Saturday, August 25, 2012

ANTARA AKAL DAN SYAHWAT MANUSIA

 (Disiarkan pada 25. 8. 2012)
 Akal dan nafsu adalah fitrah Allah s.w.t. yang dibekalkan kepada makhluk manusia yang menjadikannya sebagai ciptaan Allah  yang terunggul berbanding makhluk lainnya. Akal memegang peranan sebagai rasul dalam diri setiap insan maka itu  wajar bertemankannya dalam segala urusan muamalat dunia kerana Allah s.w.t.        
                Walaubagaimanapun, fakulti akal semata-mata tidak dapat bersendirian tanpa ditemani oleh syahwat dalam  segala keperluan hidup walaupun akal itu merupakan satu nikmat Allah s.w.t. yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk lainnya.
                Kehadiran akal pada manusia membolehkannya dapat mengenal zat yang Maha Pencipta mengembang dan menjalankan amanah, beradaptasi dengan lingkungan, menguasai berbagai disiplin ilmu dan boleh membezakan antara kebajikan atau keburukan. Akal fikiran adalah pusat analisa dan disiplin ilmu pengetahuan, tempat bersarangnya hikmah yang membezakan antara yang kufur dan yang batil.
                Akal fikiran itu sebagai pemimpim dalam diri individu yang harus ditaati. Akal adalah sebagai sarang ilmu pengetahuan dan tempat hikmah. Semakin banyak ilmu yang dikuasai semakin tinggi potensi manusia, namun demikian ia tidak mampu menjangkau hakikat akal itu sendiri. Akal berfungsi sebagai dasar dari jiwa dan naluri yang normal, baik ketika mencintai sesuatu atau membencinya. Akal juga sebagai tempat petunjuk, iman,  pengertian, kemahuan dan keputusan.
                Bercakap merupakan media berfikir logik di mana manusia boleh merealisasikan keinginan dan kehendaknya. Untuk sesuatu keinginan itu  adalah jemputan kepada fakulti nafsu yang mendorong manusia memperolehi apa yang dikehendakinya. Pembentukan manusia adalah jauh lebih canggih daripada malaikat kerana kehadiran akal dan nafsu.
                Manusia yang memanfaatakkan akal untuk menyelesaikan masalah adalah jauh lebih selamat daripada mereka yang melayani nafsu tanpa memberi ruang kepada akal untuk memainkan peranannya. Jika nafsu menginginkan sesuatu, ia akan didorong oleh sikap tamak dan dikuasai oleh sifat sombong; lalu  jiwanya akan melakukan penyimpangan, mencintai kekuasaan, suka menyerang, zalim, suka marah dan diperintah oleh hawa nafsu tadi. Akhirnya akan merugikan kerana dipimpin oleh syaitan menuju perbuatan-perbuatan jahat.
                Dengan akal, manusia dapat berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara, mengatasi konflik kognitif, dan meneliti perubahan dalam persekitaran sehingga dapat mengambil manfaat darinya. Pada asasnya, akal terdiri daripada bahan kerohanian yang membolehkan roh rasional mengenali dan membezakan kebenaran daripada kebatilan.
                Secara tabii, fakulti akal mempunyai kecendrungan untuk mengetahui. Akal merupakan alat yang membolehkan seseorang memahami dan mengemati fenomena alam semula jadi, sejarah tamadun manusia, dan perkembangan  diri serta mengenalisis kepentingan hidup beragama. Melalui akal, manusia dapat memerhati, mentafsir dan memahami tanda-tanda Allah yang bersifat linguistik begitu juga yang bukan bersifat  linguistik. Tanda linguistik merujuk ayat-ayat al-Quran manakala tanda bukan lingustik merujuk fenomena alam semulajadi.
                Dalam fakulti akal, terdapat penting yang dikenali sebagai fikir. Konsep fikir merujuk aktiviti renungan (refleksi) atau penyoalan dalaman yang rasional dan kritis. Melalui fikir, roh manusia bergerak ke arah memperolehi makna tentang sesuatu objek pengetahuan. Dalam konteks ini, perkaitan antara akal dengan kalbu dapat dilihat dengan jelas. Akal berfungsi membina skim ilmu melalui tiga proses asas, iaitu penglibatan aktif, fikir (refleksi), dan pengabstrakan, manakala kalbu  pula berfungsi mengembangkan skim ilmu menjadi ilmu melalui proses intuisi atau ilham.
                Ilmu mengandungi unit-unit makna yang saling berkait dengan unit-unit lain dalam sesuatu  system  sehingga terbentuk idea, konsep dan pertimbangan yang tertentu. Makna yang diperolehi melalui proses intuisi mempunyai skop yang amat terbatas, manakala makna yang diperolehi melalui proses ilham mempunyai skop yang meluas dan mendalam (al-Ghazali, 1993)
                Pada umumnya, fikir merupakan kekuatan yang merintis jalan ke arah memperoleh makna tentang sesuatu. Fikir boleh dibahagi kepada dua tahap, iaitu tahap rendah dan tahap tinggi. Pada tahap rendah, fikir mengamati ciptaan Allah dalam keadaan biasa sahaja. Kewujudan manusia  dilihat sebagai hasil proses biologi yang tidak berkait dengan Allah atau disebabkan oleh  pembentukan yang tiba-tiba dari bahan evolusi sejarah dalam alam semesta.
                Pada tahap tinggi pula, fikir mengamati fenomena alam semesta dan maju untuk mengenal pasti  sifat-sifat Allah yang dimanifestasikan dalam fenomen tersebut. Manusia bukan sekadar merenungi fenomena alam semesta, tetapi pada masa yang sama mereka mengingati pencipta dan penguasa sebenar bagi fenomena tersebut. Dalam konteks ini, fikir bertukar menjadi zikir dan manusia mempunyai kesedaran serta keupayaan untuk meletakkan sesuatu objek pengetahuan pada tempat yang sepatutnya dalam urutan dan fitrah kejadian. Melalui proses ini, skim ilmu berkembang menjadi ilmu yang sebenar.
                Kekuatan ilmu saling berkait dengan kekuatan akal kerana ilmu diperolehi melalui akal yang rasional. Akal itu pula merupakan inti bagi roh manusia. Dalam konteks ini, akal merupakan benda yang paling istimewa bagi manusia, manakala syahwat dan marah hanya merupakan benda mendatang yang bersifat sekunder.
                Kekuatan syahwat atau nafsu yang bermanfaat ialah kekuatan syahwat yang berada di bawah kawalan akal rasional dan syarak. Kekuatan syahwat yang bermanfaat akan mendorong pembentukan peribadi yang suci, jauh dari perbuatan maksiat. Manakala kekuatan syahwat yang tidak bermanfaat pula akan mendorong pembentukan peribadi yang buruk. Keburukan peribadi menggambarkan orang yang berakhlak rendah.
                Proses iktiar intelektual atau ijtihad merupakan terasa bagi budaya ilmu dan proses ini  memerlukan pembacaan yang luas. Budaya ilmu memerlukan ketahanan akal untuk sentiasa berada dalam cabaran intelektual, di samping  ketahanan jiwa untuk sentiasa berada dalam kebenaran.
                Potensi pintar  cerdas sukar untuk berkembang ke tahap yang maximum dalam suasana hidup yang tidak memberi tempat yang istimewa kepada perbincangan yang mendalam dan meluas tentang konsep ilmu, proses membina ilmu, konsep akal, dan proses menggunakan akal (berfikir dan berzikir) yang diinspirasikan dan dilandaskan kepada ajaran tauhid.
                Dalam falsafah beragama ilmu dan akal seiring sejalan menuju distinasi mutlak iaitu Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Dalam konteks ini Islam mementingkan ilmu dan akal untuk memandu manusia ke jalan kebenaran. Ilmu dan akal merupakan rakan sejoli yang tidak boleh dipisahkan jika hendak mengamalkan hidup berpedoman.
                Dalam suasana menangani hidup bermasyarakat  kita mempunyai berbagai idelogi yang masing-masingnya mempunyai tafsiran yang berbeza apabila kita memikirkan apa dia itu kebaikan terutama sekali kepada pembangunan rohani. Antara pembangunan jasmani(dunia) dengan pembangunan rohani (akhirat) amat memerlukan akal dan iman untuk menyelami perbezaan keduanya.
                Allah s.w.t. mewujudkan manusia dalam dua dimensi iaitu jasad yang asalnya dari tanah
dan roh asalnya dari ciptaan Allah s.w.t.  Memelihara kebajikan kedua dimensi manusia memerlu kan ilmu, akal dan iman. Ilmu adalah kedatangan makna sesuatu dan akal sebagai pemimpin dalaman manusia ke jalan yang benar dan iman adalah satu pegagang hidup bahawa kewujudan
sesuatu itu semestinya ada yang berkuasa.
                Kehadiran ketiga-tiga faktor tersebut wajar untuk memelihara kebajikan kedua-dua dimensi manusia. Walaubagaimanapun untuk menjaga kebajikan jasmani cukuplah mengutama kan kebajikan rohani kerana kedua-dua dimensi manusia akan terbela.  Satu analogi yang biasa kita dengar sebagai tamsil demi menjaga kebajikan kedua dimensi manusia, jasmani (dunia) dan rohani (akhirat), ialah kalau kita menanam padi tanpa diundang rumput turut sama tubuh subur. Tetapi kita tanam rumput jangan mimpi padi akan tubuh sama.
