Monday, October 4, 2010

HARGAI MASA DEPANMU DENGAN HIASAN IMAN DAN KETAKWAAN
(Disiarkan pada 02. 10. 2010)
Setiap agenda perjuangan adalah peruntukan dan persediaan masa depan setiap manusia. Para ibubapa melihat pendidikan sebagai cara untuk menyediakan anak-anak mereka bagi menghadapai masa hadapan. Para guru mengingatkan, bahawa tanpa pendidikan kesempatan anak-anak maju dalam dunia masa depan akan tehalang. Jabatan kerajaan, masjid, media masa – semuanya mendorong anak muda tetap bersekolah dan menekankan, bahawa sekarang. lebih daripada sebelumnya, masa depan seorang hampir sepenuhnya bergantung kepada pendidikan.
Walaubagaimanapun pendidikan di Malaysia belum mencapai tahap yang melibatkan undang-undang. Ibubapa tidak dipertanggungjawabkan dari segi undang-undang jikalau mereka gagal menyekolahkan anak mereka. Dalam erti kata yang lain, adalah tidak menjadi kesalahan kepada setiap rakyat Malaysia dari segi undang-undang jika ada di antara anak-anak mereka yang tidak dihantar ke sekolah untuk menerima didikan atau mengilmukan diri..
Pendidikan adalah rapat dengan rohaniah manusia maka itu seseorang itu dalam menerima ilmu atau mengilmukan orang lain wajar terlebih dahulu mengetahui ilmu-ilmu rohaniah ini. Manusia boleh bercakap dan menerima ilmu kerana kehadiran roh dalam dirinya. Jasad atau jasmani manusia adalah seperti benda yang tidak ada fungsinya tanpa kehadiran roh.
Sebagai contoh orang yang sudah ditinggalkan rohnya atau mengikut bahasa yang biasa digunakan ialah sudah mati, jasmaninya masih utuh. Mulutnya ada tetapi tidak lagi boleh berkata-kata. Matanya masih ada tetapi tidak mampu lagi melihat; jangankan melihat terbuka sahaja pun tidak. Maka itu hargailah masa depan mu dengan menghiasi dan membekalkan roh dengan berbagai ilmu yang mendekatkannya kepada Allah.
Segala parajurit pelaksana dalam badan seperti otak yang fungsinya menjadi central prossessing unit kepada semua pergerakan anggota badan; jantung untuk mengepum darah ke seluruh anggota badan termasuklah otak; paru-paru untuk melaksanakan mekanise pernafasan; kaki dan tangan untuk melaksanakkan pergerakan serta amal-amal kebajikan; hati yang dianggap sebagai raja dalam semua kerja amal antara manusia dengan Allah dan juga semua makluk yang hidup dan sebagainya. Semua felosofi kehidupan manusia berpandu kepada kehadiran roh, maka itu menjadi kemestian kepada setiap insan mengetahui ilmu kerohanian.
Jika makanan jasmani adalah benda pepejal seperti zat berbagai jenis dan vitamin-vitamin maka makanan rohani ialah ilmu, takwah, pahala, kasih sayang dan sebagainya. Kedua-dua jenis makanan tersebut amat dipelukan oleh seorang insan dalam kelangsungan hidup bertamadun. Kedua-dua fenomena makanan tersebut diperlukan untuk menangani serta memurni kan masa depan kehidupan.
Manusia berkerja atau beribadah untuk memenuhi kehendak jasmani dan rohaninya. Segala amal ibadah itu adalah untuk pembangunan jasmani dan rohani. Maka itu dalam melakasankan amal ibadah manusia bertanggungjawab membekalkan dua fenomena makanan iaitu jasmani dan rohani. Kedua-dua fenomena tersebut memerlukan keredhaan Allah s.w.t. maka itu amal ibadah manusia adalah semata-mata tawakal. Keberhasilannya adalah prerogatif Allah s.w.t. Maka itu manusia wajib beriman dan bertakwa kepada yang Maha Pemberi dan Maha Mengasihani.
Masa depan itu ada kerana pergerakan masa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Usia atau umur seseorang itu dimainkan oleh masa maka itu manusia harus peka tentang perjalanan masa yang menentukan peningkatan usia seseorang. Dengan usia yang meningkat mengikut pergerakan masa maka seorang insan bertanggungjawab terhadap kebajikan jasmanainya dan juga rohaninya. Tanggungjawab inilah yang penting untuk menentukan halatuju atau matlamat hidup seseorang di dunia samada ke syurga atau ke neraka.
