Wednesday, November 2, 2011

MURNIKAN AGENDA DUNIA SEBELUM AJAL MENJEMPUT NYAWA

(Disiarkan pada 29. 10. 2011)
Manusia diwujudkan Allah di dunia mempunyai tanggungjawab yang wajar dilaksanakan sebagai hamba Allah. Dokumen wahyu(al-Qur’an) yang diturunkan dari langit oleh Allah dalam perantaraan malaikat Jibril yang diterima oleh manusia (Muhammad) mempunyai disiplin dalam membina infrastruktur pembangunan manusia.
Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Az-Zariyat ayat (51)56 yang bermaksud: “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku…”. Jika seorang telah mengakui beriman kepada Tuhan, tidaklah dia akan mahu jika hidupnya di dunia ini kosong sahaja. Dia tidak boleh menganggur. Selama nyawa dikandung badan, manusia harus ingat bahawa tempohnya tidak boleh kosong dari pengabdian. Seluruh hidup hendaklah dijadikan ibadat.
Ayat ini memberi ingatan kepada manusia bahawa sedar atau tidak sedar dia pasti mematuhi Tuhan. Maka jalan yang lebih baik bagi manusia ialah menginsafi kegunaan hidup nya, sehingga dia pun tidak merasa kebaratan lagi mengerjakan berbagai ibadat kepada Tuhan.
Apabila manusia mengenal budi yang luhur, nescaya dia mengenal apa yang dinamai berterimakasih. Ada orang yang menolong kita melepaskan dari malapetaka, kita pun segera mengucapkan terimakasih! Kita mengembara di satu padang pasir. Dari sangat jauhnya perjalanan, kita kehausan, air sangat sukar. Tiba-tiba di situ tempat yang sunyi sepi kita bertemu seorang yang menyuruh kita berhenti berjalan sejenak.
Kita pun berhenti. Lalu dia bawakan seteguk air. Kita pun mengucapkan banyak-banyak terimakasih. Kita ucapkan terimakasih dengan merendahkan diri. Sebab kita merasa berhutang budi kepadanya. Dan tidaklah ada manusia beradab di dunia yang membantah keluhuran budi yang berterimakasih itu.
Maka bandingkanlah semuanya dengan anugerah ilahi bagi menjamin hidup kita. Sejak mulai lahir dari perut ibu sampai kepada masa habis tempoh di dunia ini kita menutup mata, tidakkah dapat dihitung dan dinilai betapa besar nikmat dan kurnia Allah kepada kita. Maka timbullah petanyaan. Apakah tidak patut kita berterimakasih kepada-Nya atas seluruh kurnia itu?
Di sinilah Tuhan menjuruskan hidup kita, memberi kita pengarahan. Allah menciptakan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain, hanya untuk satu macam tugas saja, iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu mengaku bahawa kita ini hamba-Nya, tunduk kepada kemahuan-Nya.
Ibadat itu dimulai dengan IMAN. Iaitu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah itu sahaja, sudah jadi dasar pertama dari hidup itu sendiri. Maka IMAN yang telah tunbuh itu, wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iatu perbuatan yang baik. IMAN dan AMAL SALIH inilah pokok ibadat. Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita pun percaya kepada Rasul-Nya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. Perintah-Nya kita kerjakan, larangan-Nya kita hentikan.
Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, bezakat kepada fakir miskin, adalah bahagian kecil, sebagai pematri dari seluruh ibadat yang umum itu. Semunya itu kita kerjakan, kerana kita IMAN kepada-Nya, dan kita pun beramal yang salih , untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini yang kita kerjakan, tidaklah ada erti hidup kita yang terbatas di dalam dunia ini.
Melakukan dakwah kepada jalan yang baik adalah tugas utama dalam hidup. Manusia diciptakan ke dunia ini adalah untuk mengabdikan diri, kalau tidak beribadat kepada Allah apalah ertinya hidup itu. Umur terlalu pendek di dunia ini. Umur yang pendek itu mesti diisi, sehingga setelah manusia mati sekalipun, namun Iman dan amal salih masih hidup dan tetap hidup.
Hidup merupakan perjuangan. Perjuangan sebenarnya ialah perjuangan untuk menunju ke pangkuan Allah S.W.T. iaitu ke mercu perjumpaannya dengan membawa bermacam-macam wadah perjuangan untuk dipersembahkan kepadanya. Segala hasil perjuangan manusia ini akan dapat dilihat sama ada baik atau buruk.