                Ia membawa makna bahawa jika kita pelihara kebajikan rohani (akhirat) maka jasmani (dunia) akan sendirinya turut terbela dan terpelihara.  Tetapi jika jasmani (dunia) kita utamakan maka rohani (akhirat) akan terabai dan terbengkalai. Maka Allah s.w.t. menurunkan wahyu-Nya yang pertama, menekankan hamba-Nya supaya membaca  kalam Allah.   
Akal biasanya diertikan dengan fikir  atau fikiran. Manusia berakal boleh berfikir dan memahami sesuatu fenomena. Menurut etimologi Arab, akal bermakna mengikat atau menahan dan membezakan. Dalam konteks ini manusia menghubungkan bahawa akal merupakan  tenaga  dan menahan diri makhluk yang memilikinya daripada melakukan perbuatan  buruk atau jahat; membezakan manusia  dengan makhluk-makhluk lain kerana tenaga akal itu dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk.  
Umumnya akal  diertikan  sebagai alat untuk berfikir, menimbang  buruk baiknya atau merasakan segala perubahan, keadaan, sehingga dapat mengambil iktibar daripadanya. Sesetengah orang mentafsirkan akal sebagai nur (cahaya) yang dibebaskan Allah pada hati manusia dan aliran tenaga nur ini bersambung hingga ke otak. Dalam al-Quran, kita temui penggunaan kata akal dan juga fikiran seperti ya’qilun, mereka berakal; ta’qilun, kamu berakal dan juga berfikir, yatafakkarun, mereka berfikir, tatafakkarun, kamu berfikir.
Berfikir adalah menyingkap realiti ilmu pengetahuan sehingga melahirkan berbagai nuansa dan daya cipta yang hebat, dan membawa manusia kepada perkembangan, kemajuan dan kejayaan yang lebih tinggi. Kecemerlangan pemikiran manusia akan terlihat jelas ketika mencuba merenungkan ayat-ayat Allah dan berpendapat bahawa pada ayat-ayat tersebut terdapat tanda-tanda kebesaran Allah.
Allah s.w.t. menyeruh manusia sentiasa menganalisa dan memikirkan alam semesta ini. Ketika Allah mencipta alam ini sudah dilengkapi-Nya dengan hikmah tersendiri, dan hanya hati yang buta  sahaja yang tidak akan pernah melihat tanda-tanda keagungan-Nya. Ketinggian pemikiran manusia akan terpancar apabila memahami dan memikirkan ayat-ayat Allah dan berpendapat  bahawa tanda-tanda kebesaran-Nya  itu akan memancar dari semua ciptaan  yang ada di alam semesta.
Orang yang menggunakan akalnya sentiasa berfikir mengamati kejadian alam semesta ini. Kewujudannya sebagai makhluk Tuhan sememangnya ada manfaatnya maka akal sentiasa melihat mentafsir sesuatu itu mengapa ia diwujudkan? 
Manusia adalah jalinan rohaniah dan jasmaniah yang mempunyai peradaban. Ia dianggap sebagai makhluk yang paling mulia kerana ia dianugerahkan Allah akal. Tanpa akal, darjat manusia jatuh ke tingkat binatang. Darjat manusia bukanlah terletak pada badannya, kerana dari segi jasmaniah tidak banyak bezanya manusia dengan haiwan. Darjat itu terletak pada akal. Kemuliaan manusia tidak melekat pada badannya, tetapi pada akal yang dimilikinya. Akal itu penting bagi manusia kerana ia membawa kepada kedudukan yang mulia.
Unsur syahwat terbit daripada sifat kehaiwanan. Unsur ini bertanggungjawab terhadap tabiat  kehaiwanan yang ada pada diri manusia seperti  makan, tidur, dan seks. Matlamat utama unsur syahwat ialah memuaskan keperluan fisiologi. Jika dikawal dengan baik, keinginan syahwat  dapat memberi  beberapa manfaat kepada manusia. Bagaimanapun, unsur syahwat  mempunyai daya untuk mendesak manusia memenuhi keinginannya dengan bebas maka manusia akan melakukan perbuatan yang berunsur kehaiwanan seperti tamak, keganasan seks, pengotor, gopoh dalam tindakan, bakhil pada keperluan, tebal muka, suka belanja besar tidak kena pada tempatnya, dan golojoh. Maka itu tindakan manusia semestinya ditemani dengan akal untuk kemanfaatan hidup.

No comments:

Post a Comment