Monday, August 6, 2012

MANUSIA PERLU SABAR DALAM SEMUA IBADATNYA

 (Disiarkan pada 4. 8. 2012)
Sabar ialah tahan menderita yang tidak disenangai dengan redha dan kemahuan hati dan menyerahkan diri kepada Allah. Sabar yang berdiri atas menyerah kepada Allah dan menerima ketetapan Allah dengan dada yang lapang redha.
Sabar itu  hasil dengan mengingat akan janji-janji Allah yang akan diberikan kepada orang-orang  bersabar menahan kesusahan (terhadap) melaksanakan amal-amal bakti yang sukar dikerjakan dan kepada orang-orang yang bersabar menahan kepahitan dengan mengkekang diri dari kemahuan syahwat yang  diharamkan sedang syahwat itu sangat condong kepadanya, serta teringat ia bahawa segala bencana itu adalah kekuasaan Allah s.w.t. dan dari tasharraf-Nya kepada para makhluk-Nya.
Firman Allah s.w.t., surah Ali Imran ayat 17 yang bermaksud (terjemahan): “(Di antara orang-orang yang terpilih ialah): orang-orang yang sabar, orang-orang yang benar, orang yang selalu taat, orang-orang yang selalu mohon ampunan di tengah malam.”
Sesungguhnya sabar itu, adalah satu kekuatan dari kekuatan-kekuatan jiwa, yang dapat memasukkan peraturan dari kekuatan-kekuatan jiwa yang dapat memasukkan peraturan ke dalam segala amal jiwa itu.
Sabar itu sangat ajaib urusannya. Ia memelihara manusia dari kerugian, apabila ia berjalan baik dalam segala urusan. Hal ini telah dinyatakan oleh surah Wal’ashri. Dari pengalaman kita sendiri pepatah mengatakan bahawa “Barang siapa bersabar, memperolehi keuntungan”.
Allah s.w.t. memberi sanjungan dan pujian-Nya terhadap orang-orang yang sabar dan tabah. Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud (terjemahan): “……dan orang-orang yang sabar di saat kesulitan, kesusahan dan perang ; merekalah  orang-orang benar dan merekalah orang-orang yang takwa.”
Allah s.w.t.  berfirman surah Al-Baqarah 155 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Kami (Allah) akan mendatangkan sedikit cobaan kepada kamu yang merupakan ketakutan kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, maka gembiralah orang-oang yang sabar.”
Melaksanakan ibadat secara istikamah merupakan satu bentuk kesabaran. Kesabaran yang berpegang kepada prerogative Allah s.w.t. untuk meredhai apa yang dihajati dalam ibadat yang dilaksanakan secara istikamah itu. Setiap ibadat yang dilandaskan kepada kesabaran pasti beroleh kejayaan. Kejayaan itu merupakan produk ibadat yang disandarkan ke atas kekuasaan Allah s.w.t. Ini bermakna segala perlaksanaan ibadat dalam menempuhi pembangunan kehidu- pan wajar diserikan dengan kesabaran.
Menuntut ilmu merupakan satu perjuangan melalui proses yang panjang dan setiap individu wajar bersabar menempuhi berbagai ujian sejak sekolah rendah hinggalah selesai pengajiannya di peringkat tinggi di universiti.
Sebagai contoh, seorang insan mula menuntut ilmu di bangku sekolah rendah selama enam tahun iaitu tidak termasuk masa ia berada dalam peringkat pembiasaan diri dengan masyarakat atau TADIKA. Selepas peringkat sekolah rendah kemudian ia beralih kepada sekolah menengah yang memakan masa lima tahun atau tujuh tahun jika ia melalui pra universiti atau tingkatan enam. Setelah selesai persekolahan, anak itu akan beralih  ke institusi pengajian tinggi di universiti di mana ia akan menjurus kepada bidang yang digemarinya.
Dalam proses pembelajaran di semua peringkat memerlukan budaya istikamah dan kesabaran yang kental perlu ada pada setiap individu. Pepatah Melayu mengatakan ‘belakang parang jika diasah setiap hari secara istikamah, menjadi tajam juga’ Demikianlah seorang insan
jika menuntut ilmu itu dilaksanakan secara sabar dan istikamah budak yang lemah menjadi cergas, dan anak yang bodoh menjadi pintar.
                Menuntut ilmu tanpa kesabaran mengakibatkan ramai pelajar tercicir di pertengahan jalan tidak mampu meneruskan ibadat mengilmukan diri. Masyarakat yang tidak punya ilmu kerap menjadi duri dalam pembangunan tamadun kehidupan kerana tidak dapat menyesuaikan diri  dengan peraturan awam yang direka khas oleh kerajaan. Maka wujudlah masyarakat jahiliah atau yang biasa dikenali  sebagai ‘sampah masyarakat’. 
                Lebih jauh, sabar itu suatu malaikat jiwa. Dengan kekuatan malaikat itu, mudahlah kita menanggung barang yang sukar ditanggung, dan redhalah kita menanggung yang tidak disenangi dalam jalan kebenaran. Tegasnya sabar itu suatu budi pekerti yang bergantung kepadanya segala perangai utama yang lain-lain. Kerana itu tidak ada sesuatu kerugian yang lebih besar dari kerugian kehilangan kesabaran atau kelemahannya. Maka tiap-tiap bangsa yang telah hilang sifat sabar pada jiwa anggota-anggaota masyrakatnya, lemahlah sifat-sifat utama yang lain-lain dan hilang terbanglah segala kekuatannya.
                Sesudah itu haruslah dimaklumi, bahawa masuk ke dalam sabar mencari ketetapan sesuatu pekerjaan, menimbang sesuatu urusan dengan sematang-matangnya sebelum membuat apa-apa keputusan. Tegasnya tiada tergesa-gesa dalam melancarkan sesuatu urusan dalam mengambil sesuatu tindakan.
                Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w.,sebelum menjadi Rasul tidak punya alternatif menjadi pemimpin kerana tidak punya peluang menuntut ilmu di bangku sekolah disebabkan beliau dilahirkan anak yatim dan apabila ia meningkat usia lima tahun menjadi yatim piatu pula.
                Semasa remaja ia berkerja mengembala kambing kepunyaan masyarakat Quraisy. Meningkat dewasa beliau bekerja dengan orang-orang pedagang Mekkah. Ia melaksanakan ibadahnya secara tulus dan ikhlas serta sabar dan tawadhu sehingga ia digelar sebagai al-Amin iaitu orang yang dipercayai. Meningkat usia empat puluh tahun Allah s.w.t. memilih beliau sebagai penerima risalah suci dari langit (Allah) selama 23 tahun.
Baginda menerima ilmu wahyu dari Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibril kemudian disampainya kepada para sahabat secara istikamah dengan budaya kesabaran yang indah terutama sekali apabila baginda berhadapan dengan masyarakat keras kepala seperti kaum Quraisy, yang tidak merestui perjuangan Baginda.
Kesabaran yang indah menginap dalam kalbu Muhammad s.a.w. apabila beliau dapat mengatasi berbagai macam ujian yang dilimparkan kepada Baginda oleh musuh-musuh Islam. Pada suatu hari Muhammad sedang rihat di bawa pohon kurma lalu tertidur kerana penat pergi berperang demi menyebarkan Islam. Tiba-tiba seorang kafir Quraisy menghampirinya dengan pedang terhunus yang sedia ditetakkan ke leher Baginda.
“Muhammad! Kelmarin kamu bersama pengikut-pengikut mu berlaga gagah benar menentang kami yang tidak mengikuti agama mu. Sekarang jika aku tetakkan pedang ini ke atas lehermu siapa yang akan menolong kamu?”
Kata Muhammad, “Tiada yang menolong saya hanya Allah”. Kalimat Allah jika diucapkan oleh orang yang hatinya bersih dari segala kecacatan, pengaruhnya amat luar biasa. Pedang yang berada ditangan musuh yang sudah sedia menghapuskan jiwa Muhammad, tiba-tiba terasa amat panas ibarat memegang bara api, lalu telepas dan jatuh ke tanah.
Baginda Nabi lalu mengambil pedang itu dan meletakkan ke atas leher orang muda itu lalu berkata: “Kalau sekarang pedang ini saya tetakkan leher mu, siapa yang akan membantu kamu?” Dengan suara yang gemetar orang muda itu berkata: “Tiada yang dapat menolong aku selain engkau Muhammad. Tolong ya maafkan aku?”
Baginda Rasul mengembalikan pedangnya kepada orang muda itu lalu menasihatnya supaya jangan ulangi lagi perbuatan itu. Dalam situasi sedemikian, jelas nyawa Baginda sudah dihujung pedang, Baginda Rasul masih boleh memaafkannya. Itulah kesabaran yang  indah!
Pada masa yang lain semasa Baginda bersama Abu Bakar dalam perjalanan berhijrah ke Medina al-Mukaramah, orang-orang Quraisy mengadakan perhimpunan khas untuk mencari Muhammad. Pengumuman dibuat bahawa sesiapa sahaja yang dapat menangkap Muhammad, sama ada hidup atau mati, akan dihadiahkan 100 ekor unta. Mungkin nilainya di Malaysia lebih kurang 100 ekor kerbau atau sapi. Hadianya amat menggiurkan.
Seorang pemuda bernama Surokoh  dengan senyap menunggang kudanya lalu pergi mencari Muhammad. Tidak beberapa lama kemudian dia melihat Muhammad bersama Abu Bakar sedang berjalan di padang pasir. Ia pecut kudanya, dan hampir sepuluh meter jauhnya dari Baginda ia menghunus pedangnya sedia membunuh Nabi, tiba-tiba kaki kudanya termasuk lobang lalu terjatuh. Surokoh terhumban dan berguling-gilang  di atas pasir lalu terdampar  persis dekat kaki Muhamad. Baginda tahu dari Malaikat Jibril bahawa Surokoh berniat hendak membunuh beliau.
Pedangnya yang terlepas diambil oleh Muhammad dan mengembailkan kepada Surokoh sambil membangunkannya; jubahnya penuh dengan pasir lalu menasihati supaya berhati-hati jika menunggang kuda! Mengikut sejarahnya bahawa Surokoh memeluk agama Islam kerana telah menyaksikan akhlak Rasul begitu mulia dan sabar.
Setiap waktu solat Baginda pergi ke mesjid melaksanakan ibadat bersama jemaah yang lain. Masyarakat musrikin  kurang senang dengan perbuatan Muhammad itu terutama sekali jiran tetangganya. Seorang pemuda melihat Muhammad sentiasa lalu  dekat dengan sebuah rumah dua tingkat. Apabila Zohor tiba pemuda itu naik ke atas dan meludahi beliau apabila lalui di situ. Ludahnya persis mengena dahi beliau. Muhammad melihat ke atas lalu berkata “saya kena ludah”! Kemudian cepat-cepat ke  mesjid mengambil wudhu semula.
Begitulah keadaannya pada hari-hari berikutnya sehingga pada suatu ketika beliau tidak diludahi lagi apabila lalu di situ. Ia mencari-cari di sekeliling kawasan itu lalu bertemu orang. Ia ditanya apa yang dicarinya. Baginda memberi tahu apa yang telah berlaku tetapi hairan hari itu dia tidak di ludahi lagi dan ingin mengetahui di mana dia. Orang itu berkata, orangnya sakit, demam panas. Muhammad cepat ke mesjid menunaikan solat Zohor  dan pulang rumah mengambil makanan untuk dihantar kepada orang yang sakit yang meludahi beliau.
Kesabaran Muhammad bukan hanya menangani masyarakat yang menentang Islam tetapi juga kepada keluarganya sendiri yang kadangkala telah berlaku bermacam kerenah. Satu peristiwa apabila Baginda terlambat balik rumah kerana sibuk berdakwah menyebarkan Islam bersama jemaah di mesjid, isterinya Siti Aisha terlalai bangun membuka pintu kerana penat berkerja seharian mengurus rumah. Setelah memberi tiga kali salam, isterinya tidak juga terjaga, maka Baginda tidur di luar di pinggir pintu.
Awal pagi keesokan harinya Siti Aisah membuka pintu. Rasul sudah sedia di luar mengucap salam serta meminta maaf kerana terlambat pulang semalam. Beliau yang tidur di luar kerana pintu tidak dibuka, pula yang meminta maaf kepada isteri tersayang, begitu kesabarannya yang indah.
Pernah pada satu ketika, isterinya tersilap membubuh garam keterlaluan banyak pada sayur yang dimasaknya. Apabila Baginda makan isterinya bertanya tentang rasa masakannya. Baginda tidak marah, malah memuji masakannya yang sedap. Walaubagaimanapun, Baginda ingin betul makan bersama isteri kerana kebetulan sudah lama tidak bersama-samanya makan. Maka itu isteri menerima undang suaminya. Setelah merasa sayurnya terlalu masin maka ia memohon maaf kepada suaminya. Tetapi Muhammad menerimanya dengan tenang hati sahaja.
                Hidup berprinsipkan budaya kesabaran wajar menjadi nadi perpaduan ummah. Sabar itu adalah sebahagian daripada iman maka serikan hidupmu dengan sabar secara istikamah. Allah itu Maha mengetahui dan Maha Bijaksana.

No comments:

Post a Comment