Thursday, September 9, 2010

TOLERANSI DALAM PENDIDIKAN
(Disiarkan pada 28. 08. 2010)

Mendidik adalah satu ibadah yang diamanahkan oleh Allah melalui badan-badan berkanun seperti kerajaan mahupun swasta untuk membentuk dan membina generasi pelapis agar menjadi pemain dalam kelangsungan hidup berdisiplin. Amanah ini memerlukan kesabaran serta ketekunan dalam melaksanakan kerja-kerja amal kerana kita berhadapan dengan manusia yang masih dalam kepompong kejahilan tentang pembangunan diri mahupun pembangunan jasmani dan juga rohani.
Di samping faktor kejahilan, para generasi muda juga menghidangkan kerenah-kerenah yang kalau tidak ditangani sebaik mungkin serta dengan kesungguhan hati mengikut tahap pembesaran individu berkenaan, maka generasi pelapis tersebut akan tergelincir dari landasan tamadun kemanusiaan. Seorang guru dilengkapkan dengan berbagai kaidah dan cara dalam usaha membentuk manusia demi mensesuaikan pembawaan diri seirama dengan acuan yang disediakan oleh pemimpin.
Guru wajar memahami arah tuju pendidikannya disamping memahami pembawaan diri pelajar dalam menerokai arena pembangunan minda. Bertoleransi dalam pendidikan menangani kerenah-kerenah pelajar serta juga arus birokrasi kepimpian dalam menjalankan ibadah merupakan perjuangan seorang pendidik dalam usaha membentuk tamadun kehidupan. Di samping mengilmukan insan, guru juga wajar melengkapkan diri dengan ilmu sesuai dengan pembangunan tamadun.
Allah wujudkan makluk manusia dengan satu tujuan supaya menjadi khalifah di muka bumi ini maka itu tanggungjawabnya dalam hubungan dengan sesama makhluk Allah di alam semesta ini menjadi agenda dalam hidup. Memahami arah tuju hidup serta bertanggugjawab memurnikannya sesuai dengan acuan yang digariskan oleh agama menjadi perjuangan setiap insan sebagai khalifah Allah.
Membentuk akhlak dan keperibadian insan wajar bermuara dari pembangunan rohani iaitu membina hubungan manusia dengan Zat yang Maha Berkuasa. Ciri-ciri pembentukan akhlak seorang insan wajar berlandaskan budaya kasih sayang antara sesama yang menjadi nadi keperibadian seorang insan yang bertoleransi dalam segala pemurnian agenda kehidupan. Sabar itu adalah sebahagian daripada iman maka adalah wajar ia menjadi nadi pembangunan minda seorang insan dalam membina tamadun kehidupan.
Konsep pendidikan Islam adalah pembelajaran sepanjang hayat yang menjadikan al-Quran dan as sunnah sebagai acuan dasar dan landasan. Ia merangkumi akidah, syariah, akhlak, muamalat dan sangat bergantung kepada asuhan yang bermula dari dalam keluarga, para guru di sekolah, kebijaksanaan kerajaan yang berkuasa dan masyarakat.
Ibu bapa adalah guru dan pendidik yang pertama dan utama. Kerana itu adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik anak seawal yang mungkin sekurang-kurangnya dalam perkara tauhid, syariat,dan akhlak. Ini adalah suatu kewajipan di sisi agama Islam dan sekaligus amanah dari Allah s.w.t. Amanah inilah menggamit semangat bertoleransi dalam membina insan yang solih dan solihin.
Pendidikan anak bermula semasa bayi itu masih di dalam rahim ibu. Maka itu segala gerak laku serta muamalah dalam hidup seorang bapa dan ibu menjadi acuan kepada pembesaran bayi sebelum lahir ke dunia ini. Ibu bapa sebagai guru dalam arena pembangunan keluarga wajar memainkan peranan utama dalam pembentukan bayi semasa sembilan bulan sepuluh hari sebelum kelahirannya. Maka itu kedua suami isteri wajar bertoleransi dalam disiplin pembangunan keluarga agar anak-anak akan terbentuk dengan zat pembangunan yang sentiasa berkiblat kepada tamadun kehidupan yang diredhai Allah s.w.t.
