan mengasuhnya dalam dua tahun. Besyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibubapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”(Luqman: 14)
Keduanya bersama-sama di dalam perintah (wasiat), Allah memperingatkan tentang kekhususan seorang ibu pada tiga perkara, hal tersebut menunjukkan bahawa mereka berdua adalah orang pertama kali paling berhak untuk diperlukan baik dan disayangi.
Imam Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan adalah bahawa seorang ibu lebih berhak untuk diperhatikan dan diperlukan dengan baik oleh anak. Ia harus lebih didahulukan daripada ayah pada saat, berlaku kontradiksi kepentingan di antara mereka.”
Kehidupan suami isteri harus dibangunkan atas dasar kasih sayang yang tulus dan cinta yang benar. Sebab selagi perasaan yang mulia ini hidup, maka semuanya akan menjadi kebaikan dan berkat bagi orang yang memilikinya. Perkahwinan adalah hubungan yang suci, berdiri di atas makna roh dan perasaan yang mulia. Perkahwinan merupakan ungkapan persekutuan antara dua orang dalam segala urusan hidup. Ikatan perkahwinan dalam Islam berlaku untuk selama-lamanya dan harus dieratkan, kecuali Allah menghendaki susuatu yang memang harus terjadi.
Oleh kerana itu hubungan antara suami dan isteri merupakan bentuk hubungan yang paling suci dan paling kuat. Allah telah berfirman, yang bermaksud (terjemahan): “Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.” An-Nisa: 21.
Mengucap dua kalimah syahadah membuka kasih sayang pada hati individu yang diredhai Allah s.w.t. yang sentiasa pengasih dan penyayang. Allah itu pengasih kepada segala hambanya tidak kira beriman atau sebaliknya; tetapi Ia penyayang hanya pada hambanya yang beriman atau yang telah mengucap dua kalimah syahadah dengan hati yang ikhlas sahaja.
Dengan terbukanya pintu kasih sayang maka kefahaman diri di sisi Allah s.w.t. menjadi pedoman untuk menangani hidup bermasyarakat. Di antara faktor-faktor hidup yang wajar difahami ialah setiap individu yang sayangkan dirinya, keutamaan haruslah ditumpukan kepada amalan hidup yang membawa kepada keselamatan dirinya samada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.
Kasih sayang kepada diri dilihat dalam dua dimensi hidup iaitu jasmani dan rohaninya. Memelihara kedua alam ini akan mendekatkan kita kepada keesaan Tuhan kelak membawa kita mensyukuri segala nikmat hidup yang dibekalkan oleh Allah s.w.t.. Menjaga kesihatan jasmani berpaut kepada perkara halal dan haram untuk mendapatkan zat makanan.
Dalam perspektif orang Islam kasih sayang kepada diri tertumpu kepada perhatian untuk memperolehi ilmu pengetahuan sehinggalah ilmu pengetahuan boleh dianggap sebagai suatu tanggungjawab agama yang suci, yang dikenakan ke atas setiap Islam baik lelaki mahu pun perempuan.
Firman Allah yang pertama yang diturunkan kepada Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. ialah memerintahkan manusia untuk membaca iaitu “Iqra”. Membaca adalah landasan ilmu atau disiplin memahami kedatangan sesuatu makna. Dengan kedatangan sesuatu makna
itulah ilmu pengetahuan dan ia penting dalam membangunkan tamadun manusia.
Ilmu pengetahuan mestilah bersifat benar dan hakikat seperti apa yang dikatakan oleh Al-Qur’an sebagai haq dan mestilah diperolehi untuk tujuan kegunaan dalam kehidupan seharian. Supaya hidup yang dijalani oleh manusia menurut tujuan dan matlamat dijadikan-Nya, dan perintah yang diberikan mestilah dipenuhi.
Kehadiran ilmu pada manusia menjadikan ia dipilih sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini. Allah menyingkirkan iblis sebagai penghuni syurga-Nya gara-gara gagal menghormati makhluk manusia kerana kelebihannya mempunyai ilmu yang Allah ajarkan pada Adam. Ini menunjukkan begitu tinggi nilai ilmu dan jikalau ia dipunyai oleh seseorang maka ia akan di segani, dihormati dan disayangi oleh orang lain.
Agak jelas bahawa sebahagian daripada para pemimpin kita telah mulai sedar mengenai kedudukan ilmu pengetahuan sebagai prasyarat penting bagi kebangunan bangsa yang kuat dan dihormati serta disayangi.Yang Amat Berhormat mantan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Muhamad telah mengistiharkan tahun 1988 sebagai “Tahun Pembaca”.
Kementerian Pendidikan pula, selain daripada memperkenal dan menekankan mustahak nya Budaya Ilmu, juga telah memberikan tema untuk Hari Guru tahun 1988, “Guru Pengasas Budaya Membaca”, manakala Kementerian Belia dan Sukan pula memilih tema “Belia Berilmu Negara Maju” sebagai tema Hari Belia tahun berkenaan.
Telah berlaku dalam sejarah manusia bahawa bangsa yang mempunyai tradisi budaya ilmu mempunyai pengaruh besar kepada bangsa-bangsa lain yang jauh lebih besar jumlah rakyatnya dan lebih kuat bala tenteranya. Hasil keilmuan bangsa Yunani berpengaruh besar ke atas Rom dan bangsa-bangsa lain sehingga ke hari ini. Begitu juga pengaruh keilmuan Jerman amat besar terasa di Russia, Peranchis dan Amerika Syarikat.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa atau umat. Semua agama dan system sosial manusia menganjurkan ahlinya ke arah ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya sebagai satu faktor penerusan agama, kepercayaan atau warisan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Tujuannya yang paling utama ialah untuk kepentingan duniawi seperti semua system sosial manusia: dan sesetengahnya seperti Islam dan beberapa agama lain meliputi kebahagiaan ukhrawi.
Semua individu manusia dan bangsa yang berjaya dan dihormati serta disayangi – melalui jasa mereka terhadap manusia sezaman dan apatah lagi selepas zaman masing-masing – mencapai kejayaan mereka melalui ilmu pengetahuan.
Kelemah dan kejatuhan individu dan bangsa adalah merujuk pada faktor ilmu juga; iaitu daripada segi kepincangan konsep yang mungkin berasal daripada kelemahan penggubal awalnya seperti semua konsep ilmu hasil pemikiran manusia baik daripada ahli-ahli falsafah Yunani Kuno, China dan Barat moden; atau pun mungkin berasal daripada kesilapan tafsiran para pengikut mereka yang terkemudian seperti yang berlaku kepada konsep ilmu agama Keristian dan Islam.
Budaya Ilmu wajar diterapakan krusus kepada para remaja sebagai pelapis dalam pembangunan negara yang kita cintai dan sayangi. Budaya ilmu, antara lainnya bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan; dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan
Dalam budaya ini ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam system nilai
peribadi dan masyarakat di setiap peringkat. Ringkasnya budaya ilmu ialah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dan keutamaan lainnya yang dicari dan dikembangkan di setiap masa dan tempat.
Dimensi kasih sayang yang kedua ialah keselamatan dan kesejahteraan rohani yang berkait rapat dengan akhlak manusia. Memelihara hubungan antara sesama manusia, menanamkan rasa kasih sayang antara sesama insan adalah antara ibadat yang diwajibkan oleh agama Islam kerana Allah s.w.t.. Mencintai Allah s.w.t. bermakna kita wajib mengerjakan ibadat memuji Allah serta menunaikan semua rukun Islam dan rukum iman. Dengan segala ibadat tersebut yang dilaksanakan membawa rasa kasih sayang kepada diri sendiri.
Dalam segala hal ibadat masa hidup, kasih sayang sesama insan merupakan faktor keselamatan dan kesejahteraan rohani kita. Ini penting kerana jasmani hanya bermanfaat di dunia sahaja tetapi rohani kita kekal hingga ke akhirat.

Wednesday, April 11, 2012

UKHUWAH ISLAMIYAH LANDASAN KESETIAAN SOSIAL

(Disiarkan pada 7. 4. 2012)
Ukhuwah Islamiyah adalah tali yang paling kuat, benar, kekal dan lebih sempurna dari semua ikatan dan hubungan lainnya. Segala sesuatu yang menyatu dan mengukuhkannya diakui dan dianjurkan oleh Islam. Dan segala yang bertentangan dan menghilangkannya, digagalkan dan ditentang oleh Islam.
Allah s.w.t. berfiram dalam surah al-Mujadilah: 22 Yang bermaksud (terjemahan): “Tidak mungkin engkau menemui sesuatu kaum yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya. Sekalipun mereka itu bapa-bapa mereka, atau anak-anak atau saudara-saudara, atau pun keluarga mereka”.
Tidak mungkin akan mendapati seorang yang mengaku dirinya beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat itu mempunyai pendirian hidup untuk berkasih sayang dan bermesra-mesraan dengan golongan atau pihak yang menentang Allah dan rasul-Nya sebagai musuh Allah dan rasul-Nya. Kerana iman orang Mukmin akan rosak dan terbinasa iman tersebut kalau dia berkasih sayang dengan orang kafir. Bahkan adalah menjadi suatu kewajipan bagi orang Mukmin tidak menjadikan orang kafir itu pemimpinnya.
Pengajaran ayat ini ialah mengingatkan, siapa yang mengasihi Allah hendaklah memusuhi musuh Allah. Kerana tidak akan berjumpa di dalam hati seseorang kasihkan Allah dan kasihkan musuh-Nya pada satu ketika, sebagaimana cahaya terang suasana kegelapan, kedua-duanya tidak akan berjumpa pada suatu ketika. Kalau di dalam hati masih terdapat kasihkan musuh Allah, maka akan sirnalah segala iman yang ada di dalamnya. Bermakna: Kasihkan musuh-musuh Allah itu akan membinasakan iman.
Quthubi mengatakan tentang firman Allah s.w.t.: “Innama al-mukminuna ikhwatun” (Al-Hujurat:10) maknanya dalam urusan agama dan kehormatan bukan keturunan. Oleh itu, dikatakan “Persaudaraan kerana agama adalah lebih kukuh daripada persaudaraan kerana keturunan. Persaudaraan kerana keturunan akan terputus kerana perbezaan agama, tetapi persaudaraan kerana agama tidak akan putus kerana perbezaan keturunan.
Syaikh Hasan Ayyub berkata, “Persaudaraan kerana agama tidak tumbuh dari paksaan, tetapi timbul dari pengertian. Tali agama menyatukan sesama Mukmin seperti halnya cahaya matahari menyatukan pandangan. Orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan mencinti-Nya dengan tulus, orang-orang Mukmin akan mencintainya kerana hal tersebut.
Oleh itu jelaslah perbezaan antara ikatan darah dan nasab dengan ikatan iman dan Islam lebih kuat dan lebih penting kerana merupakan ikatan antara hamba dengan Tuhannya. Ikatan iman lebih sempurna dan lebih terjaga dari ikatan darah dan nasab. Ia merupakan ikatan yang kekal, tidak akan binasa, abadi, tidak akan hilang setelah kematian penganutnya. Ia juga merupakan penjelasan tentang keadaan manusia dan posisinya di sisi Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. Hanya Dia-lah satu-satunya pengkal kebahagian, kepemimpinan, kemuliaan dan kehormtan.
Dalam hidup seorang mukmin dianjurkan supaya memelihara hubungan yang baik dengan Allah s.w.t. dan juga hubungan yang baik kepada sesama manusia. “hablum minallah dan hablum minannas”.
Hubungan kita dengan Allah wajar diberi keutamaan dari segala-galanya kerana Allahlah yang berkuasa memberi kita segala nikmat hidup di alam ini dan juga alam akhirat nanti. Nikmat hidup yang ada dalam badan kita sendiri sahaja tidak terkira banyaknya. Nikmat-nikmat yang terpenting antara nikmat yang lain ialah nikmat hidup. Dalam hidup itu sahaja kita diberi berbagai nikmat yang tidak ada kepada makhluk lainnya seperti nikmat berfikir, merasa gembira, merasa kelezatan apabila menyentuk makanan dan berbagai-bagai lagi nikmat yang kita
perolehi dalam menangani hidup. Nikmat-nikmat yang menyeronokkan dalam hidup ialah nikmat berhubung dengan sesama insan yang dikenali sebagai ukhuwah kemanusiaan. Kebahagian yang kita perolehi tidak sehebat perasaannya berbanding apabila ada hubungan kita dengan orang lain. Segala faktor kehebatan dalam hidup wujud sisebabkan ada orang lain bersama kita.
