Friday, November 4, 2011

AKAL DAN IMAN MEBINA MANUSIA MULIA DI SISI aLLAH s.w.t.

(Disirkan pada 5 November 2011)
Manusia terbina diatas fakulti akal yang dipimpin oleh kemuliaan iman kepada Zat yang Maha Pencipta. Makhluk manusia terpimpin di atas landasan kemurnian akal yang membolehkan ia menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Akal dan ilmu yang dimuliakan oleh iman melahir kan kesempurnaan hidup bertamadun.
Penganugerahan akal kepada manusia adalah sesuatu hadiah yang paling berharga sekali dan tidak dapat dinilai. Tanpa akal manusia tidak dapat menjalankan tugas sebagai khalifah Allah s.w.t. dan manusia adalah sama dengan binatang.
Dengan akal manusia dapat berfikir dan bertindak sesuai dengan tugasnya sebagai hamba Allah. Akal juga merupakan alat bagi seseorang manusia untuk dapat menilai sesuatu dan meng gunakannya untuk manfaat umum. Segala rahsia yang selama ini terpendam dan tersembunyi dapat dibongkar oleh manusia. Inilah hikmah Allah menjadikan seluruh makhluk ini tidak sia-sia.
Untuk mengetahuinya manusia perlulah mengkaji dan menyelidik, akan tersingkaplah rahsia-rahsia tersebut. Maka itulah peranan akal yang menemukan sesuatu itu dengan hakikat kejadiannya. Manusia akan kagum terhadap hikmah kebijaksanan ciptaan Allah s.w.t.. Nilai akal kepada manusia adalah suatu yang tidak dapat dihitung oleh manusia, oleh itu Allah s.w.t. menyarankan kepada manusia supaya menggunakan akal ini mengikut landasan yang telah digariskan oleh Allah.
Allah befirman dalam al-Qur’an surah An-Nahl ayat 78 yang bermaksud (terjemahan): “Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu. Lalu Allah jadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati(akal) supaya kamu bersyukur.”
Allah seringkali menggesa supaya manusia menggunakan akalnya demi manfaat kepada dirinya, keluarganya dan masyarakat umum. Akal yang digunakan tidak mengikut aturan yang sepatutnya atau tidak menggunakan akal yang diberikan itu adalah sesuatu kesalahan. Apa yang sepatutnya, akal haruslah diarahkan untuk mengkaji dan menilai kekuasaan Allah s.w.t. bagi menguatkan lagi akidah tauhid dan keimanan kepadanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu fikirkan apa yang ada d langit dan di bumi” (Yunus:10)
Pada ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Tidakkah mereka berfikir tentang diri mereka. Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan barang di antara keduanya melainkan dengan sebenar (tidak sia-sia).” (Ar-Rum:8)
Allah s.w.t. menjadikan manusia dengan sebaik kejadian baik dari segi bentuk badannya ataupun dari sudut darjatnya dan lebih berkedudukan daripada makhluk-makhluk lain. Allah lengkapkan manusia dengan akal dan jiwa. Dengan akal ini manusia dapat mengatur seluruh alam, dapat mengatur hidupnya, menyusun masyarakat dan memerintah sesebuah negara. Dengan akal inilah juga manusia menjadi makhluk teristemewa daripada makhluk-makhluk yang lain. Ketinggian akal ini dapat dilihat pada kelakuan dan tindak tanduk manusia, sama ada semasa berjalan, duduk, tidur dan sebagainya.
Hawa dan akal dalam diri manusia mempunyai peranan masing-masing. Hawa membawa sesat dan tidak berpedoman sedangkan akal menjadi pedoman menuju keutaman. Sebab itu kita perlu mengetahui manakah perintah hawa dan manakah perintah akal. Perbezaan antara keduanya sangat sulit, berkehendakkan kepada ilmu hakikat yang dalam.
Garis besar yang lurus diperhatikan, ialah bahawa akibat yang dikehendaki akal itu ialah akibat mulia dan utama, tetapi jalannya sukar. Hawa berakibat bahaya, tetapi jalannya amat mudah. Sebab itu jika menghadapi dua perkara, hendaklah dipilih barang yang sukar mengerja-
kan tetapi baik akibatnya. Jangan barang yang diingini oleh hawa nafsu, kerana akibatnya buruk. Kebanyakan barang yang baik sukar dikerjakan. Itulah sebab Rasulullah bersabda: “Diramai kan syurga dengan barang yang berat mengerjakan dan diramaikan neraka dengan syahwat.” (HR: Bukhari dan Muslim)
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal dia baik bagimu, dan boleh jadi kamu cintai sesuatu padahal dia jahat bagimu.” (Al-Baqarah:216)
Inilah suatu pedoman besar di dalam kehidupan. Sebab itu, jika nanti tertarik dan keingi- nan telah besar kepada sesuatu maksud, lekaslah timbang. Kerana jika telah lekat kepada sesuatu, mata boleh buta dan telinga boleh pekak, pertimbangan tidak ada lagi. Hawa menyuruh mengelamun , berangan-agan, tetapi akal menyuruh menimbang.
Sungguhpun pedoman telah ada, namun manusia boleh juga sesat kerana semua bergantung kepada taufik dan hidayah Illahi. Maka itu hendaklah segera lari atau merujuk kepada Allah di waktu hati telah mulai ragu. Minta pertimbangan-Nya. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sering berdoa kepada Allah apabila berada dalam situasi demikian dengan berkata: Ya Allah berilah aku kekuatan untuk melihat yang putih itu adalah putih dan yang hitam itu adalah hitam.” (Haditah Shahih)
Ulama berkata, bila terjadi peperangan di antara akal dan hawa nafsu, akal mempertahan kan barang yang pahit tetapi manis akibatnya, nafsu mempertahankan barang yang manis tetapi pahit bekasnya. Ketika itu keduanya sama mencari alasan dan sandaran. Akal mencari pembelaan dari nur Allah, nafsu mencari perlindungan dari was-was syaitan.
Kalau menang bala tentera hawa terhapuslah cahaya kebenaran, padamlah sulu yang hak, terang matanya menghadapi keuntungan yang sebentar, buta dari keuntungan yang sebenarnya. Tertipu oleh kelezatan yang cepat datang dan cepat hilang, tidak insaf kepada kekayaan, dan kalahlah petunjuk ilahi. Kalau yang mempunyai akal itu lekas segera mempertahankan petunjuk Tuhan, berpedoman Nur Tuhannya, necaya jatuh tersungkurlah bala tentera syaitan dan terpasunglah hawa nafsu.
Kalau Rasul diturunkan kepada manusia sebagai penasihat dan petunjuk jalan yang benar yang diredhai Allah s.w.t. maka akal juga dibekalkan Allah kepada setiap manusia sebagai alat untuk memberi pedoman dalam menangani kerenah-kerenah hidup di dunia. Kemuliaan amal manusia disisi Allah s.w.t. bersadarkan kepada petunjuk yang diberi oleh Rasul dengan berpedomankan kepada wahyu Illahi iaitu Al-Qur’an al Karim.
Manakala akal membentuk akhlak manusia agar dapat melaksanakan ibadat yang diredhai Allah s.w.t. Perjalanan akal menangani landasan hidup yang mulia sering diporak-porandakan oleh hawa dalam diri manusia. Tetapi Rasul memimpin manusia ke jalan yang lurus sentiasa dihalang oleh iblis laknatullah. Memberi kekuatan kepada kedua-dua pemimpin tersebut ialah merujuk kepada Allah s.w.t.yang akan membetulkan tidakan yang benar.
Perbezaan antara kedua-dua pemimpin ialah Rasul adalah nyata boleh dilihat dan dirasai keberadaannya dan dia berada diluar diri manusia. Kepimpinannya memerlukan akal dan kemahiran berfikir kepada orang yang dipimpin untuk mentafsirkan fakta yang dikemukakan. Tetapi akal adalah dalam keadaan ghaib dan hanya dapat dilihat kesannya. Ia berada dalam diri manusia memimpinnya ke landasan yang benar. Akal bersepadukan dengan kemahiran berfikir di atas lanasan iman untuk mengeluarkan fakta.
Akal itu satu nikmat Allah yang membezakan makhluk manusia dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Akal disepadukan dengan fikiran manusia mencapai alam Malaikat,
mengenal Zat yang Maha Pencipta mengembang dan menjalankan amanah, beradaptasikan dengan lingkungan, menguasai berbagai disiplin ilmu dan boleh membezakan antara kebajikan dengan keburukan. Akal manusia adalah satu bukti kebesaran Allah s.w.t.
Akal bersepadukan keimanan kepada Allah adalah pusat analisa dan disiplin ilmu pengetahuan., tempat bersarangnya hikmah yang membezakan antara yag kufur dan yang bathil. Akal dan iman sebagai pemimpin yang harus ditaati. Apa yang terasa sempit oleh mata dan jiwa akan terasa luas bagi akal fikiran.
Akal dan iman adalah sebagai sarang ilmu pengetahuan dan tempat hikmah. Semakin banyak ilmu yang dikuasai semakin tinggi potensi manusia, namun demikian ia tidak mampu menjangkau hakikat akal itu sendiri. Akal berfungsi sebagai dasar dari jiwa dan naluri yang normal, baik ketika mencintai sesuatu atau membencinya.
Pembentukan manusia adalah jauh lebih canggih daripada malaikat kerana kehadiran akal dan nafsu. Manusia menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah adalah jauh lebih selamat daripada manusia yang melayani nafsu tanpa memberi ruang kepada akal untuk memainkan peranan.
Akal manusia sebagai media yang memiliki potensi dan dapat mengetahui hakikat Allah, iaitu dengan jalan memikirkan dan mengenalisa tanda-tanda kebesaranNya. Tanda-tanda kebesaran Allah itu terdapat pada setiap makhluk ciptaanNya. Allah sentiasa mengajak kita untuk memikirkan bagaimana proses mencipta.
Allah telah memberikan manusia kemampuan berfikir, meramal, merasa, berkhayal dan berilustrasi, sehingga dengan kemampuan berkhayal, manusia dapat melihat benda-benda abstrak, menembusi dinding zaman, mengembara di alam semesta dan merasakan keindahannya.
Kemampuan manusia dapat mengingat semua data yang tertulis dan terpahat dalam otaknya. Ini semua merujuk kepada potensi akal di samping juga berfikir dan kesedaran yang pada akhirnya akan menimbulkan sikap cinta, marah, menolak, ingin dan mahu. Dalam sikap demikian akan muncul daya cipta baik secara implisit mahupun eksplisit.
Watak pemikiran manusia melihat sesuatu yang indah dan merasa kagum dan setelah menatap sesuatu yang buruk ia akan mengetahui maknanya baik. Manusia tidak akan mengetahui maknanya baik jikalau belum melihat yang buruk dan tidak akan memikirkan yang lebih baik sebelum merenungi yang baik.
Dari sudut jasmani, fungsi akal merujuk fungsi yang dijalankan oleh organ otak. Dari sudut rohani pula, akal bertanggungjawab terhadap proses persepsi, pemahaman, penakulan, pemikiran dan pembinaan skim ilmu. Dengan akal manusia dapat berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara, mengatasi konflik kognitif, dan meneliti perubahan dalam persekitaran sehingga dapat mengambil manfaat darinya. Pada asasnya, akal terdiri daripada bahan kerohanian yang membolehkan roh rasional mengenali dan membezakan kebenaran daripada kebatilan.
Fakuli akal mempunyai kecendrungan untuk mengetahui. Akal merupakan alat yang membolehkan seseorang memahami dan mengamati fenomena alam semulajadi. Sejarah tama- dun manusia, dan perkembangan diri serta menganalisis kepentingan hidup beragama. Melalui akal, manusia dapat memerhati, mentafsir, dan memahami tanda-tanda Allah yang bersifat lingustik begitu juga yang bukan bersifat linguistik. Tanda linguitik merujuk kepada ayat-ayat al-Qur’an, manakala tanda bukan linguistik merujuk kepadsa fenomena alam semula jadi.
Iman ertinya percaya. Islam ditegakkan di atas dua rukun, iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Tentang rukun iman pula, Allah memberi jaminan bahawa orang-orang yang beriman akan dimasukkan ke syurga walaupun ia melakukan dosa. Sama ada dibalas dengan neraka terlebih dahulu di atas segala dosanya sebelum dimasukkan ke syurga terpulanglah kepada Allah jua.
(bersambung)

No comments:

Post a Comment