FirmanAllah S.W.T. dalam al-Qur’an surah Al-Insyiqaq: 6 yang bermaksud (terjemahan). “Wahai manusia sesungguhnya engkau berkerja keras menuju kepada Tuhanmu, maka pasti engkau akan menemui-Nya.”
Ayat ini menceritakan bahawa manusia di dunia ini baik disedari atau tidak, adalah dalam rangka perjalanan menuju kepada Tuhan dan walaubagaimanapun dia pasti menemui Tuhan-nya, untuk menerima pembalasan dari perbuatannya sama ada baik atau buruk.
Allah S.W.T. dengan jelas telah menegaskan kepada manusia bahawa hidup di dunia ini pasti menhadapi berbagai rintangan, cubaan dan dugaan yang hebat sebelum manusia dapat berjumpa dengan-Nya demi menilai perjuangan manusia tersebut. Ini selaras dengan saranan Tuhan yang menjelaskan dunia ini adalah medan perjuangan hidup manusia bagi mencari kurniaan Allah S.W.T. sebelum manusia diketemukan dengan Tuhannya.
Manusia ini hidup di atas dunia berkerja keras, membanting tulang memeras tenaga siang dan malam, apa jua pun jenis yang dikerjakan, namun akhir perjalanan adalah menuju Tuhan juga. Oleh itu janganlah sekali-kali melupakan bahawa segala kerja keras menghabiskan tenaga di dalam hidup itu akhirnya akan diperhitungkan di hadapan Tuhan.
Dengan menempuh gelombang perjuangan hidup ini manusia menghadapi keadaan iaitu berjaya atau gagal. Setiap kejayaan itu pula melahirkan dua suasana di mana membuatkan dia bersyukur kepada Allah S.W.T. di atas limpah kurnianya atau sebaliknya menimbulkan perasaan takbur dan lupa daratan.
Begitu juga dengan kegagalan yang dihadapi oleh manusia akan mencetuskan dua keada an pula iaitu sama ada dia putus asa atau frustasi terhadap perjuangannya atau sebaliknya dia lebih meningkatkan lagi usahanya untuk melancarkan perjuangan baru berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka dari perjuangan yang telah lalu.
Bekas Peresiden Amerika John F. Kennedy telah memberi peringatan kepada rakyatnya bahawa “Jangan bertanya kepada negara apa negara beri kepada anda tetapi bertanyalah kepada diri anda sebagai rakyat Amerika, apa anda berikan kepada negara?”. Pertanyaan yang serupa mengenai sumbangan kita kepada agama. “Jangan tanya kepada Islam apa Islam telah beri kepada anda, tetapi bertanyalah kepada diri anda sebagai hamba Allah apa anda telah beri kepada Islam sebagai agama Allah?”.
Kalau kita sudah beriman kepada Allah dan telah mengikhtiharkan diri bahawa Allah itu Satu dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya maka tanggungjawab kita sebagai hamba Allah ialah memurnikan agama sesuai sengan cara hidup manusia di alam. Memurnikan Islam bermuara dari kita sendiri sebab kelahiran masyarakat manusia adalah dari pembangunan keluarga setiap insan. Terbinanya keluarga salihin akan menjanjikan kebahagian pembanguan tamadun manusia.
Berbakti kepada agama adalah sebenar berbakti kepada diri sendiri. Islam adalah cara hidup maka itu adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu mukmin memurnikan hidup kita untuk berbakti kepada agama. Masyarakat mukmin hidup bersosial maka itu menjadi kewajipan setiap insan menghidupkan budaya ukhuwah kemanusiaan sebagai teras kesetiaan solidaritas sosial kelak melahirkan perasaan kasih sayang dalam membina masyarakat Bani Adam.
Menghidupkan ukhuwah kemanusiaan bermakna kita hidup saling tunjang menunjangi, tolong menolong, dan merasakan kebahagian hidup dirasi bersama. Hidup tegur menegur antara sesama wajib kerana kelemahan itu lebih jelas dikesan oleh orang lain berbanding dengan kita sendiri untuk melihat kelemahan kita. Dalam erti kata lain penyakit rohani itu sukar diketahui oleh orang yang punya penyakit tersebut tetapi ia mudah diketahui oleh orang lain.
