(Disiarkan pada 10. 3. 2012)
Makhluk manusia diwujudkan oleh Allah s.w.t lengkap dengan berbagai fitrah berbeza dengan makhluk-makhluk Allah yang lain yang ada di alam kehidupan mahupun di alam buana ini. Allah menciptakan manusia dengan satu tujuan, yang para malaikat tidak mengetahuinya. Allah mewujudkan semua jenis makhluk semestinya ada tujuan yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Maka itu rahsia Allah itulah yang makhluk manusia dipertanggungjawabkan untuk menerokai berbagai jenis alam untuk memahami kemanfaatannya kepada pembangunan kehidupan.
Allah berfirman surah Al-Baqarah ayat (2) 30 yang bermaksud (terjemahan): “(Ingatlah) ketika Tuhan mu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas bumi (Adam). Maka jawab mereka itu : Adakah patut Engkau jadikan di atas bumi orang yang akan berbuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami tasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.”
Dalam erti kata lain tanggungjawab itu dikategorikan sebagai khalifah. Mengikut pengertian secara literallynya atau harfiahnya, khalifah bermaksud gelaran ketua agama atau raja yang memerintah negara Islam. Pengganti Nabi Muhammad s.a.w. selepas wafatnya ialah Khalifah Sayidina Abu Bakar menjadi khalifah yang pertama selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w..
Khalifah dalam pengertian yang luas ialah pemakmur alam kehidupan untuk dijadikan sebagai semaian pahala yang menjadi bekalan hidup manusia di akhirat nanti. Oleh sebab tanggugjawab tersebut adalah universal atau mengenai alam sejagat maka keperluan ilmu menjadi kemestian pada setiap individu memperolehinya yang bergelar manusia (khalifah). Ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Wahyu-Nya yang pertama yang diturukan kepada manusia (Muhammad) memerintahkan kita untuk membaca iaitu menuntut ilmu.
Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Bacalah dan Tuhanmulah yang maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dan mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” Surah Al-Alaq ayat 3-5.
Membaca kedua-dua fenomena alam iaitu ilmu yang terucap oleh Allah (Al-Qur’an nul Karim) dan kedua ialah membaca atau memahami kalimah Allah yang tercipta seperti alam ini serta segala isinya. Al-Qur’an merupakan kalimah Allah yang terucap oleh Allah yang diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril. Manakala kalimah yang berbentuk ciptaan Allah adalah mengenai semua makhluk di alam buana sama ada yang hidup atau yang tidak hidup.
Kalima Allah s.w.t. yang terucap iaitu al-Qur’an nul Karim menjadi dokumen dalam kehidupan manusia. Dokumen tersebut terdapat perintah-perintah Allah yang wajar dilaksana kan dan perintah Allah yang wajar dijauhi. Dokumen yang berbentuk perintah Allah adalah yang dikenali sebagai ibadah untuk dilaksanakan. Manakala amalan yang dicegah oleh Zat yang Maha Berkuasa yang akan memuderatkan kemurnian pembangunan ummah dikategorikan sebagai kemusrikan yang membawa kepada kedosaan.
Hidup ini wajar diserikan dengan ibadah-ibadah yang menghasilkan pahala kelak mendapat keredhaan Allah s.w.t.. Pahala di situ membawa maksud balasan atau ganjaran dari Tuhan kerana berbuat baik dan akan dinilaikan di akhirat nanti. Orang yang berbuat kebajikan dan menunaikan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya akan diberi pahala oleh Allah. Tempat mereka Allah benarkan menempuhi kebahagiaan di syurga.
Berbuat baik kepada semua makhluk lebih-lebih lagi kepada sesama umat merupakan perintah akal (rasul) dalam diri setiap individu mukmin. Manakala berbuat kemusrikan dan melaksanakan amalan-amalan yang dicegah oleh al-Qur’an (Allah) merupakan perintah hawa nafsu atau iblis laknatullah.
