Thursday, September 9, 2010

ILMU DAN AMAL TITIAN KECEMERLANGAN PENDIDIKAN
(Disiarkan pada 04. 09. 2010)
Ilmu adalah kedatangan sesuatu makna manakala amal adalah perlakuan seseorang dengan menggunakan ilmu tersebut. Ini bermakna amal seseorang itu tidak ada kemanfaatannya tanpa menggunakan ilmu berkenaan. Dalam erti kata lain ilmu dan amal tidak boleh dipisahkan untuk mewujudkan sesuatu fenomena kejadian. Ilmu melibatkan potensi intelek seseorang untuk menterjemahkannya agar menjadi sesuatu makna dalam hidup yang disalurkan kepada amal perbuatan.
Beramal tanpa ilmu akan menyesatkan seseorang tetapi berilmu tanpa diamalkan juga tidak ada kemanfaatan dalam kehidupan. Manusia dibekalkan Allah dengan fitrah kemahiran berfikir guna untuk menterjemahkan ilmu itu kepada amal perbuatan. Itulah yang dikatakan sebagai pembangunan. Pembangunan wujud apabila ilmu itu digunakan sebagai nadi pengerak kepada pembangunan dengan menggunakan kemahiran berfikir.
Firman Allah s.w.t. yang pertama diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril adalah menyeruh Rasul membaca; ini bermakna seruan itu adalah kepada seluruh umat manusia. Melalui pembacaan ilmu akan timbul dan menjadi pembaharuan kepada keadaan hidup orang yang melaksanakan pembacaan.
Apa yang dibaca? Dalam alam kehidupan ada dua fenomena yang perlu dibaca dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan kita iaitu ilmu yang terucap oleh Allah seperti al-Quran nul Karim dan kedua ialah ilmu yang tercipta oleh Allah seperti alam ini. Islam itu adalah cara hidup maka itu setiap makluk manusia wajar membaca dan memahami ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran.
Disamping itu wajar juga memahami ilmunya Allah yang tercipta seperti alam tumbuh-tumbuhan, alam haiwan, alam metafisika, mahau pun alam ghaib. Kehadirannya melengkapkan disiplin kehidupan manusia sebagai khalifah. Segala alam kehidupan mempunyai berbagai analogi hidup selain dari menjadi bahan pembangunan. Allah tidak mewujudkan sesuatu itu tanpa tujuan dan segalanya adalah kelengkapan kepada kehidupan berbagai makluk di alam ini termasuklah manusia.
Kita dapati cara kehidupan manusia berbagai ragam disebabkan ketebalan ilmu yang diperolehi dengan sajian amal mengikut kemampuan individu. Ilmu dan amal adalah titian kecemerlangan dalam Pendidikan. Ilmu itu merupakan satu anjalan paradigm dalam pembangu- nan kehidupan jika ia diterjemahkan kepada amalan, maka lahirlah pembaik pulih atau penokoh tambah kepada keadaan hidup yang sedia ada.
Mempunyai ilmu tetapi tidak diamal diberatkan manusia yang lumpur. Ia mempunyai segala idea untuk pembangunan manusia tetapi ia tidak ada keupayaan untuk bergerak, oleh itu ilmu yang ada padanya tidak memberi kemanfaatan kepadanya. Untuk menyalurkan ilmunya kepada orang lain juga sukar kerana kemampuannya untuk berkomunikasi amat terhad. Hendak mencatat segala pandangan yang ada padanya juga sukar kerana anggota tangannya tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian.
Manusia yang berilmu dan menggunakan ilmu untuk kepentingan manusia adalah insan yang dikategorikan sebagai orang yang hidup. Cintanya kepada ilmu membentuk dirinya sebagai manusia yang bertanggungjawab untuk membuat perubahan kepada masyarakat agar lebih peka untuk memehami peranannya sebagai ahli masyarakat yang membudayakan kemuafakatan demi kestabilan ukhuwah kemanusiaan.
Kita hidup harus berpegang kepada satu idelogi bahawa dengan kehadiran ilmu dalam diri seorang insan memberikan satu tanggungjawab untuk membudayakan pemikiran yang
proaktif. Dengan amalan demikian kehadiran ilmu dalam diri kita dapat dimanfaatkan untuk membangunkan manusia.
Walaubagaimanapun, manusia tidak mempunyai ilmu dan tidak pula membuat sebarang amalan, diketegorikan sebagai bangkai bernyawa. Kumpulan manusia ini adalah sampah masyarakat atau dalam erti kata lain manusia yang tidak melihat pembangunan itu sebagai satu ketamadunan hidup. Manusia sedemikian rupa tidak mensyukuri fitrah segala kecanggihan bentuk dan sifatnya. Ia memilih jalan yang tidak mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.. Apa yang penting baginya ialah untuk mendapatkan makanan apabila lapar, soal apakan perancangan masa depannya tidak menjadi agenda dalam hidupnya. Menjadi penonton daripada pemain merupakan pilihannya.
Dalam tulisan Al-Ghazali, mencari ilmu adalah satu bentuk pengembaraan untuk melengkapkan diri bagi kehidupan yang akan datang dan bukan bertujuan untuk mendapatkan kuasa, pengaruh dan kemewahan. Mempunyai ilmu pengetahuan memperolehi banyak kelebihan dan ini dapat dibuktikan oleh Al-Ghazali memetik ayat-ayat Al-Quran seperti:
“Allah menyatakan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia yang menegakkan keadilan. Malaikat dan orang yang berilmu, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Surah Ali Imran (3) ayat 18.
“Dan perumpamaan-perumpamaan ini kami buatkan untuk manusia dan tiada yang memahaminya kecuali orang yang berilmu. Surah Al-Ankabut (29) ayat 43.
Ilmu diibaratkan pakaian yang menutup tubuh badan. Oleh itu manusia yang tidak berilmu laksana seorang manusia yang berbogel. Allah berfirman: …….”dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Surah Al-A’raaf (7) ayat 26.
Al-Ghazali berpendapat bahawa ilmu pengetahuan membentuk manusia. Manusia yang berilmu sahajalah dapat dianggap manusia cemerlang dan sejati kerana manusia dijadikan mempunyai potensi untuk mengetahui. Menurut beliau sajian hati ialah ilmu dan hikmah sebagai mana makanan untuk keperluan jasad. Oleh itu hati akan kelaparan sekiranya tidak disajikan dengan ilmu pengetahuan dan hikmah selama tiga hari. Hati yang kekurangan ilmu pengetahuan akan merana dan akibatnya kematian merupakan sesuatu yang pasti walaupun ia mungkin tidak menyedari.
Penggunaan ilmu yang sempurna akan melahirkan akal kemalaikatan. Ia akan menguasai keinginan manusia melayani nafsu dan kiblatkan fikiran kepada kebaikan dan kemanfaatan dalam hidup. Selain daripada menguasai ilmu pengetahuan para ilmuan atau ahli fikir dapat mempunyai hikmahnya kepada manusia. Allah telah menabaurkan hikmahnya di seluruh alam, di alngit, di angkasa lepas, bintang-bintang, bulan dan matahari, di lautan, di perut bumi di alam kehidupan manusia sama ada di duniawi mahupun ukhrowi dalam alam rohani semuanya mempunyai hikmah Allah S.W.T. Manusia tidak akan menemukan hikmah-hikmah itu jika penguasaan ilmu pengetahuan tidak dijadikan budaya kehidupan manusia.
Beberapa hadis Rasulullah menyentuh tentang kelebihan ilmu pengetahuan. Antaranya ialah:
1. Orang yang berilmu dan berpengetahuan berada 70 darjah lebih tinggi dari orang yang beriman biasa.
2. Martabat yang tertinggi iaitu orang yang berilmu menguasai orang yang rajin beribadat adalah sama dengan kelebihan bulan dengan menguasai bintang-bintang lain apabila bulan menjadi penuh.
3. Manusia yang berpengetahuan merupakan pemegang amanah Allah di muka bumi ini.
4. Kematian seluruh anggota masyarakat untuk sesuatu kaum atau suku kaum dapat
diterima tetapi kematian seorang yang berilmu adalah sukar dicari ganti.
5. Manusia yang hampir kenabian adalah mereka yang berilmu pengetahuan dan
berjuang ke jalan Allah (jihad). Orang yang berilmu akan memimpin manusia ke jalan Allah yang disuruh oleh para Nabi. Orang yang berjihad pula ialah mereka yang memegang pedang di atas jalan Nabi dan Allah.
6. Manusia yang terbaik ialah seorang yang beriman dan bijaksana. Jika dia dikehen- daki, dia akan menjadi seorang yang berguna. Jika sekiranya dia tidak dikehendaki dia boleh berdikari.
7. Apa yang terdapat di langit dan dibumi disediakan untuk manusia yang berilmu.
Hadis-hadis tersebut menghuraikan keistemewaan orang yang berilmu. Kewajipan hidup ialah mendekati Allah dan ini dapat dimanfaatkan melalui amalan yang sentiasa ditemani dengan kesyukuran terhadap kurniaan Allah samada hidayah mahupun musibah kepada kesempurnaan kehidupan manusia dan memahami diri bahawa segala apa yang diperolehi adalah hidangan Allah kepada hambah-Nya yang membudayakan kesyukuran.
Hati yang bersih dengan sajian ilmu pengetahuan yang tinggi dapat melandaskan segala amalan manusia jauh dari kekufuran kepada nikmat-nikmat Allah. Budaya kerja merupakan suatu aktiviti kehidupan menangani keperluan-keperluan semasa untuk pembangunan manusia. Budaya bermaksud suatu cara hidup yang berkaitan dengan kesungguhan, kesukaan, kemanisan kerja. Islam melihat kerja sebagai ibadah dan melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh dengan penuh kerelaan, kesedaran dan ketakwaan kepada Allah.
Ilmu dan amal yang disajikan dengan kesungguhan beribadah kepada Allah merupakan titian kecemerlangan hidup bertamadun. Dalam suasana membudayakan kerja, manusia juga dibentuk sedemikian rupa agar ia dapat menyeimbangkan kehidupan dalam kedua-dua alam, iaitu alam jasmani dan alam rohani (hablum menallah dan hablum minanas).
Dalam hubugan manusia sesama insane, perlu juga memanfaatkan alam di sekelilingnya seperti alam haiwan dan alam tumbuh-tumbuhan. Kewujudan alam tersebut mempunyai hubungan dengan manusia agar dapat menyeimbangkan suasana kehidupan yang harmoni dan saksama.
Dalam hubungan manusia dengan Allah, fakulti otak dan akal memainkan peranan utama. Manusia diwujudkan untuk menyembah Allah. Surah Az-Zariyaat (51) ayat 56. Menyembah Allah bermaksud menghambakan diri kepadaNya, menjauhi segala laranganNya dan berbuat segala kebaikan di bumi agar kebaikan itu mendatangkan kemanfaatan kepada orang lain, atau makluk yang ada di bumi ini.
Dalam melaksanakan amal ibadat sebagai hamba Allah, kita diperintahkan supaya sentiasa mengingati Allah dan mensyukuri segala pemberianNya. Mensyukuri sesuatu bukan dengan kata-kata sahaja tetapi wajib sujud kepadaNya sekurang-kurang tiga puluh empat kali sehari semalam yang dipanggil sembahyang lima waktu.
Menyembah Allah dengan sembahyang lima waktu, Allah senang tetapi Ia lebih senang lagi kalau amalan-amalan membantu orang yang susah, memantu fakir miskin, menjauhi segala penyakit rohani seperti hasad dengki, benci, menipu, mencuri,merosak dan mengambil hak-hak orang lain dan membantu orang yang memerlukan pertologan samada dalam bentuk material atau semangat tolong menolong.
Bagitu juga Allah senang jikalau Ia melihat hambah-hambahNya menyayangi makluk-makluk lain termasuklah tumbuh-tumbuhan di alam sekelilignya. Segala geraklaku manusia yang berlandaskan kepada kebaikan Allah sentiasa melimpahkan hidayahNya maka dengan itu orang-orang yang beramal sedemikian rupa pasti mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. Berlandaskan kehidupan segala amalan yang Allah redhai akan menjamin kita dengan kemudahan hidup dan sentiasa dihiasi dengan keseronokan bermasyarakat. Demikianlah buahnya ilmu yang diamal akan menghasilkan kecemerlangan dan kesejahteraan hidup umat bertamadun.

No comments:

Post a Comment