Setiap individu wajar bersiap sedia menangani masa depan hidupnya. Untuk membantu menghindarkan kejutan masa depan, setiap individu wajar mengikuti perubahan semasa yang sering mencabar pembangunan kehidupan. Pencapaian hari ini wajar dipertingkatkan lebih baik berbanding dengan hari kelmarin dan hari ini wajar lebih menyerlah lagi berbanding masa esok dan seterusnya.
Kehadiran sains dan teknologi membuat manusia merasakan kecepatan pergerakan masa. Ia berlaku kerana manusia sentiasa bergerak ke hadapan mencipta teknologi baru yang difikirkan sesuai bagi memudahkan hidup manusia mengikut peredaran masa. Maka itu setiap insan wajar menghargai masa depan itu agar ia tidak merasa terkecut tentang fenomina yang baru.
Dunia masa kini sudah dianggap sebagai satu perkampungan yang kecil kerana budaya hidup yang diwarnai oleh sains dan teknologi. Kalau dahulunya mereka yang menunaikan haji di tanah suci Mekkah memakan masa tiga bulan tetapi masa moden ini memakan hanya sehari suntuk untuk sampai ke tanah suci.
Apakan persediaan anda untuk menghadapi masa depan? Keutamaan adalah memper- olehi ilmu yang akan memandu anda menangan pembaharuan. Ini penting kerana untuk mengelakkan kejutan masa depan. Walaubagaimana pun menghiasi diri dengan iman dan takwa kepada Allah s.w.t. akan sentiasa mendapat pelindungan dari yang Maha Berkuasa. Segala faktor yang dianggap pembaharuan tidak mengejutkan kita kerana Allah s.w.t. sentiasa bersama kita menangani pembaharuan itu.
Sebenarnya pembaharuan itu adalah keredhaan Allah s.w.t. menuju kehidupan yang lebih bertamadun. Apa yang penting pada penerimaan pembaharuan itu ialah serikan diri dengan ketakwaan kepada yang Maha Berkuasa. Segala teka teki kehidupan akan dipermudahkan oleh Allah untuk setiap umat menangani kemodenan itu.
Hiasi masa depan mu dengan iman dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. membawa maksud jangan membiarkan masa hidup mu berlalu tanpa diisi dengan aktiviti pembangunan rohani seperti melaksanakan ibadah seperti amal amal kebajikan, rengan tangan menolong orang lain, memelihara kesucian beragama dan melaksanakan amal jariah.
Perjuangan asas dalam pembangunan manusia wajarlah berlandaskan kepada tiga faktor utama seperti membina keluarga salihin, melaksanakan amal-amal kebajikan untuk memurnikan kesempurnaan bergama seperti membantu mendirikan rumah-rumah Allah sama ada surau atau masjid serta mewujudkan Sekolah Ugama Islam (SUI) dan menggunakan keilmuan agama itu untuk kemanfaatan orang lain atau melaksanakan dakwah melalui penulisan.
Membina keluarga salihin amat diutamakan dalam mengembangkan Islam di dunia. Anak yang terdidik dengan akidah Islam dan mengamalkan budaya kemurnian beragama menjadi pemimpin kepada generasi pelapis. Kebajikan yang anak laksanakan itu akan dipusakai oleh seorang ayah yang telah balik ke rahmatullah. Nama baik seorang ayah sentiasa berada di dunia dan menjadi idolah kepada masyarakat akan datang.
Membantu dalam membina rumah-rumah ibadah amat digalakkan oleh agama kerana ia
sebagai pelaburan akhirat. Masjid dan surau yang didirikan itu menjadi lambang kemurnian beragama semasa hidup di dunia hinggalah ke akirat walaupun orang yang membinanya telah balik ke rahmatullah. Jasa anda dikenang sepanjang zaman selagi rumah ibadah tersebut digunapakai oleh jemaah untuk melaksanakan ibadah kepada Allah semasa hidup di dunia. Inilah pelaburan dana pahala yang amat besar semasa hidup di akhirat nanti.
