(Disiarkan pada 28. 1. 2012)
Dalam perjalanan hidup setiap manusia sentiasa dicurigai oleh makhluk halus seperti iblis laknatullah kerana gara-gara manusia (Adam) kehidupan makhluk tersebut sentiasa menempuhi kesesatan. Iblis telah berjanji kepada Allah akan memporak-porandakan ibadah zuriat Adam. Walaubagaimana pun iblis hanya boleh mempengaruhi hati yang sakit dan mati. Hati yang hidup sihat tidak akan mampu disesatkannya.
Peranan manusia sebagai pemain dalam pembangunan tamadun hanya bertawakal dan kejayaan serta produktivitinya adalah prerogatif Allah s.w.t. Allah yang Maha mengetahui tentang kesesuain ganjaran kepada ibadah yang telah kita laksanakan. Kadang-kadang apa yang kita inginkan akan diberi tidak seperti yang kita kehendaki. Sebagai hamba Allah kita bersedia menerima apa sahaja Allah kurniakan sama ada kejayaan atau kegagalan kita wajar redha dengan hati yang ikhlas dan syukur Alhamdulillah.
Perlaksanaan agenda dunia memerlukan kejujuran dan keikhlasan hati agar ibadah kita mendapat redha Allah s.w.t. Apa yang penting ialah nawaitu kita adalah bertawakal kerana Allah. Allah itu maha bijaksana dan Maha Pengasih dan Penyayang. Ia pengasih kepada sesiapa sahaja tetapi Allah hanya sayang kepada insan yang mukmin.
Dalam percaturan hidup ada yang berjaya dan ada yang menemui kegagalan. Itulah teka teki kehidupan. Kejayaan perlu dihiasi dengan kesyukuran dan kegagalan juga diterima dengan ikhlas dan redha terhadap pemberian itu. Ganjaran yang setimpal dengan usaha kita adalah prerogatif Allah s.w.t.. Wajar memahaminya sebagai hidayah Allah dan jangan menganggap kejayaan itu sebagai suasana dianak emaskan. Kita berdoa kerana Allah dan doa kita akan menemui keredhaan –Nya.
Apa yang sering berlaku ialah apabila mendapat ganjaran berupa kejayaan, naluri manusia kadangkala membelakangi asas perjuangannya. Kejayaannya dianggap sebagai hak mutlaknya maka rasa kesyukuran tidak lagi menjadi imbalan kepada pemberian tersebut. Jika demikianlah suasana akan berlaku kepada individu berkenaan maka itu Allah s.w.t. akan meng- diahkan kegagalan untuk menguji keimanannya. Allah itu maha mengetahui dan Maha Bijaksana.
Hidup adalah untuk membina tamadun maka itu wajar dihiasi dengan ukhuwah kemanu- siaan kerana manusia tidak boleh lari dari budaya bersosial. Ia senang dengan kehadiran orang lain maka agenda yang perlu dibina oleh setiap individu ialah pembangunan manusia. Pepatah Melayu mengatakan “pucuk dicipta ulam mendatang” membawa maksud rezeki yang tidak di duga datang menemui tawakal anda.
Mengambil satu contoh, seorang ustaz membina sebuah surau dikebunnya yang jauh dari masyarakat. Perjalanannya berbukit bukau dan kadang-kadang jalanannya dibina di lereng-lereng bukit yang cukup untuk laluan sebuah kereta sahaja. Ustaz berkenaan berjaya membina sebuah surau tersebut dengan kapasitinya cukup untuk sepuluh orang sembahyang berjemaah. Kos pembinaannya dilaksanakan secara bergotong royong membeli perkakas dan ada yang lain mengisik kayu untuk dijadikan papan dan beruti.
Melihat kemanfaatannya sebagai pusat ibadah masyarakat pekebun Islam di sekeliling tempat berkenaan, ustaz berdoa agar dapat sedikit bantuan dari pihak masyarakat yang sering berkunjung ke situ untuk menunaikan solat. Niat doanya ialah hanya mendapatkan peruntukan setakat menambah besar kawasan ruang ibadah sahaja.
Doa yang ikhlas dan murni dalam hati seorang ustaz yang cintakan agama Allah, tiba-tiba menemui keredhaan Allah s.w.t. Ia didatangi serumbungan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah cawangan Keningau (JHEAINS) untuk meninjau tapak surau berkenaan dengan memberi khabar gembira kepada ustaz bahawa peruntukan telah diberi untuk surau berkenaan diperbesarkan.
Selain itu jalanannya juga diperbaiki agar memudahkan jemaah datang ke situ untuk melaksanakan khemah kerja dakwah dan lain-lain aktiviti keagamaan. Ustaz berkenaan menyampaikan berita gembira tersebut kepada penulis dan beliau menjawabnya “Pucuk dicipta ulam mendatang!”
Mereka yang berjihad di jalan Allah untuk memunikan siar Islam, Allah sentiasa membuka hidayat-Nya untuk mengatasi permasalahan perlaksaan pembangunan agama Islam. Pengalaman mereka yang pernah berkunjung ke surau berkenaan untuk mengadakan aktiviti dakwah amat tertarik dengan suasan persekitarannya. Cuacanya sejuk dan nyaman di siang hari, berkedudukan di atas bukit dengan pemandangan bandar pedalaman atas Keningau kelihatan bergitu cantik disirami dengan lampu berwarna-warni pada waktu malam. Melihat ke langit Allah hiasi dengan bintang-bintang-Nya yang berkerdipan seolah-olah berzikir memuji Allah s.w.t.
Istikamah dalam perlaksanaan ibadah wajar memenuhi kehendak budaya pembangunan manusia. Setiap ibadah wajar diselenggarakan dengan kesungguhan dan keikhlasan agar ia menemui keredhaan Allah s.w.t.; tanpa suasana demikian semangat dan daya juang kita mene- mui kebuntuhan jika hanya bersendikan semangat “hangat-hangat tahi ayam” semata. Semangat demikian sangat kuat tetapi cepat menjadi sejuk dan tidak ada daya juang yang kental.
Agenda pembangunan yang diatur rapi disiplin perlaksanaanya pasti menemui kejayaan yang jauh lebih menyerlah daripada yang dirancang untuk mencapai tahap yang diingini. Pembangunan yang mempunyai rangkai menyeluruh hingga ke persada dunia wajar dijadikan sebagai matlamat pembangunan dalam membina tamadun manusia.
Nadi dalam membina tamadun kehidupan ialah ilmu. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak punya ilmu. Begitu juga untuk mendapat kebahagian hidup di dunia semestinya dengan ilmu dan seterusnya untuk mencapai kebahagiaan di akhirat semestinya dengan ilmu. Dan jika anda inginkan kebahagian dalam kedua-duanya dunia dan akhirat hendaklah juga dengan ilmu.
Menimba ilmu merupakan satu jihad kerana Allah dan ia adalah asas kepada segala-gala kebuntuhan hidup. Jika pepatah mengatakan pucuk dicipta ulam mendatang memberi gambaran bahawa menimbah ilmu adalah mencipta pucuknya dan apabila telah mendapatnya maka ulamnya akan menjelma yang bermaksud segala kemewahan dunia kehidupan dengan sedirinya menjadi milik kita
Memurnikan tamadun kehidupan wajar dari mencipta pucuknya iaitu menimba ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan dalam berbagai kategori seperti ilmu Sains, Geograpi, Bahasa, Oceanographi, Kaji Cuaca, Jurubina, Kedoktoran dalam perubatan dan sebagainya. Semuanya itu adalah mengenai kajian terhadap fenomena kehidupan yang dikenali sebagai pucuk kebahagian. Maka apabila mendapat pucuknya ilmu akan lahirkan tamadun kehidupan seperti mana yang dikenali sebagai ulamnya.
Agama mendidik kita supaya menjadi pemain yang ikhlas dan jujur dalam menangani rangkain pembangunan tamadun yang dikenali sebagai ulam. Allah menciptakan manusia dalam keadaan yang sempurna sebagai khalifah–Nya di muka bumi ini. Ia membekalkan akal dan ilmu pengetahuan serta kemurnian iman sebagai kekuatan diri dalam melaksanakan pengagihan kekayaan alam kehidupan.
Sebagai khalifah Allah s.w.t. yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan alam kehidupan membawa maksud membuat agihan yang saksama mengenai kekayaan alam kepada semua umat manusia mengikut tahap pencapaian masing-masing sebagai pemain dalam kelangsungan hidup bertamadun. Allah wujudkan manusia tidak ada yang dianak tirikan atau dianak emaskan. Kepimpinan dalam melahirkan tamadun kehidupan wajar berlandaskan di atas disiplin yang mementingkan kebersamaan dan kesaksamaan.
Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan diri yang perlu ditangani bersama agar ia tidak menjadi pemangkin diri untuk membolosi kebahagian hidup. Maka itu Allah sem- purnakan kehidupan manusia dengan membekalkan ilmu tauhid melalui umat-Nya yang dikenali sebagai Nabi dan Rasul.
Melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-larangan-Nya menjadi tanggung jawab setiap individu mukmin. Tidak ada sebab mengapa manusia akur kepada pujuk rayu syaitan dan iblis dalam melaksanakan agihan kekayaan alam kehidupan kerana Allah telah lengkapkan manusia dengan akal, ilmu dan kemahiran berfikir sebagai kekuatan mentadbir dan memakmurkan alam kehidupan.
Kelemahan manusia untuk berlaku adil kepada sesama umat adalah disebabkan kegaga- lannya memainkan peranan sebagai khalifah. Ia melayani hawa nafsunya yang dipimpin oleh iblis laknatullah maka berlakulah tindakan di luar batasan kemanusiaan. Fenomena demikian sering berlaku kepada pemimpin-pemimpin masyarakat yang dikategorikan sebagai pemimpin politik.
Semua pemimpin masyarakat terutama sekali politik, dikecuali seorang dua, mempunyai visinya tersendiri yang bukan hanya mencipta pucuk kebahagiaan sahaja tetapi membolosi kebahagian hidup tanpa batasan, dan bergelumang dengan ulamnya begitu sehingga tidak mengenali kekhalifahannya di alam nyata.
Pepatah Melayu mengatakan “Besar periuk besar keraknya” yang membawa maksud pemimpin yang di bahagian hadapan mempunyai amalan yang jauh berbeza berbanding dengan barisan belakangnya. Pemimpin wajar sentiasa melihat ke belakang atau melihat rakyat yang dipimpinnya kerana keberadaan merekalah maka anda menjadi pemimpin yang dihormati. Pengagihan kekayaan negara wajar ada kesaksamaannya sebab tanpanya anda akan seorangan menjawab persoalan oleh Kadi Rabul Jalil di Padang Masyar nanti.
Bahasa telah mewujudkan dua perkataan yang wajib setiap pemain dalam pembangunan kehidupan membudayakannya iaitu jujur dan ikhlas dalam segala ibadahnya. Istikamah dalam melaksanakan segala perintah Allah akan menjanjikan kebahagian hidup bertamadun. Disiplin perlaksanaan pembangunan yang berteraskan iman dan takwa sentiasa mendapat ganjaran Alla s.w.t.
Tetapi harus waspada juga apabila ganjaran sedemikian rupa sudah menjadi milik anda jangan pula ia menjadi pemangkin kepada naluri anda untuk menjadi riak dan angkoh kelak melalaikan anda sebagai khalifah di muka bumi ini. Boros berbelanja adalah rakannya iblis dan bukan budaya manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
Menggunakan kekayaan dunia banyak yang kita boleh lakukan demi kemanfaatan orang lain. Ingat, kemewahan dunia bukan hak mutlak kita malah ia akan mengheret kita ke lembah kehinaan nanti apabila kita berada di dunia akhirat. Apabila ulam melimpah ruah fikirkan semasa hidup dalam kesempitan. Ambillah ikhtibar yang telah dicontohi oleh Malik bin Dinar sebelum ajal menjemput nyawa.
Maka itu jika pucuk dicipta ulam mendatang bersyukurkan terhadap hidangan Allah dan ingatlah amal ibadah yang memelihara kehidupan akhirat dengan sendirinya kebajikan dunia akan terbela. “Kalau kita tanam padi, tanpa diundang rumput turut sama tumbuh subur; tetapi jika kita tanam rumput jangat mimpi padi turut sama tumbuh.”
Monday, January 30, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment