Friday, October 7, 2011

SAINS DAN TEKNOLOGI MURNIKAN HIDUP BERAGAMA

(Disiarkan pada 8. 10. 2011)
Unsur yang terpenting sebagai bekalan pada zaman moden ini ialah: Sains dan Teknologi. Ilmu pengetahuan dan sains moden yang berlandaskan kajian nyata, ujian dan percubaan, seperti sains fizik, kimia, matematik dan seumpamanya yang telah berhasil membawa insan menerokai angkasa lepas dan menciptakan komputer.
Untuk memelihara kemurnian dan keaslian ajaran Islam tidak bermakna kita dilarang untuk mengambil dan memanfaatkan sains dan teknologi yang telah dapat diciptakan oleh Dunia Barat. Bahkan realiti kehidupan hari ini seakan mewajibkan kita untuk mengejar ketingalan tersebut dengan beberapa alasan seperti berikut..
Petama: Mengikut ajaran Islam, menuntut dan mempelajari salah satu cabang ilmu pengetahuan ataupun sains yang bermanfaat bagi umat dalam urusan dunia dan akhirat secara keseluruhan adalah merupakan “Fardu Kifayah”. Islam menuntut umatnya untuk menyediakan “pakar-pakar” dalam bidang-bidang tersebut, supaya mereka tidak bergantung kepada orang lain.
Fardu Kifayah, seperti yang telah kita maklumi, adalah satu kewajipan yang menyeluruh. Apabila ada beberapa orang yang tampil kehadapan untuk memikul tugas tersebut, maka gugurlah kewajipan dari yang lainnya. Namun bila tidak seorangpun yang tampil, maka seluruh anggota umat akan menanggung dosa dan kesalahan.
Kedua: Islam mewajibkan umatnya untuk menjadi contoh tauladan dan pemimpin bagi yang lainnya yang diibaratkan di dalam al-Qur’anul Karim dengan sebutan: “Menjadi Saksi ke atas Seluruh Manusia”. FirmanNya, bermaksud: “Dan demikianlah, kami telah menjadi kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu”.(Surah Al-Baqarah: 143)
Kedudukan yang tinggi dan mulia yang telah digariskan Al-Qur’anul Karim telah menuntut umat Islam supaya terus berada di hadapan dalam semua bidang yang boleh membawa keharuman dan kebaikan umat manusia, sehingga mereka dapat melaksanakan tugas “pembangunan peradaban manusia” mengikut lunas-lunas ajaran Islam. Modal yang paling utama dan penting dalam menjalankan tugas itu ialah: “Ilmu Pengetahuan” seperti ditegaskan oleh Allah Ta’ala dalam firman-Nya, bermaksud: “Ingatlah ketika Rabb-mu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (Khalifah) di muka bumi ini orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, walhal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,” Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat kemudian berfirman: “Sebutkanlah kepada Ku akan nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar…!” Mereka menjawab: “Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui melainkan apa-apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Bukankan sudah Aku katakan bahawa sesungghnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan” (Surah al-Baqarah: 30-33)
Umat Islam tidak boleh bergantung dan menjadi beban bagi orang lain dan menerima sahaja keadaan sebagai “pengekor” dan pengikut bagi umat yang sudah maju.
. Umat Islam mesti menjadi “tuan” di negaranya sendiri. Tidak boleh ada orang lain yang
mengatur gerak-gerinya di rumahnya sendiri selain daripada ajaran Islam. Sebab itu, mereka diwajibkan untuk mempersiapkan segala bentuk dan jenis kekuatan untuk menahan dan menolok serangan musuh yang selalu mengintai dari masa kesemasa. Jalan utama untuk mempersiapkan “kekuatan” tersebut adalah dengan cara menguasai sains dan teknologi.
Ketiga: Sains dan teknologi moden ternayata telah banyak membantu dan memudahkan tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan manusia dengan lebih tepat, cepat dan hemat tenaga. Keutamaan dan keistimewaan seperti ini juga berhak dikecapi, dinikmati dan dirasai oleh masyarakat Islam, bahkan mereka lebih utama untuk menikmatinya kerana ianya adalah merupakan salah satu nikmat Allah S.W.T. yang “telah diajarkan (pengetahuan) kepada insan tetang apa-apa yang mereka belum ketahui”. (Surah al-Alaq:5)
Selain itu, Allah S.W.T. menghendaki kebaikan dan kemudahan untuk seluruh hamba-hamba-Nya, bukan kesusahan dan kepenatan. Dan Syari’at Islam pula memerintahkan kita untuk mengambil dan memanfaatkan apa-apa sahaja yang sesuai dengan kaedah-kaedah dan prinsip nya. Umat Islam telah lama menggunakan dan memanfaatkan hasil-hasil penyelidikan sains dan teknologi, misalnya untuk mencetak Mashaf Al-Qur’an, Kitab-kitab Pengajian Islam, Pengajaran Agama, dan usaha-usaha seumpamanya. Pada hari ini mereka sedang berusaha “memanfaatkan “ komputer untuk pengajian Sunnah Nabi Muhammad s.a.w., Ilmu-ilmu Syari’at dan pengembangan Bahasa Arab. Usaha-usaha seperti ini sangat membantu dalam pengembangan wawasan Islam dan pendidikan umat.
Keempat: Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang pada hari ini kita ambil dan manfaatkan daripada dunia Barat adalah merupakan hasil pengembangan lanjut ilmu pengetahuan dan sains yang mereka pernah ambil dahulu daripada Umat Islam. Hakikat ini telah diakui sendiri oleh para pakar dari dunia Barat sendiri. Hal ini bererti, kemajuan ilmu pengetahuan dan sains tersebut adalah “harta milik kita” yang dikembalikan lagi kepada kita. Jadi benda dan perkara tersebut bukanlah barang baru ataupun barang asing bagi kita.
Memang kita menginsafi, bahawa ilmu pengetahuan dan sains moden yang ada dewasa ini buknlah serupa dengan yang pernah diambil Dunia Barat dari kita pada masa dahulu. Hal ini kerana, ianya telah dikembangkan dan diproses melalui beberapa peringkat kajian dan penyelidi kan lanjut yang cukup panjang dan “integrated” bermula daripada “revolusi industri” dan berlanjutan terus sehingga menjadi “ramuan” yang canggih dan terkini. Namun begitu, mengikut asal usulnya dan hujah akal atapun ilmiah adalah: “Keutamaan itu adalah milik mereka yang “memulai”, meskipun yang meniru lebih pandai dan canggih.
Apapun alasannya, ilmu pengetahuan dan sains moden yang wujud hari ini adalah sudah menjadi “dominasi” dan “milik Barat,” sama ada kita suka ataupun tidak. Selagi tidak berpacu dan berlumba untuk mengejar, mempelajari dan menguasainya secara benar, maka kita tidak akan dapat bersaing dengan mereka. Tidak cukup hanya mengetahui “bau-bau” ataupun “kulit-kulit”-nya sahaja. Kita mesti terus berusaha mengejar dan menguasainya sampai menjadi pakar-pakar dan ahli-ahli yang sejati, kerana perkara tersebut adalah merupakan salah satu kewajipan yang telah ditetapkan Allah Ta’ala ke atas kita semua.
Ada pandangan dari pendukung aliran “kemajuan dan pembaharuan” bahawa: “Dengan bekalan kekayaan yang dilimpahkan kepada kita berupa minyak, boleh sahaja kita membeli dan memindah teknologi dari belahan dunia mana sahaja, kemudian kita pergunakan untuk kepentingan pembangunan dan usaha-usaha kemajuan di negara-negara Islam.”
Realiti dan fakta yang nampak zaman sekarang ialah semua teknologi yang “dibeli” dari negara-negara asing tidak dapat menaikkan taraf, kemajuan dan kemodenan bangsa yang membelinya. Teknologi tersebut hanya mampu menjadikan bangsa pembelinya sebagai “konsumer” yang baik, dan tidak pernah mengubahnya menjadi bangsa “produser”. Dan kita harus tahu bahawa mereka hanya mahu menjual sebahagian sahaja, tidak semuanya termasuk “rahsia-rahsia” dan “kod-kod kunci” teknologi tersebut supaya kita menjadi pandai seperti mereka. Maka itu kita menjadi terus bergantung dan mengharap bantuan dan kepakaran mereka dalam banyak perkara.
Ada pendapat mengatakan bahawa “lingkungan dan suasana keagamaan” yang wujud di kalangan masyarakat Islam tidak mendorong perkembangan ilmu pengetahuan dan sains, kerana adanya “pertembungan dan percanggahan” antara Nas-nas Syari’at dengan akal. Dengan perkataan lain, antara ketentuan, ketentuan Ilahi dan pendapat-pendapat akal manusia.
