Friday, February 3, 2012

KASIH SAYANG DAN UKHUWAH KEMANUSIAAN PERHIASAN AKHIRAT

(Disiarkan pada 4. 2. 2012)
Hidup ini satu perjalanan jauh menuju alam akhirat sama ada di syurga atau di neraka (nauzubillah). Hidup bermula dalam rahim ibu apabila Allah tiupkan roh-Nya ke dalam jasad semasa usianya genap 120 hari. Kehidupan dalam rahim ibu tidak banyak yang kita pelajari kerana segala keperluan hidup kita tumpang bersama dengan ibu selama sembilan bulan sepuluh hari.
Pembangunan yang kita perolehi dalam rahim ibu ialah pembinaan otak dengan menggunakan bahan yang ibu ambil sebagai makanannya. Seawal masa dalam rahim ibu pun kita mula menempuhi kemuderatan hidup dalam pembinaan otak apabila bahan yang diambil oleh ibu adalah bahan yang haram. Bahan yang haram tidak menjadi benda yang halal apabila ia menajdi zat untuk membina sel-sel otak.
Selain itu akhlak kita akan terbentuk mengikut akhlak kedua orang tua kita semasa membesar dalam rahim ibu, seperti tabiat yang digemari oleh ibu mengandung mahupun bapa yang menjaga kebajikan seorang ibu. Inilah elemen-elemen yang dapat kita perolehi semasa dalam rahim ibu sebelum lahir ke alam dunia.
Kelahiran anak ke dunia mulalah berbagai masalah yang ditempuhinya. Setiap anak yang lahir disahkan ia hidup dengan tangisan pertama. Persoalannya ialah mengapakah anak itu menangis sejurus ia lahir ke dunia? Sebenarnya sebelum anak itu lahir ia berjanji dengan Allah akan memegang amanah Allah berikan kepada manusia. Anak itu tidak tahu bahawa kehidupan setelah lahir dengan sebelum lahir adalah amat berbeza.
Semasa dalam rahim ibu anak itu tidak banyak kerenah dialaminya kerana segala keperluannya dibekal oleh ibu mengandung seperti bernafas untuk mendapatkan oksijen; mendapatkan makanan; keadaan cuaca mengikut suhu badan seorang ibu; suara hanya degupan jantung seorang ibu kedengarannya; dan segala-galanya di bawah kawalan kasih sayang seorang ibu mengandung.
Maka bayi bersedia meneriman amanah yang diberi oleh Allah s.w.t.. Tetapi apabila ia lahir ia terperanjat mengalaminya kerana segala keperluannya dilaksanakan sendiri seperti bernafas ia perlu mendapatkan oksijen sendiri; matanya segan melihat cahaya; merasakan pengalas ibu itu amat kasar tidak seperti semasa dalam rahim ibu, rasa nyaman panas dan lembut pada perasaan kerana ia dikelilingi oleh air. Degupan jantung pun tidak kedengaran lagi, hanya berbagai macam suara yang amat menggangunya.
Setelah mengetahui keadaan demikian di dunia tidak selesa seperti semasa dalam rahim ibu ia ingin kembali ke rahim ibu tetapi Allah tidak benarkan maka itu ia mengeluarkan tangisan menandakan ia tidak sedia menerima kehidupan di dunia. Ia rasa sejuk dan amat bising pada pendengarannya. Setelah anak itu dimandikan ia merasa enak kerana memikirkan ia kembali ke rahim ibu maka ia berhenti menangis buat seketika.
Ilmu yang pertama anak itu pelajari setelah dimandikan ialah mendengar suara azan atau kamat yang dibisikkan ke dalam telinganya. Kemudian ia merasa lapar maka mulutnya ingin menghisap sesuatu maka si ibu perkenalkan puting buah dadahnya. Itulah pengalaman pertama setelah bayi lahir di samping mengalami keadaan tempat yang amat kasar dan tidak selesa.
Kasih sayang seorang ibu sentiasa menemaninya apabila ia menangis meminta sesuatu. Belaian kasih sayang seorang ibu sahaja bayi itu sentiasa kedengaran. Disitulah mula terbina hubungan rapat dengan seorang ibu yang dikenali sebagai ukhuwah kemanusiaan. Maka itu kasih sayang dan hubungan rapat seorang ibu kepada sorang bayi bermulalah pengalaman seorang anak sambil membesar.
Setiap makhluk dibekalkan Allah naluri perasaan kasih sayang terutama sekali antara anak dan ibu. Anak itu memulakan dunianya dengan ibu tersayang. Anak sambil membesar ibu memperluaskan pengalamannya kepada masyarakat yang ada di sekelilingnya. Maka di situlah anak itu mula memahami hubungan antara keluarga dengan ahli jiran dan seterusnya kepada semua sanak saudara yang ada pertalian persaudaraan.
Meningkat usia remaja anak itu semakin luas pengalamannya dan mula mengenali hubungan kemanusiaan yang dikenali sebagai ukhuwah kemanusiaan. Ilmu mengenai hubungan sesama manusia diperluaskan lagi melalui didikan keagamaan yang mendedahkan anak itu mengenai hubungan antara sesama yang dibalut dengan perasaan kasih sayang.
Jika kita melihat alam kehidupan dengan kaca mata iman semuanya mempunyai perasaan kasih sayang kepada jenisnya. Selain daripada mempunyai perasaan kasih sayang sesama insan, manusia juga mempunyai perasaan kasih sayang terhadap makhluk lain termasuklah binatang, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Sebagai contoh alam tumbuh-tumbuhan telah diwujudkan oleh Allah s.w.t. supaya ia boleh membantu manusia menseimbang ikologi alam yang memelihara keselesaan kehidupan manusia tanpa modal dari manusia itu sendiri. Hanya manusia sahaja kadang-kadang tidak memahami alam tumbuh-tumbuhan itu mempunyai perasaan kasih sayang yang tidak putus-putus kepada makhluk manusia.
Kita memahami keadaan hutan belantara terutama sekali di lereng-lereng bukit yang berhampiran dengan sungai. Pokok-pokok kayu yang tumbuh tegak menghadap ke langit sebenarnya mempunyai fungsi alam sebagai punca mengekalkan isi padu air sungai yang mengalir saban hari untuk kegunaan manusia.
Pohon-pohon kayu yang rendang mempunyai akar-akar rambut, ribuan juta banyaknya, memegang titisan air dalam perut bumi. Titisan air tersebut akan terkumpul dan mengalir mengikut bumi yang curam dan akhirnya bertemu dengan sungai kelak menambahkan isi padu air yang mengalir ke hilir hingga ke laut melalui kawasan pembangunan manusia.
Air merupakan keperluan manusia yang tidak ada batasnya malah segala makhluk Allah yang hidup memelurkan air untuk meneruskan aktiviti kehidupan masing-masing. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan makhluk yang hidup jika segala sungai yang ada di bumi ini airnya menjadi kering.
Manusia diberi Allah s.w.t. berbagai fitrah untuk memanfaatkan alam ini tetapi harus ada had-had tertentu agar aktiviti mengaut sumber alam itu tidak sampai menimbulkan masalah yang akan menampar balik kepada manusia. Pokok-pokok yang tumbuh berdekatan dengan sungai wajar tidak dijadikan mangsa oleh pekebun-pekebun yang mengejar kebahagian dunia yang berupa sementara sahaja.
Kawasan di lereng-lereng bukit di kedua belah sungai jauhnya tidak kurang dua kilometer daripada sungai sepatutnya tidak boleh disentuh oleh manusia, kerana kawasan hutan inilah yang menjadi tadahan air untuk mengekalkan isi padu air sungai.
Mengapakah manusia tidak sedar hakikat ini? Pemuliharaan alam sebagai punca kebahagian kehidupan manusia harus diberi keutamaan kerana segala apa yang kita perolehi daripada alam ini adalah tanda kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya.
Berbagai-bagai rahmat yang luar biasa telah terjadi dalam sejarah sebagai bukti kecintaan Allah atas sebahagian dari hamba-hamba-Nya, sebagai bukti kenyataan dari apa difahamkan Allah dalam ayat-ayat dan hadis-hadis yang tersebut di bawah ini.
Nabi Ibrahim a.s. tidak menjadi hangus, meskipun dibakar musuh-musuhnya dalam gejolakan api sebesar bukit. Malah api itu memberi perasaan dingin dan lega kepada Nabi
Ibrahim a,s, seakan-akan di tempat sejuk atau di kamar yang membunyai air-condisioning. Surah Al- Anbiy’ ayat 69, Allah berfirman yang bermaksud: Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim.”
Apakala mereka telah menyalakan api, dan melemparkan Nabi Ibrahim ke dalamnya, lalu Allah bertitah dengan memeritahkan supaya api itu berkeadan dingin, iaitu sejuk. Tetapi tidak pula sejuknya itu mendatangkan muderat keadanya, bahkan mendatangkan kesejahteraan.
Nabi Musa a.s. bersama para pengikutnya dikirimi makanan yang bernama Manna dan Salwa dari langit kerana kehabisan makanan di daerah di mana mereka berada. Firman Allah dalam al-Qur’an yang bermaksud (terjemahan): : “Dan Kami lindungi kamu dengan awan dan Kami turunkan makanan yang bernama “manna”dan burung yang bernama “salwa”(seraya kami berkata): Makanlah oleh kamu dari rezeki yang baik yang telah Kami anugerahjan kepada kamu, dan tiadalah mereka menganiaya diri mereka sendiri”.
Dipancarkan air dari cela-cela batu seperti paip di zaman kita sekarang ini ketika Musa a.s. dan pengikut beliau tiba di daerah kering. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-Baqarah 60 yang bermaksud (terjemahan): “Ingatlah ketika Musa minta air untuk kaumnya, maka berkata Kami: “Pukullah batu itu dengan tongkat engkau!”. Maka terpancarlah (keluar) dua belas mata air daripadanya. Sesungguhnya telah mengetahui tiap-tiap manusia akan tempat minumnya masing-masing. Berkata Kami “Makanlah kamu dan minumlah daripada rezeki Allah dan jangan kamu berbuat bencana di atas bumi.”
Lautan merah belah sehingga terbentang jalan raya di tempat Musa a.s. perserta pengikut-pengikutnya menghindarkan diri dari pengejaran tentara Fir’un yan ganas. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 50 yang bermaksud (terjemahan): “Ingatlah ketika Kami belah air laut (untuk meneruskan perjalanan kamu) maka Kami lepaskan kamu dengan selamat dan Kami tenggelamkan Firaun, sedang kamu melihat mereka.”
Allah mengingatkan suatu nikmat atau rahmat yang lain (bahagian kedua) kepada kaum Bani Israel: Apabila Allah memerintahkan Nabi Musa a.s. bersama-sama kaum Bani Israel yang berjumlah lebih 60,000 orang meninggalkan negeri Mesir, mereka telah dikejar oleh Firaun dan tenteranya untuk membinasakan mereka, sampai ke tepi Laut Merah. Mereka telah terperangkap; di hadapan laut terbentang tidak dapat diseberangi, sedang di belakang musuh makin dekat menyerang, tidak ada lagi tempat lari. Dengan kurnia Allah Nabi Musa a.s. telah diwahyukan, supaya memukul laut it dengan tongkatnya – iaitu mukjizat yang dibekalkan Allah kepada Rasul-Nya. Nabi Musa pun memukul laut itu dengan tongkatnya., seketika itu juga laut terbelah, sehingga merupakan lorong atau jalan yang boleh dilalui di atasnya.
Dengan melalui lorong itulah kaum Bani Israel menyebarang Laut Merah hingga sampai ke pantai semananjung Sinai dengan selamat. Firaun pula melihat kaum Bani Israel melarikan diri melalui lorong itu, lalu diikutnya bersama bala tenteranya. Maka dengan takdir Allah bila Firaun dan bala tenteranya berada di tengah-tengah lorong itu, Allah balikkan semula air laut yang terbelah itu seperti sediakala, sehingga mereka tenggelam dan binasa semuanya.
Maryam, ibu Nabi Isa a.s. dikirimi Allah berbagai-bagai macam makanan dari langit. Firman Allah surah al-Imran ayat 37 yang bermaksud (terjemahan): “Maka Allah telah menerima Maryam dengan dengan penerimaan yang baik, dan dipeliharalah ia oleh Zakaria. Setiap Zakaria masuk ke mihrab didapati ada disisi Maryam rezeki (makanan), seraya berkata “Hai Maryam! Dari mana engkau dapati makanan ini?” Jawabnya: “Ia daripada Allah.” Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya dengan tiada terkira.
Demikianlah rahmat Allah menandakan kasih sayangnya kepada manusia. Maka wajar setiap insan itu mempunyai naluri kasih sayang terhadap Allah s.w.t., terhadap sesama manusia
dan makhluk-makhluk Allah yang lain, sebagai perhiasan-perhiasan hidup di akhirat nanti. Insallah!

No comments:

Post a Comment