Friday, August 26, 2011

MULIAKAN HIDUP DI DUNIA DENGAN GANJARAN PAHALA

Disiarkan pada 27. 8. 2011
Misi dalam hidup seharusnya dijadikan agenda utama dalam menangani kehidupan di dunia. Setiap individu muslim harus faham tujuan mengapa ia diwujudkan Allah sebagai hamba-Nya dan apakah amanah Allah yang wajar dipelihara? Agenda utama dalam hidup ialah meng- gumpul sebanyak pahala yang boleh dan jadikan ia sebagai teman hidup di dunia dan diakhirat kelak. Amanah yang perlu dijaga dan dipelihara ialah berbuat baik kepada orang lain seperti yang disarankan dalam syariat Islam.
Masyarakat mukmin mempunyai tanggungjawab terhadap dirinya, agama, keluarga, masyarakat dan negara. Tanggungjawab utama terhadap diri ialah menuntut ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan alam kehidupan khusus ilmu tauhid. Dengan ilmu kita boleh membantu umat manusia dalam berbagai jenis pertolongan. Dengan ilmu juga kewibawaan kita sebagai khalifah Allah dalam memakmurkan alam kehidupan dapat menyelenggarakan dengan betul mengikut kerdhaan Allah S.W.T.
Di dunia meterialistik, misi dalam hidup ialah kekayaan dan kebahagian. Walaubagai manapun kekayaan itu tidak menjamin kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat. Tetapi pahala yang diperolehi dari menolong orang lain yang berwajib dibantu akan melahirkan kegembiraan hidup di kedua-dua alam tersebut. Orang yang kaya misinya dalam hidup ialah mengumpul seberapa banyak wang dalam bank simpanan tetapi seorang ulamak misinya ialah mengumpul dana pahala sebanyak yang boleh untuk bekalan hidup di akhirat kelak.
Wang ringgit (kekayaan) adalah kepeluan dunia semata dan jika disalahguna kadangkala ia memudaratkan akhlak manusia sebagai pemain dalam pembangunan tamadun kehidupan. Jika ia digunakan dengan ikhlas dan tawadhu ia membahagiakan hidup buat seketika di dunia. Pada umumnya kekayaan itu membentuk manusia lupa diri dan menjauhi amanah Allah. Kata bahasa Inggeris’ “Money is the root of evil”.
Satu peristiwa seorang ahli sufi yang terkenal Malik bin Dinar. Menurut riwayatnya dari Imam Besar yang terkenal iaitu Hasan Al-Basri, sebelum bertaubat adalah Rajanya maksiat, semua maksiat yang ada di muka bumi ini kalau ditanyakan ke Malik bin Dinar pasti akan dijawab sudah.
Malik bin Dinar pada mulanya seorang yang sangat suka melakukan pelbagai kejahatan atau kemaksiatan. Pada suatu ketika ada seorang bertanya kepadanya bagaimana ia dapat mengubah kelakuannya yang buruk itu. Pada mulanya Malik enggan memberi tahu, tetapi setelah didesak, beberapa kali, akhirnya diapun bersetuju menceritakan kisah dirinya itu.
Menurutnya, dulu dia adalah seorang penjaga keamanan(polis) di pasar. Kesukaanya tidak lain ialah suka berfoya-foya dan minum arak sehingga mabuk dan kemaksiatan lainnya. Suatu ketika Malik membeli seorang budak (hamba) untuk dijadikan isterinya yang sah. Kebetulan budak yang baru dibelinya itu sangat cantik, sehinggalah begitu tertarik kepadanya.
Malik dan budak itu kemudian dikurniakan seorang anak perempuan yang cantik yang diberi nama Fatimah. Fatimah dididik dengan penuh kasih sayang. Satu sifat aneh yang dimiliki oleh Fatimah ialah suka merampas gelas minuman arak di tangan ayahnya dan kemudian menuangnya ke jubah ayahnya. Perbuatan tersebut selalu dilakukan berulang-ulang. Walaupun Malik tidak suka perbuatan Fatimah namun dia tidak pernah memarahinya disebabkan rasa sayang terhadap anaknya itu.
Ketika berumur dua tahun, putri kesayangan Fatimah telah kembali ke Rahmatullah. Betapa hancurnya hati Malik waktu itu kerana kehilangan mutiara yang tidak ada gantinya. Hidupnya menjadi muram disebabkan kematian putrinya itu dan kemaksiatan yang lebih dahsyat dia lakukan lagi.
Pada suatu malam Nisfu sya’ban, yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Malik mengisikan malam tersebut dengan meminum arak sebanyak-banyaknya sehingga mabuk. Dalam keadaan mabuk itulah dia tertidur dan bermimpi dengan mimpi yang sangat mengerikan.
Dalam mimpinya Malik melihat manusia bersesak-sesak keluar dari kubur masing-masing dan berhimpun di Padang Mahsyar termasuklah dirinya sendiri. Di dalam keadaan sedemikian beliau dikejutkan dengan satu suara raungan yang sangat kuat dan menakutkan. Setelah dilihatnya ke belakang didapatinya ada seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan dengan mulutnya terbuka hendak menelannya.
Tidak ada jalan lain bagi Malik untuk mengelakkan diri daripada ditelan ular itu kecuali lari sekuat tenaga. Dia berlari untuk menyelamatkan dirinya namun ular itu terus mengejar dengan ganasnya. Akhirnya dia bertemu dengan seorang yang sangat tua sedang berjalan dengan lemah sekali dan bertatih-tatih. Bajunya bersih dan baunya sangat wangi.
Malik mengucap salam kepadanya dan dia pun membalas salamnya. Malik berkata kepadanya: “Wahai Syeikh! Lindungi aku dari ular ini, semoga Allah melindungimu! Syekh itu menangis dan berkata: “Aku lemah dan dia lebih kuat dari ku, aku tidak dapat melawannya. Pergilah cepat, mungkin Allah akan menganugerahmu sesuatu yang akan menyelamatkan kamu darinya.
Setelah mendengar nasihat daripada orang tua itu, Malik pun terus belari sehingga dia sapai ke sebuah bukit yang agak tinggi dan akhirnya sampai ke puncaknya. Ketika dia melihat ke bawah alangkah terkejutnya beliau kerana mendapati neraka terbentang luas. Beliau hampir terjatuh ke dalam neraka itu kerana terlalu takut dan terkejut dengan ular besar yang sentiasa mengekorinya itu. Kemudian Malik terdengar satu suara yang sangat kuat menyuruhnya mundur dari situ.
“Wahai Malik, silakan engkau mundur dari sini! Kerana engkau bukan termasuk ahlinya,” kata suara itu.
Tenanglahhati Malik setelah mendengar suara itu dan bila dia mundur ke belakang didapatinya ular itu berhenti mengejarnya. Oleh sebab tidak ada jalan lain lagi, Malik terpaksa berputar balik ke belakang sehinggalah dia bertemu kembali dengan orang tua tadi.
“Wahai Syeikh! Aku benar-benar minta pertolongan engkau untuk menyelamatkan aku dari kejaran ular itu, tapi mengapa engkau enggan?” Tanya Malik. “Sudah aku katakana, aku ini sudah tua, sangat lemah,” jawab orang tua itu memberi alasan yang sama.
Bagaimanapun orang tua itu menunjukkan ke arah sebuah bukit yang lain lalu menyuruh Malik bin Dinar pergi ke bukit itu kerana di sana terdapat sebuah rumah.
Tanpa buang masa lagi Malik berlari ke bukit itu. Ular itu masih juga mengejarnya dengan ganas. Setelah sampai di puncak bukit tersebut tampak ada sebuah bangunan yang berbentuk tirus kubah bertingkap. Pada tiap-tiap tingkat itu kelihatan pintu yang teramat indah. Semua pintu itu bertahtakan mutiara yang indah dan zamrud yang berkilau-kilauan. Kemudian dia coba memanjat pintu itu terdengar satu suara aneh, yang menurut fikirannya adalah suara malaikat berseru:
“Buka pintunya dan angkatlah kain penutupnya. Keluarlah kamu sekalian, barangkali ada di antara kamu yang dapat menolong orang jahat itu”.
Setelah mendengar suara tersebut, tiba-tiba semua pintu terbuka dan sungguh aneh yang keluar dari pintu itu adalah anak-anak semua dengan wajah/muka yang berseri-seri. Mereka memandang kepada ku dengan penuh balas kasihan kerana mereka melihat aku sedang di dalam ketakutan dikejar ular. Tiba-tiba aku melihat anakku yang berusia dua tahun ada bersama-sama kumpulan anak-anak itu. Seketika Fatimah memandangku, dia pun menangis, lalu berlari memelukku. Kemudian Fatimah menunjukkan tangannya ke arah ular itu dan secara tiba-iba ular pun pergi dari situ. Ular raksasa yang amat sangat menakutkan aku itu kemudiannya lenyap dari pandanganku.
Malik meneruskan ceritanya. “Aku meletakkan putriku itu dalam pangkuanku dan dia asyik bermain dengan janggutku. Kemudian putriku itu membaca sepotong ayat al-Qur’an surah
al-Hadid (ayat: 16) yang ertinya:
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik”
“Tatkala mendengar ayat yang dibacakan tiba-tiba aku menangis serta menyesali akan segala dosa-dosa yang lalu. Kemudian aku bertanya kepada putri kesayanganku itu. “Wahai Fatimah anakku, apakah erti/maksud dari al-Qur’an itu?”
Fatimah menjawab: “Sesungguhnya saya faham akan segalanya ayah, bahkan lebih daripada ayah sendiri”
Kemudian aku terus bertanya lagi: “Apakah maksud ular itu wahai anakku?”
Maka dia mengatakan kepada ku bahawa ular itu adalah perbuatan jahat selama hidupnya yang hampir menjeremuskannya ke dalam api neraka.
“Tetapi siapa pula orang tua itu wahai anakku? Tanya Malik lagi.
“Dia adalah perbuatan baik ayah lakukan, perbuatan baik itu menjadi lemah kerana perbuatan jahat yang telah ayah lakukan. Dia tidak dapat menolong ayah.”Jawab puterinya.
“Aku bertanya lagi: “Apakah yang kamu lakukan di rumah ini anakku?” Lalu puteriku menjawab: “Ayahku yang dikasihi! Kami semua adalah anak-anak Islam. Kami menunggu kamu sekalian sehingga Hari Akhirat. Kemudian kami meminta Allah untuk keselamatan ayah-ayah kami.”
Sampai di sini, Malik terjaga daripada tidurnya. Dia melihat ke kiri dan ke kanan, tidak ada siapa-siapa, ternyata dia baru sedar bahawa dia telah bermimpi. Dari mimpinya itulah dia terus sedar bahawa itu merupakan satu peringatan baginya. Malik merasakan sudah sampai masanya dia insaf dan menghentikan semua amalan buruknya dan bertaubat kepada Allah. Maka akhirnya Malik bin Dinar menjadi seorang ahli sufi yang terkenal di bawah bimbingan Hasan Al-Basri.
(Riwayat Kisah Taubat Malik bin Dinar juga boleh didapati dari Kitab at-Tawwabiin halaman 223-224).
I’tibar/pelajaran yang dapat diambil adalah seberapa besar dosa kita, kalau kita mau insaf dan bertaubat Insya Allah… akan diampuni. Demikian juga amalan manusia akan dikuburkan bersama-sama di dalam kubur. Jika ternyata amalanya itu baik, amalan itu akan menemaninya di dalam kubur untuk memberi suasana yang menggembirakan, menerangi dan melapangkan kuburnya. Sebaliknya jika amal kejahatan lebih banyak yang dibuatnya, nescaya alam kubur terasa sempit…gelap…pengap dan mengerikan.
Muliakan hidupmu di dunia dengan ganjaran pahala dan bukan ganjaran bala seperti yang dialami oleh Malik bin Dinar dalam mimpinya. Segala perbuatan yang berunsur kejahatan dan kemaksiatan akan kembali kepada anda sama ada semasa di dunia kalau tidak pun pasti diakhirat nanti. Allah itu adalah Kadi Robbul Jalil.
Menghabiskan hidup di dunia dengan berseronok dan melupai tanggungjawab sebagai hamba Allah bukan tujuan hidup yang dijanjikan kepada Allah. Walaubagaimanapun kebahagian hidup wajar juga diperolehi dengan syarat ia adalah kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat kelak. Kejahatan dan kemaksiatan jangan jadikan teman hidup di dunia kerana ia bukan perjuangan sebagai khalifah Allah.

No comments:

Post a Comment