Menurut pendapat ilmu jiwa, manusia adalah sama sifat hidupnya dengan binatang. Kedua-dua makhluk ini mempunyai keinginan yang sama,seperti mahu makan, berketurunan dan sama merasa sakit dan sihat, merasa tua dan mati. Persamaan ini adalah persamaan asal yang dibawa ke alam dunia.
Memang benar manusia menyemai binatang dalam sifat semulajadi ini tetapi manusia mempunyai kelebihan iaitu ia boleh berfikir maka itu manusia dikategorikan sebagai “thinking animal” atau binatang yang berfikir. Maka itu manusia mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Manusia ditugaskan untuk memajukan dunia ini serta mengaturkan urusan hidupnya berlandaskan akal fikiran dan ilmu pengetahuan.
Makan manusia hendaklah daripada makanan yang baik-baik dan halal. Sakit manusia haruslah diubati dan mati manusia hendaklah di dalam iman yang sempurna. Tugas tersebut dinamakan sebagai ibadat kerana Allah. Maka itu manusia bertanggungjawab terhadap Allah s.w.t.. Segala peranannya sebagai khalifah di dunia ini wajar bersifat halal dan berbentuk kebajikan.
Apakah sumbang anda terhadap Islam? Pertanyaan serupa ini memerlukan jawapan yang menyeluruh iaitu untuk kehidupan dunia dan lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat. Untuk keman- faatan kepada masyarakat dunia wajar berbentuk pembangunan kerohanian iaitu mengilmukan generasi pelapis dengan ilmu tauhid. Untuk itu maka kita perlukan dua perkara iaitu tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu dan bangunan madrasa serta rumah-rumah ibadat.
Menyampaikan ilmu tauhid kepada generasi pelapis kita boleh laksanakan dalam dua media iaitu secara langsung dengan menggunakan tenaga pengajar atau melalui media cetak seperti penulisan. Karya-karya yang diusahakan oleh penulis buku mengenai ilmu tauhid merupakan media yang boleh menyampaikan ilmu sehingga bila-bila masa dan di merata tempat di pelusuk dunia.
Sebuah buku ilmiah tidak pernah jumud ilmunya terutama sekali ilmu mengenai keisahan Tuhan serta segala bahan ilmu yang menyentuh mengenai hikmah-hikamah Allah yang mereka perolehi dalam hidup. Semakin banyak ilmu kita perolehi dalam perjalanan hidup semakin banyak lagi ilmu yang kita masih belum menerokainya. Ilmu Islam mengisahkan cara hidup manusia serta makhluk lain yang ada di alam ini.
Produk dari sekolah madrasa yang dipimpin oleh ustaz dan ustazah akan melahirkan generasi yang beriman, bertakwa dan bertauhid. Pembangunan mentaliti manusia yang terbina dengan ilmu tauhid sentiasa melihat amanah dalam membina tamadun kehidupan sebagai ibadah kerana Allah s.w.t.. Insan yang berprinsipkan membina masyarakat bertakwa akan sentiasa hidup dalam kenangan generasi pelapis.
Generasi yang hidupnya sentiasa dihiasi dengan ilmu tauhid akan menjadi perintis pembangunan manusia yang terselamat dari faktor-faktor yang berunsur negatif. Masyarat bertauhid tidak mendekati amalan korupsi dan libih-lebih lagi mementingkan diri dalam melaksankan agenda pembangunan. Visi pembangunannya adalah untuk membina tamadun yang mementingkan agama, bangsa dan keturunan.
Sumbangan anda kepada Islam yang amat tinggi ialah membina anak yang salih. Anak yang salih tidak mendekati syirik atau menyekutukan Allah. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Luqman ayat 13 yang bermaksud (terjemahan): “Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya memberinya pengajaran: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah,
sesungguhnya menyekutukan Allah (syirik) itu sememangnya penganiayaan yang besar.”
Allah menyebutkan di sini bagaimana Luqman itu mendidik anaknya dengan pengajaran dan asuhan yang baik, supaya menjadi manusia yang sempurna. Manusia yang sempurna ialah orang yang penuh dadanya dengan iman dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sebaik-baik manusia yang memimpin umat adalah mereka yang menjauhi syrik kerana ia adalah perbuatan zalim atau aniaya yang sangat besar dosanya.

No comments:

Post a Comment