Sunday, November 13, 2011

AKAL DAN IMAN MEMBINA MANUSIA MULIA DI SISI ALLAH S.W.T.(Bahagian Kedua)

(Disiarkan pada 12 November 2011)
Akal dan iman adalah dua fakulti dalam diri insan yang mengangkat martabat manusia sebagi khalifah Allah s.w.t. Walaubagaimanapun hakikat manusia sebagai insan mempunyai identiti yang istimewa. Mereka dikurniakan oleh Allah dengan sifat khusus untuk membolehkan mereka menanggung amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan menegakkan agama Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk yang lain (Surah al-Baqarah 2:30).
Al-Qur’an menjelaskan penciptaan manusia yang pertama dalam dua tahap yang berbeza, iaitu tahap awal dan tahap biologi. Pada tahap awal, Allah mencipta nabi Adam a.s. sebagai manusia yang pertama. Jasad Nabi Adam dicipta dari tanah yang dibentuk oleh Allah dalam bentuk yang seindah-indahnya. Kemudian Allah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad yang telah dibentuk itu. Penciptaan manusia diisytiharkan sendiri oleh Allah di hadapan para malaikat:
“Ketika Tuhanmu bekata kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang telah berubah. Apabila Aku telah sempurnakan kejadiannya, dan Aku tiupkan ke dalamnya daripada roh-Ku, maka tunduk lah kamu (malaikat) kepadanya (Adam) dengan bersujud.” (Surah al-Hijr 15:28-29)
Allah telah menjelaskan bahawa manusia terdiri daripada dua unsur, iaitu jasad dan roh, Jasad manusia boleh dilihat kerana ia terbentuk daripada bahan tanah lumpur yang terdapat dibumi, manakala roh manusia tidak boleh dilihat kerana ia terbentuk daripada bahan roh Allah yang hanya terdapat di sisi Allah. Roh manusia yang termasuk perkara ketuhanan bersifat ghaib dan kekal manakala jasad manusia yang termasuk perkara keduniaan bersifat nyata dan sementara. Cantuman dua unsur yang mempunyai cirian, sumber, keadaan, orientasi, dan bentuk yang berbeza inilah yang menghasilkan sejenis makhluk yang dikenali sebagai manusia.
Dengan tercipta Nabi Adam a.s. dan hawa, maka terbentuklah zuriat manusia yang seterusnya (Surah al-Nisa 4:1). Dengan itu, proses kejadian manusia selepas Nabi Adam dan Hawa adalah berbeza daripada proses kejadian yang dialami oleh mereka berdua. Pada tahap biologi ini, jasad manusia tidak lagi dicipta secara langsung daripada tanah, tetapi terhasil daripada percantuman sel sperma lelaki (spermatozoon) dengan telur matang wanita (ovum). Walaupun begitu, manusia masih mempunyai unsur jasad dan unsur roh sebagaimana kejadian Nabi Adam pada tahap awal. Al-Qur’an menjelaskan kejadian manusia pada tahap biologi seperti firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu sari pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikannya air benih (nutfah) yang tersimpan dalam tempat yang kukuh (uterus). kemudian Kami jadikan air benih itu segumpal darah (alaqah), lalu gumpalan darah itu Kami jadikan seketul daging (mudqah), lalu Kami liputi tulang belulang itu dengan daging. Kemudian kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain(manusia yang sempurna). Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” (Surah al-Mu’minun 23:12-14.
Walaupun proses kejadian manusia peringkat awal (Nabi Adam) dan proses tahap biologi agak berbeza tetapi bahan kejadian keduanya adalah serupa. Proses awal kejadian manusia dari tanah kemudian apabila bentuknya yang diindahkan maka Allah meniupkan rohnya ke dalam jasad yang telah dibentuk itu maka jadilah makhluk manusia. Setelah itu Allah bekalkan berbagai fitrah sebagai fakulti yang membantu manusia melaksanakan berbagai ibadat.
Manakala proses biologi pula cantuman air mani lelaki dengan air mani perempuan menjadi segumpal darah. Perkembangan kejadiannya adalah dalam tiga peringkat. Setiap peringkat memakan masa 40 hari. Pada peringkat 40 hari yang ketiga Allah meniupkan roh-Nya maka jadilah makhluk manusia yang berperasaan.
Air mani lelaki terbentuk dari makanan yang diambilnya dari tumbuh-tumbuhanan yang hidup mendapatkan makanan dari tanah. Semua zat makanan yang diambil sememangnya berasal dari tanah. Makanan seperti daging, telor, kiju, ikan, sayur-sayuran dan sebagainya adalah semuanya berasal dari tanah setelah melalui proses yang berperingkat-peringkat. Setelah manusia dilahirkan ke dunia oleh ibu yang mengandunya maka Allah bekalkan berbagai fitrah yang membantunya untuk melaksanakan ibadat. Maka kejadian awal manusia dengan kejadian dalam proses biologi adalah serupa.
Pembangunan manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani dimurnikan oleh Islam yang diterima dari langit (Allah) oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. dalam perantaraan Malaikat Jibril. Kehadiran akal fikiran dan iman kepada Zat yang ghaib pada setiap individu memurnikan hidup manusia di sisi Allah s.w.t. Amanah Allah yang dipertanggung- jawabkan kepada manusia sebagai khalifah-Nya ialah memakmurkan kehidupan di alam dunia.
Maka itu setiap ‘amalan akan dibalas walaupun sebesar biji sawi. Tetapi Allah juga ber- kuasa mengampunkan dosa dan sememangnya Allah ampunkan segala dosa orang yang memohon keampunan kepada-Nya, selain dari dosa syirik. Dosa syirik perlulah bertaubat dan mohon ampun kepada Allah.
Sebagaimana telah diketahui Rukun Iman ada enam (6) perkara, iaitu:
1. Berimankan kepada Allah
2. Berimankan kepada Malaikat
3. Berimankan kepada Kitab Allah
4. Berimankan kepada Rasul-Rasul Allah
5. Beriankan kepada hari Akhirat
6. Beriankan kepada Qadha’ dan Qadar Allah.
Beriman kepada Allah adalah kemuncak kepada segala kepercayaan manusia. Maksud beriman kepada Allah, ialah percaya dengan sebenar-benar percaya yang Allah itu sebenar-benarnya ada, dan percaya bahawa di sebalik kejadian langit dan bumi ada Tuhan(yang berhak disembah) yang bernama Allah. Allah inilah yang mencipta langit dan bumi dan seluruh makhluk baik di langit dan di bumi. Allah jugalah yang mentadbir ‘alam dan semua makhluk, baik makhluk bernyawa atau makhluk tidak bernyawa.
Allah Maha Esa, Maha Tunggal. KuasaNya dan ‘ilmuNya meliputi segala sesuatu. Tidak ada Tuhan di sampingNya. Dan tidak ada sebarang kuasa di sisi-Nya melainkan kuasa-Nya jua. Segala kuasa yang ada pada makhluk (termasuk manusia) adalah anugerah-Nya belaka. Tidak ada sesuatu makhluk pun yang memiliki kuasa mutlak bagi dirinya. Segala-galanya tunduk patuh kepada kehendak-Nya.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Ash-Shaffaat ayat 4: bermaksud (terjemahan) “Sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah satu.”
“Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari. (Surah Ash-Shaffaat: ayat 5).
“…..dan tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah. Yang Maha Esa lagi Yang Maha Mengatasi penguasaan-Nya.” (Surah Shad: Ayat 65)
Sifat ketuhanan ialah sifat kesempurnaan yang terkaya daripada segala yang lain tidak berhajat kepada sesuatu apapun. Bahkan berkehendak yang selain Allah kepada Allah . Dialah Allah tempat tumpuan semua makhluk.
Rukun iman yang kedua ialah berimankan kepada Malaikat. Malaikat ialah makhluk Allah yang dijadikan-Nya dari cahaya (nur). Malaikat sejenis makhluk halus seperti jin juga yang tidak boleh diketahui keadaannya dengan pancaindera, kecuali ia menjelma menyamar diri, sebagai makhluk yang zahir. Malaikat dijadikan Allah untuk menjalankan tugas yang diperintah kan oleh Allah di dalam urusan Allah mentadbir ‘alam dunia dan ‘alam kubur serta ‘alam akhirat. Tempat malaikat ialah di langit.
Malaikat terbahagi kepada beberapa kumpulan yang tertentu sesuai dengan tugas yang ditetapkan oleh Allah. Ada yang hanya ber’ibadat sahaja kepada Allah dari dahulu hingga ke hari qiamat. Ada yang turun-naik dari langit ke bumi dan dari bumi ke langit menghadiri majlis-majlis ‘ibadat yang dikerjakan oleh manusia, seperti; majlis sembahyang, majlis ‘ilmu, majlis zikir dan sebagainya.
Beriman kepada Kitab Allah adalah rukun iman yang ketiga. Setiap orang Islam diwajibkan beriman kepada semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-RasuNya. Kitab-Kitab itu adalah wahyu yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya melalui Jibril. Kemudian wahyu itu ditulis menjadi kitab.
Allah berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada kita Al-Qur’an yang telah diturun kepada RasulNya(Muhammad Shallallahu ‘alihi wasallam) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan siapa yang kufur ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesasatan yang sejauhnya.” (Surah An-Nisa’: Ayat 136)
“Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Kitab (Al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya…. (Surah Al-Ma’idah: Ayat 48)
“Dia menurunkan kepada engkau (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasalam) Al-Qur’an dengan sebenarnya (membawa kebenaran), membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelum nya dan Dia menurunkan Taurat dan Injil. (Surah Ali-“Imran: ayat 3)
Dari keterangan-keterangan tersebut dapat difahamkan bahawa Allah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Allah telah turunkan juga kitab-kitab kepada Rasul-Rasul yang terdahulu. Dengan itu wajiblah kita beriman sebagaimana keterangan Al-Qur’an berikut.
Rukun Iman yang ke empat ialah berimankan Rasul-Rasul Allah. Beriman kepada rasul adalah Rukun Iman yang kedua pentingnya selepas berimankan kepada Allah, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyampaikan kepada manusia akan segala ajaran Allah. Tanpa mempercayai rasul, maka seluruh pengajaran yang Allah hendak sampaikan aka terhalang. Tidak mempercayai rasul samalah tidak mempercayai Allah.
Beriman Kepada Hari Akhirat adalah satu daripada rukun iman yang wajib diyakini oleh setiap muslim. Pengertian hari akhirat termasuklah Hari Qiamat; Hari Pembalasan; Hari Hisab; Hari Mahsyar; Hari dibangkitkan semula dari kubur; Yaumiddin (hari kemudian); Kehidupan di syurga; Kehidupan di neraka (minta Allah lindungkan) dan sebagainya.
Allah menyebut di dalam Al-Qur’an mengenai hari akhirat seperti berikut: “Bahawa sesungguhnya hari qiamat itu mesti datang, tiada ragu lagi padanya, dan Allah akan memba- ngunkan orang dari kuburnya. (Surah Al-Hajj: Ayat 7)
“Katakanlah , sesunguhnya orang-orang dahulu dan orang-orang kemudian, tetap akan dikumpulkan pada hari qiamat yang termaklum”. (Surah Al-Waqi’ah: Ayat 49-50)
“ Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil (untuk menim- bang ‘amal’-amal makhluk) pada hari qiamat . Maka tidak ada diri sesiapa pun akan teraniaya
sedikitpun, dan jika ‘amal sebesar biji sawi (sekalipun) nescaya Kami akan mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami sebagai penghitung”. (Surah Al-Anbiya’: ayat 47)
Keterangan ayat-ayat di atas adalah jelas mengenai hari akhirat dan balasan yang setimpal dengan ‘amalan masing-masing, baik dibalas baik dan jahat dibalas dengan se ‘adil-‘adilnya.
Berimankan Qadha’dan Qadar adalah rukun iman yang keenam. Segala sesuatu seluruhnya, apa sahaja baik di langit, bumi dan segala isinya serta apa yang berlaku didalam dan diluarnya, adalah mengikut peraturan yang sempurna yang dibuat dan diatur oleh Allah yang bersifat dengan amat bijaksana.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “…dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan disisiNya dengan qadar yang tertentu.” (Surah Ar-Ra’d: Ayat 8)

No comments:

Post a Comment