Memanfaatkan ilmu agama yang anda ada amat digalakan dalam beribadah. Menuntut ilmu tidak semua dapat melaksanakan atas sebab berbagai faktor kehidupan yang menghalang kan seseorang itu berbuat demikian. Maka itu membantu mereka yang daif menjadi tanggung jawab orang yang mempunyai ilmu keagamaan.
Berbagai saluran dapat digunakan untuk menyampaikan ilmu atau dakwah kepada mereka. Antaranya ialah menyampaikan dakwah melalui ceramah atau taskirah secara langsung; menggunakan media seperti kessette dan compact disk (cd), dan yang paling baik sekali ialah berdakwa melalui penulisan.
Nukilan seseorang yang telah dibukukan dan diterbit oleh penerbit yang bertauliah kemudian dijual di pasaran umum di merata tempat di dunia ini amat bermanfaat kepada semua yang ingin membaca buku tersebut termasuklah mereka yang dari masyarakt bukan Islam. Buku ini adalah satu media yang boleh sampai kepada semua lapisan masyarakat tidak kira orang itu kawan atau musuh. Mereka boleh membaca bahan ilmu tersebut secara sulit mahu pun secara terbuka.
Berdakwah melalui penulisan amat tinggi nilai pahalanya kerana bahan itu boleh diperolehi oleh semua masyarakat manusia dari berbilang bangsa dan keturunan di seluruh dunia. Dakwah dalam bentuk penulisan adalah satu bidang yang merupakan pusaka yang tidak ada
tandingan nilainya.
Murnikan hidup mu dengan ketakwaan kepada Allah adalah cara mendekatkan diri kepada Zat yang Maha Suci itu. Bertakwah mempunyai beberapa ciri yang membentuk manusia sentiasa mengingati Allah. Perasaan tawadhuk adalah sesuatu yang membentuk manusia untuk merendah diri sebagai hambah. Tidak ada ciptaan Allah di bumi ini yang berhak untuk merasa sombong melainkan Allah sendiri kerana Dialah mewujudkan segalanya untuk kemanfaatan segala bentuk kehidupan dalam alam ini.
Manusia dalam mendisiplinkan diri mengerjakan ibadah sembahyang. Dalam sembah- yang, bahagian badan yang amat bermutu dan berguna kepada diri manusia ialah bahagian kepala. Tetapi apabila kita sujud kepada Allah kepala kita diletakkan sama rendah dengan telapak kaki menunjukkan bahawa manusia sujud merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t.
Dalam mengolah aktiviti kehidupan, umat Islam harus memimpin dirinya supaya sentiasa menjaga diri jangan sampai hilang pedoman dan membelakangi kekuasaan Tuhan. Harus ingat bahawa segala amal perbuatan kita dalam hidup adalah tawakal semata dan keberhasilannya adalah prerogatif Allah s.w.t.
Merasakan cukup dengan apa yang ada adalah ciri ketakwaan kepada Allah. Kenaah memberi satu kefahaman bahawa umat Islam tidak tamak dan haloba. Apa yang ada seharusnya besyukur terhadap pemberian Allah. Walaubagaimana pun Islam juga menggalakan mencari harta seberpa banyak yang boleh dengan syarat ia mesti membayak zakat harta.
Harus ingat bahawa segala kejayaan yang diperolehi bukan mengubah seseorang itu untuk menjadi megah dan sombong tetapi haruslah dijadikan kejayaan itu sebagai ikhtiar untuk membantu orang lain berbuat demikian. Segala kemampuan manusia untuk memperbaiki taraf hidupnya bukan manusia yang menentukan. Tidaklah wajar bagi seseorang itu mengatakan bahawa apa yang ada pada dirinya adalah hakmutlaknya dan tidak mensyukuri pemberian Tuhan
Yang Maha Pengasih. Segala kejayaan itu hanyalah hak guna pakai manusia sahaja.
Amalan subahat adalah membawa manusia ke lembah hina. Amalan-amalan hidup yang sentiasa memelihara kesucian Islam itu akan membawa manusia bertemankan iman. Iman merupakan benting segala kekufuran dan kebatilan. Iman itu adalah jaminan Allah untuk memasuki SyurgaNya. Iman dan amal merupakan landasan hidup yang membawa kemurnian dunia dan akhirat. Kekuatan iman menjamin kehidupan manusia itu lebih sempurna dan terbela. Maka itu hiasi masa depan anda dengan kemurnian iman kepada Allah.

No comments:

Post a Comment