Saturday, September 24, 2011

KEWAJIPAN MEMAHAMI KEADAAN SEMASA MERUPAKAN IBADAH

(Disiarkan pada 24. 9. 2011)
Pengurusan masa merupakan faktor utama dalam pembangunan manusia. Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah al-Ashr ayat (103)1 – 2 yang bermaksud(terjemahan): “Demi masa manusia sentiasa dalam kerugian.” Budaya semulajadi manusia sentiasa ketandusan masa dalam segala hal pembangunan kerana mereka tidak peka dalam penggunaan masa dikecuali orang-orang yang bertakwa dan beriman kepada Allah.
Masa yang dimainkan oleh matahari atas kekuasaan Allah sentiasa bergerak tanpa menungguh sesiapapun. Begitu juga usia manusia, mulanya sebagai seorang bayi setelah dilahirkan ibu, membesar menjadi kanak-kanak, kemudian meningkat remaja, lalu bertukar menjadi dewasa kemudian ke usia emas mengikut peredaran masa.
Perjalanan hidup setiap insan wajar memahami keadaan semasa kerana destinasi hidup di dunia sebenar adalah alam akhirat setelah melalui alam barzakh sebagai penantian dunia hancur-hancuran iaitu kiamat di mana semua penghuni kubur dibangkitkan dan bertemu semula dengan rohnya. Peredaran masa wajar diimbali dengan ibadah yang akan menghasilkan pahala sebagai bekalan hidup di alam yang berikutnya.
Fitrah manusia sememangnya bersifat rohaniah tetapi kehadiran fitrah kehaiwanan pada diri manusia yang dimainkan oleh hawa nafsu membuat manusia sentiasa berwaspada dengan iringan iman dalam menelusuri kehidupan agar tidak terjebak dalam budaya yang menjemput kekufuran. Walaubagaimanapun Allah sempurnakan kehidupan manusia dengan kehadiran akal dan kemahiran berfikir yang akan memandunya ke landasan yang diredhai Allah S.W.T.
Memahami keadaan semasa memerlukan kekuatan iman, akal dan kemahiran berfikir untuk mengolah pembangunan kehidupan agar tindakan kita dapat menepati pandangan sewajarnya yang mengesahkan bahawa yang putih itu adalah putih dan yang hitam itu adalah bersifat hitam dan bukan disebaliknya.
Permainan atau teka teki kehidupan dunia sentiasa melemahkan iman serta pemikiran manusia sebagai pemain yang berwibawa dalam mengolakan pembangunan. Apabila melayani buayan keseronokan dunia yang bersifat sementara itu maka manusia telah mengkufuri larangan-larangan Allah S.W.T. Jestru itu setiap tindakan dalam melaksanakan ibadah harus dihiasi dengan kaliamah ‘Bismillah.’ Ini wajar kerana segala yang menjadi kebuntuhan hidup manusia adalah kekuasaan Allah S.W.T. Pemikiran yang sentiasa dekat dengan Allah akan mendapat jaminan keselamatan dari-Nya.
Membudayakan kalimah “Bismillah” akan sentiasa memudahkan urusan dunia khusunya dalam perlaksanaan muamalah. Kalimah ini jika diucapkan dengan hati yang khusyuk dan tawadhu akan meningkatkan dan menguatkan keimanan kita kepada Zat yang Maha Pencipta. Iman kepada Allah adalah jaminan kebahagiaan dan keselamatan dunia dan akhirat.
Kewajipan memahami keadaan semasa agar tidak diporak-porandakan oleh pergerakan masa adalah jalan hidup yang sentiasa dekat dengan Allah. Keadaan demikian wajib ada pada setiap insan kerana segala kewujudan fenomena alam kehidupan adalah kekuasaan Allah S.W.T. Maka itu kewajipan menangani masa merupakan ibadah kerana Allah.
Ada yang memahami masa itu dianalogikan nilainya seperti emas. Jika emas itu amat penting dalam meningkatkan ekonomi kehidupan manusia maka memanfaatkan masa sebaik mungkin dalam hidup juga amat penting dalam meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada Allah S.W.T..
Ahli ekonomi mengatakan mengenai paradigma pembangunan, wajar ada urutan disiplin ibadahnya seperti pencapaian hari ini adalah lebih baik berbanding dengan pencapaian hari kelmarin dan pencapaian hari esok wajar lebih baik daripada hari ini dan seterusnya. Inilah prinsip pembangunan yang melakarkan budaya hidup “Saya Mesti Berubah” mengikut peredaran masa. Perubahan itu semestinya mengarah kepada keadaan positif iaitu perubahan kepada kebaikan dan bukan sebaliknya.
Kewajipan memahami keadaan semasa juga akan mendidik manusia lebih peka mengenai pembangunan kedua-dua dimensi alam iaitu jasmani dan rohaniah. Pembangunan rohaniah bersandar kepada kepekaan membangunkan jasmani. Iman melihat pembangunan rohaniah adalah berkait rapat dengan pembangunan jasmani.
Keutamaan dalam pembangunan jasmani ialah memperolehi ilmu pengetahuan samada ilmu di alam dunia mahupun ilmu alam akhirat. Untuk mendapat keseimbangan ilmu dalam kedua-dua alam tersebut seseorang itu wajar mengilmukan dirinya dengan ilmu akidah dan ilmu tauhid. Pengetahuan dalam kedua-dua dimensi ilmu ini akan membina pembangunan tamadun manusia yang pasti mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Allah wujudkan manusia di dunia dengan satu tujuan iaitu beribadah kepadaNya. (Al-Qur’an surah Az-Zariyat ayat (51) 56. yang bermaksud (terjemahan): “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku.”
Allah menjelaskan, bahawa tujuan–Nya menjadikan makhluk dari bangsa jin dan manusia tidak maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyem- bah Allah dengan mengabdi diri kepada-Nya dan mengesakannya – bukan supaya mereka mencari kepenting hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya. Kerana mereka tidak memiliki manfaat atau muderat bagi diri mereka, bahkan tunduk kepada qadak-Nya.
Dengan adanya ilmu rohaniah maka dengan sendirinya ilmu dunia atau pembangunana jasmani akan terbela. Analogi hidup yang sering ditamsilkan oleh bicara minda ialah “ Jika kita menanam padi tanpa diundang rumput turut sama tumbuh subur. Tetapi jika kita tanam rumput padi tidak akan tumbuh sama.” Ia bermaksud jika kita tuntuti ilmu akhirat dengan sendirinya dunia akan turut sama terbela. Tetapi jika ilmu dunia semata kita tuntuti belum pasti ilmu akhirat akan terbela.
Memperolehi ilmu dalam kedua dua dimensi alam, manusia akan dapat memanfaatkan nikmat-nikmat Allah dan mensyukuri keredhaan-Nya terhadap segala ibadah yang kita laksana kan. Jestru itu tugas yang diamanahkan Allah sebagai khalifah di muka bumi akan dimudahkan Allah S.W.T.
Ilmu pembangunan jasmani tidak kurang juga pentingnya. Membina infrastruktur pembangunan akan melakarkan kemudahan dalam mengolah ibadah. Membina madrasa atau sekolah, mendirikan pusat-pusat pengajian tinggi adalah antara infrastruktur yang wajar ada di dunia. Dengan terbinanya gedung-gedung ilmu tersebut maka dapatlah melahirkan manusia ilmuan yang akan menjadi pemain dalam pembangunan tamadun.
Peredaran masa telah ditentukan oleh Allah maka wajar difahami kemanfaatan setiap pergerakannya dalam setiap detik masa yang dikenali sebagai saat. Enam puluh saat menjadi seminit dan enam puluh mini menjadi sejam. Dua puluh empat jam sehari suntuk, kemudian tujuh hari dalam seminggu. Empat minggu itu dikumpul menjadi sebulan; dan dua belas bulan bertukar kepada setahun. Usia manusia meniti di atas landasan masa yang bergerak.
Allah memuliakan dengan ketujuh hari ini, tujuh dari para nabi iaitu Allah memuliakan Nabi Musa a.s. dengan hari Sabtu; Nabi Isa bin Maryam a.s. dengan hari Ahad; Nabi Daud a.s. dengan hari Isnin; Nabi Selaiman a.s. dengan hari Selasa; Nabi Yaaqub a.s. dengan hari Rabu; Nabi Adam a.s. dengan hari Kamis, dan Nabi Muhammad s.a.w. dan ummatnya dengan hari Jumaat.
Umat Nabi Muhammad memelihara hari Jumaat adalah antara hari-hari yang terbesar
dalam kalendar Islam, tujuh hari dalam seminggu. Antara kebesaran hari Jumaat ialah Allah wujudkan Nabi Adam a.s. sebagai manusia pertama ialah pada hari Jumaat; turunnya wahyu pertama yang pernah Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menerima dalam perantaraan Malaikat Jibrail ialah pada hari Jumaat. Maka dengan itu hari Jumaat juga dipilih oleh umat Islam menunaikan sembahyang berjemaah di mesjid. Solat Jumaat adalah wajib bagi semua umat Islam. Kegagalan menunaikan sembahyang Jumaat tersebut dengan tidak ada alasan yang benar adalah dianggap berdosa.