Kehadiran hawa nafsu dalam diri manusia merupakan satu perbezaan yang amat ketara antara makhluk manusia dengan makhluk malaikat. Maka itu manusia mempunyai naluri hendak membangun dan juga membuat maksiat serta kengkufuri larangan-larangan Allah tetapi malaikat dijadikan Allah hanya taat kepada ibadah iaitu menyembah dan bertasbih kepada Allah semata maka itu malaikat tidak dijadikan khalifah Allah di alam buana ini walaupun para malaikat meminta kepada Allah untuk menanggungjawabkan amanah tersebut.
Dengan kehadiran akal dan kemahiran berfikir pada manusia maka adalah wajar hidup nya diserikan dengan ilmu pengetahuan sebagai satu aset pembangunan dalam memakmurkan alam kehidupan. Allah taburkan berbagai ilmu (fitrah) di alam buana ini mahupun di dalam air serta di perut bumi untuk kemanfaatan pembangunan manusia. Maka itu menuntut ilmu menjadi kemestian kepada setiap individu kelak membolehkannya menerokai alam-alam pembangunan tersebut.
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah menyarankan kepada umatnya supaya menuntut ilmu adalah sepanjang hayat iaitu mulai dari buaian hingga ke liang lahad(Hadith sahih). Ilmu adalah pelengkap kepada kepekaan manusia mengolakan kemahiran berfikir demi kesempurnaan pembangunan manusia di dunia yang fana ini.
Pembangunan disiplin kehidupan yang termaktub dalam dokumen al-Qur’an dapat difahami dan diamal dari khidmat para rasul dan nabi. Manakala memanfaatkan ilmu yang terpendam di alam ini dapat laksanakan dari khidmat para Saintist serta ilmuan yang ditauliahkan dalam berbagai bidang ilmu.
Pembangunan kehidupan di dunia terbahagi kepada berbagai cabang ilmu. Antaranya ialah pembanguunan rohani dan pembangunan fisikal. Pembangunan rohani sahaja terbahagi kepada ilmu akidah yang menitik beratkan kepada ilmu tauhid serta ketuhanan dan ilmu mengenai dengan pembangunan akhlak dan tingkahlaku manusia sebagai pemain dalam kelangsungan hidup di alam dunia.
Pembangunan rohani wajar mendahului ilmu-ilmu yang lain kerana bangunnya ilmu akhirat akan dengan sendirinya ilmu keduniaan akan turut sama terbela. Analogi yang biasa bicara minda gunakan ialah “Jika kita tanam padi, tanpa di undang rumput turut sama tumbuh subur. Tetapi jika kita tanam rumput jangan mimpi padi akan tumbuh sama”.
Maksudnya ialah jika kita dahulukan khidmat mempelajari ilmu akhirat seperti ilmu tauhid, akidah dan sebagainya maka dengan sendirinya dunia akan terpelihara. Tetapi jika kita tumpukan ilmu keduniaan semata maka ilmu akhirat akan menjadi pilihan number sebelas! Para saintis atau ilmuan dalam berbagai cabang ilmu sains kebanyakan mereka adalah masyarakat ateis yang tidak percaya dengan kehadiran Tuhan dalam kehidupan. Mereka mengkufuri nikmat hidup yang Allah telah berikan kepada mereka di dunia maka matlamat hidup mereka adalah neraka jahanam walaupun telah menanam kebaktian di alam dunia ini.
Mendahului ilmu akhirat penting kerana segala kejadian fenomena alam dunia adalah kekuasaan Allah s.w.t. mewujudkannya. Maka itu ilmu untuk mengenali Zat yang Maha pencipta menjadi keutamaan dalam hidup sebab orang yang tidak kenal Tuhannya sukar baginya untuk merasa syukur terhadap segala nikmat yang diperolehi dalam hidup.
Bukan hanya itu, tetapi segala perbuatannya adalah berimamkan kepada nafsu syahwat yang kiblatnya hanya keseronokan dunia semata kelak membawa kepada keruntuhan moral dan kemuderatan pembangunan manusia keseluruhannya. Budaya serupa ini akan melahirkan persengkitan antara sesama umat.
Pembangunan jasmani juga mempunyai berbagai bidang dan harus diserikan dengan ilmu tauhid. Ini penting kerana mempelajari ilmu sains sebagai contoh membawa kita ke alam yang sofistikated tetapi zat yang wujudkan fenomena sains itu adalah lebih canggih lagi. Kalau keindahan alam itu begitu mengkagumkan maka zat yang mewujdkan alam berkenaan adalah lebih menakjubkan lagi.
Setiap kewujudan fenomena alam semestinya ada yang melahirkannya kerana tidak ada sesuatu yang wujud dengan sendirinya. Allah itu maha berkuasa dan Dialah yang mentadbir alam sejagat serta segala isinya. Manusia wujud dalam dua unsur iaitu jasmani yang asalnya dari tanah dan roh iaitu dari ciptaan Allah s.w.t.
Untuk memahami unsur roh dalam jasmani manusia, kita cuba memahami fenomena semasa ibu mengandung. Dalam kandungan ibu ialah seorang insan yang bersifat rohani. Ianya
dimasukkan kedalam jasad manusia oleh Allah semasa jasad dikandung oleh si ibu. Maha Besar Allah di dalam jasad ibu yang mengandung ada dua roh, iaitu roh ibu sendiri dan roh bayi yang dikandung ibu.
Setelah cukup tempuh maka bayi yang di dalam kandungan dilahirkan. Semasa lahir terdengar suara tangisan si bayi yang mengisyaratkan seorang insan telah lahir di dunia fana’ ini. Dan suara tangisan bayi itu tidak lain tidak bukan ialah suara dari rohani itu sendiri yang keluar melalui mulut bayi.
Roh insan adalah kewujudan yang digolongkan dalam perkara-perkara gahib iaitu wujudnya tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi dapat dilihat oleh matahati. Begitu jugalah Allah adalah sesuatu yang paling ghaib yang mewujudkanNya tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi boleh ‘dilihat’ oleh mata hati yang suci yang melepasi hijab.
Ilmu dalam pembangunan jasmani wajar setiap makhluk manusia mengenali dirinya sebagai insan. Pertalian insan dengan Allah amat rapat sekali. Kerana terlalu rapat, maka ada beberapa ungkapan dan kata-kata ‘ulama’ bagi tujuan untuk menjelaskan atau memberi faham yang lebih tentang Allah. Sebahagian daripadanya seperti insan itu bayang-bayang Allah, insan itu cermin Allah, kenali diri (Insan) maka kenal Allah dan lain-lainnya.
Ungkapan yang paling terkenal tentang perhubungan insan dengan Allah ini ialah: Siapa yang mengenali dirinya maka sesungguhnya mengenal ia akan Tuhannya.
Kata-kata insan itu bayang-bayang Allah ialah semata untuk menunjukkan perbandingan jua. Maksud sebenarnya ahli ma’rifat hendak menerangkan yang perbandingan antara wujud manusia dengan wujud Allah itu adalah dibandingkan antara bayang-bayang dengan diri sebenar.
Yang hakikinya adalah diri itu sendiri dan bayang-bayang itu bukanlah hakiki. Begitu jugalah jika dibandingkan insan dengan Allah maka wujud Allah itulah yang hakikinya. Adapun wujud insan itu adalah wujud yang tidak hakiki, ianya wujud yang majazi jua.
Tentang kata-kata insan itu cermin Allah ialah maksudnya pada diri insan atau pun diri insan itu sendiri adalah bahan yang boleh dikaji bagi tujuan mencari dan mengenal Allah, diumpamakan kalau kita lihat dalam cermin nampaklah diri kita, begitu juga kalau tilik dan kaji insan itu akan kita temui dan kita kenal Allah.
Kata-kata insan cermin Allah boleh disamakan dengan kata-kata kenal diri maka kenal Allah. Cermin adalah alat untuk melihat wajah diri, begitu jugalah insan adalah alat untuk mengenal Allah yang dibahasakan melihat wajah Allah. Pengertian di sini ialah insan itu bukan wajah Allah tetapi alat (cermin) untuk melihat wajah Allah.
Memanfaatkan kekhlifahan manusia di alam kehidupan sewajarnya dia memahami keinsanannya di sisi Allah s.w.t.. Dengan cara demikian maka tanggugjawabnya untuk melaksanakan amanah Allah menepati kehendak Zat yang Maha Kuasa itu.
(Bersambung)
Saturday, March 10, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment