Saturday, October 1, 2011

ZAMAN KITA ANTARA POSITIF DAN NEGATIF DALAM PERSPEKTIF ISLAM

(Disiarkan pada 1. Oktober. 2011)
Zaman Rasulullah s.a.w. adalah zaman kebangkitan dan kegembilangan Islam di seluruh dunia. Islam telah mengangkat darjat dan mastabat Bangsa Arab sehingga mereka mempunyai garis panduan dan wawasan yang mantap untuk terus membangun peradabannya. Bahasa Arab adalah lungua frangka (bahasa penghantar) Islam. Ia sebagai media utama untuk mempelajari ilmu-ilmu dan ajaran-ajaran Islam. Islam juga sebagai kunci utama memahami kandungan isi Al-Qur’anul Karim dan Al-Sunnah Al-Nabawiyyah. Bangsa Arablah orang-orang pertama yang memeluk dan menyebarkan Islam dan ajarannya ke seluruh pelusuk dunia.
Dari kalangan merekalah Nabi Akhir Zaman, Muhammad s.a.w. telah dipilih dan dibangkitkan untuk membawa “Risalah Tauhid” bagi seluruh umat manusia di atas muka bumi ini. Beliau membersihkan hati dan jiwa mereka dari kotoran dosa dan syirik. Mendidik dan mengajak mereka akan pengertian dan maksud petujuk-petunjuk Al-Qur’anul Karim dan Hidayat Al-Sunnah Al-Nabawiyyah.
Setelah bangsa Arab mendapat pengajaran yang cukup, mereka bertebaran ke seluruh penjuru dan pelusuk dunia untuk menyampaikan ajaran-ajaran Islam dan menjadi pendakwah-pendakwah yang ulung dan unggul.
Islam telah mengajarkan bangsa Arab sehingga menjadi bangsa yang berilmu, bertamadun dan berperadaban yang tinggi lepas dari belunggu kejahilan dan kebodohan. Islam memimpin mereka kepada jalan yang lurus dan menyelamatkan mereka dari jurang kesesatan. Mengeluarkan mereka dari kegelapan syirik dan dosa kepada cahaya Islam dan petujuk Ilahi yang terang benderang. Sedangkan mereka itu pada ketika dahulunya berada dalam kehidupan zalim dan kesesatan, tetapi Allah Ta’ala menyelamatkan mereka.
FirmanNya, bermaksud: “Dialah yang telah mengutus kepada kamu yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-Jumu’ah: 2.)
Kesesatan yang lebih dahsyat dan nyata daripada kesesatan aqidah dan kepercayaan yang dianut suatu kaum. Kerosakan akhlaq, moral dan perilaku serta perbuatan mereka yang tidak ada perikemanusiaan seperti menanam bayi perempuan hidup-hidup yang baru lahir yang diyakini mereka membawa kesialan dalam pembangunan keluarga.
Islam telah mengagkat darjat dan martabat Bahasa Arab sehingga mereka mempunyai garis panduan dana wawasan yang mantap untuk terus membangun peradabannya. Mereka berjuang untuk mengembangkan Islam di merata dunia. Mengorbankan seluruh daya upaya, harta dan semua yang mereka miliki sehingga nyawapun mereka korbankan untuk kepentingan dan kejayaan Islam. Merekalah salah satu contoh sebaik-baik umat yang telah memperjuangkan Islam dengan semua daya upaya yang ada.
Islam telah disebarkan keseluruh dunia sudah lebih 1,400 tahun sejak ia mulanya dikembangkan oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. dalam tahun 1H. Walaubagaimana pun kegemilangan dan keunggulan Islam mula menurun setelah 700 tahun berlalu. Kemudian apabila masuk ke abad yang ke 700 kedua Islam mula naik semula.
Turun naiknya kegemilangan Islam adalah disebabkan umatnya sendiri tidak menjadi “Umat yang Satu” memiliki keteguhan dan kekuatan iman yang mantap untuk menjalankan tugas-tugas “Dakwah Islamiah” ke seluruh pelusuk dunia.
Mengikut pandangan seorang ulama dunia yang disegani: Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi berkata bahawa zaman kita sekarang ini mempunyai karakteristik tersendiri yang berbeza dari masa-masa terdahulu dan kita wajib mengenal dan memahaminya dengan mendalam, baik unsur positif dan negatifnya.
Abad ini adalah abad Sains dan Teknologi; Kebebasan, Pemeliharaan hak-hak Manusia sejagat dan Masa Kemerdekaan Bangsa-bangsa di dunia; Zaman serba cepat, canggih dan perkembangan yang luar biasa; Masa Perpaduan dan Penyatuan Kekuatan; Period Perancangan Taktik dan strategik bukan zaman ‘asal jadi’ ataupun ‘menyerah diri’ dengan keadaan.
Inilah zaman yang dipersiapkan sepenuhnya untuk menyongsong cabaran masa hadapan dan tidak hanya puas dengan kejayaan yang diraih pada masa kini ataupun keberhasilan yang telah lampau.
Perkara-perkara yang telah kita sebutkan tadi adalah merupakan segi-segi positif disajikan oleh zaman kini jika dilaksanakan dengan niat yang baik, matlamat yang jelas dan disiplin yang tinggi. Namun, abad kita ini bukanlah sunyi dari kekurangan dan segi-segi negatif, sebagai salah satu Sunnah Allah ke atas alam raya ini, iaitu adanya kebaikan dan keburukan, manfaat dan muderat, kegembiraan dan kesedihan, kepedihan dan kenikmatan.
Pada zaman ini kebendaan duniawi dan manfaat karier menguasai hidup manusia. Orang-orang yang hidup di zaman moden ini cenderung sentiasa mengikuti ajakan dan dorongan hawa nafsu. Pencemaran berlaku di setiap sudut kehidupan insan. Zaman yang lebih mengutamakan perantaran dan sarana bukan tujuan dan matlamat; goncangan jiwa, tekanan batin dan perpecahan melanda hampir seluruh manusia di jagat ini.
Inilah kedua sisi positif dan negatif yang ada pada abad moden dan menjadi perhatian kita di dalam memberikan jalan penyelesaian dari krisis kehidupan yang sedang melanda umat Islam khususnya.
Jika kita sudah mengetahui bahawa abad kita ini mengandungi dua anasir positif dan negatif dan kita ingin menjadi moden, mestikah kita mengambil semua budaya yang ada masa kini, termasuk yang bersifat negatif dengan hujjah kedua anasir tersebut tidak boleh dipisah-pisahkan? Atau adakah kita mempunyai hak sendiri untuk memilih mana yang mesti kita ambil?
Pertanyaan-pertanyaan tersebut di atas menuntut kita untuk mengenal lebih jauh tentang: “Abad ini”. Apakah hakikatnya sebenar dan bagaimanakah sikap kita terhadapnya? Adakah dia sesuatu “taqdir” yang ditetapkan bagi kita sehingga kita tidak boleh lari dan menghindar daripadanya?
Mestikah kita mengambil semuanya yang telah ada pada zaman ini sama ada yang baik, buruk, manis,pahit, getir, yang hitam dan yang putih..? Atau adakah kita memiliki hak dan kebebasan untuk menilai kembali dan memilih yang terbaik dan meninggalkan unsur-unsur yang negatif dan tidak bermanfaat sesuai dengan ketentuan Syari’at dan Aqidah Islam..?
Pada hakikatnya, zaman yang sedang kita tempuh ini ialah seumpama “watan” di mana sekumpulan manusia yang membentuk masyarakat dan hubungan sosial antara sesama mereka dengan berbagai bentuk dan aliran pemikiran, pengalaman, perasaan, adat kebiasaan, perbuatan, akhlak, wawasan, oganisasi dan tingkahlaku yang berkembang di tengah-tengah mereka, sama ada yang benar dan salah; lurus dan menyelewing; baik dan buruk; bermanfaat dan muderat.
Sudah menjadi kewajipan manusia untuk melakukan penilain dan pembezaan antara perkara yang ‘benar’ mengikut jalan pemikiran, ‘baik’ mengikut norma-norma akhlak, ‘bermanfaat’ mengikut nilai-nilai kerja di zaman ini, dan perkara-perkara yang ‘salah’ mengikut jalan pemikiran, ‘buruk’ mengikut norma-norma akhlak, ‘merbahaya’ mengikut nilai-nilai kerja. Mereka mesti memilih sisi yang pertama dan wajib mengambil nilai-nilai positif dan meninggalkan nilai-nilai negatif dari semua perkara yang berkembang.
Kita tidak sependapat dengan aliran pemikiran “Keterpaksaan Zaman” yang memandang manusia hanya sebagai “bejana kosong” yang boleh diisikan dengan segala rupa benda yang dikehendaki oleh “Zaman” sama ada baik ataupun buruk; positif ataupun negatif, meski pun manusia tadi tidak menyukainya.
Juga, kita tidak sejalan dengan aliran pemikiran: “Keterpaksaan Tempat” yang meman- dang insan hanya sebagai “kereta sorong” yang hanya boleh ditolak ke sana dan ke sini mengikut arah dan batas geografi tempat tinggal dan tanah lahirnya sahaja. Semua pemikiran dan usahanya tidak boleh melewati batas kebangsaan dan tanah airnya.
Kesimpulannya, kita menolak semua jenis aliran “keterpakasaan” dan “pemaksaan” yang menganggap manusia hanya sebagai “benda mati” yang tidak mempunyai inisiatif, kreatif dan kebebasan untuk menentukan dan memilih sendiri apa-apa perkara yang baik dan bermanfaat untuk dirinya. Semua jenis “Aliran Pemaksaan” tersebut tidak dapat kita terima, sama ada aliran pemaksaan cara “Agama” yang menjadikan manusia bagaikan “selembar bulu”dan boleh ditiup kesana kemari oleh “Nasib” dan “Qadar”, atau pun pemaksaan cara “Sosial” yang menjadikan individu sebagai korban bagi semua kehendak dan keinginan masyarakat dan orang ramai, atau pun pemaksaan cara “Politik”yang sendang berlaku pada dewasa ini dan telah menjadikan manusia semuanya bagaikan “bidak-bidak di papan percantuman politik…!”
Tidak dapat dinafikan, bahawa seorang manusia sebagai insan biasa boleh terpengaruh oleh keadaan lingkungan dan persekitaran di mana dia tinggal, baik dari segi pemikiran dan gaya hidup kebendaan, seperti juga ia akan terpengaruh dengan keadaan zaman dan perubahan masa yang berlaku. Namun begitu, ia tidak kehilangan kehendak, iradah dan hak memilih dan menentukan terhadap semua perkara-perkara yang berlaku dihadapannya.
Inilah sebuah kurnia besar yang telah dilimpahkan Allah S.W.T. kepada seseorang insan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya di muka bumi ini. Firman Allah dalam al-Qur’an Surah Al-An’am ayat 104 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya telah datang dari Rabb-mu bukti-bukti yang terang; maka barang siapa memilih kebenaran itu, maka manfaatnya bagi dirinya sendiri; dan barang siapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemuderatannya kembali kepadanya..”
Bukti-bukti yang terang atau dimaksudkan juga ayat-ayat al-Qur’an, jelasnya setelah Allah menerangkan bukti-bukti tentang keesaan-Nya, dan kesempurnaan kekuasaan serta pengetahuan-Nya, maka diterangkan pula di sini menerusi rasul-Nya supaya mengatakan demikian. Kamu sesungguhnya telah dituruni al-Qur’an yang mengandungi keterangan dan bukti, sehingga dengannya pula dapat kamu lihat mana yang dikatakan hidayat dan mana pula yang dikatakan kesesatan, mana yang hak dan mana yang batil.
Firman-Nya lagi, bermaksud: “Jika kamu berbuat baik(bererti),kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri, dan jika kami berbuat jahat; maka kejahatan itu buat dirimu sendiri..” (Surah Al-Isra: 7)
Jika kamu berbuat kebaikan dengan mentaati Allah dan patuh kepada perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya, itu bererti kemu telah berbuat baik kepada dirimu sendiri,kerana kamu yang akan mendapat faedah serta keuntungannya di dunia dan juga di akhirat.
Banyak tentangan dan cabaran dalam kehidupan ini maka banyak orang hidup di luar “zamannya” melarikan diri dari cabaran dan tentangan semasa, sebaliknya mengambil cara hidup lama sebagai anutan. Alasannya mengapa ia meninggalkan cara hidup moden ialah kerana membenci perkara tersebut yang mengancam keselamatan aqidah, keyakinan beragama, pemikiran dan kerja-kerjanya, ataupun kerana ia khuatir, takut dan tindak mempunyai persiapan bagi menghadapi cabaran hidup semasa yang begitu hebat dan dahsyat.
Sikap yang terbaik ialah sikap pertengahan, adil dan bijaksana. Mengambil apa-apa perkara yang baik dan bermanfaat daripada “kancah kehidupan semasa” dan meninggalkan perkara-perkara yang negatif dan muderat bagi kehidupan kita di dunia dan diakhirat.

No comments:

Post a Comment