Kita dikenali sebagai orang yang pintar disebabkan ada perbandingannya dengan orang lain yang kurang penampilannya. Jika kita hidup seorangan sahaja segala nikmat dalam kehidu- pan tidak dapat kita perolehi seperti ketampanan, kemuliaan, kekayaan, kecantikan, kerajinan, kepintaran, kecergasan dan sebagainya. Hubungan kita dengan orang lain atau ukhuwah Islamiah menjadi faktor kesempurnaan hidup di alam dunia ini.
Setiap insan harus memelihara ukhuwah kemanusiaan kerana dengan cara demikian kita dapat melihat kasih sayang Allah s.w.t. terhadap makhluk ciptaan-Nya. Dalam surah Al-Fatihah, Allah berfirman: “Iyyaka nak’ budu wa Iyyaka nastai’an.” Engkaulah yang kami sembah dan Engkaulah jua tempat kami meminta pertolongan. Apabila iyyaka nak budunya beres maka pasti nasta’innya pasti ada.
Dalam Islam sebagai agama Allah s.w.t. seluruhnya tertumpu di dalam kedua-dua persoalan ini iaitu ibadat dan doa. Orang yang beragama atau beriman kepada Allah, harus menyembah (beribadat) kepada-Nya dan harus meminta peretolongan kepada Allah s.w.t. (berdoa). Allah sahaja mempunyai kekuasaan mewujudkan segala sesuatu dan Dia sahajalah berhak memberi segala kenikmatan dalam kelangsungan hidup.
Tidaklah dikatakan beragama atau beriman bila kita berdoa sahaja tanpa beribadat kerana beragama Islam seharusnya membangun menjadi khalifah Allah s.w.t.. Ukhuwah Islamiah merupakan ibadat kerana Allah s.w.t. Kita mempunyai kasih sayang antara sesama insan sebagai unsur memelihara ketakwaan kita kepada yang Maha Kuasa.
Kasih sayang itu merupakan nikmat dari Allah yang dibekalkan kepada makhluk manusia seperti mana kita memahami bahawa unsur kehidupan manusia ada dua iaitu jasmani dan rohani. Rohaninya adalah ciptaan Allah s.w.t. yang dihembuskan-Nya ke dalam jasad (janin) setelah usianya genap 120 hari dalam rahim ibu.
Apabila roh Allah dimasukkan ke dalamnya maka jadilah seorang insan yang secara tabii mempunyai kasih sayang terhadap dirinya dan juga kepada sesama insan (ukhuwah) serta makhluk-makhluk lainnya yang ada di alam kehidupan ini. Memelihara ukhuwah Islamiah seharusnya menjadi agenda utama dalam hidup ini kerana ia merupakan ibadat kepada Allah s.w.t.
Firman Allah dalam surah Al-Hajj:27, yang bermaksud (terjemahan): “Hai orang-orang yang beriman, rukulah, sujudlahh dan sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan (kejayaan)”.
Allah menyeruh orang-orang mukmin supaya mendirikan solat sebagai tanda tunduk merendahkan diri kepada Allah s.w.t. dan hendaklah berbuat baik sesama insan sebagai tanda kasih sayang kepada Allah di samping menghubungkan silaturrahim atau ukhuwah kemanusia an, dengan menanamkan penampilan dan akhlak yang baik, berbakti untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t., berbudi bahasa yang mendatangkan kebajikan.
Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa bermasyarakat serta berpegang teguh kepada tali Allah s.w.t. iaitu agama Islam sebagai cara hidup yang telah dilengkapi dengan pengajaran serta panduan hidup dalam kelangsungan hidup di alam buana ini, bagi memandu manusia kepada jalan yang lurus dan dilindungi dari kesesatan.
Ikatan akidah Islam dan persaudaraan seagama merupakan satu hubungan kemanusiaan
yang lebih kekal dan lebih tegak. Ia adalah hubungan yang kuat, mengakar, berbenih yang dalam, mendarah daging dan meresap dalam hati. Ia merupakan bahagian dari akidah orang Islam dan salah satu asas agamanya yang mulia yang ia pilih dengan rasa senang dan rela hati.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, tidak menzalami dan menyerahkannya (pada musuh). Siapa pun yang menolong (memenuhi keperluan) saudaranya Allah s.w.t. akan menolongnya. Siapapun yang melapangkan kesulitan seorang muslim, Allah s.w.t. akan menolongnya dari kesulitan di hari kiamat. Dan siapa pun yang menutup (aib) seorang muslim, Allah s.w.t. akan menutupi (aib)nya di hari kiamat.(Hadith diriwayakan oleh Bukhari dan Muslim).
Turunnya wahyu Allah kepada manusia serta dipermudahkan kefahamannya dengan Haduth Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w., tidak ada sebab mengapa manusia tidak menjadi kannya sebagai panduan dalam memakmurkan kehidupan agar menjauhi umat manusia dari kesesatan dalam menangani hidup yang diredhai Allah s.w.t.
Untuk menyelesaikan agenda dunia demi mencapai kebahagiaan dalam hidup dunia dan akhirat, al-Qur.an menjadi faktor jaminan menempuhi jalan yang lurus yang diredhai Allah s.w.t.. Membudayakan hidup merendahkan diri untuk bertakwa kepada Zat yang Maha Suci menjadi faktor mencapai kebahagiaan dalam menangani hidup.
Firman Allah Surah Al-An’am ayat 153 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya itulah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia, dan jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) nescaya terpisahlah kamu dari jalan Allah. Itulah yang diperintahkan Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu takut (membuat kejahatan).”
Allah s.w.t. menjelaskan bahawa perintah yang berupa tegahan dan suruhan, sperti yang telah dinyatakan dalam ayat tersebut, itilah jalan Allah s.w.t. atau jalan Islam yang diredai-Nya untuk dijadikan pegangan hidup seluruh umat manusia. Itulah jalan yang lurus dan tidak akan bengkok selama-lamanya. Itulah jalan yang paling mudah ditempuhi dan tidak akan menyusahkan orang yang melaluinya kerana mengandungi kumpulan semua hokum syarak.
Oleh sebeb itu, ikutilah ia, jangan mengikuti jalan lain yang bermacam-macam corak kepercayaan dan keyakinan, seperti dianuti oleh orang-orang Yahudi, Nasrani, Majusi dan agama-agama lain, baik yang datang dari langit mahupun yang diciptakan oleh manusia sendiri yang menyalahi agama Islam. Kerana bilamana seseorang itu telah memilih jalan lain atau memilih agama selain Islam, maka terpisahlah ia dari jalan Allah dan terkeluar dari agama Islam.
Mudah-mudahan orang yang mengikuti jalan Allah itu akan takut membuat kejahatan dan terselamat dari kesesatan. Gunakan akal fikiran dan landaskan amalan kita kepada jalan yang diredhi oleh Allah s.w.t.. Dengan cara itu sahajalah manusia dapat menikmati kebahagiaan hidup di dunia dan diakhirat kelak Insya Allah.
Rasulullah s.a.w. menjelaskan posisi memberi pertolongan dan memusuhi dalam agama, kedua-duanya merupakan akar keimanan yang kuat (Haditah diriwayat oleh Ibnu Abu Syaibah). Maka mencintai dan menolong orang-orang Mukmin merupakan buah keimanan yang kuat. Ia terikat olehnya; ketika seorang menjadi lebih beriman, ia akan menjadi orang yang paling mencintai, menyayangi, menolong dan menasihati bagi sesama kaum muslimin, bersungguh-sungguh membantu dan melindungi mereka.
Allah s.w.t. telah memberi anugerah bagi hamba-hambanya yang mukmin melalui belas kasihan yang Allah s.w.t. tanamkan dalam hati mereka dan persaudaraan yang Allah s.w.t. jalinkan tersebut, seperti mana dalam firman-Nya yang bermaksud (terjemhan):
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah bercerai berai, dan ingatlah nikmat (kurnia) Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kamu – ketika
kamu bermusuh-musuhan (dahulu), maka dipersatukan-Nya hati kamu menjadilah kamu bersaudara dengan sebab nikmat tersebut”. (Ali Imran:103)