Friday, March 17, 2017

SEMPURNANYA IMAN DAN TAKWA MULIAKAN IBADAH KERANAN ALLAH

 (Disiarkan pada17. 3. 2017)
               Tauhid dalam Islam tidak mempunyai keraguan. Tauhid itu keluar dari hati dan diikuti dengan semua sifat mulia. Kalimat tauhid menanamkan kepercayaan kepada orang yang mengatakannya, bahawa tidak  ada yang disembah, tidak ada yang menghidup, tidak ada yang mematikan, tidak ada yang memberi rezeki dan tidak ada yang memberi manfaat kecuali Allah s.w.t..
               Orang-orang mukmin juga dapat mengambil faedah dari tauhid iaitu bersifat dengan berani dan tidak takut mati; sebab yang memiliki mati hanya Allah sahaja. Adanya sifat ini akan mengangkat diri ke darjat kemuliaan. Ia sanggup mati syahid pada jalan Allah. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an surah Ali Imran ayat 3:145 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melaikan dengan izin Allah. (Allah menetap kan) ketetapan yang tertentu waktunya.”
               Kematian seorang adalah mengikut qada dan qadar serta ketentuan yang telah menjadi suratan nasibnya yang telah dijanjikan oleh Allah – caranya iaitu Allah utus Malakul Maut untuk mencabut nyawa seseorang, sehingga tidak seseorang pun mati  kecuali dengan keizi-nanNya.       
               Allah telah memberikan tuntunan hidup bagi kita berupa agama Islam, sebagai pedoman yang sempurna, kerana di dalamnya terkandung hukum dan ketentuan-ketentuan yang bertalian dengan urusan dunia dan akhirat. Dalam definasi  kita jumpa tentang agama, iaitu:
“Agama ialah tuntunan Illahi untuk segenap orang yang berotak waras untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.”
Memang dengan akal kita dapat membedakan baik dan buruk, perintah dan cegah, sehingga bagi manusialah Allah mengamanatkan Agama. Firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 2:132 yang bermaksdu: (terjemahan)
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’qub. (Ibrahim berkata): Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”
Sebagai pertanggungan-jawab, maka hendaklah  kita menyerahkan hidup-mati, ibadat dan pekerjaan kita hanya kerana mengharapkan redha Allah semata-mata.
Firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-An’am ayat 6:162 – 163 yang bermaksdu; (terjemahan)
“Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).”
Dengan demikian semua amal perbuatan yang kita lakukan adalah benar-benar merupa kan pancaran cahaya Iman; dari sanalah terbentuknya akhlaqul kalimah dan laku perbuatan terpuji/amal saleh.
Kepada merekalah Allah akan memberikan kebahagian dunia dan tempat yang baik kelak di akhirat, sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 13:29 yang bermaksud: (terjemahan)
“Orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.”
Ayat ini merupakan penegasan janji Allah bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Amal saleh yakni perbuatan yang baik adalah meliputi tindak laku peribadi dan pergaulan bermasyarakat.Tegasnya seorang Mukmin harus bersikap dan berbuat baik terhadap diri sendiri dan masyarakat sekitar.
Terhadap diri sendiri ia harus memelihara perangai dan tata hidup sesuai tuntunan Allah; terhadap masyarakat sekitar iapun harus berbuat dan bergaul dengan sikap terpuji.
Manusia adalah sebaik-baik makhluk Allah; kepada merekalah Allah menunjukkan jalan yang benar, iaitu agama Islam.  
               Akan tetapi kerana keterbatasan sifat manusia banyak di antara mereka tersesat perjalanan hidupnya, gugur oleh pujuk rayu syaitan.
               Syaitan sentiasa berusaha agar manusia ingkar kepada Allah iaitu dengan memperlihat kan dan menjanjikan kemanisan hidup duniawi, sehingga tidak sedikit manusia terlena dan akhirnya terlepas sama sekali dari tuntunan Allah.
               Oleh sebab itulah Allah memberikan beban kepada orang-orang yang beriman agar melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar. Allah berfirman dalam Al-Qu’an surah Ali Imran ayat 3:110 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.”
               Jelasnya bahawa umat  Islam adalah semulia-mulia umat bagi pandangan Allah dan ciri mereka ialah sentasa melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar. Dari itu, sebagai Mu’min kita wajib melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar sebagai bukti ketaatan dan keimanan kepada Allah, iaitu dengan melakukan amal saleh dan membendung diri dari tingkah tercela.
               Dengan demikian samapilah kita kepada satu kesimpulan bahawasanya dari iman yang benar akan terpancar akhlaq yang baik, dari akhlaq yang baik terwujudlah perbuatan yang saleh, termasuk di dalamnya kesediaan beramar ma’ruf dan nahyi mungkar.
               Kunci iman ialah ibadat. Benar tidaknya ibadat seseorang sangat berpengaruh terhadap benarnya iman; dengan kata lain iman yang tidak terpelihara maka ibadatnyapun tidak teratur.
Kelahiran manusia di dunia merupakan lanjutan daripada kewujudannya di alam  arwah dahulu sebagai tempat ujian kepada manusia akan sejauh manakah keimanannya kepada Allah s.w.t. dan sumpah setia sebelumnya. Allah wujudkan jin dan manusia adalah untuk beribadat dan berbakti kepadanya.
               Firman Allah s.w.t. surah Adz-Dzariat ayat 51:56-58 yang bermaksud (terjemahan)
               “Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah Aku. Aku tidak sekali-kali menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak kehendaki mereka memberi makan kepada-Ku, sesungguhnya Allah s.w.t. Dialah pemberi rezeki yang mempunyai kekuasaan yang sangat teguh.”
               Allah menjelaskan bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk dari bangsa jin dan manusia tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya dan menegaskanNya - bukan   supaya mereka mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya.
               Menyembah Allah s.w.t. bererti memusatkan penyembahan kepadanya semata-mata dengan cara menjalani dan mengatur seluruh aspek kehidupan dunia ini secara zahir dan batin adalah sesuai dengan kehendak Illahi, baik secara perseorangan dalam hubunganna  terhadap sesama manusia.
               Dalam erti kata lain bahawa semua kegiatan seseorang hamba Allah sama ada yang berupa ibadat terhadap Illahi atau pun yang berupa muamalat terhadap sesama manusia, semuanya itu hendaklah dilakukan dalam rangka persembahannya kepada Allah s.w.t. dengan niat hendak mencapai keredhaan Allah semata-mata. Inilah tujuan hakiki dari hidup ini iaitu keredhaan Allah s.w.t., keredhaan Illahi yang memungkin tercapainya hidup yang sebenar-benarnya.
               Hidup yang lebih tinggi mutunya dari hidup yang duniawi, hidup yang bermaksud kebendaan sebagai kelanjutan hidup ini iaitu hidup di alam akhirat yang puncak kebahagiaa nya terletak dalam pertemuan dengan Khalik. Inilah erti  menyembah Allah s.w.t. sebagai tujuan hidup.
               Di samping itu  manusia semuanya telah bersumpah dan  berjanji kepada Allah s.w.t.
serta mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang perlu disembah dan Dialah yang mengatur seluruh makhluk ini.
               Perjuangan yang sebenarnya ialah perjuangan untuk menuju ke pangkuan Allah s.w.t. iaitu  ke mercu perjumpaannya dengan membawa bermacam-macam wadah perjuangan untuk dipersembahkan kepadanya. Segala hasil perjuangan mereka ini akan dapat dilihat sama ada baik atau buruk.
               Firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-Insyiqaq ayat 84:6 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Wahai manusia, sesungguhnya engkau telah berkerja keras sampai menemui Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya
               Ayat ini menceritakan bahawa manusia di dunia ini baik disedari atau tidak adalah dalam rangka perjalanan menuju kepada Tuhan dan walau bagaimanapun dia pasti akan menemui Tuhan-Nya untuk menerima pembalasan dari perbuatannya sama ada baik atau buruk.
               Allah s.w.t. dengan jelas telah relah menegaskan kepada manusia bahawa hidup di dunia ini pasti menghadapi berbagai rintangan, cubaan dan dugaan yang hebat sebelum manusia dapat berjumpa dengan-Nya demi menilai perjuangan manusia tersebut. Ini selaras dengan saranan Tuhan yang menjelaskan dunia ini adalah medan perjuangan hidup manusia bagi mencari kurniaan Allah s.w.t. sebelum manusia diketemukan dengan Tuhannya.
               Dalam menempuh  gelombang perjuangan hidup ini manusia menghadapi keadaan iaitu berjaya atau gagal. Setiap kejayaan itu pula melahirkan dua suasana di mana membuatkan dia bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas limpah kurnianya atau sebaliknya menimbulkan perasaan takbur dan lupa daratan.
