Friday, September 2, 2011

UMAT ISLAMWAJAR BUDAYAKAN HIDUP TEGUR MENEGUR

(Disiarkan pada 3 Septembe 2011)
Masyarat Islam hidupnya sentiasa dimurnikan dengan kalimah-kalimah yang berunsur kasih sayang yang mendekatinya kepada Zat Yang Maha Agung Allah seperti mengucap ‘Assalamualaikaum’, ‘Alhamdulillah’, ‘Syukur’, ‘Insa Allah’, ‘Astagfirullah’, ‘Inalilahi ‘wa inalilahi rojiun’, ‘Ya robbi’, ‘Ya Allah’, dan sebagainya.
Dengan terucapnya kalimah-kalimah tersebut menandakan bahawa segala perjalanan hidup manusia di dunia adalah kekuasaan Allah S.W.T.. Manusia sebagai khalifah Allah dimesti kan sentiasa melihat sesuatu itu sama ada di dunia nyata atau di alam ghaib besandarkan kepada Allah kerana kewujudan segala fenomena alam adalah kekuasaan Zat yang Maha Agung itu.
Dengan amalan demikian akan memantapkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mendekatkan diri kepada Allah akan melahirkan kecintaan kita kepada diri kelak akan menimbulkan kecintaan kita kepada Tuhan yang Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Bijaksana. Hidup yang sentiasa dekat dengan Tuhan akan terjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang bertamadun.
Mengucap ‘assalamualaikum’ kepada orang lain dalam keadaan apa jua pun adalah satu bentuk ibadah. Ia berbentuk doa: “Kesejahteraan bagi mu, moga sihat walfiat dan dalam lindungan Allah S.W.T.” Orang yang sentiasa membudayakan ibadah salam akan sentiasa dimudahkan urusannya dalam hidup. Iman kita sentiasa memelihara kekeluargaan Bani Adam yang mendidik kita bahawa setiap manusia itu adalah bersaudara.
Melihat sesuatu yang mengerikan seperti kemalangan berbagai bentuk(sifat) kita disunatkan mengucap ‘inalilahi wa inalilahi rojiun” yang bermaksud kepada Allah kita kembli, kerana segala musibah itu adalah ketentuan dari Allah S.W.T. Kalimah demikian akan mengingatkan kita sebagai pengguna alam ini dan perjalanan hidupnya adalah semata-mata tawakal kepada Allah. Manusia boleh merancang tetapi ketentuan adalah dari Tuhan sendiri.
Manusia berusaha bertawakal dengan iringan doa semoga mendapat keredhaan dari Allah kerana segala kejayaan atau kegagalan adalah prerogative atau hak Allah S.W.T.. Melaksanakan ibadah semestinya mempunyai hubungan dengan Allah kerana Dialah penentu segala-galanya. Maka menjadi kewajipan kepada setiap mukmin untuk sentiasa mengingati Allah S.W.T.
Masyarakat mukmin mempunyai tanggungjawab untuk membudayakan hidup tegur menegur antara sesama demi memelihara ukhuwah kemanusiaan. Menyedari kelemahan sendiri akan hanya dapat dilihat atau diketahui oleh pihak lain tetapi sukar diketahui oleh diri sendiri. Dalam erti kata lain kelemahan diri itu dikategorikan sebagai penyakit rohani. Setiap individu dalam menelusuri kehidupan sentiasa dihinggapi oleh dua jenis penyakit iaitu penyakit rohani dan penyakit jasmani
Penyakit jasmani, kita yang lebih tahu kehadirannya dan orang lain tidak mengetahuinya. Tetapi penyakit rohani pula orang lain yang lebih pantas melihatnya tetapi orang yang mempunyai penyakit tersebut sukar mengetahi kehadirannya. Penyakit rohanilah yang sentiasa menginap pada diri individu dalam berurusan dengan pembangunan kehidupan tetapi sukar diketahui keberadaannya.
Ambil satu contoh penyakit rohani yang paling kecil, merasa sombong terhadap kejayaan yang diperolehinya. Apabila manusia merasa ada kelebihan sedikit dari orang lain sifatnya berubah kepada suka dipuji dan kurang bersyukur. Sifat inilah yang membawa manusia merasa sombong. Tetapi dia tidak merasainya, orang lain yang memandangnya bersifat demikian. Apabila ditegur barulah ia sedar diri bahawa sewajarnya ia bersyukur dan bukan menjadikannya sebagai faktor merasa riak.

Penyakit rohani ini kadangkala memuderatkan amal ibadah seseorang itu. Sebelum mendapat kekayaan rajin datang ke mesjid sembahyang berjemaah. Apabila Allah kurniakan kekayaan ibadahnya meleset. Keutamaan dalam hidupnya bertukar memfokoskan kepada urusan dunia dan membelakangi urusan akhirat.
Di zaman Nabi ada seorang yang hidupnya miskin maka itu rajin mengikuti Rasul sembahyang berjemaah di mesjid. Di mana sahaja Rasul berada sang Laba pasti ada di situ. Tetapi satu tabiat yang aneh yang ia sering lakukan ialah sebaik sahaja selesai solat ia terus meninggalkan mesjid bergagas pulang ke rumahnya. Ia tidak wirid dan tidak sembahyang sunat.
Sehingga Rasul menegurnya mengapa ia berbuat demikian. Sang Laba menjawab ia bergagas pulang ke rumah kerana isterinya hendak sembahyang. Kain sembahyang yang dia pakai hanya satu-satunya kain yang mereka berkongsi. Oleh sebab Rasul telah menegurnya maka lantas Sang Laba memohon kepada Rasul supaya didoakan ia menjadi kaya.
Dahulunya memang sudah ada niatnya hendak bercakap kepada Rasul mengenai kemiskinannya tetapi merasa malu. Maka Rasul sudah menegurnya maka terbukalah peluang hendak memohon sesuatu kepada Rasul. Rasul mengatakan kepadanya bahawa Rasul pun bukan orang yang kaya! Maka permohonannya tidak dapat dipertimbangkan oleh Rasul. Sang Laba merasa terkilan dan berduka cita.
Pada hari-hari berikutnya Sang Laba mencoba lagi nasib hendak memohon Rasul supaya didoakan menjadi kaya. Sang Laba berjanji kepada Rasul jika ia kaya ia tekun beribadah. Ia tidak tinggalkan mesjid. Oleh sebab Sang Laba telah berjanji kepada Rasul akan tekun beribadah apabila ia kaya maka Rasul hadiahkan Sang Laba seekor kambing yang sedang bunting. Rasul menyuruh Sang Laba pelihara kambing itu dengan baik.
Maka Sang Laba ambillah kambing itu, dipelihara dan dirawatnya setiap hari. Tidak lama kemudian kambing pun beranak dua ekor betina. Maka senanglah hati Sang Laba sudah mempunyai tiga ekor kambing yang sihat. Sang Laba jaga kambingnya dan juga jaga solatnya setiap hari tidak ditinggalkan.
Tidak lama kemudian kambing Sang Laba pun membiak banyak. Setiap kali kambing beranak semestinya dua ekor dan kadangkala tiga ekor. Maka semakin banyak kambing Sang Laba semakin sibuk Sang Laba dibuatnya. Apabila kambingnya membiak banyak hingga keluar kota maka mulalah Sang Laba sibuk. Masa menunaikan solat pun sudah sukar baginya melaksanakan lima waktu. Lama kelemahan Sang Laba tidak kelihatan lagi bersama Rasul ke Mesjid. Rasul bertanya kepada jemaah di mana Sang Laba? Mereka menjawab sibuk dengan perusahaan menternak kambingnya! Rasul kata: “Kesihan Sang Laba!”
Sang Laba apabila diuji dengan kemiskinan ia lulus dan rajin beribadah. Tetapi apabila di uji dengan kekayaan ia gagal. Manusia berurusan dengan dunia sering mengabaikan tanggung jawab akhirat. Inilah penyakit rohani yang sentiasa memperkosakan pemikiran manusia untuk membelakangi amanah Allah sebagai hambanya dan sebagai khalifah di muka bumi ini.
Penyakit jasmani biasanya kita yang lebih tahu daripada orang lain. Mempunyai bisul sebagai contoh, orang lain tidak tahu kehadirannya tetapi kita yang lebih tahu. Kadangkala penyakit jasmani ini menjadi teguran Allah kepada kita. Teguran itu adalah berupa faktor untuk dipatuhi kerana masalah sudah bersama kita.
Mempunyai penyakit tekanan darah tinggi boleh menjadi sebagai teguran kepada kesihatan kita. Kehadirannya menjadikan kita sudah berhati-hati menjaga makanan kerana tidak semua makanan kali ini boleh dimakan terutama sekali makanan yang kolesterolnya tinggi. Sudah sampai masanya juga kita istikamah mematuhi temu janji dengan pakar perubatan untuk memeriksa keadaan kesihatan kita serta mendapat preskripsi ubat yang sesuai untuk mengawal
kesihatan badan kita.
Teguran-teguran yang berbentuk peraturan awam atau undang-undang sivil adalah antara fakor yang memelihara kebajikan masyarakat agar tidak dicerubuhi oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab. Maka itu kita diwajibkan mematuhi peraturan atau undang-undang awam yang dibina oleh badan-badan masyarakat untuk menegakkan keadilan dalam urusan pembangu nan manusia terutama sekali yang bersangkutan dengan kebajikan. Undang-undang itu merupakan teguran kepada individu yang mempunyai masalah mengikuti peraturan awam.
Melaksanakan ibadah puasa di bulan suci Ramadan, budaya tegur-menegur wajar menjadi kewajipan pada setiap individu mukmin. Badan-badan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), yang dipertanggungkan untuk menjaga kesucian agama Allah iaitu Islam sentiasa bergerak memantau masyarakat mukmin memelihara ibadah tersebut dengan ikhlas dan tawadhu.
Mematuhi kewajipan melaksanakan rukun Islam yang ketiga menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim. Walaubagaimanapun ramai orang berpendapat bahawa perlaksanaan ibadah puasa adalah urusan individu dengan Allah! Maka itu tidak menjadi soal bagi orang lain untuk menegur kepada orang yang tidak melaksanakan ibadah tersebut! Jawapan seperti ini mungkin ada kebenarannya tetapi harus kita kembali kepada fakta bahawa Allah wujudkan agama Islam untuk manusia.
Firman Allah surah al-Maaidah ayat (5) 3 yang bermaksud (terjemahan): “…….Pada hari ini telah Ku sempurna untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu.”
Dengan turunnya ayat ini, nyatalah kepada kita bahawa agama Islam telah sempurna, berisikan perkara-perkara yang fardu dan sunat. Ada batas-batas hukuman, diterangkan perkara-perkara yang halal dan haram, sehingga tidak ada lagi satu hukum yang halal atau haram diturunkan lagi selepas itu.
Allah redhai Islam sebagai agama manusia dalam keadaan yang sempurna maka itu manusia wajar bersyukur menerima nikmat Allah yang telah disempurnakanNya. Kesyukuran kepada nikmat Allah harus diimbali dengan perlaksanaan rukun-rukun Islam yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Orang yang tidak melaksanakan ibadah puasa di bulan suci Ramadan adalah mereka yang tidak bersyukur terhadap kedatangan Islam. Dalam erti kata lain orang demikian tidak bersyukur kerana dia itu Islam, maka orang berkenaan tidak wajar menganggap dirinya sebagai Islam kerana ia meruntuhkan Islam yang sudah disempurnakan Allah S.W.T. Orang yang meruntuhkan kesucian Islam sama dengan menyakiti hati Rasul dan tidak cinta kepada Zat yang Maha Berkuasa.
Antara sebab-sebab mengapa azab kubur itu ada ialah jahil mengenai Allah (tidak mengenali-Nya), tidak mencintai-Nya dan mengerjakan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Orang-orang yang melakukan perkara yang dilarang Allah dan tidak melakukan perintah yang diwajibkan ke atasnya kemudian mati tanpa bertaubat, maka mereka itu akan menerima azab Barzakh (kubur).
Tidak ada yang menemani seseorang setelah matinya di dalam kubur kecuali hanya amalnya sendiri yang menjadi teman. Tidak keluarganya, tidak isterinya, tidak hartanya, tetapi amal ibadahnya juga setia menjadi teman dalam kubur. Maka itu janganlah lalai terhadap keseronokan dunia yang berupa sementara. Bila ajal menjemput nyawa akan terputuslah segala kelazatan dan kenikmatan dunia, tidak ada yang akan ikut bersama kita di alam barzakh. Ketika itu barulah kita sedar bahawa apa yang telah kita nikmati untuk mencerahkan jiwa raga kita selama hidup di dunia tidak kekal menjadi milik kita dan yang amat sedikit sekali ialah semuanya
itu tidak lagi mengenali kita setelah tanah ditimbus ke liang lahad.
Kemanfaatan untuk membudayakan tegur menegur antara sesama akan mendidik kita lebih dewasa dan sedar terhadap perbuatan yang bertentangan dengan akidah Islam. Pepatah Melayu mengatakan “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

No comments:

Post a Comment