Saturday, November 19, 2011

FUTURISTIK DENGAN PEMIKIRAN KEAGAMAAN

(Disiarkan pada 19.11. 20)
Hidup beragama sentiasa melihat masa hadapan mengenai pembangunan rohani yang memfokuskan kepada kehidupan akhirat. Setiap individu muslim wajar beriman kepada hari akhirat iaitu satu daripada rukun iman yang kita pelihara dalam menangani kehidupan di alam dunia.
Dalam erti kata lain futuristik dengan pemikiran keagamaan memberi keutamaan kepada agenda seperti hari Qiamat; hari pembalasan, hari hisab; hari Mahsyar; hari dibangkit semula dari kubur; Yaumiddin (hari kemudian); kehidupan di syurga; kehidupan di neraka(minta Allah lindungkan); dan lain-lain.
Hidup yang berupa sementara ini wajar digunakan bagi membuat persediaan untuk menempuhi hidup yang kekal di alam ahirat kelak. Setiap individu wajar melalui dua pintu qiamat iaitu qiamat mini seperti kematian hidup di alam dunia dan qiamat yang kedua ialah dunia hancur-hancuran di mana kita dibangkitkan semula dari alam kubur dan dipertemukan semula dengan roh kita dan dikumpulkan semua di padang Mahsyar untuk menimbang ‘amal-‘amal setiap individu semasa hidup di dunia.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil (untuk menimbang ‘amal-‘amal makhluk) pada hari qiamat. Maka tidak ada diri sesiapa pun akan teraniaya sedikirpun, dan jika ‘amal sebesar biji sawi (sekalipun) nescaya Kami akan mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami sebagai penghitung”. (Surah Al-Anbiya’ : Ayat 47).
Allah menerangkan, bahawasanya pada hari kiamat nanti akan diletakkan sebuah neraca (timbangan) keadilan di hadapan khalayak ramai. Gunanya untuk menimbang amalan seseorang, supaya dia tidak teraniaya-walaupun amalannya itu cuma seberat biji sawi- yang melambangkan terlalu kecil dan remeh sekalipun, namun Allah tetap juga akan membalasnya dengan cukup dan tidak akan dikurangi. Dan memedailah Allah sahaja membuat yang akan membuat perhitungan semuanya, sekali-kali tidak menjadi kepayahan kepada-Nya untuk membalas tiap-tiap orang.
Jika amalan salih atau yang baik itu lebih berat, maka orang yang empunya amalan itu pun dimasukkan ke dalam syurga dan menjadi orang yang berjaya. Tetapi jika amalan buruk atau jahat yang lebih berat, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan menjadi orang yang celaka.
Berlangsungnya menimbang amalan itu sesudah dilakukan hisab, yakni perkiraan terlebih dahulu. Bukan semua makhluk akan dihisab. Di antara mereka ada dikecualikan daripada ditim- bang dan dihisab seperti para nabi dan para malaikat.
Ayat ini merupakan amaran yang keras, supaya orang berjaga-jaga terhadap amalannya, kerana Allah akan mengira dan menimbangnya untuk diberikan balasan. Orang yang kufur atau berlaku syirik terhadap Allah tidak perlu amalannya ditimbang, kerana mereka tidak mempunyai apa yang disifatkan sebagai amalan disebabkan keingkarannya.
Makhluk manusia diwujudkan Allah di dunia bukan sia-sia tetapi dipertanggungjawabkan memegang amanah Allah s.w.t. Setiap insan dibekalkan Allah dengan akal dan ilmu yang memandunya dalam memakmurkan alam kehidupan sebagai khalifah Allah. Perlaksanaan amanah Allah difahami sebagai ibadat kerana Allah. Setiap ibadat yang kita laksanakan dalam menangani kehidupan wajar dimurnikan dengan pertanyaan “Allah redha atau tidak?” Dalam erti kata lain melaksanakan khidmat kepada diri. keluarga, masyarakat, agama dan negara harus dihiasi dalam jiwa yang melihat kemanfaatannya untuk akhirat.
Khidmat yang kita laksanakan adalah untuk masa depan kerana agenda yang kita hadapi menitik beratkan kepada faktor masa. Menangan masa adalah satu ibadat yang amat penting
apabila kita mengutamakan pembangunan jasmani dan pembangunan rohani. Pembangunan kedua-dua faktor memerlukan kita bersandar kepada kemurnian beragama.
Hidup beragama adalah untuk kesedaran atau peringatan kita bersama tentang ‘azab Allah yang amat pedih terhadap mereka yang melakukan dosa. Kepentingan memikirkan futuristik adalah untuk keselamatan dan kebahagian hidup di alam akhirat yang Allah telah sediakan untuk hamba-hambaNya. Menempuhi hidup bahagia di akhirat nanti wajar membina kehidupan bahagia di dunia dengan tidak melakukan dosa.
Allah telah menurunkan dokumen wahyu guna untuk manusia mengikuti cara hidup yang diredahiNya demi mendapatkan tikit masuk ke syurga. Manusia melakukan dosa apabila gagal beribadah kepada Allah s.w.t. Mari kita perhatikan sedikit keterangan mengenai neraka Allah. Allah telah menerangkan dalam surah Al-Muddathir, ayat 42-46 seperti berikut:
Ayat 42 yang bermaksud: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka?”
Ayat 43 yang bermaksud: “ Orang-orang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”
Ayat 44 yang bermaksud: “Dan Kami tidak pernah memberi makan orang miskin.”
Ayat 45 yang bermaksud: “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkata- kan yang salah bersama-sama orang yang memperkatakannya.”
Ayat 46 yang bermaksud: “Kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.”
Allah telah menyediakan di akhirat nanti untuk mereka yang berbuat dosa dan tidak bertaubat terhadap kezalimannya kepada Allah seperti dalam firmanNya Surah Al-A’raf: ayat 41 yang bermaksud:
“Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).”
Orang-orang tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka Jahanam, yang mana seluruh tubuhnya nanti akan dikelilingi oleh api, dari bawah sebagai tilamnya dan dari atas sebagai selimutnya. Dan begitulah mereka mendapat pembalasan daripada Allah kerana kezaliman mereka, iaitu beribadat kepada yang bukan tempatnya. Itulah siksaan dan balasan yang akan diterima oleh orang yang zalim
Distinasi hidup manusia adalah alam akhirat yang terbahagi kepada syurga bagi orang-orang yang beruntung dan neraka bagi mereka yang rugi kerana zalim dan mengkhianati Al-Qur’an. Kiblat pemikiran yang mulia sentiasa mengharapkan kebahagian hidup di syurga maka itu ia sentiasa melaksanakan ibadatnya dalam sinario kemurnian beragama kelak memusatkan pemikiran terhadap ibadat yang dilaksanakan, “Allah Redha atau tidak?”
Kehidupan di akhirat iaitu kehidupan selepas qiamat dan selepas dibangkitkan dari kubur, masing-masing, ada dua kehidupan sahaja, kehidupan di syurga dan kehidupan di neraka (semoga dilindingi Allah jua). Selain dari dua kehidupan ini tidak ada lagi kehidupan lain.
Manusia diberi peluang di dunia ini supaya ber’amal dengan ‘amalan yang baik bagi mendapat keredhaan Allah dan seterusnya mendapat balasan baik dari Allah di akhirat kelak iaitu mendapat balasan syurga.
Menyentuh soal syurga marilah kita perhatikan keterangan Allah dari Kitab Suci Al-Qur’anul-Karim, Surah Ad-Dukha: Ayat 51 -57 yang bermaksud (terjemahan):
“Sesungguhnya orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa iaitu di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. Mereka memakai pakaian dari sutera yang halus dan sutera tebal yang bersulam, (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan. Demikianlah keadaannya, dan Kami
jadikan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta di dalam syurga itu tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingin), dalam keadaan aman sentosa. Mereka tidak merasai kematian di dalam syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai di dunia dahulu, dan Allah selamatkan mereka dari ‘azab neraka. (Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasalam)’ yang demikian itulah kemenangan yang besar.”
Orang-orang yang takwa kepada Allah di dunia ialah yang takut kepada seksa Allah dengan memelihara dirinya dari melakukan kejahatan, iaitu mengerjakan perintah dan menjauhi tegahan, Allah menjanjikan kepada mereka di akhirat nanti akan mendapat kedudukan yang baik. Aman sentosa dari merasakan kematian, bahkan aman dari bencana dan kesusahan.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Al-Hadid ayat 20 yang bermaksud (terjemahan): “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-bangga dengan banyaknya harta benda dan ramainya anak pinak. Sesungguhnya itu (terhad waktunya) samalah seperti hujan (yang menumbuhkan tanam-tanaman yang menghijau subur) menyebabkan penanamnya gembira dan tertarik hati terhadap kesuburannya. Kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa tertentu). Selepas itu engkau melihatnya menjadi kuning dan akhirnya akan hancur. Dan hendaklah diketahui lagi bahawa di akhirat disediakan azab yang berat (bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia) dan ada pula kumpulan besar serta keredaan dari Allah (disediakan untuk orang-orang yang mengutamakan akhirat). Ingatlah bahawa kehidupan dunia hanyalah kesenangan bagi orang-oran yang terpedaya.”
Allah memaklumkan dengan perumpamaannya mengenai hal-ehwal kehidupan dunia yang cepat menghilang iaitu: Wahai sekalian manusia, ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya kehidupan di dunia ini tidak lain yang diagung-agungkan oleh manusia hanyalah mengadakan permainan demi permainan yang akan memenatkan orang seperti kanak-kanak yang penat oleh permainannya.
Dan senda gurauan, yang melalaikan daripada mentaati Allah dan daripada mengingat akhirat- hanya untuk bersuka-suka sahaja.
Dan merupakan perhiasan, yang dengannya orang-orang yang jahil itu menjadikan bermacam-macam model pakaian yang cantik-canti, dipakai untuk menghiasi kenderaan yang bagus-bagus dan melengkapkan rumah-rumah besar yang mewah dengan beraneka rekreasi yang menarik.
Menurut Ibnu Abbas mengumpulkan harta daripada hasil yang dimurkai Allah membang ga-banggakannya kepada hamba-hamba yang mentaati Allah dan dibelanjakannya pula pada perkara yang dimurkai Allah.
Itulah gambaran kehidupan di dunia laksana bunga-bunga yang indah yang akan layu dan fana dan merupakan nikmat-nikmat menyenangkan yang cepat menghilang, telah digambarkan oleh Allah seperti air hujan yang turun dengan lebatnya menimpa bumi, akan menyuburkan tanam-tanaman menyebabkan petani-petani merasa kagum melihatnya dan bergembira untuk mendapatkan hasilnya. Tetapi sayang! Kemudian para petani itu keadaannya bertukar menjadi panik apabila melihat tanam-tanaman tersebut berubah menjadi kering, warnanya kuning, kemudian hancur dan diterbangkan angin.
Demikianlah sekelumit contoh budaya pemikiran futuristik yang berlandaskan kemurnian beragama. Wawasan hidup seharusnya merangkumi sinario kesucian beragama dan sentiasa kiblatkan pemikiran kepada Zat yang Maha Berkuasa kerana amal ibadat itu adalah tawakal semata-mata kepada Allah yang pantas meredhai usaha kita.

No comments:

Post a Comment