               Begitu juga dengan kegagalan yang dihadapi oleh manusia akan mencetuskan dua keadaan pula iaitu sama ada dia putus asa atau frustasi terhadap perjuangannya atau sebaliknya dia lebih meningkat lagi usahanya untuk  melancarkan perjuangan baru berdasar kan pengalaman-pengalaman mereka dari perjuangan yang telah lalu.
               Tidak salah kalau diibaratkan manusia terhadap Tuhan seperti anak dengan bapa atau kuli dengan manager dan lebih dekat lagi  sebagai hamba dengan tuannya. Bahkan lebih dari itu. Allah s.w.t. merangkap sebagai tuan telah memberi kursus dan latihan- latihan untuk melengkap hambanya dengan ilmu ekonomi atau perniagaan.
               Setelah tammat kursus dan lulus dalam latihan tersebut, maka tuan yang berasa bertanggungjawab hambanya ingin menguji sejauh manakah  kemahiran, kepatuhan dan kemampuan hambanya dalam mengendalikan hidup di dalam perniagaan lalu diberikan wang sebagai modal untuk perniagaan tersebut serta diberi ingatan bahawa tempat yang akan dilalui oleh hambanya itu penuh dengan tipu daya yang menggoda dan boleh memesongkan matlamat seseorang itu, serta walau apa  terjadi, dia pasti akan bertemu dengan tuannya nanti.
               Andainya dia tidak  begitu berkeyakinan terhadap matlamat perjuangannya dan lupa akan pesanan dan perjanjian tersebut akan tersungkurlah ke jurang kehancuran dan kehinaan. Tetapi kiranya mereka betul-betul faham terhadap perjuangan hidupnya dan ingat kepada matlamat kedatangannya itu serta dia akan bertemu kembali dengan tuannya untuk melaporkan hasil-hasil perniagaan tersebut di hadapan Rabbul Alamin, maka dia akan kembali dengan penuh ketenangan dan kerelaan lantaran berjaya dalam perniagaan tersebut.
               Begitulah dengan perjuangan manusia dalam menempuhi alunan gelombang hidup ini, kiranya dia orang yang beriman nescaya dia tidak akan mengenal gagal dalam erti kata menghadapi perjuangan hidup. Masa yang diizinkan kepadanya dipenuhi dengan berbuat bakti kepada Allah s.w.t. dan berjasa kepada masyarakat. Apa yang diharapkan ialah untuk cepat-cepat bertemu dan melapor perjuangan itu kapada Tuhan.
Sekalian manusia di dunia ini dianggap oleh Allah s.w.t. sebagai orang-orang yang
rugi kecuali orang-orang yang beriman dan melakkukan amal saleh juga nasihat menasihati
antara satu sama lain di samping sabar menghadapi perjuangan hidup. Firman Allah dalam
Al-Qur’an surah Al-Ash ayat 103:1-3 yang bermakssud: (terjemahan)
                    “Demi masa sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Dan nasihat menasihati tentang sesuatu yang benar dan  nasihat-menasihati agar bersabar.”
                    Peringatan Allah ini  adalah sebagai penawar hati dalam menghadapi perjuangan hidup yang hebat ini serta untuk menjadi panduan kepada manusia bagi melancarkan perjuangan nya. Bahawa masalah yang akan menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu perjuangan itu, sebab itu Tuhan bersumpah demi masa untuk menarik perhatian manusia yang telah dilalui supaya menggunakan masa yang begitu berharga bagi membantu perjuangan hidupnya.
                    Hendaklah masa itu tidak dibiarkan berlalu dengan begitu sahaja tanpa diisi dengan sesuatu yang berguna, apa lagi kalau diisi dengan kejahatan dan perbuatan yang keji. Di samping itu dalam menghadapi perjuangan yang sengit ini seringkali manusia berputus asa  atau sesak nafas untuk meneruskan perjuangannya. Maka manusia perlu kepada ketabahan hati, keunggulan semangat, nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Dengan adanya kerjasama yang erat ini akan mudahlah manusia mengadapi perjuangan hidupnya.

                    Maka itu sempurnanya iman dan takwa kepada Zat yang Maha Pencipta, muliakan ibadah kerana Allah. Walaubagaimana pun dalam pembangunan muamalat setiap individu semestinya menghiasi diri dengan ilmu pengetahuan yang membimbingnya ke jalan yang diredhaan Allah s.w.t. Allah lebih suka hamba-Nya yang berilmu daripada yang tidak punya ilmu, kerana ilmulah membetulkan persepsi manusia dalam menangani kehidupan sebagai khalifah Allah s.w.t. di dunia ini. 

No comments:

Post a Comment