Wednesday, October 26, 2011

MASYARAKAT WAJIB MEMAHAMI FALSAFAH HIDUP DALAM SENARIO HOLISTIK

(Bahagian Kedua)
(Disiarkan pada 22. 10. 2011)
Mengolah pembangunan kehidupan wajar bersifat holistik atau mementingkan scenario yang ada kesaksamaan antara pembangunan jasmani dan pembangunan rohani. Secara umum nya pengurusan holitik memberi maksud sesuatu pendekatan dalam proses kita menguruskan sesuatu perkara yang dibuat secara menyeluruh, seimbang dan teratur yang berteraskan kepada keharmonian dan keserasian dalam diri individu, dalam diri individu dengan individu lain dan hubungan individu dengan alam semesta.
Pengurusan holistik adalah bersifat terancang, tersusun dan menyeluruh dengan mengu- tamakan pembangunan dan hubungan manusia yang seimbang dan bersepadu dan harmoni dalam konteks dirinya sendiri serta kaitan dirinya dengan Allah S.W.T., dengan orang lain dan dengan segala isi alam semesta termasuklah apa yang ada di dalamnya.
Fokus pengurusan holistik ialah manusia dan matlamatnya ialah untuk melahirkan insan yang menyanjung tinggi nilai budaya luhur, berhemah tinggi, mempunyai pekerti mulia dan sentiasa bersyukur. Mereka mempunyai hubungan yang harmoni dengan orang lain serta amat positif terhadap tanggungjawab dirinya sebagai insan, sebagai pentadbir dan sebagai khalifah di alam semesta ini.
Sifat peribadi yang luhur serta hubungannya yang harmoni dengan orang lain dan alam semesta ini diterjemahkan dalam bentuk jatidiri serta mempunyai pegangan yang kuat terhadap apa yang dipercayai dan dianutinya serta sanggup pula untuk menyumbang dan berkorban bagi mencapai kecemerlangan diri dan kesempurnaan di dalam apa jua tugas yang dilaksanakan.
Pembangunan potensi spiritual merupakan keperluan asas setiap insan kerana ia akan memotivasikan manusia untuk bertingkah-laku dengan baik dan juga mempengaruhi cara mereka berinteraksi dengan persekitaran.Oleh kerana manusia adalah hasil kombinasi ruh dan jasad, manusia juga membawa dua kecendrungan iaitu kecendrungan untuk menjadi baik (dimotivasikan oleh jiwa rasional) dan berkecendrungan untuk menjadi jahat (dimotivasikan oleh jiwa kehaiwanan). Maka proses pembangunan spiritual ialah latihan berterusan untuk membawa jiwa kehaiwanan untuk berada di bawah kawalan jiwa rasional.
Antara sifat-sifat Pengurusan pembangunan secara holitik boleh dibahagikan kepada lima ciri. Pertama ialah Pengurusan itu berorientasikan Pembangunan Manusia yang seimbang dari segi mental, spiritual dan fisikal.
Tertegaknya manusia adalah atas dasar dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Pembanguan jasmani terletak kepada dua dasar seperti mental dan fisikalnya. Manusia diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini atas dasar ia mempunyai ilmu yang diajar oleh Allah dan mempunyai fitrah kemahiran berfikir dengan menggunakan otak atau mental demi memahami makna yang ada di sekelilingnya serta kemanfaatanya kepada kehidupan.
Dalam suasana mengolah kemahiran berfikir memahami scenario kehidupan, manusia dapat menyelami alam rohani atau yang difahami sebagai pembangunan spiritual yang mendekatkan manusia dengan Zat yang Maha Pencipta. Ini penting sebab kewujudan sesuatu fenomena alam adalah prerogatif Allah S.W.T. Manusia hanyalah sebagai pengguna yang baik dan wajar diserikan dengan rasa kesyukuran terhadap nikmat yang Allah berikan kepada hamba-Nya.
Sifat pengurusan secara holistic yang Kedua, ialah Pengurusan yang bersifat ‘Human Touch’ atau Sentuhan Kemanusiaan yang mengutamakan keharmonian dan keikhlasan dalam tindakan dan ia lahir dari sifat kasih sayang, keluhuran dan perasaan positif terhadap sesuatu perkara. Perasaan ikhlas dan harmoni dalam berhubung dengan orang lain amat diperlurkan dalam melahirkan perasaan kekitaan demi membina semangat bermasyarakat. Suasana demikian akan melahirkan kerjasama yang tinggi demi membina semangat kesatuan dan kekompakan solidaritas sosial yang menjadi benting dalam pembangunan insan.