Mendidik orang lain mengenai pembangunan rohani wajar bermuara dari diri sendiri. Ibu bapa disarankan untuk menunjukkan amal ibadah kepada Allah sebagai acuan kepada anak-anak tersayang. Muamalah serta kerja-kerja amal menjadi pemingkin kepada anak-anak muda yang dahagakan ilmu sebagai landasan ketamadunan hidup berdisiplin. Pepatah mengatakan “kalau guru kencing berdiri anak muridnya kencing berlari,” jelas menunjukkan bahawa seorang ayah atau ibu menjadi acuan dalam membentuk akhlak generasi muda.
Faktor-faktor lain bagi memastikan kejayaan pendidikan dan perjalanan hidup anak adalah ibubapa seharusnya mampu menciptakan suasana sakinah dan damai di dalam rumah, memberi nafkah dengan rezeki yang halal dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak mereka. Kedamaian, pendamaian atau damai, dalam bahasa al-Quran, biasa ditunjuukkan dengan perkataan salam. Namun perkataan tersebut mudah disebut tetapi sangat susah dipraktikkan.
Kegagalan ibubapa di dalam mendidik anak disebabkan oleh beberapa faktor. Pada umumnya kegagalan itu berpunca daripada faktor dalaman seperti kecuaian mereka, semakin hilangnya ghirah ibubpa terhadap anaknya, uswah hasanah yang cendrung turun, rezeki (nafkah) yang haram, keruntuhan keluarga seperti pergaduhan dan penceraian dan lain-lain. Bagi mengatasi masalah ini hanya dengan kembali ajaran al-Quran dan mengikuti tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.
Penddikan di rumah yang dilaksanakan oleh ibubapa mahupun pendidikan di sekolah yang dijalankan oleh seorang guru yang bertauliah, kedua-duanya wajar bertoleransi dalam menyampaikan ilmu kepada generasi muda. Setiap individu sentiasa mempersembahkan pembawaan diri yang menyunsangkan akhlak dan tingkahlaku bermasyarakat. Faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kerenah-kerenah anak-anak disebabkan setiap individu pelajar mempunyai satu naluri semulajadi iaitu suka dipuji terutama sekali apabila individu berkenaan dapat mempersembahkan sesuatu kejayaannya.
Naluri ingin tahu wajar diperkuatkan serta diperkukuhkan agar ia menjadi motivasi dalaman individu untuk lebih giat lagi mengetahui sesuatu yang baru baginya. Inilah yang dikenali sebagai pengajaran dan pembelajaran dalam arena mengilmukan insan. Keinginan dan kegiatan yang dipersembahkan oleh individu dalam menerima dan mengetahui sesuatu ilmu yang baru baginya adalah tanggungjawab seorang guru untuk mengekalkan suasana tersebut. Sinario ini menjadi agenda terpenting pada setiap pembangunan minda kepada seorang pelajar.
Walaubagaimanapun dalam penerimaan ilmu yang baru itu setiap individu akan mempersembahkan suatu kerenah yang menjadi tanggugjawab seorang guru menanganinya serta bertoleransi dalam menjalankan ibadah pendidikan. Tiada yang lebih menyeronokkan dalam hidup seorang guru selain mencapai kejayaannya dalam mengilmukan insan dan mendapat kejayaan untuk mengeluarkannya dari kepompong kejahilan dalam menangani kehidupan.
Arena pendidikan mempunyai skop yang amat luas. Ia merangkumi mengilmukan generasi pelapis, memelihara hubungan yang baik dengan kakitangan jentera pelaksana dan memelihara suasana kesetiakawanan sosial antara guru dengan pehak pentadbir. Pehak pentadbir merangkumi Kementerian Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan, Pengarah Pendidikan negeri, Ketua Bidang atau Sektor hinggalah ke paringkat jentera pelaksana atau guru. Setiap individu dalam semua peringkat perlaksanaan mempunyai permasalahan yang wajar bertoleransi dalam menenganinya.
Di peringkat Kementerian Pendidikan, bertanggungjawab menggubal Dasar sesuai dengan acuan pembangunan manusia sebagai pemain dalam arena mentamadunkan kehidupan. Dasar-dasar yang telah didokumentasi dilaksanakan dalam berbagai pendekatan yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pendidikan yang kelak akan menurunkan amanah tersebut kepada berbagai bidang atau sektor dalam arena pendidikan untuk disibarluaskan sebelum diimplimantasikan kepada kumpulan sasar di peringkat sekolah. Dalam semua jentera pelaksanaan semimangnya wujud berbagai faktor dalam pergesaran nilai yang wajar mendapat kesepakatan yang boleh dijadikan sebagai common ground untuk diterimapakai oleh semua pehak. Pergeseran nilai itulah yang wajar setiap individu bertolerensai untuk menerima dengan lapang dada.
Walaubagaimanapun berlaku juga satu suasana birokrasi terpimpin di mana budaya mementingkan diri terpaksa wujud dalam satu disiplin pengelolaan oleh Ketua Sektor mahupun Pengarah. Anak buahnya atau staf sokongan di peringkat perlaksanaan dasar mendapat peluang untuk menyertai kursus dalam Perkhidmatan untuk mengilmukan diri di peringkat universiti. Segala dokmentasi perjalanan dan penerimaan calon di peringkat pendaftar universiti telah pun diperolehi hasil dari pengurusan sendiri. Hanya satu dokumen sahaja yang belum selesai iaitu kelulusan pelepasan dari ketua sektor.
Dengan hati yang penuh harapan dari seorang Pengarah yang sentiasa menggalakkan stafnya untuk menimba ilmu demi memurnikan kredibiliti dalam menjalankan amanah sebagai pendidik di peringkat universiti, dan dimurnikan lagi dengan prestasi kerjanya dalam keadaan baik, guru berkenaan tanpa menunggu hitam putih dari pelepasan dari Pengarahnya, telah mengadakan jamuan perpisahan secara besar-besaran. Semua keluarga, sahabat handai serta kakitangan sekolahnya turut diundang bersama mesrah dan rasa bersyukur kepada yang Berkuasa telah mendapat pelung keemasan itu.
Kegembiraan dalam hati seorang guru kerana mendapat cita-cita yang diidam-idamkan sejak dibangku sekolah lagi, tidak menjadi kenyataan apabila menerima surat pelepasan dari ketua Majikan mendukacitakan. Inilah permainan dalam gelangang pendidikan yang wajar setiap guru bertoleransi menghadapinya. Mujur guru berkenaan mempunyai kesihatan badan yang baik, tanpanya masalah serangan jantung pasti berlaku!
Tetapi bagaimana suasana kehidupan seorang guru apabila ketua majikanya menutup peluangnya untuk memperbaiki diri dalam pendidikan? Kerana perkara kecil sahaja iaitu pengurusan untuk mendapatkan tempat di universiti tidak melalui ketua majikan, maka sampai hatinya untuk mengharamkan peluang keamasan itu.
Manusia menjalankan kekhalifahannya di bumi Allah ini maka itu wajar melihat dalam berbagai dimensi kehidupan. Apa sahaja peranan kita dalam kehidupan menjadi penting kerana ada orang lain yang bersama dengan kita. Kehadiran merekalah maka kita menjadi orang yang terpenting sebagai ketua sektor di arena yang kita ceburi.
Mereka adalah makhluk Tuhan yang dibekalkan dengan berbagai fitrah dari Allah s.w.t. Menjalan kekuasaan kita wajar disandarkan kepada suasana perasaan Allah redha atau tidak. Dengan rasa syukur kerana mendapat amanah dan kekuasaan itu maka wajar mengimbali kesyukuran itu dengan menolong orang lain yang kadangkala diselubungi oleh kejahilan mengenai disiplin pengurusan.
Kegagalan guru mengotakan janji pada dirinya serta anak-anak tersayang dengan sologan “saya mesti berubah,” menjadi egauan hidup hingga ke liang lahad. Bagimana perasaan Ketua Majikan terhadap fenomena tersebut? Adakah ia merasa berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Majikan atau merasa gagal bertoleransi dalam menangani kerenah birokrasi dalam pengurusan amanah yang dipertanggungjawabkan? Jawapannya tepuk dada tanyalah iman!
Baginda rasul s.a.w. telah banyak mengalami kerenah-kerenah dalam menggembangkan akidah Islam kepada umat manusia yang masih dalam kepompong kejahilan. Kadang kala nyawa menjadi taruhan tetapi semuanya diterima dengan lapang dada dan meminta Allah yang Maha Berkuasa untuk membimbing beliau hingga ke akhir hayatnya di dunia ini. Contoh dan tauladan
yang ditinggalkan oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. wajar digunapakai dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dan jangan mengambil kesempatan untuk menghukum umat manusia supaya menjadi musuh dalam selimut. Ingat hidup di dunia hanya sementara sahaja dan segala perbuatan yang telah kita lakukan akan dipertang gungjawabkan untuk menjawab persoalan oleh Kadi Rabul Jalil semasa di Padang Myshar nanti.

No comments:

Post a Comment