Saturday, August 18, 2012

PIMPIN HIDUP BERLANDASKAN AKAL

(Disiar pada 18. 8. 2012)
Akal adalah satu entiti kerohanian. Dalam kehidupan duniawi, akal mempunyai dua dimensi yang berbeza. Dari aspek fisikal, akal merujuk organ otak, manakala dari aspek kerohanian, akal merujuk kebolehan manusia untuk memahami, membeza, membanding, menimbang, menakul, dan membina skim ilmu.
                Otak (entiti fisikal) dan akal (entiti kerohanian) saling berinteraksi antara satu sama lain. Melalui akal, manusia berkemampuan membaca, memerhati, mengkaji, menganalisis, menter- jemah, mentafsir dan memahami tanda-tanda kekuasaan Allah dalam alam semesta. Pendik kata akal merupakan alat atau wahana untuk berfikir, bertaakul, membuat keputusan, dan membina skim ilmu tentang alam semesta.
                Antara hawa dan akal, hawa membawa sesat dan tidak berpedoman sedangkan akal menjadi pedoman menujuh keutamaan. Maka itu kita perlu mengetahui, manakah perintah hawa dan manakah perintah akal. Perbezaan antara keduanya sangat  sulit, berkendahakkan kepada ilmu hakikat yang dalam.
                Garis besar yang harus diperhatikan, ialah bahawa akibat yang dikehendaki akal itu ialah akibat mulia dan utama, tetapi jalannya sukar.
                Hawa berakibat bahaya, tetapi jalannya amat mudah dan tidak sukar. Sebab itu jika kita menghadapi dua perkara, hendaklah dipilih barang yang sukar mengerjakannya tetapi baik akibatnya. Jangan barang yang diingini oleh hawa nafsu, kerana akibatnya buruk. Kebanyakan barang yang baik sukar dikerjakan. Itulah sebab Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Diramaikan surga dengan barang yang berat mengerjakan dan diramikan neraka dengan syahwat.” (HR: Bukhari dan Muslim).
                Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal dia baik bagimu, dan boleh jadi kamu cintai sesuatu padahal dia jahat bagimu.” (Al-Baqarah: 216)
                Ayat ini merupakan cogan keimanan dan dasar keyakinan yang mesti dipegang  teguh oleh orang yang betul-betul mengaku beriman. Ayat ini juga menjadi penghibur hati yang duka, penglipur jiwa lara yang sedang ditimpa melapetaka, dialah ubat dan penawar yang baik  bagi orang-orang yang hampir putus asa, pelita hati yang menerangi orang yang sudah gelap mata.
                Berapa banyak di sebalik rasa kebencian dengan tidak semena-mena muncul rasa kasih sayang. Berapa banyak di sebalik penghinaan dengan tidak disangka-sangka mendadak  datangnya penghargaan dan penghormatan
                Ayat ini juga mengingatkan bahawa, boleh jadi di sebalik suka itu  ada dukanya, di sebalik senang itu ada susahnya dan di sebalik untung itu ada ruginya. Oleh sebab itu, janganlah lupa kepada diri, manakala sedang di dalam kesenangan dan kemewahan. Ingatlah kepada hari esok, supaya tidak pula berputus asa bila kesenangan  bertukar menjadi kesulitan, kemewahan bertukar menjadi kesempitan, kerana susah dan senang silih berganti, bergilir-gilir datang dan pergi. Janganlah  mengikut sangat kehendak hati yang suka, kerana boleh jadi yang digemari itu kemudiannya mengecewakan dan menjadikan  hati berduka. Maka berpada-padalah pada waktu suka dan tabahlah hati pada waktu duka.
                Kekuatan ilmu saling berkait dengan kekuatan akal kerana ilmu diperolehi melalui akal yang rasional. Akal itu merupakan inti bagi roh manusia. Istilah “inti bagi sesuatu benda” bermaksud  sesuatu paling istemwewa yang dipunyai oleh benda tersebut Dalam kontak  ini, akal merupakan benda yang paling intemewa bagi manusia, manakala syahwat dan marah hanya merupakan benda mendatang  yang bersifat sekunder.
                Walaupun bersifat istemewa, akal manusia mempunyai kemungkinan untuk berkembang
secara tidak lurus. Apabila keadaan, manusia akan kehilangan hikmah. Misalnya, akal yang keterlaluan akan meneribitkan sifat-sifat negatif seperti pembujuk, penipu dan penghelah. Akal yang lalai pula akan menerbitkan sifat-sifat seperti degil, tolol, bebal, zalim, dan bodoh.  
                Orang tolol mempunyai tujuan yang benar, tetapi cara dia mencapai tujuan itu adalah  salah, iaitu dia tidak mempunyai pertimbangan yang benar dalam merancang dan melaksanakan suatu agenda untuk sampai kepada tujuan itu. Orang zalim pula mempunyai tujuan yang buruk, iaitu dia memilih sesuatu yang salah, jahat dan tidak sesuai dipilih.
Seterusnya, orang bodoh ialah orang yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan yang amat sedikit dalam berbagai-bagai hal dan urusan, tetapi dia mempunyai fantasi yang benar. Konsep bodoh tidak sama dengan konsep lembap. Misalnya, orang yang lembab ialah orang yang gagal untuk memperlajari atau menguasai sesuatu ilmu dalam satu tempoh masa yang tertentu.
Dengan kelengkapan  fitrah akal fikiran, manusia dilantik oleh Allah s.w.t. menjadi khalifah-Nya di atas muka bumi ini. Amanah untuk memikul dan menanggungjawabkan pengurusan pelbagai kehidupan makhluk ciptaan Allah s.w.t. agar menjadi  pelengkap kemurnian tamadun kehidupan di alam yang fanah ini.
Dengan akal fikiran yang ada pada manusia telah membolehkannya mencapai alam kemalaikatan kelak dapat mengenal Zat Yang Maha Pencipta, serta menjalankan amanah, menguasai berbagai disiplin ilmu dan boleh membezakan antara kebajikan dan kebatilan. Akal manusia adalah salah satu bukti kebesaran Allah. Ia mempunyai potensi untuk memahami dan mentafsir kalam Allah.
Potensi ilmu dapat menempatkan manusia di istana kemuliaan jika ia dimanfaat berlandas kan kepada kesyukuran terhadap yang Maha Pencipta. Tetapi jika diterbiahkan mengkufuri nikmat akal, akan menempatkan manusia yang berilmu lebih hina daripada haiwan. Memanfaatkan akal dengan baik berlandaskan keredhaan  Allah s.w.t., individu berkenaan akan selamat dan memperolehi kemenangan dunia dan akhirat tetapi sebaliknya jika akal fikiran itu menemui kehendak nafsu maka akan celaka dan merugikannya.
Dalam al-Quran, Al-Qalbu mempunyai berbagai dimensi yang majoritinya mengacu kepada fungsi akal yang berkisar di putaran dimensi kenalurian. Akal sendiri difahami sebagai dasar jiwa  dan naluri yang normal, baik ketika mencintai sesuatu atau membencinya. Akal itu juga sebagai tempat petunjuk, iman, pengertian, kemahuan dan keputusan.
Dalam al-Quran Allah  berfirman yangbermaksud (terjemahan): “Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah Asy-syu’raa’ ayat 26:89)
Pada hari kiamat nanti, tidak ada manusia yang terlepas dari seksa Allah walaupun dia ditebus oleh hartanya yang banyak dan dia tidak juga dapat ditebus dan ditolong oleh anak-anaknya yang ramai. Tetapi yang mendatangkan guna bagi seseorang di akhirat nanti ialah  apakala dia membawa hati yang ikhlas, datang dengan hati yang bersih dari dosa, tidak dipengaruhi oleh keinginan hawa nafsu yang tidak mengenal puas; hati yang tidak dikotori oleh perasaan tamak kepada kemewahan hidup di dunia.
Firman Allah lagi yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya yang demikian  itu benar-benar merupakan peringatan bagi orang yang mempunyai hati.(maksud akal) atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya,” (Surah Qaaf ayat 50:37).
Sesungguhnya apa yang disebut dan diceritakan mengenai terbinasanya penduduk-penduduk negeri yang zalim itu dapat dijadikan peringatan dan pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal untuk memikir dengannya, atau mendengarkan pengajaran yang terdapat daripadanya dengan menghadirkan hati. Dan orang itulah yang sentiasa menggunakan  akalnya
untuk berfikir dan mengambil teladan.
                Hati bagi seseorang itu dapat dipakai untuk memikirkan sebagai akal selagi dia masih dijadikan mengingat. Lafaz kalbu ertinya hati telah dibahasakan di sini sebagai akal kerana hati itu tempatnya akal.
                Hati, dianalogikan sebagai raja dalam diri manusia seperti mana Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. mentafsirnya bahawa jika hati itu baik maka baiklah seluruh amal ibadat manusia tetapi jika ia rosak atau sakit maka rosaklah juga amal mumalat seseorang itu.
                Ibnu Abbas berkata bahawa Allah akan memberi petunjuk ke dalam hati orang itu dengan keyakinan sehingga tahulah dia bahawa apa yang menimpanya tidak akan meleset dan yang meleset tidak akan mengenainya. Allah melakukan qadak dan kadar-Nya adalah melakukan dengan pengetahuan-Nya, kerana Allah tahu segala yang tersembunyi di dalam hati.
                Firman Allah  surah At-Taghaabun ayat 64:11, yang bermaksud (terjemahan): “Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.”
                Surah Al-Hujuraat ayat 49:7 Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu.”
                Allah menjadikan iman itu  kurnia yang paling berharga, menyebabkan ia sangat-sangat dicintai. Iman yang sempurna itu ialah, berikrar dengan lidah, percaya dalam hati dan beramal dengan rukun-rukunnya. Keindahan iman dalam hati ialah percaya dalam hati dan kefasikan, iaitu berdusta lawannya berikrar dengan lidah, dan seterusnya maksiat iaitu derhaka lawannya beramal dengan rukunnya.
                Membicarakan mengenai potensi akal seharusnya berkiblat kepada unsur-unsur positif yang mana kehidupan itu dapat dibina ketamadunan manusia. Kesucian pemikiran manusia adalah pantulan Nur Illahi yang menyinarkan hati manusia itu sendiri supaya dapat memahami kaedah-kaedah keilmuan yang kelak menemukan kesucian dan keesaan Allah s.w.t..
                Pembicaraan dan tulisan adalah saranan yang diberi oleh Allah kepada manusia untuk mendukung akal fikiran agar dapat berfikir secara logik. Akal itulah  yang menggerakkan tangan manusia untuk menulis dan menuangkan semua buah fikirannya lewat perantaraan pena.
                Alat berbicara adalah benang suara, lidah dan kerongkong. Semuanya ini akan berfungsi dengan baik jika dipimpin oleh akal fikiran yang normal. Jika ada salah satu alat yang rosak  maka manusia tidak akan normal berbicara dan tidak  mungkin dapat mengungkap semua yang terdetik  dalam hatinya. Kalau demikian keadaannya maka akal tersebut akan sentiasa tertutup dan tidak berfungsi apa-apa walaupun menyimpan idea-idea dan pemikiran yang cemerlang.
                Kemuliaan ilmu dan akal dapat dikenalpasti secara positif oleh akal itu sendiri, oleh agama dan juga oleh perasaan. Akal yang digunakan manusia untuk menemukan sesuatu adalah sesuai denan akal yang diciptakan oleh Allah pertama kali dan berlaku laksana sinar matahari, kerana yang seperti ini adalah akal hakiki dan mutlak.           
                Adapun bukti bahawa akal itu mulia menurut akal itu sendiri ialah kerana kebahagian dunia dan akhirat itu tidak dapat dicapai kecuali dengan akal. Di samping itu pula manusia dapat menjadi “Khalifahullah” (pelaksana kepimpinan yang diamanahkan oleh Allah) dengan lantaran ia berakal. Dengan akalnya ia dapat mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. dan dengan akal nya pula ia dapat menjadi sempurna keagamaannya.
                Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Tiada agama bagi orang yang tiada  berkal baginya”
 Beliau bersabda lagi dalam hadis lain yang bermaksud: “Janganlah menghairankan pada mu tentang keislaman seseorang sehingga kamu mengenali akalnya.”
Oleh kerana itu dikatakan, “Barang siapa yang akalnya tidak memperbanyakkan
perbuatan-perbuatan yang baik, maka matinya akan berlaku pada tingkah laku yang tidak baik.”
                BICARA MINDA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN KEPADA SEMUA WARGA BICARA MINDA DAN SETERUSNYA KEPADA SEMUA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAH, SEMOGA BERBAHAGIA DI HARI RAYA YANG MULIA INI.

No comments:

Post a Comment