Mengawal haiwan (kerbau) adalah dengan menggunakan talinya tetapi mengawal manusia adalah dengan menggunakan kata-kata yang lunak dan luhur yang boleh menyentuh perasaan yang akan melahirkan hubungan atau ukhuwah kemanusiaan yang baik. Kata-kata yang membina semangat adalah lebih bermanfaat daripada menggunakan kekasaran yang akan menyakitkan hati orang yang menerima kelak akan hanya melahirkan pergisiran nilai.
Sifat yang Ketiga, ialah Pengurusan yang mengambil kira kesan sama ada positif atau negatif daripada sebarang tindakan yang diambil terhadap diri sendiri ataupun orang lain serta hubungannya dengan perkara-perkara lain yang berkaitan. Kesan positifnya dapat dikenali dengan berlandaskan kepada ilmu ketauhidannya. Fenomena alam kehidupan wajar berpaksi kepada pembinaan akhlak yang mulia yang akan mendapat jaminan keredhaan Allah S.W.T. Arah tuju agenda pembangunan ialah memantapkan tanggungjawab yang diamanahkan Allah demi kemanfaatan diri dan juga kepada orang lain.
Sifat pengurusan secara holistic yang Kempat, ialah Pengurusan yang mengutamakan tindakan bersepadu, menyeluruh dan seimbang serta tidak bercorak terasing dan terpisah dengan perkara-perkara lain. Tindakan bersepadu membawa makna kemanfaatan antara pembangunan jasmani dengan pembangunan rohani atau antara pembangunan dunia dengan pembangunan akhirat.
Pembangunan jasmani adalah berhubung dengan sesama makhluk manusia manakala pembangunan rohani adalah antara kita sebagai insan dengan Allah S.W.T. yang mengharapkan dana pahala dari Zat yang maha berkuasa. Tindakan yang seimbang wajar berlandaskan kepada dua dimensi pembangunan iaitu pembangunan dunia dan pembangunan akhirat.
Kelima, ialah hasil tindakan yang dilakukan atau dapat menjamin perubahan positif terhadap manusia dari segi sikap, kepercayaan, pegangan hidup, berkat, inovasi, kreatibiti serta pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Segala geraklaku manusia untuk membina insan agar ia mempunyai wawasan pembangunan yang diinginkan adalah merupakan tawakkal kepada Allah semata. Maka itu segala usaha serta inisiatif kita curahkan demi membina wawasan pembangunan yang kita inginkan wajar mendapat keredhaan dari Allah S.W.T. Dalam erti kata lain doa dan ibadat sentiasa bersama bagikan kuku dengan isinya.
Masyarakat Islam tertegak di atas dasar, “akidah” yang menentukan falsafahnya secara menyeluruh sama ada berkenaan dengan tempat bermula, tempat kembali dan matlamat hidup. Ia juga menjawab beberapa persoalan sama ada lama atau baru seperti: “Dari mana, hendak ke mana dan kenapa?” dengan falsafah yang menyeluruh tersebut akan membentuk “masyarakat bertauhid” serta tidak menyekutukan Allah S.W.T. dengan sesuatu.
Nilai-nilai kemanusiaan merupakan teras yang membina tamadun kehidupan sesuai dengan syiar Islam. Masyarakat Islam juga tertegak di atas syiar-syiar yang mengukuhkan lagi hubungannya dengan Allah S.W.T. melalui amalan-amalan lahiriah. Jestru itu, maka wujudlah “masyarakat yang beribadah” yang mana tugasnya ialah beribadat kepada Allah. Setiap ibadatnya dimurnikan dengan kalimah ‘bismillah’ dan diakhiri dengan alhamdullilah, kerana Allahlah yang berkuasa terhadap segala-galanya.
Masyarakat Islam terbina di atas pemikiran dan pemahaman yang jelas yang menjadikan ia mampu menilai amalan, pendirian, individu dan ideologi berdasarkan pertimbangannya yang khusus yang tidak cenderung ke arah kanan atau kiri. Ia adalah “masyarakat intelektual” yang unik berpandukan kepada dokumen wahyu yang diturunkan dari langit.
Masyarakat Islam terbina di atas akhlak dan nilai-nilai luhur yang diyakini keimanannya
kepada agamanya serta Syariatnya. Akhlak adalah sebahagian dari agama memandangkan ia adalah perintah atau larangan yang datang dari Allah S.W.T. Lantaran itu ia adalah “Masyarakat berakhlak”.
Masyarakat Islam mempunyai adab-adab kesopanan dan budaya tertentu yang menjadikannya unik, yang bukan diciplak dari masyarakat lain sama ada yang jauh atau yang lama. Selain dari terbinanya masyarakat Islam di atas dasar tersebut keseluruhannya, ia juga terbina di atas dasar peri kemanusiaan (humanity) yang tinggi sebagaimana yang sentiasa dicari-cari oleh manusia yang bertamadun.
Yang dimaksudkan dengan nilai-nilai peri kemanusiaan ialah nilai-nilai yang terbina di atas penghormatan kemuliaan manusia, kebebasannya, pergerakannya, haknya, pemeliharaan darah, kehormatan, harta akal dan keturunannya sebagai seorang manusia dan anggota masya- rakat.
Ilmu adalah antara nilai yang tertinggi yang dibawa oleh Islam serta dibangunkan kehidupan manusia di atasnya sama ada kehidupan maknawi atau kebendaan, kehidupan Akhirat atau dunia, menjadikannya sebagai jalan keimanan dan peransang kepada amalan. Ia juga merupakan faktor pertama yang menjadikan manusia sebagai khalifah.
Mereka paling kuat beribadat kepada Allah sedangkan mereka dijangka (oleh malaikat) akan melakukan kemusnahan dan menumpahkan darah di atas permukaan bumi, Lalu Allah telah menolak sangkaan para Malaikat dengan firman-Nya dalam al-Qur’an yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Allah mengajarkan Adam nama-nama keseluruhannya.” (al-Baqarah: 30 – 33)
Islam adalah agama ilmu, al-Qur’an al-Karim adalah kitab ilmu dan ayat yang pertama diturunkan kepada Baginda Rasul s.a.w. ialah berkenaan dengan ilmu iaitu “Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang telah mencipta.” (al-Alaq:1). Al-Qur’an telah menjadikan ilmu sebagai asas perbezaan antara manusia. Firman Allah maksudnya: “Katakanlah : Adakah sama orang orang yang berilmu dan orang-oran yang tidak berilmu”. (al-Zumar:9)
Para ulama telah bersependapat mengatakan bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim dan Muslimah. Di antara ilmu-ilmu tersebut adalah yang fardhu ‘ain dan ada yang fardhu kifayah. Ilmu fardhu ‘ain ialah ilmu yang mesti dipelajari oleh setiap Muslim untuk memahami agamanya dari segi akidah, ibadah dan akhlak serta urusan keduniaannya sehingga ia dapat menyara kehidupannya, keluarganya dan menyumbang ke arah keperluan umatnya.
Ilmu fardhu kifayah ialah setiap ilmu yang mendukung agama dan dunia untuk umat Islam umumnya iaitu yang terdiri dari ilmu agama dan dunia. Mempelajari ilmu perubatan, kejuruteraan dan lain-lain cabang ilmu amat diperlukan oleh manusia adalah fardhu kifayah ke atas umat Islam. Jika terdapat sebilangan yang mencukupi dari kalangan ulama, pakar dan ahli teknik dalam setiap bidang, di mana bilangan tersebut dapat menampung keperluan, maka bererti umat tersebut telah menunaikan kewajipannya dan gugurlah dosanya. Jika umat Islam mengabaikan salah satu aspek keduniaan ini serta masih bergantung kepada orang lain keseluruhannya atau sebahagiannya, maka umat keseluruhannya berdosa terutama para pemimpin.
Mempunyai ilmu kita berkwajipan beramal kerana ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah. Ilmu juga merupakan hasil dari keimanan yang benar kerana tidak dapat digambarkan wujudnya keimanan tanpa amal. Maka itu tidak dapat diragukan lagi bahawa keimanan yang benar tidak dapat tidak mestilah membuahkan amalan.

No comments:

Post a Comment