Sunday, October 16, 2011

MASYARAKAT WAJIB MEMAHAMI FALSAFAH HIDUP DALAM SENARIO HOLISTIK

(Disiarkan pada 15.10. 2011)
Hidup dalam keadaan beragama(Islam) berbeza dengan hidup tidak beragama. Begitu juga keadaan hidup berilmu jauh berbeza dengan orang yang hidup tanpa ilmu. Ilmu dan agama adalah dua elemen yang membina manusia untuk mengenali diri sebagai hamba Allah dan seterusnya mengenali tanggungjawabnya dalam scenario kehidupan holistic atau kehidupan beragama.
Dalam sejarah kehidupan masyarakat Jahiliah yang tidak punya ilmu dan jauh dari mempunyai ilmu agama yang benar yang diturunkan dari langit oleh Allah S.W.T.. kefahaman hidup ini bagikan seekor haiwan yang disiplin hidupnya ialah dari tangan ke mulut. Mereka berusaha mendapatkan sesuap makanan apabila perut mereka merasa lapar. Soal apa wawasan dalam hidup tidak menjadi agenda pembangunan. Kepimpinan masyarakatnya jauh dari disiplin bertamadun. Perasaan kasih sayang antara sesama tidak dijadikan ukhuwah kemanusiaan.
Kehidupannya dikawal oleh hawa nafsu dan budaya pembangunan kehidupannya dipusakai dari datuk nenek mereka turun temurun. Adab-adab dalam kehidupan bermasyarakat tidak dijadikan keutamaan dalam membina pembangunan kekeluargaan. Akibat hidup yang tidak diserikan dengan adab kemanusiaan maka sampai ke kemuncak kebiadabannya menganggap kehadiran wanita dalam pembangunan keluarga sebagai pembawa kesialan dan kemoderatan. Maka untuk menembusi kepercayaan tersebut berlakulah budaya mengubur hidup-hidup anak-anak perempuan yang tidak berdosa itu.
Agama Islam membentuk disiplin hidup manusia berteraskan dokumen wahyu (al-Qur’an) yang diturunkan dari langit oleh Allah dalam perantaraan malaikat Jibril yang diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para rasul di alam dunia ini. Dokumen ini adalah petunjuk Allah kepada manusia cara hidup yang benar yang diredhai-Nya.
Kejayaan Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w membaiki akhlaq masyarakat Quraisy yang jahil terhadap kemurnian hidup bermasyarakat adalah berteraskan dokumen tersebut yang telah diterjemahkan terlebih dahulu oleh Baginda ke dalam diri beliau sendiri.
Masyarakat Quraisy merupakan keturunan baginda sendiri yang hidupnya telah menyimpang jauh lebih menyesatkan sehingga membuat sembahan mereka sebagai tuhan dari patung yang diperbuat daripada berbagai bahan rekaan mereka sendiri. Mereka lebih yakin tuhan mereka yang jelas dan boleh dilihat dan disentuh oleh mereka sendiri daripada sesuatu Zat yang dalam keadaan ghaib.
Kehidupan manusia di dunia sebenar adalah berkisar antara hubungan-hubungan dengan Allah S.W.T. dan hubungan dengan berbagai makhluk yang Allah telah wujudkan, baik dengan manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda mati dan lainnya. Kewujudan manusia sebagai makhluk Tuhan adalah dalam dua unsur, iaitu jasmani dan rohani. Jasmani adalah untuk pembangunan dunia dan rohani untuk pembangunan alam akhirat demi mendekatkan kepada Allah S.W.T.. sebagai penguasa kepada semua makhluk yang ada di antara lagit dan bumi serta yang ada di akhirat.
Hidup berteraskan pembangunan rohani wajar menjadi perjuangan dalam tamadun kehidupan manusia. Walaubagaimanapun, pembangunn jasmani tidak kurang juga pentingnya dalam scenario kehidupan beragama. Memahami hakikat bahawa pembangunan manusia kiblatnya kepada Allah S.W.T. maka unsur kehidupan rohani menjadi tanggungjawab utama setiap insan demi memelihara kebajikan pembangunan jasmani.
Dalam hubungan bermasyarakat Allah befirman: “Serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (Al-Baqarah:83), iaitu perkataan yang baik, lemah lembut, sopan, beretika, bagus dan bermanfaat. Ayat ini umum, diperuntukkan bagi seluruh manusia mencakupi kerabat yang jauh, orang yang berbuat kebaikan atau orang pendusta, orang Muslim dan kafir, kecuali orang-orang kafir yang memerangi orang Islam.
Allah berfirman dalam al-Quran surah Al-Mumtahanah: 8, yang bermaksud (terjemahan)
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak(pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguh nya Allah menyuakai orang yang berlaku adil.”
Jika kita diperintahkan untuk berbuat baik kepada orang-orang kafir baik perbuatan mahupun perkataan, untuk menarik hati mereka dan agar mereka menyukai Islam, lantas bagaimana sikap kita terhadap orang-orang Islam yang betul-betul lurus? Perkataan yang baik boleh mententeramkan jiwa, membuka kunci kebekuan hati, menolong dalam menerima kebenaran yang akan diikuti. Mewariskan rasa kasih sayang dan hormat kepada pemiliknya, hal itu menunjukkan ketinggian darjat dirinya, baik perangainya dan terjaga lisannya.
Sifat dan sikap inilah yang harus dilakukan oleh seorang muslim, kerana Nabi s.a.w. bersabda: “Bukanlah seorang Mukmin itu adalah orang-orang tukang fitnah, tukang menyaksikan, bukan pula orang yang berkata kotor dan cemar. (Hadith diriwayatkan oleh Tirmidzi)
Seluruh orang mukmin bersaudara. Kasih sayang Allah S.W.T. menjadikan mereka sebagai bersaudara yang saling mencintai, bersatu dan saling menolong, saling berhubungan dan saling berbalas kasihan. Maka Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Al-Hujurat: 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin bersaudara.”
Persaudaraan yang hakiki adalah persaudaraan atas dasar kesamaan iman. Tidak ada persaudaraan yang benar tanpa iman dan tidak ada iman yang benar tanpa rasa persaudaraan terhadap orang-orang beriman dan melaksanakan hak-hak terhadap mereka, maka persaudaraan dan keimanan adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Menyayangi orang-orang mukmin adalah tanda benarnya keimanan. Hal ini merupakan peringkat kecintaan Allah S.W.T.
Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Al-Maidah: 55 – 56 yang bermaksud:
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman sebagai penolongnya maka sesungguh nya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang.”
Orang yang mengikat ukhuwah Islamiah adalah tali yang paling kuat, benar, kekal dan lebih sempurna dari semua ikatan dan hubugan lainnya. Segala sesuatu yang menyatukan dan mengukuhkan diakui dan dianjurkan oleh Islam. Allah S.W.T. membuat tali pengikat agama-Nya yang benar ini dari tali pengikat yang suci.
Ikatan akidah Islam dan persaudaraan seagama, lebih kekal dan lebih tegak. Nabi s.a.w. bersabda.”Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya tidak menzalimi dan tidak menyerahkannya (pada musuh), sesiapa pun yang menolong saudaranya maka Allah S.W.T. akan menolongnya dari kesulitan di hari kiamat. Sesiapapun yang menutup (aib) seseorang muslim, Allah S.W.T. akan menutupi (aib) di hari kiamat.(Hadith diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
Hidup yang dimurnikan dengan budaya beragama kerana Allah merupakan satu pembangunan kehidupan yang sentiasa mendapat perlindungan dari Allah. Iman dan takwa memantapkan hubungan kita dengan Allah kelak akan menghiasi kehidupan itu dengan perasaan kasih sayang antara sesama makhluk.
Iman kita sentiasa menghubungkan kita dengan Allah dan mendapat kekuatan naluri menangani kerenah-kerenah kehidupan yang difahami sebagai ujian Allah S.W.T. Semakin banyak ujian Allah yang kita tempuhi semakin kukuh iman kita kepada Zat yang Maha Suci itu dan semakin kuat kasih sayang Allah terhadap kita.
Hidup dan kehidupan wajar dihiasi dengan kemurnian beragama kerana Allah. Di mana sahaja kita berada atau dalam keadaan apa jua sekali pun minda kita sentiasa kiblatkan kepada keberadaan Allah melihat dan memerhatikan gerak-geri kita. Melihat segala segi kehidupan sama ada yang cantik mahu pun yang gagah, cerdik pandai dan berkebolehan luar biasa wajar letakkan dalam jiwa kita bahawa segala keadaan itu, Allah lagi yang lebih cantik atau lebih kuasa.
