Friday, April 7, 2017

KESYUKURAN MEMANTAPKAN IBADAH KEPADA ALLAH S.W.T.

 (Disiarkan pada 07. 4. 2017)
Iman dan takwa kepada Allah s.w.t. merupakan jati diri seorang manusia yang  mukmin. Walaubagaimana pun sifat kesyukuran terhadap segala kurniaan Allah s.w.t. yang ada dalam hidup seorang mukmin wajar dijadikan benteng pertahanan keimanan dan ketakwaan kepada Zat yang Maha Pengasih dan penyayang itu. Kerana manusia yang sentiasa bersyukur terhadap segala kebahagian dan kenikmatan hidup, Allah sentiasa tambah nikmat-nikmat-Nya.
Orang yang bersyukur memahami dirinya bahawa tiada yang dapat dilaksanakan tapa pertolongan dari Allah s.w.t. Pada dirinya sendiripun segala keperluan hidup adalah keredaan Allah yang Maha Berkuasa lagi amat bijaksana. Kesempurnaan manusia dalam menangani hidup adalah disebabkan kehadiran segala fitrah hidup yang dibekalkan Allah kelak membolehkan manusia memanfaatkan pembanguanan kehidupan seutuhnya.   
Ramai manusia yang mendapat nikmat yang melimpah ruah, berupa kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan sebaginya. Akan tetapi nikmat-nikmat tersebut tidak dianggap sebagai satu  bentuk rezeki yang diredai Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Oleh kerana ia tidak dijadikan sebagai pemangkin jiwa untuk mendekati Allah dan kehadirannya dalam hidup individu berkenaan hanyalah semakin menjauhkannnya dari keredaan Illahi. Manusia seperti inilah kerap kita saksikan dalam pembangunan kehidupan khusus kepada orang-orang musyrikin,
Adapun manusia golongan yang ke dua ialah  yang menunjukkan sikap mensyukuri nya (berterima kasih) ketika mendapat nikmat. Dia merasa wajib menyatakan syukur itu sebagai ucapan terima kasih. Sedangkan sesama manusia yang memberikan sesuatu pertolongan dirasakan perlu mengucapkan terima kasih, apa tah lagi terhadap Allah s.w.t. yang telah mencurahkan rahmat dan nikmat hidup yang tidak terhitung jumlahnya.
Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 14:7 yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu; sekiranya kamu mensyukuri nikmat,pasti Kami beri tambahannya kepada kamu. Dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya siksaan-Ku sememangnya amat pedih.”
               Adapun asal bersyukur atau berterima kasih itu ialah membayangkan di dalam fikiran akan nikmat Tuhan serta memperlihatkannya. Dan hakikat bersyukur pula ialah mengakui serta mengagungkan Tuhan yang memberikan nikmat itu, dengan mempersiapkan diri supaya bersikap sedemikian.
               Seseorang hamba yang mengenangkan nikmat Allah dan mengenangkan segala macam kelimpahan, kelebihan dan kebaikan-Nya kepadanya, bererti dia berterima kasih terhadap nikmat tersebut, dan patut mendapat tambahannya. Dengan hal demikian maka ia benar-benar mencintai Allah, dan ini satu darjat yang mulia. Ada lagi darjat yang lebih tinggi daripada itu, iaitu  kecintaan terhadap Allah semata-mata tanpa pengaruh nikmat, maka inilah darjat yang dipunyai oleh para Siddiqin.
Siapa bersyukur di atas rezeki Allah nescaya diluaskan-Nya lagi rezekinya, siapa yang besyukur di atas kemudahannya mentaati Allah nescaya ditambah lagi pada mentaati-Nya dan siapa bersyukur di atas kasihatan yang dikurniakan kepadanya nescaya Allah menambahkan nya lagi kesihatan dan demikianlah seterusnya.
                   Kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewah kan hidupnya ia tidak bersyukur, tetapi terus bercakap takbur serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku. Allah berfirman dalam surah Al-Fajr ayat 89:15 yang bermaksdu: (terjemahan)
               “Adapun manusia itu apabila Tuhannya mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberi-
Nya kesenangan, maka dia berkata:Tuhanku telah memuliakan.”
               Resmi orang kafir yang sangat sombong, tidak mahu menerima kebenaran semasa dia
mendapat nikmat dan hidup mewah, dan berkeadaan putus asa ketika mengalami kesusahan dan kesempitan hidup. Manusia itu  apabila Tuhan mengujinya dengan berbagai-bagai cubaan dan dugaan yang berupa nikmat, misalnya dia mendapat kehormatan kerana dia berpangkat dan berjawatan tinggi, mendapat penghasilan dan gaji yang besar serta mempunyai pengaruh dan kekuasaan di kalangan bangsa atau  masyarakatnya dan dinikmati nya di dunia, dia pun bersenang-lenang bersama anak penaknya, lalu  mengatakan: “Tuhanku  telah memuliakan aku dengan nikmat yang ku peroleh.” Sedang dia tidak sedar bahawa nikmat inilah yang merupakan ujian baginya, dan juga tidak sedar adakah dia mesti bersyukur ataupun kufur tidak mengenang budi.  