Pendapat dan “dakwaan” seperti ini tidak benar dan tidak dapat kita terima, kerana ianya bercanggah dengan keterangan Nas-nas Syari’at sendiri, tarikh dan realiti kehidupan sebenar.
Akal manusia adalah merupakan “forum dan media” komunikasi bagi syari’at Islam yang bertugas untuk mempelajari dan memahami isi kandungan ajaran Al-Qur’anul Karim dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. Akal berkewajipan untuk melakukan ijtihad dalam memahami dan mengali hukum-hukum Syarak, terutama dalam bidang masalah-masalah yang tidak dijelaskan secara terang dalam Nas-nas Syari’at. Bahkan Wahyu (Syari’at) telah memberikan kepada akal “medan ijtihad” yang sangat luas untuk diterokai khasnya berkenaan dengan masalah kehidupan dan rahsia alam semesta untuk menggali dan mencari manfaatnya bagi kebaikan hidup di dunia dan kejayaan hidup di akhirat.
Para ulama menjelaskan bahawa wahyu dan akal keduanya merupakan petunjuk manusia untuk mencapai kebenaran. Imam al-Raghib al-Isfahani menjelaskan dalam kitabnya: “Al-Dhariat ila Makarim al-Syariah” ( Jalan Menuju Syri’at Yang Mulia) katanya: Allah Taala telah mengutuskan dua jenis rasul kepada para hamba-Nya. Salah satunya datang dari dalam diri, iaitu “Akal” dan yang kedua datangnya dari luar diri, iaitu Rasul. Untuk memahami risalah yang dibawa oleh Rasul Yang Zahir (Nabi/Rasul), mesti menggunakan rasul yang batin (akal), kerana rasul yang batin dapat mengesan kesahihan dakwaan rasul yang zahir.
Jika bukan kerana adanya ‘akal’ maka kita tidak diwajibkan menerima hujjah Rasul/Nabi. Sebab itulah, Allah Ta’ala menyerahkan kepada keputusan untuk menentukan ke-Esaan Allah dan kebenaran risalah para Nabi dan Rasul bagi mereka yang masih meraguinya. Akal adalah bagikan pemimpin dan agama adalah sumber kekuatannya. Jika akal tidak wujud, maka Agama pun tidak akan bertahan. Demikian pula, jika bukan kerana Agama, pasti akal akan menjadi “bengung” dan “nyanyuk”. Jadi, gabungan antara keduanya bagikan :”Cahaya di atas Cahaya”seperti yang dijelaskan Allah S.W.T..”(Surah Al-Nur: 35)
Perkara juga telah dijelaskan oleh salah seorang ulama yang sezaman dengan al-Isfahani, iaitu Imam Abu Hamid Al-Ghazali di dalam kitabnya : “Al-Mustasfa”. Di mana Beliau mengatakan bahawa akal itu adalah ‘penentu’ yang tidak boleh diganti dan diubah keputusannya, sedang Syari’at adalah saksi yang membenarkan dan meluruskan. Akal adalah “bijana”semua ajaran Agama dan pembawa panji-panji amanah.
Di dalam kitabnya: “Ihya al-Din”, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa Agama tidak cukup tanpa adanya akal, dan akalpun akan kehilangan arah tanpa bimbingan Agama. Kerana “Ilmu-ilmu akal itu bagikan makanan dan ilmu-ilmu Syari’at itu laksana ubat. Seorang yang sakit akan menambah teruk jika hanya diberi makanan dan tidak diberi ubat penawar.”
Allah memberikan taufik dan petunjuk-Nya kepada orang-orang yang disukai-Nya daripada hamba-hamba-Nya untuk mendapatkan perkara-perkara yang hak dengan jalan memperhatikan sesuatu perkara itu dan memikirkannya, sehingga sampailah kepada matlamat yang ditunjunya. Dan barang siapa tidak mengambil pengajaran atau iktibar, samalah seperti orang yang buta. Dia tidak akan dapat berjalan dengan betul di tengah terang apatah lagi di malam yang gelap. Maka itu ilmu sains dan teknologi wajar dipelajari kerana ia memurnikan hidup beragama. (Sumber: Prof. Dr.Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya Wawasan Islam antara keaslian dan kemodenan.h 127 -133)

No comments:

Post a Comment