Sunday, August 12, 2012

SABAR SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN


 (Disiarkan 11. 8. 2012)
Firman Allah s.w.t. surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud (terjemahan): Katakan: “Hai hamba-hamba yang beriman, bertakwalah kepada Tuhan kamu!” Orang yang berbuat kebajikan di dunia ini mendapat kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dicukupkan pahala mereka dengan tiada terkira”.
                “Katakan!”, Iaitu perintah dari Allah kepada Muhammad s.a.w. supaya menyampaikan perintah Allah kepada hamba-hamba-Nya. “Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah  kepada Tuhan mu!” Di antara iman dengan takwa adalah lengkap melangkapi. Beriman atau percaya saja belum cukup sebelum dilengkapi dengan takwa iaitu mengadakan  hubungan dan memelihara hubungan dengan Tuhan. Takwa ialah guna memupuk iman. Amal yang saleh adalah bukti dari iman dan buah dari takwa.
                Orang yang bertakwa selalu berusaha mengisi hidupnya dengan amal yang saleh. “Bagi orang-orang yang berbuat kebajikan  di dunia ini adalah kebaikan.” Asal orang suka berbuat  baik di dunia ini dia mesti mendapat ganjaran yang baik dari Allah di dunia dan di akhirat. Di dunia ini ialah kesenangan hati, kelapangan dada, kesihatan badan. Al-Quthubi menambahkan bahawa penghargaan dan pujian yang baik dari masyarakat pun merupakan suatu kebajikan jua. Semuanya ini di dunia, dan di akhirat tentu lebih lagi.
                “Dan bumi Allah itu adalah luas.” Dalam erti kata lain memperluas dan memperlapang kan  hati  orang yang beriman dan bertakwa. Kalau  di suatu tempat  tidak dapat mengembagkan sayap kebajikan  boleh pindah ke tempat lain, di sanalah kembangkan kebajikan itu. Ramai manusia tidak  dapat bertumbuh bakatnya kalau dia  hanya mengurung diri di tempat kelahiran nya. Maka ambillah kesempatan mengembangkan di tempat lain, jangan terikat  di kampung sendiri yang sempit.
Satu contoh yang amat baik seperti sebilangan masyarakat Islam dari Ranau berpindah ke Keningau. Jika mereka memaksa diri kekal berusaha  di kampung tempat asalnya tidak mungkin pembangunan dari segi jasmani dan rohani yang dikecapi sekarang akan diperolehi mereka. Dan pembangunan rohani dan jasmani yang telah mereka lahirkan di Keningau menjadi pemangkin kepada masyarakat tempatan khasnya dan negeri Sabah amnya untuk mengubah cara hidup mereka.
                “Hanyasanya orang-orang yang sabar itu  dicukupkan pahala mereka dengan tiada terkira”. Di hujung ayat disyaratkan pula bahawasanya beriman mengisi hidup dengan takwa dan berbuat kebajikan tidaklah semudah apa yang kita fikirkan. Lantaran itulah  maka Tuhan pun membayangkan bahawa  bumi Allah ini luas. Kalau perlu pindah  dari satu negeri yang disana beramal terlalu  sempit ke tempat  lain yang mendapat alam lebih lapang untuk beramal.
                Di dalam perjuangan menegakkan kebenaran itu banyaklah percobaan yang akan diderita, sebab iman itu selalu diuji. Kalau kuat  akan bertambah naik, kalau lemah akan jatuh . Maka alat utama untuk menangkis percobaan ialah sabar, tahan hati, tabah. Hanya orang yang sabar saja yang akan sampai kepada apa yang dituju, iaitu  pahala yang berganda-lipat di sisi Allah s.w.t.
                Menurut tafsir dari al-Imam A-‘Auza’I, orang-orang yang sabar dan tahan menderita itu di akhirat kelak tidaklah ditambah berat atau ringan amalnya melainkan sudah disediakan saja buat mereka bilik-bilik istirehat yang mulia di syurga.
                Dalam surah Ali Imran ayat 146, Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Beberapa rami nabi, bersama-samanya kumpulan orang-orang ramai ikut berperang. Tiadalah mereka takut menerima cubaan (peperangan) pada jalan Allah, tiada mereka lemah  dan tiada pula tunduk. Allah mengasihi orang-orang yang sabar.”