Sebarang bentuk kebahagiaan, kezaliman dan kemaksiatan yang kita saksikan wajar difahami sebagai tamsil yang menjadi pelajaran kepada kita. Kalau ia menggembirakan wajar kita ucapkan alhamdillah! dan jika ia sesuatu yang mendukacitakan wajar ucapkan astagfirullah, Subhanallah, Ya Allah atau inalilahi wa inlilahi rojiun dan sebagainya. Menghiasi bibir kita dengan kalimah-kalimah tauhid akan sentiasa memurnikan hidup dekat dengan Allah.
Apabila perasaan kita dekat dengan Allah maka segala perlaksanaan agenda pembangunan, termasuklah hubungan kita antara sesama manusia dan makhluk Allah yang lain akan sentiasa dalam sinaran cahaya kebahagiaan kerana kita mendapat keredhaan Allah S.W.T. Melaksanakan segala amal kebajikan wajar dengan iringan perasaan ‘Allah redha atau tidak?’ Dengan iringan suasana sentiasa dengan Allah akan terjamin kemanfaatan agenda yang kita laksanakan.
Mereka yang mindanya sentiasa terpaut dengan harapan perlindungan dari Allah akan terpelihara dari perbuatan-perbuatan kemaksiatan sama ada dalam pemikiran (niat) atau secara langsung. Apabila kita sentiasa diselimuti perasaan dekat dengan Allah maka mata kepala dan mata hati kita maka benci melihat perlakuan orang lain yang bertentangan dengan kesucian Islam.
Bagitu juga keadaan yang biasanya menjadi budaya orang lain untuk berbahasa yang kotor atau tidak ada kemurnian berkomunikasi akan sering mengganggu perasaan kita apabila ia disampikan dengan bahasa yang mencemarkan kemurnian beragama. Kita rasa dukacita terhadap perlakuan manusia sedemikian rupa dan bukan orang yang kita gemar mendampingi.
Agama menyarankan kepada umatnya bahawa jika kita berdamping dengan orang yang memakai minyak wangi-wangian maka badan kita akan turut sama terpalit berbau wangi. Jika kita berdamping dengan orang yang tukang besi, badan kita turut sama baunya seperti orang yang tukang besi.
Bergaul dengan orang yang berilmu kita akan mendapat manfaat darinya tentang segala yang diucapkannya tentang kehidupan. Bagitu juga jika kita sentiasa berdamping dengan orang penjenayah maka lambat laun fikiran kita akan terpaut seperti pemikiran orang yang suka membuat angkara dalam masyarakat.
Masyarakat Islam mempunyai keunukan dari segi adab dan budaya yang tersendiri yang terbentuk mengikut acuannya serta terpancar dari nilai-nilai tersebut iaitu akidah, perkara-perkara yang bersangkutan dengannya dan cabang-cabangnya. Masyarakat Islam mempunyai keunikan dari segi akidah dan syiar, pemikiran dan emosi, serta akhlak dan keluhurannya.
Masyarakat Islam mempunyai adab serta budayanya sama ada dalam soal makan-minum, perhiasan dan pakaian, perjalanan, perkenalan dan pergaulan. Begitu juga mengenai perkerjaan, persahabatan dan kasih sayang, perkahwinan dan perceraian. Hubungan antara lelaki dan wanita, hubungan antara anak dan ibubapanya, hubungan antara kaum kerabat, hubugan antara jiran tetanga, kaya dan orang miskin dan sebagainya kesemuanya mempunyai adab-adab yang amat sempurna.
Kebudayaan, kesopanan dan adat-adat ini telah diwujudkan oleh Islam di dalam masyarakat Islam bertujuan untuk menjadikanya berkhidmat kepada akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tata susila Islam. Antara budaya masyarakat Islam ialah bangun awal dan menggunakan waktu pagi yang berkat itu dengan angin segar pagi. Kebudayaan yang indah dan
unik ini hanya dibentuk oleh kewajipan “solat Subuh”. (Bahagian Pertama)

No comments:

Post a Comment