Kewajipan memahami keadaan semasa adalah merupakan ibadah terutama sekali kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Setiap hari umat Islam disarankan untuk memahami peredaran masa. kerana masyarakat mukmin diwajibkan untuk mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam, seperti Subuh pada awal pagi; Zohor adalah pada masa 12.30 tengah hari; Asar adalah apabila matahari turun pada pukul 3.30 petang; Maghrib adalah masa setelah mata hari turun; dan solat Isak pada pukul 7.45 minit malam.
Ketepatan masa dalam mendirikan solat lima waktu adalah wajar kerana ia mengingatkan kita terhadap tanggungjawab akhirat dan juga mendekatkan kita kepada Allah S.W.T. Orang yang sentiasa memelihara solat lima waktu tepat pada masanya akan sentiasa dilindungi Allah dalam segala hal muamalah dunia. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Al-Ra’d ayat (13) 11 yang bermaksud(terjmahan): “Setiap manusia bertanggungjawab terhadap naibnya sendiri”
Manusia bukan malaikat dan bukan juga syaitan. Bagaimanapun, taraf manusia boleh mencapai tempat tertinggi sehingga mempunyai taraf lebih tinggi dari malaikat atau boleh jatuh ke tempat yang paling rendah sehingga bersifat seperti syaitan. Semasa israk iaitu peristiwa pejalanan Nabi Muhammad s.a.w. pada waktu malam dari Mekah ke Baitul-Mukaddis, atau dari Masjid al-Haram ke Mesjid al-Aqsa dan seterusnya melalui tujuh lapis langit ke Sidhirantul Muntaha atau Aras Allah, Malaikat Jibrail yang menemani Baginda tidak dibenarkan Allah masuk aras-Nya tetapi Nabi Muhammad dipersilakan Allah
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia yang paling mulia disisi Allah S.W.T. Allah memuji Nabi dan mencintainya kerana segala perintah Allah dilaksanakan dan segala larangan Allah dijauhinya. Pernah sahabat bertanya kepada Siti Aisah, isteri baginda mengenai akhlaknya dan Siti Aisah menjawab bahawa akhlak baginda adalah al-Qur’an. Ini bermaksud segala ajaran dan panduan Allah kepada pembanguan kehidupan manusia yang termaktub dalam dokumen wahyu-Nya yakni al-Qur’anul Karim telah diterjemahkan dalam diri Baginda Rasul Nabi Muhammad.
Kekayaan dunia adalah antara rebutan oleh semua manusia semasa hidup di dunia. Kewajipan memahami masa dalam hidup di dunia ialah mengumpul seberapa banyak harta kekayaan maka bertungkus lumus untuknya. Sering kita dapati manusia yang telah berjaya mengumpul harta kekayaan dunia tidak mengimbali kekayaan yang bersifat semantara itu dengan kekayaan harta akhirat yang bersifat abadi.
Perbezaan antara kaya dengan harta dunia dengan kaya harta akhirat tidak dijadikan satu wawasan kefahaman dalam menangani kehidupan. Harta dunia tidak selamanya bersama kita. Setelah ajal menjemput nyawa maka dengan sendirinya kekayaan dunia menjadi milik orang lain. Kadang-kadang kekayaan dunia itu mengheretkan kita untuk mengkufuri perintah Allah S.W.T. Dengan kemewahan tersebut akan memesongkan pemikiran manusia untuk mengenali yang putih itu adalah putih dan yang hitam itu ada hitam.
Tetapi kekayaan akhirat seperti pahala yang telah diperolehi dari melaksanakan kebajikan untuk orang lain; ilmu yang dimanfaatkan semasa hidup di dunia yang menjadi kemanfaatan kepada masyarakat umum; dan segala amal-amal jariah yang telah kita laksanakan semasa hidup
di dunia adalah antara kekayaan yang kita bawa bersama ke liang lahad hingga ke alam akhirat.
Masalah disitu ialah kewajipan memahami keadaan semasa tidak diimbali dengan kefahaman mengenai wawasan kehidupan akhirat. Maka itu fahamilah diri anda bahawa manusia mempunyai dua tanggungjawab iaitu kebajikan hidup di dunia untuk jasmani kita dan kebajikan hidup di alam akihat untuk rohani kita. Ingat bahawa manusia mempunyai dua unsur iaitu unsur jasmani dan unsur rohani maka itulah tanggungjawab sebenar kepada setiap insan mengapa Allah wujudkan manusia sebagai hamba-Nya.

No comments:

Post a Comment