                Amat banyak nabi di zaman lampau yang berperang diikuti oleh orang ramai yang beriman dengannya. Orang-orang tersebut menganggap para nabi itu sebagai guru yang membawa petunjuk kepada mereka – bukan sebagai orang yang diagung-agungkan untuk disembah. Tiadalah mereka takut sekiranya ada didapati di antara mereka yang luka atau terbunuh dalam peperangan,  walaupun  yang terbunuh itu  Nabi mereka sendiri umpamanya. Kerana mereka berperang kerana Allah – bukan kerana nabi. Sebab nabi itu hanya menyampai kan perintah  dari Tuhannya untuk  membimbing umatnya.
                Mereka itu tidak merasa lemah untuk berjuang melawan musuh, ataupun tunduk lalu mengalah, bahkan tiada  pula mahu berpaling tadah. Mereka tetap di dalam pendirian  mereka dan sabar dalam perjuangan, kerana mereka yakin Tuhan akan mengasihi orang-orang yang sabar.
                Sabar itu mempunyai beberapa faidah-faidah dan hikmatnya dalam hidup seorang mukmin. Tuhan yang bersifat Rahman dan Rahim, menggerakkan kita kepada sabar dan berhati-hati serta hemat cermat dalam melaksanakan segala rupa pekerjaan, agar kita menjadi orang yang berbuat baik.
Tuhan telah menjadikan sabar itu dari tanda kekukuhan cita-cita. Tuhan telah menerangkan, bahawa umat-umat yang
dahulu mendapat kebaikan yang sempurna lantaran  sabar dan ada umat yang mendapat dua ganda pahala disebabkan sabar, juga Tuhan menerangkan bahawa inayat-Nya dilimpahkan atas orang-orang yang sabar.
Seterusnya Tuhan memerintahkan kita supaya mempergunakan sabar itu menjadi senjata sakti buat mencapai tiap-tiap maksud, bahkan Tuhan mewajibkan kita bersabar. Maka apakah gerangan rahsia-rahsia sabar itu?
Manusia bila ditimpa bencana, bila mengalami kesulitan dan kesukaran, kalau dapat bersabar, kalau dapat menolak keloh kesah, ia dapat mematahkan tipu musuhnya dan menggembirakan temannya, dan sanggup berfikir jauh untuk melepaskan  diri dari bencana yang menimpanya.
Kalau ia dimusuhi oleh seseorang, maka ia menerima pemusuhan orang itu dengan kesabaran, menanti waktu yang terbaik, dapatlah ia membalas, jika ia dikehendaki. Apabila ia ingin menyelesaikan sesuatu pekerjaan dan bersenjatkan sabar, besarlah harapan akan diperolehinya. Sebaliknya jika ia menjauhkan  sabar, tak dapatlah ia mencapai maksudnya. Kalau pun dicapainya, pasti tidak akan kekal. Ingatlah kata pepatah: “fikir itu pelita hati”. 
Iman adalah kekuatan naluri manusia memahami bahawa di sebalik kewujudan setiap makhluk dalam fenomena alam, ada yang berkuasa mewujudkannya, iaitu Allah s.w.t. Kesabaran dalam segala tindakan  muamalat manusia berpangkal kepada hati atau naluri setiap insan yang disandarkankan kepada kekuasaan Zat yang Maha Berkuasa, Allah. Maka itu Iman dan sabar sewajarnyalah dua fenomena yang tidak boleh dipisahkan.
Untuk mengukuhkan keberadaan kedua naluri, iman dan sabar tersebut, dalam diri setiap mukmin, Allah sediakan satu disiplin hidup atau cara hidup agar keduanya sentiasa saling bantu membantu antara satu sama lain untuk memelihara  kesucian dalam segala muamalat manusia di sisi Allah s.w.t. Islam adalah satu cara hidup yang diturunkan Allah s.w.t. kepada manusia (Muhammad) untuk membantunya dalam segala hal disiplin pembangunan kehidupan di muka bumi ini.
Dalam surah Ali Imran  ayat 19, Allah berfirman yang bermaksud(terjemahan): “Bahawa sanya agama di sisi Allah ialah Islam.”
Surah yang sama ayat 85, Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Dan barang
siapa memeluk agama yang selain dan agama Islam, maka tiadalah sekali-kali diterima penuntutnya itu dan dia di hari akhirat dari orang-orang yang rugi”.
Telah nyata dengan seterang-terangnya kepada kita, bahawa Islam itu mengumpulkan
antara yang kembali kepada madah (benda) dengan yang kembali kepada ruh (jiwa) dan kebatinan. Masing-masingnya diberi bahagian yang sempurna. Mengikut Prof. Dr. Al-Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya “Islam dan Akal” . Islam bermakna: penyerahan kepada Allah pada setiap perkara, gerak geri dan urusan seluruhnya. Ayat suci al-Quran menggambarkan hakikat ini dalam surah al-An’am 6:165 yang bermaksud (terjemahan):
“Katakanlah  sesungguhnya sembahyangku, Ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan semesta alam, tidak ada baginya sekutu dan demikian itu akan diperintahkan dan akan aku adalah orang pertama daripada kaum Muslimin.”
                Gambaran al-Quran ini sangatlah menarik dan mendalam. Penyerahan kepada Allah ertinya masuk kedalam skop ketuhanan, menjauhkan diri daripada hawa nafsu dan syaitan. Ia adalah penyerahan wajah kepada  Allah. Hakikat ini berbeza dengan skop ketuhanan seperti  yang dikehendaki oleh komunis.
                Islam mempunyai kaitan rapat dengan system-sistem yang terselamat daripada salah dan silap ((‘ismah). Lantas wujud  akhlak dan perundangan yang ma’sum  sepenuhnya, tetapi penyerahan kepada Allah tidak sekadar dengan pengakuan semata-mata, ia menuntut satu perkara lagi iaitu ‘jihad” dan kesinambungan perjuangan demi kebenaran, kebaikan dan meninggikan  kalimah Allah. Sekiranya jihad  tidak wujud demi Islam, maka Islam juga tidak wujud.
                Seorang yang tidak pernah berjihad demi kerana  Islam yang dianutinya, maka dia bukan seorang muslim. Jestru itu jihad perlu dan sekali gus terarah kepada menjadikan insan sebagai  seorang yang rabbani atau ilahi (yang melaksanakan perintah Allah dengan sepenuhnya). Melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan jihad kerana Allah, maka itu orang yang tidak berpuasa atas dasar, masalah peribadi yang lemahnya iman maka ia bukan  seorang muslim.
Mereka yang diserang penyakit gestrik biasanya menghalalkan diri dari melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Penyakit jasmani tersebut menginap pada diri anda merupakan ujian Allah, sejauh mana imannya bersama dengan kesabarannya menempuhi ujian berkenaan. Kalau ia mengalah bermakna dia bukan seorang muslim.  
Dengan iman dalam melaksanakan ibadat wajar diserikan dengan kesabaran kerana senjata sabar sahaja akan membuahkan kebijaksanaan dalam urusan pembangunan atas dasar bertawakkal kepada Allah. Tawakkal, adalah percayamu kepada janji Allah dengan tidak melemah sedikit pun kerana adanya peristiwa-peristiwa (musibah), betapa pun banyak dan besarnya.
Iman itu adalah kemuliaan yang maha harganya. Tidaklah berbeza-beza seorang  manusia dengan manusia yang lain pada sisi Allah, lantaran harta bendanya, atau lantaran pangkatnya, turunannya dan lain-lain. Yang berbeza adalah lantaran kelebihan iman. Sebab itu mesti diuji Tuhan lebih dahulu dalam dan ceteknya iman seseorang, tulinkah atau palsu. Jika tidak bergeser iman dari tempatnya seketika kedatangan ujian dan cubaan, barulah boleh disebut beriman.
Kadang-kala telah berkali-kali dia berdoa, memohon dan meminta dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Tetapi permintaan dan doanya itu tidak  juga dikabulkan Tuhan. Apakah kecewa dia lantaran belum terkabul? Atau berkecil hatikah dia?
Seorang mukmin tidak kesal dan kecewa lantaran permintaannya belum terkabul. Kerana dia tahu bahawa  dirinya itu di bawah perintah dan aturan Tuhan semesta. Yang Maha Tahu
mengagak menentukan, yang segala aturan-Nya, tidak dibuat dengan sia-sia, yang tidak mahu menganiaya hamba-Nya. Tetapi kalau dia membantah, terlepas dia dari darjat Ubudiyah (perhambaan) dan jatuh kepada Syaithaniyah terkutuk, yang suka sekali membantah ketentuan.
                Nyata dan terang bahawa kekuatan dan kecukupan iman itu dapat dibuktikan seketika datang bala dan bencana, ujian dan cubaan. Pada kaum muslimin dan muslimat selamat melaksanakan ibadah puasa moga diampuni segala dosa, amin.

No comments:

Post a Comment