Tuesday, August 16, 2011

SEMPURNAKAN IBADAH DENGAN IMAN DAN TAKWA. Disiarkan pada 13.8.2011

Tegaknya Islam berdiri di atas lima rukunya iaitu Mengucap dua kalimah syahada; Solat lima waktu sehari semalam; Puasa di bulan Ramadan; Membayar Zakat dan; Menunaikan Haji kepada orang yang mampu. Kelima-lima rukun Islam tersebut asasnya berpaksi kepada Iman dan Takwa.
Iman itu ertinya percaya. Iman itu ialah perkataan dan perbuatan (qaulun wa’amalun). Ertinya perkataan hati dan lidah dan perbuatan hati dan anggota. Sabda Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Iman itu lebih daripada 60 ranting, yang paling tinggi ialah kalimat “Lailaha illal Lah.” Dan paling rendahnya ialah membuangkan duri dari tengah jalan.” (HR: Bukhari, Muslim dan Abu Hurairah)
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud (terjemahan): “Orang yang beriman itu ialah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian itu tidak ada ragu-ragunya lagi, dan mereka berjihad dengan harta benda dan diri mereka sendiri pada jalan Allah. Itulah orang-orang yang benar mengakuinya.” (Al-Hujarat: 15)
Baginda Nabi Muhammad memberi pengajaran Islam kepada utusan kaum Abdul Qais supaya beriman kepada Allah. Baginda mentarbiahkan mereka tentang iman. Iman kepada Allah ialah mengucapkan Syahadat, bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Di dalam hadis ini nyata perkataan setengah ulama, di antaranya Ibnu Taimiyah, bahawa tiap-tiap orang yang beriman itu adalah Islam, tetapi tidaklah tiap-tiap orang Islam itu beriman.
Orang yang beriman kepada Allah sewajarnyalah bertakwa kepada Zat yang Maha Agung itu. Perkataan takwa adalah taat mengerjakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-larangan-Nya. Perkataan takwa adalah terbitan daripada tiga huruf iaitu ‘ta’, ‘kaf’, dan ‘wau’ dan masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.
‘Ta’ daripada perkataan tawadhu, yang membawa makna tidak mahu dipuji, sentiasa rendah diri. Tidak angkoh dan sombong dan mempunyai sikap kefahaman mental. Pemimpin yang berwibawa adalah golongan orang yang tawadhu.
Syaidina Abu Bakar setelah dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin(Khalifah), beliau berkata: “Saya telah dipilih oleh kamu untuk memimpin tuan-tuan. Kalau saya benar, bantu saya tetapi kalau saya lari dari kebenaran tegur saya”. Inilah contoh orang yang bersikap tawadhu. Dia tidak meloncat menjadi sombong setelah dipilih malah kalau boleh dia monolak perlantikan itu tetapi oleh kerana kecintaannya kepada rakyat yang inginkan kepimpinannya maka ia menerima dengan penuh harapan agar rakyat berganding bahu membantunya. Dengan hati yang ikhlas dan terbuka ia bersedia untuk menerima kritikan dari rakyat yang dipimpinnya.
“Qaf” terbitan dari perkataan Qanaah. Qanaah ialah menerima dengan cukup. Merasa cukup dengan apa yang diberikan oleh Allah. Sifat memadai sekadar apa yang ada tanpa tamak dan haloba. Misalan seorang pemimpin berkata: “Kalau rakyat saya lapar, biarlah saya jadi orang yang pertama merasa kelaparan; tetapi kalau rakyat saya merasa kenyang biarlah saya menjadi orang yang terakhir merasa kenyang.”
Sebagai pemimpin yang bersifat qanaah di dunia sains dan teknologi masa kini seperti tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kata-kata beliau dalam bukunya bertajuk “Bertemu Janji Allah”, keluaran 2008 yang diterbit oleh Anbakri Publika Sdn Bhd. mengatakan
“Disisi Islam kejayaan manusia tidak diukur dari aspek penguasaan kehidupan dunia. Kejayaan hakiki bergantung kepada sejauh manakah manusia mampu berusaha menyingkap segala rahsia hidup yang abadi. Tok Guru cuba mendorong kita untuk menjadi mukmin yang lebih mencintai akhirat, jestru di sanalah hidup kita yang sebenar, dunia keabadian dalam pertemuan yang pasti disisi Allah S.W.T”.
Qanaah itu mengandung lima perkara: Iaitu pertama, menerima dengan rela akan apa yang ada; kedua, memohonkan kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha; ketiga, menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan; keempat, bertawakal kepada Tuhan dan kelima, tidak tertarik oleh tipu daya dunia. (Prof. Dr.HAMKA)
Maksud qanaah itu amatlah luasnya. Menyuruh percaya yang betul-betul akan adanya kekuasaan yang melebihi kekuasaan manusia, menyuruh sabar menerima ketentuan Ilahi jika
ketentuan itu tidak menyenangkan diri, dan bersyukur jika dipinjami-Nya nikmat, sebab entah terbang pula nikmat itu kelak. Dalam hal yang demikian disuruh bekerja, kewajipan belum berakhir. Kita bekerja bukan lantaran meminta tanbahan yang telah ada dan tak merasa cukup pada apa yang dalam tangan, tetapi kita bekerja sebab orang yang hidup mesti bekerja. (Prof Dr. HAMKA)
Ahli ekonomi menyarankan bahawa dalam pembangunan atau lebih dikenali sebagai prinsip ekonomi yang berlandaskan kepada pembangunan dunia, beliau berkata bahawa, “There is no end in wants.” Ia membawa maksud setiap kejayaan yang diperolehi oleh manusia tidak menjadi faktor kepuasan diri malah ia menjadi pendorong untuk bercita-cita mendapatkan yang libih lemayan lagi. Masalahnya ialah tidak ada rasa kesyukuran terhadap kejayaan yang ada dalam tangan.
Qanaah adalah modal yang paling teguh untuk menghadapi penghidupan, menimbulkan kesungguhan hidup yang betul-betul mencari rezeki. Jangan takut dan gentar, jangan ragu-ragu dan syak, mantapkan fikiran, teguhkan hati, betawakal kepada Tuhan, mengharapkan petolongan Nya, serta tidak merasa kesal jika ada keinginan yang tidak berhasil, atau yang dicari tidak dapat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap.” (HR; Thabrani dari Jabir.) Orang yang mempunyai sifat qanah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.
“Wau”- Dalam perkataan takwa adalah terbitan dari perkataan warak yang bermaksud terpelihara, baik yang sibahat lebih-lebih lagi yang haram. Tidak sama sekali mendekati corruption. Pemimpin yang korop suka mementingkan diri bersama dengan kuncu-kuncunya. Pemimpin politik sebagai contoh perjuangannya untuk mendapatkan kerusi ialah membuat perubahan pada dirinya terlebih dahulu dan rakyat dibelakangkan. Percaya atau tidak itulah keadaan sebenar. “Pemimpin politik bermati-matian untuk medapatkan kerusi dan apabila kerusi diperolehi ayat pun hilang”.
Mengucap dua kalimah syahada sewajarnya bermuara dalam hati yang percaya atau beriman kepada Tuhan (Allah) itu satu dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah. Iman itu bersandar kepada firman Allah dalam surah al Maaidah ayat (5) 3 yang bermaksud (terjemahan): “………..Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagi mu”
Dalam Surat Ali Imran (3) ayat 19, Tuhan telah menyatakan bahawasanya yang sebenar agama di sisi Allah, hanyalah Islam. Sebab Islam ertinya ialah penyerahan diri seluruhnya lahir dan batin, hanya kepada Allah saja.Tidak bercabang kepada yang lain. Erti Islam juga ialah Al-Inqiyadu, yang bermaksud patuh menurut.
Dalam surah Ali Imran ayat 85 dengan tegas juga Allah berfirman bahawa barang siapa yang menghendaki selain Islam menjadi agamanya, sekali-kali Allah tidaklah menerima agamanya itu, dan di akhirat dia akan termasuk orang-orang yang rugi dan malang. Dalam kemuskilan berkenaan dengan urusan dunia, Islam telah cukup memberikan bimbingan.
Agama Islam murni menurut yang diturunkan dari langit, yang telah cukup dan sempurna, tidak dapat dikurangi atau ditambah lagi. Orang yang menambah-nambah, bernama tukang bid’ah. Ummat Islam 14 Abad yang lalu sama saja kaifiyat dan caranya, rukunya dan syaratnya dengan sembahyang ummat Islam sekarang.
Dengan hal yang demikian mengenai soal-soal perkembangan perikemanusiaan nampak nyata kesempurnaan Islam, sebab dia memberikan kebebasan berfikir. Fikirkanlah bagaimana cara dan langkah yang harus engkau tempuh dalam lapangan hidup, berpedoman kepada agama yang telah sempurna itu.
Islam mengakui adanya Evolusi hidup manusia. Tersebutlah dengan jelas dalam firman Allah Surat Nuh ayat (71) 14 yang bermaksud (terjemahan) “Sesungguhnya Dia telah mencipta kan kamu tingkat demi tingkat.”Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa keadaan hidup manusia adalah selalu berubah, tingkat demi tingkat.
Pertumbuhan peribadi makhluk manusia melalui tingkat demi tingkat, sejak dari masa dalam kandungan ibu. Ia dilahirkan kedunia sebagai bayi kemudian membesar berubah menjadi kanak-kanak lalu berubah lagi menjadi remaja. Habis remajanya berubah pula menjadi dewasa kemudian warga emas dan mati. Terdapat pengaruh lingkungan yang setiap manusia wajar berwaspada, pendidikan, pengetahuan, sampai mati, sampai jadi tanah kembali.
Bangsa demi bangsapun melalui tingkat demi tingkat. Manusia sendiri dalam keseluruhan nya, sebagai khalifah Allah di muka bumipun berubah melalui tingkat demi tingkat. Manusia telah melalui berbagai perubahan atau tingkatan seperti Zaman Tembaga, Zaman Besi dan zaman Mesin sampai kepada zaman sain dan teknologi atau zaman Atom sekarang ini.
Bagitu juga keadaan kehidupan berbagai bangsa dan keturunan di seluruh dunia sentiasa berubah yang dipengaruhi oleh iklimnya. Namun Islam yang telah sempurna itu dapat dipeluk dengan ridha oleh seluruh bangsa tadi, sehingga mereka berpadu menjadi satu ummat. Dalam kesatuan mereka dengan ummat itu, kita masih dapat melihat aneka ijtihad kerana berlainan iklim. Tetapi dalam semuanya itu Islam tidak dapat dipisahkan. Sebagai contoh binaan bentuk mesjid sahaja pun mempuyai kelainan mengikut tempat dan zaman.
Semuanya itu menunjukan dengan tegas bagaimana sempurnanya Islam diturunkan Allah, sebab agama yang sempurna ialah agama yang mengakui dan mengembangkan bakat pertumbuhan manusia dan perikemanusiaan dan tidak membeku.
Rukun Islam kedua ialah Solat lima waktu yang ditetapkan waktu dan masanya. Orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah sukar meninggalkan ibadah tersebut kerana ia menjadi tiang kehidupan manusia mukmin. Ke mana-mana ia pergi dan dalam keadaan apa sekali pun’ kewajipan menunaikan solat lima waktu pasti dilaksanakan.
Coba kita fikirkan bahawa hidup ini iman kita memberi tahu bahawa Allah memberi hidup kepada manusia serta segala nikmatnya setiap detik masa yang berlalu sehingga ajal menjemput nyawa. Maka ketakwaan kita kepada Allah seharusnya mendidik kita untuk memelihara amanah Allah untuk mengerjakan solat lima waktu yang hanya memakan masa paling minimal pun 25 minit se hari semalam berbanding dengan Allah beri kita hidup dengan segala nikmat-Nya selama 24 jam sehari semalam.
Kadang-kadang perlaksanaan ibadat solat dengan ibadat puasa di bulan Ramadan orang sering mempunyai kekeliruan. Ada orang yang tekun mengerjakan ibadat puasa tetapi meninggalkan solat lima waktu atau tidak solat sama sekali! Solat itu merupakan kepala kepada agama Islam dan puasa itu diibaratkan badannya. Kalau kita tidak mengerjakan solat tetapi melaksanakan ibadat puasa, ibarat orang berjalan tanpa kepala. Dalam kejadian semua makhluk Allah termasuklah manusia ia hidup mempunyai kepala. Tanpa kepala bermakna makhluk yang tidak hidup atau mati. (Bersambung)

No comments:

Post a Comment