               Bagi orang yang baru mengucap dua kalimah syahadah atau yang biasa dikatakan sebagai saudara baru, hatinya sentiasa melihat keunggulan kekuasaan Allah s.w.t. yang mewujudkan segala bentuk kehidupan di alam dunia mahupun di alam akhirat. Hatinya sering mengucapkan Syukur saya sudah Islam! Kerana memahami Islam  merupakan cara hidup yang diredai Allah s.w.t.
               Melafazkan dua kalimah syahadah akan melahirkan kesyukuran dalam hati kerana pertama ia menjadi umat Islam dan kedua ialah dihidangkan tujuh nikmat Allah sama ada di alam jasmani dan juga di alam ukhrawi semuanya terbuka menjemputnya masuk ke dalamnya. Pintu-pintu nikmat Allah tersebut ialah seperti  Pintu pemikiran yang waras; Pintu kasih sayang; Pintu kecemerlangan; Pintu kesyukuran; Pintu ukhuwah kemanusiaan;Pintu Taubat; dan pintu ketakwaan kepada Allah s.w.t..
               Orang yang beriman  dan bertakwa kepada Allah s.w.t. hidupnya sentiasa dihiasi dengan rasa kesyukuran terhadap segala nikmat Allah yang tidak terputus itu walau sesaat pun. Hidup ini merupakan ibadah kepada Allah di atas landasan tauhid yang terkandung dalam ajaran Islam sebagai cara hidup.
Mengucap dua kalimah syahadah yang membawa maksud tiada ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan, naik haji kalau kuasa.
Pintu pemikian yang waras yang dihidangkan oleh Allah kepada hambanya mengga- mit kesyukuran dalam hidup kerana ia merupakan nikmat Allah sebagai pembalut ketamadunan hidup seorang Insan. Manusia mempunyai akal yang  memimpin segala kebaikan dalam hidup. Bertemankan akal yang diserikan dengan iman dan ketakwaan kepada Allah merupakan jaminan kesempurnaan hidup dunia dan akhirat.
Akal itu diumpamakan sebagai Malaikat, makhluk Allah yang sentiasa mempunyai kiblatnya kepada kemakmuran dan kemurnian hidup di sisi Allah s.w.t. Berfikir adalah satu ibadah yang wajib diamalkan agar manusia tidak terpedaya dengan pandangan-pandangan yang menjemput kepada kekufuran kepada nikmat Allah.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa berfikir sejam adalah lebih bermanfaat daripada sembahyang sunat 70 tahun. Ahli Fikir Kung Fu Tsu (confucius) berkata : “Anda akan tersesat jika belajar tanpa berfikir; tetapi jika anda berfikir tanpa belajar, anda akan
 berada dalam bahaya.”
               Semasa mengikuti ajaran Christian (Catholic) masa dahulu, sempat berdebat dengan seorang Padri untuk mendapat kefahaman mengenai falsafah keyakinan three in one atau three in one blessed trinity. Kesyukuran dalam hati kerana apabila diundang untuk meyakini falsafah tersebut sebagai mystery tidak sama sekali mengundang hati untuk menerimanya apabila menggunakan kemahiran berfikir yang waras yang Allah berikan kepada hamba-Nya.
               Membudayakan kemahiran berfikir akan menampilkan masyarakat yang berilmu pengetahuan. Dalam sistem bermasyarakat, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sisitem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat. Budaya ilmu menjanakan nilai pengatahuan yang tinggi dan menjadi kunci segala kebaikan. Mengikut pengertian Prof. Dr. Syed Muhammad Naqi Al-Attas, bahawa ilmu ialah kedatangan sesuatu makna hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang. Adanya kehadiran ilmu dalam diri manusia maka dapatlah kita memahami maknanya hidup.
               Dari situ terbukalah pintu kefahaman yang waras sebagai hamba di sisi Allah s.w.t. Mengucap dua kalimah syahadah sebenar menandakan era baru dalam memahami diri untuk menanam bibit-bibit ketakwaan kepada Allah s.w.t. kelak menggamit rasa kesyukuran kerana memahami hidup itu sebagai ibadah.
               Pintu kasih sayang menjemput jiwa mendekati Allah s.w.t. yang mewujudkan manusia sebagai kahlifah-Nya. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, maka itu sewajarnyalah kita bersyukur memahaminya sebagai benting mempertahankan kekufuran terhadap segala nikmat Allah berikan dalam hidup ini.
               Dengan terbukanya pintu kasih sayang maka mengenali diri di sisi Allah s.w.t. menjadi pedoman untuk menangani hidup bermasyarakat kelak melahirkan suasana ukhuwah kemanusiaan.  Allah itu besifat pengasih dan penyayang kepada segala hambanya tidak kira Islam atau tidak; tetapi Ia hanya penyayang  kepada hambanya yang telah mengucap dua kalimah syahadah dengan hati yang ikhlas sahaja.  
               Dari perspektif orang Islam, kehidupan terbaik adalah mereka yang menumpukan perhatian untuk memperolehi ilmu pengetahuan sehinggalah ilmu pengetahuan boleh dianggap sebagai suatu tanggungjawab agama yang suci, yang dikenakan ke atas setiap orang Islam baik lelaki mahu pun perempuan. Ilmu pengetahuan mestilah bersifat benar dan hakikat seperti apa yang dikatakan oleh Al-Qur’an sebagai haq  dan mestilah  diperolehi untuk tujuan kegunaan dalam kehidupan seharian
Pintu kecemerlangan memfokoskan kepada akal fikiran yang dianggap sebagai pemimpin yang harus ditaati, sarang berfikir dan perakam yang boleh mendekati segala sesuatu yang besifat misteri. Apa yang terasa sempit oleh mata dan jiwa akan terasa luas bagi akal fikiran. Akal sebagai tempat hikmah dan  sarang ilmu pengetahuan. Semakin banyak ilmu yang dikuasai semakin tinggi pula potensi seseorang. Potensi yang tinggi adalah pintu kepada kecemerlangan. Walaubagaimana pun akal itu tidak mungkin mempu menjangkau hakikat akal itu sendiri.
Akal fikiran dikemaskinikan dan dicipta dari bahan yang murni oleh Allah. Jika manusia menggunakan akal fikiranya dengan baik, dia akan selamat dan mencapai kecemerlangan. Sebaliknya, jika akal fikirian itu dijadikan bedasarkan hawa nafsunya, dia akan binasa dan merugikan dirinya sendiri.
Mengikut Al-Qur’an, akal itu sebagai sarana yang multi demensional dan disampaikan dalam latar belakang. Ini menunjukkan bahawa manusia itu memiliki kemampuan untuk berfikir. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 2:75 yang bermaksud: 9terjemahan)
“Adakah kamu masih mengharapkan (orang-orang yahudi) supaya percaya kepada kamu, sedang segolongan mereka mendengar perkataan Allah (yang tersurat dalam kitab Taurat), kemudian mereka ubah akan dia setelah mereka memahaminya, pada hal mereka mengetahuinya.”
Allah memberi ingatan kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta sahabat-sahabatnya bahawa jangan mengharapkan orang-orang Yahudi mendengar kata-kata mereka sedangkan mereka ada mendengar perkataan Allah (surat dalam kitab Taurat). Mereka itu mengubah setelah mereka memahaminya. Pada hal mereka tahu dan sedar, tetapi menyalahinya. Maka orang seperti ini tidak boleh diharapkan keimanannya.
Pintu Kesyukuran merupakan nikmat pintu yang terunggul dalam semua pintu-pintu yang terbuka menjemput kita memasukinya setelah menerima akidah Islam. Islam mendidik kita supaya sentiasa bersyukur tehadap segala nikmat hidup Allah berikan kepada hamba-Nya. Merasa syukur itu bermuara daripada hati sebagai raja dalam kehidupan manusia. Orang yang sentiasa bersyukur adalah manusia yang mengenali dirinya sebagai hamba Allah. Dia berbuat demikian kerana tahu bahawa segala keperluan hidup yang dihidangkan Allah s.w.t. merupakan nikmat Allah dan wajar diimbali dengan rasa syukur dan berterima kasih kepada Allah kerana memenuhi keperluan hidup sebagai khalifah Allah s.w.t.
Kelahiran syariah sebagai suatu bimbingan ke jalan Allah dan juga cara untuk bertindak bagi menyedarkan manusia tentang masa depannya. Syariah juga merupakan satu rahmat. Ia adalah undang-undang Allah untuk manusia yang tidak boleh ditukarkan. Dalam Islam, hanya Allah sebagai penentu undang-undang yang mutlak.
Syariah mengandungi lima unsur. Pertamanya berkaitan dengan kepercayaan bahawa para penganutnya melafazkan dengan lidah dan yakin dengan bersungguh-sungguh dalam hati;  kedua untuk pengabdian, temasuk ibadah sembahyang, puasa, zakat, menunaikan fardhu haji dan lain-lain; ketiga ialah hal muamalat seperti perkawinan, penceraian dan perintah Allah dalam beberapa hukum tertentu seperti  yang tersebut dalam Al-Qur’an (Hudud), berjual beli, zakat atas pendapatan bertani; keempat mu’asyarah, iaitu bagaimana cara untuk berkelakuan, bergaul dan melayani seseorang, bagaimana untuk berkelakuan semasa menjadi tetamu atau sebagai tuan rumah, bagaimana seseorang pergi  ke rumah orang lain dan bagaimana untuk mendapat izinnya sebelum memasuki rumah. Kelima, ialah ikhsan, sesuatu aspek pegangan yang dipanggil Tasawuf, yang secara kasarnya boleh diterjemahkan sebagai ilmu pembersih jiwa atau diri seseorang.

Islam mempunyai landasan hidup yang penuh dengan kegembiraan dan kemuafakatan samada sesama insan mahupun kepada makhluk hidupan yang lain. Kesyukuran dengan kata-kata yang diucakan seperti alhamdulillah, atau ucapan yang mampu membawa kepada kegembiraan seperti “assalamualaikum” dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment