Thursday, March 30, 2017

MANUSIA HIDUP WAJAR DENGAN IMAN DAN TAKWA KEPADA ALLAH S.W.T.

 (Disiarkan pada 31. 3. 2017)
               Hidup ini merupakan perjuangan; perjuangan itu adalah pengorbanan dan pengorbanan itu  merupakan Tawakal. Tanpa bertawakal ta’ perlu berkorban dan kalau tidak berkorban ta’ payah berjuang dan kalau ta’ mahu berjuang elok berhenti hidup!
               Hidup di dunia semestinya dengan iman; iman tidak sempurna jika tidak dihiasi dengan takwa kerana takwa itu mempunyai ciri-ciri kemanusiaan yang tawadhu atau rendah diri; qanaah iaitu  cukup memadai apa yang ada dan tidak sama sekali mempunyai sifat warak yang terpelihara  baik yang subahat lebih-lebih lagi yang haram; dan tidak sama sekali mendekati  koropsi. 
               Allah berfirman salam Al-Qur’an surah Az-Zariyat ayat 51:56 yang bermaksud; (terjemahan)
               “TidaklahAku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah
kepada Ku.”
Allah menjelaskan, bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk dari bangsa jin dan manusia, tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya dan mengesakan-Nya – bukan supaya mereka mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus lumus untuknya.
Mengabdikan diri kepada Allah wajar dengan iman dan takwa. Iman itu merupakan kekuatan naluri manusia untuk meyakini bahawa Allah s.w.t. adalah penguasa terhadap kewujudan segala makhluk di alam kehidupan sama ada yang hidup atau sebaliknya.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Al-Hujurat ayat 49:15 yang bermaksud: (terjemahan)
“Orang-orang yang beriman itu ialah yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian itu tidak ada ragu-ragunya lagi, dan mereka berjihad dengan harta benda dan diri mereka sendiri pada jalan Allah. Itulah orang-orang yang benar pengakuannya.”
Kaum Mukminin yang benar-benar beriman itu hanyalah mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
1. Percaya kepada Allah dan rasul-Nya.
2. Tidak terdapat dalam hati mereka perasaan ragu-ragu dan syakwasangka, tidak
    bergoncang imannya, bahkan tetap teguh di dalam satu keadaan.
3. Berjihad, iaitu berjuang pada jalan Allah dan mencari keredaan-Nya, dengan
    membelanjakaa hartanya yang disayanginya dan mengorbankan nyawa yang
    dikasihinya.
Mereka itulah orang-orang yang tulin imannya, dan benar kalau  menuturkan kata “Kami telah beriman.” Bukanlah seperti  sikap kaum Badui Arab yang diceritakan telah menukarkan kata “Kami telah beriman” hanya di mulut sahaja, kerana mereka masuk Islam disebabkan takutkan pedang, supaya selamat kehormatan darah dan nyawa mereka serta terpelihara kekayaan mereka – bukan demikian tokoh orang yang tulin imannya.
Firman Allah dalam Al-Qur’an surah  Al-An-Anfal ayat 8:2-4 yang bermaksud; (terjemahaan)
“Sesungguhnya orang mukmin (yang sejati) itu ialah yang  apabila disebut orang nama Allah gemetar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambah-tambah iman mereka, dan bertawakal mereka kepada Tuhan. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan menafkahkan rezeki yang Kami berikan. Itulah mukmin yang sejati.”
Setelah Allah menyuruh hamba-hamba-Nya supaya patuh kepada Allah dan rasul jika benar-benar mereka beriman, maka dijelaskan-Nya pula bahawa orang-orang yang dikatakan beriman hanyalah yang terhimpun pada diri mereka 5 macam sifat:
1. Apabila disebut nama Allah, hati mereka penuh ketakutan, iaitu sentiasa berhati
lembut dan lunak tidak berani menentang kebesaran Allah, apalagi menderhakai-Nya sehingga setiap ia teringat ia gementar.
               2. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (keterangan-keterangan Allah) dari al-Qur’an nescaya bertambahlah keimanan mereka. Jelasnya bertambah teguh dan kuat, terutama jika  yang dibacakan itu  sesuatu ayat yang baru maka akan bertambah pula dengan keimanan yang baru.
               Yang dikatakan keimanan itu ialah suatu kumpulan tiga sarangkai, iaitu  mempercayai dengan hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota badan. Sebagaimana iman seseorang itu dapat bertambah, maka ia juga akan menjadi susut. Kerana mengikut kata Umar bin Aziz, iman itu ada wajib-wajibnya, syarat-syarat, peraturan-peraturan dan sunat-sunatnya, sesiapa menyempurnakannya  sempurnalah imannya dan siapa tidak  menyempurnakannya tidak sempurna imannya.
               3. Kepada Tuhan mereka berserah. Yakni mereka serahkan semua utusan mereka kepada Allah semata-mata dan tidak mengharap kepada  yang lain. Kerana orang-orang yang yakin kepada janji dan ancaman-ancaman Allah, mereka pasti berserah kepada-Nya. Maka ketika ketiga-tiga sifat yang disebutkan di atas, iaitu hati penuh ketakutan, iman bertambah semasa dengar bacaan ayat Quran dan berserah kepada Allah adalah merupakan amalan hati. Dan dua sifat yang  akan disebutkan ini pula adalah merupakan amalan tubuh badan.
               4. Mereka tetap mengerjakan sembahyang. Iaitu menunaikannya tepat pada waktunya dengan cukup syarat rukunya termasuk sunat-sunatnya, yang  dijiwai pula dengan rasa khusyuk dan tawaduk semasa merayu Tuhannya, memikirkan dan  merenungkan ayat-ayat Quran yang dibacamya. Mereka dengan demikian dapatlah dirasakan kelezatan dari hasil sembahyang yang mereka kerjakan, sehingga semahyang itu benar-benar menjadikan penahan dan penghalang dari  perbuatan keji dan yang mungkar.
               5. Mereka membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan. Seperti berzakat, memberi nafkah yang wajib atau sunat dan sebagainya kepada orang-orang yang ditanggungnya dan orang-orang yang berhajat kepada bantuannya – dibelanjakan harta itu semata-mata ke arah mentaati Allah.
               Maka orang-orang yang disebutkan sifatnya tadi ialah orang-orang Mumin yang sebenaranya sebagai firman Allah:
“Itulah orang-orang Mukmin yang sejati.”
Ayat ini merupakan pujian Allah kepada mereka yang berkenaan kerana berjaya mencapai sifat-sifat yang terpuji. Dan di samping itu mereka akan mendapat pula kehormatan yang tinggi, keampunan dari kesalahan dan rezeki yang disediakan di syurga, iaitu suatu jaminan Allah kepada mereka di belakang hari  - sebagaiman firman-Nya:
“Mereka itu mendapat darjat (kehormatan) di sisi Tuhan mereka, dan mendapat keampunan serta rezeki yang berharga.”
Tersebut di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa seketika Rasulullah s.a.w. memberikan pengajaran Islam kepada utusan kaum Abdul Qais, baginda berkata:
“Saya suruh kamu sekalian beriman kepada Allah. Tahukah kamu bagaimana iman kepada Allah itu? Iman pada Allah ialah mengucapkan Syahadat, bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menyisihkan seperlima dari harta rampasan perang untuk dimasukkan kepada kes negeri (Baitulmal)”!
Di dalam hadis ini nyata maksud perkataan setengah ulama, di antaranya Ibnu Taimiyah, bahawa tiap-tiap orang yang beriman itu adalah Islam, tetapi tidaklah tiap-tiap orang Islam itu beriman.
Jelas pula bahawa erti iman dengan erti Islam jauh perbezaannya. Islam adalah bekas dari keimanan. Dalam Quran sentiasa disebut orang yang beriman dan beramal soleh, amal  
soleh itulah Islam.
               Pada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Saidina Umar bin Khattab, bahawa seketika Jibril datang merupakan dirinya sebagai seorang lelaki, dia bertanya kepada Nabi S.A.W.
               “Apakah Islam?”
               Jawab Nabi: “Islam ialah enkau ucapkan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan, naik haji kalau kuasa.”
               “Apakah ihsan?”
               “Ihsan ialah bahawa engkau beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihat Dia. Walaupun engkau tidak melihat Dia, namun Dia tetap melihat engkau.”
               Terang dan nyata kita lihat dari hadis ini bahawa uratnya ialah  iman, pohonnya Islam, dan disiram terus supaya subur dengan ihsan. Mengapa  kita katakan iman ialah uratnya? Memang kerana tidaklah orang suka mengerjakan amal, iaitu Islam kalau hatinya sendiri belum percaya. Maka tidak diterima Allah amal orang yang munafik, sebab hatinya sendiri tidak percaya, meskipun dia sembahyang.
                    Maka supaya iman itu boleh subur dalam hati, hendaklah bersihkan hati dari sifat-sifa takabur, hasad dan mencari kemegahan.
                    Takbur adalah sifat Firaun yang tidak mahu menerima agama yang dibawa Nabi Musa, sebab dipandangnya Musa itu hanya seorang anak yang masih muda yang bertahun-tahun lamanya menumpang di dalam rumahnya. Takbur itu pula yang menyebabkan ramai orang yang tidak mahu percaya kepada seruan Nabi Nuh, tidak mengikuti kepercayaan Tauhid,  sebab dipandangnya Nabi Nuh itu orang yang tidak terkenal dan dari kalangan orang yang  biasa saja, pengikut-pengikutnya pun orang yang tiada harga.
                    Jika takbur menghalangi Firaun, hasad menghalangi iblis percaya kepada Adam. Masa seorang yang dijadikan daripada tanah hendak melebihi orang yang terjadi daripada api. Masa orang yang baru dijadikan akan disembah oleh orang yang sekian lama menjadi penghulu malaikat lantaran tunduknya kepada Tuhan? Maka hasad itu menghabiskan amalan sebagaimana api menghabiskan kayu kering.
                    Kemegahan, kegilaan kepada pangkat yang sedang dipikul itu pula menghalang Raja Heraclius akan beriman kepada Nabi Muhammad. Dia sudah tahu kebaikan Islam di hadapan orang-orang besar dan rakyatnya, mundur hatinya akan mempercayai Muhammad, pada hal dia telah mendapat bukti yang cukup bahawa Muhammad itu benar Nabi yang ditungguh-tungguh di akhir zaman.
                    Firaun, Iblis dan Heraclius itu bukan kekurangan penyelidikan dan pengetahuan. Mereka tahu mana yang benar dan mana yang salah, tetapi keingkaran itu sentiasa terbit kerana hawa nafsu.
                    Demikian pula orang  Yahudi di zaman Rasulullah S.A.W.. Sebelum Muhammad diutus, mereka telah membaca di dalam Taurat, bahawa dia akan datang. Mereka kenal sebagaimana kenal akan anaknya sendiri. Tetapi setelah dia datang mereka kafir dan menolak, lantaran hawa nafsu juga. Malah orang Nasrani berani mengubah kitab suci.
                    Semata-mata dengan pengetahuan saja, belum tentu orang akan beroleh keselamatan. Hendaklah ilmu menimbulkan percaya,  percaya menimbulkan cinta, tidak diikat oleh dengki yang dihambat oleh takabur atau hasad atau kemegahan sebagai perkataan Ibnu Ruslan yang bermaksud: (terjemahan)
                    “Orang yang alim kalau tidak  mengamalkan ilmunya, adalah akan diazab sebelum orang yang menyembah berhala.”
                    Untuk menjaga jangan sampai pengetahuan tidak  diikuti oleh cinta, yang dihambat oleh takabur, hasad, atau kemegahan itu. Rasulullah menunjukan suatu doa dengan yang bermaksud: (terjemahan)
                    “Ya Tuhanku, bahawasanya aku berlindung pada Engkau dari hati yang tiada khusyuk, dan dari  Doa yang tiada didengarkan Tuhan dan dari nafsu yang tidak mahu kenyang-kenyannya, dan dari ilmu yang tiada dimanfaat!”
                    Disuruhnya juga memohonkan: yang bermaksud: (terjemahan)
“Ya Tuhanku, bukakanlah pendengaran hatiku kepada ingatan akan Engaku dan beri reziki lah aku dengan taat kepada Engkau dan taat kepada Rasul Engkau dan mengamalkannya sepanjang yang disebut di dalam kitab Engkau.”
                    Orang yang sudah percaya dan yakin atau iman terhadap Tuhan, bila dia tidak bertakwa atau taat, tidak beribadat menyembah terhadap Allah, maka sudah semajarnya pula manusia itu dikatakan durhaka atau berdosa terhadap Tuhan. Takwa ertinya menjalankan semua yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Ia menyesuaikan diri dalam hidup ini dengan kehendak dan keredaan Allah. Orang yang bertakwa akan berhati-hati dalam segala gerak-geri, tidak-tanduk dalam hidup yang sesuai dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya.
                    Firman Allah surah Luqman ayat 31:33 yang bermaksud: (terjemahan)
“Hai sekalian manusia! Bertakwalah kamu dan takutlah (kedatangan) hari di mana seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan tidak juga seorang anak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka jangan sekali-kali kamu tertipu oleh kehidupan dunia, jangan pula – dengan sebab Allah kasihan – kamu tertipu oleh syaitan yang amat penipu.
                    Allah menyeruh manusia supaya bertakwa kepada-Nya sebagai nasihat dan mengingatkan mereka tentang kedatangan hari kiamat, di mana Allah akan mengadakan pengadilan untuk  menghukum hamba-hamba-Nya. Lebih-lebih lagi peringatan itu ditunjukan kepada orang-orang kafir Quraisy daripada kaum Nabi Muhammad s.a.w. dan juga lainnya.
                    Allah menyuruh, supaya takut kepada kemurkaan Allah dan jangan sampai ditimpa kemurkaan-Nya, kerana pada hari kiamat nanti tidak  seorang pun dapat menolong orang lain semasa dijatuhi hukum dan diseksa. Umpamanya bapa, dia tidak dapat lagi menolong anaknya, begitu juga pula  si anak tidak dapat menolong bapanya. Kerana urusan menghukum adalah kuasa Allah.

                    Sebaliknya tidak ada yang dapat menolong hanyalah  satu sahaja, iaitu amalan yang salih yang telah dipersembakan oleh seseorang di dalam kehidupannya di dunia dahulu. Janji Allah adalah benar.

No comments:

Post a Comment