Saturday, November 24, 2012

KEPENTINGAN DALAM BUDAYA ISTIQAMAH

 (Disiarkan pada  24. 11. 2012)
Setiap yang hidup itu memerlukan budaya istiqamah dalam menangani hidup. Kita hidup kerana jatung kita setiasa mengepum darah ke seluruh anggota badan secara istiqamah. Mikanisme pergerakan jantung secara intiqamah dengan kehadiran roh adalah kekuasaan Allah s.w.t. sebagai Zat yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Darah yang aktif membawa oxygen serta zat makanan ke seluruh anggota sebagai tenaga dalam semua proses pembinaan sel-sel jasmani.
                Bermula dengan diri kita sendiri sebagai hamba Allah, kemudian beralih kepada alam haiwan, diikuti dengan alam tumbuh-tumbuhan dan seterusnya kepada alam ghaib, fenomena istiqamah itu sentiasa berada dalam felosofi kehidupan setiap makhluk Tuhan. Mengambil dari fenomena hidup pada setiap makhluk Allah, budaya istiqamah itu sentiasa berlaku sebagai aktiviti kehidupan.
                Mekanisme pernafasan pada setiap makhluk semestinya mengikuti budaya istiqamah. Tidak ada makhluk yang hidup tanpa bernafas secara istiqamah. Inilah yang dikenali sebagai sunatullah dan untuk hidup semestinya mengambil makanan setiap kali ia merasa lapar. Budaya istiqamah itu mendidik kita untuk menterjemahkan kepada amal untuk menangani pembangunan demi mendapat keredhaan Allah s.w.t. 
                Istiqamah ertinya teguh hati, tetap pendirian. Walaupun tidak semua orang dapat membu- dayakan istiqamah namun memeluk agama untuk mendapatkan hikmah secara mendalam sangat memerlukan budaya istiqamah ini. Keperluan terhadap budaya istiqamah ini sangat digunakan pada setiap masa, lebih-lebih lagi ketika di zaman moden ini.
                Istiqamah  mengandungi erti kemantapan, namun tidak bererti tidak bergerak untuk maju. Umpamanya semakin tinggi teknologi suatu kereta semakin mampu ia melaju dengan cepat tanpa goncangan. Maka disebuah kereta itu memiliki istiqamah atau kekuatan dan kemantapan. Kereta itu mantap dan tidak bergoncang  bukan  ketika ia berhenti namun ketika ia bergerak laju.
                Begitu juga halnya dalam pembangunan kehidupan di zaman moden ini, kita harus bergerak maju, namun tetap pada dasar pertama tanpa goyang. Ini dapat terwujud kepada orang-orang yang betul-betul memiliki jiwa dan pengetahuan keislaman yang mendalam. Bukan itu sahaja bahkan mereka tetap menjalani nilai-nilai keislaman tersebut.
                Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Jin:16, yang bermaksud (terjemahan). “Dan bahawa- sanya, jikalau mereka  tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu  (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak.”
                Allah menyambung pula perkhabaran yang berupa wahyu, untuk disampaikan kepada Rasul-Nya  Muhammad s.a.w. iaitu: Dan diwahyukan pula kepada Rasul-Nya  Muhammad s.a.w. seandainya bangsa manusia dan bangsa jin itu tetap berjalan di atas jalan itu  yakni mahu beragama Islam, pasti Allah akan meluaskan rezeki kepada mereka dan memberi minum pula kepada mereka air yang segar – dimaksudkan di sini ialah dilimpahkan kepada mereka kemewa- han dunia.
                Lafaz “air yang segar”  itulah punca kehidupan, dan dengan banyaknya air pula datanglah kemewahan. Lantaran itu ada peribahasa yang menyebutkan: “Di mana ada air disitulah ada harta, dan di mana ada harta di situlah dia menjadi ujian.”
                Begitulah gambaran istiqamah yang dituntut di zaman moden ini. Namun kenyataan pada sebenarnya menunjukkan banyaknya terjadi perubahan nilai istiqamah dalam diri masyarakat maju. Kebanyakannya lebih memperturutkan hawa nafsu dan kehendak diri sendiri tanpa mem- perhitungkan akan nilai-nilai kebenaran dalam ajaran Islam.
                Jiwa yang kosong lebih banyak dari mereka yang tidak teguh pendirian dan tidak memiliki istiqamah. Keresahan dan kebingungan lebih banyak melanda masyarakat yang mulai jauh dari nilai-nilai agama lantaran cuba mencampuradukkan kesucian dan kebenaran itu dengan
debu kemaksiatan.
                Istiqamah berkaitan dengan kemampuan manusia  dalam berjuang untuk menghadapi ujian dan penderitaan kerana semakin tinggi nilai iman seseorang itu semakin besar pula cubaannya yang harus dihadapinya. Dengan datangnya berbagai cubaan, ujian dan penderitaan itu, jiwa seseorang menjadi kuat dan tabah.
                Namun sebaliknya bagi mereka yang tidak memiliki iman yang kuat, yang mudah terpengaruh dengan suasana lingkungan, mereka akan merasa lemah dan terus tumbang apabila cubaan atau bencana datang dari Allah. Mereka mengeluh, menyalakan orang lain bahkan menyalahkan Allah s.w.t.. Keimanan seseorang harus dibuktikan dengan cubaan untuk melihat sejauh mana seseorang itu mampu mempertahankan nilai kesucian iman yang ia miliki.
                Firman Allah yang bermaksud (terjemahan): “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman,” sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3.
Melihat dari sudut sejarah sejak manusia itu diciptakan oleh Allah s.w.t. dan sejak diciptakan kebaikan dan keburukan, sejak itulah antara keduanya mendapat perlawanan. Kebenaran memerangi kemungkaran; sebaliknya kemungkaran atau kebatilan itu hadir di tengah-tengah kebenaran untuk mengganggu dan mencampur adukkan keduanya. Begitulah seterusnya sampai  ke saat ini. Antara yang benar dengan yang salah terus terjadi perlawanan, namun kenyataan yang dapat kita saksikan bahawa kebatilan itu  pasti akan menerima kehancuran. 
Allah s.w.t. telah memberi beberapa cubaan terhadap Nabi-nabi yang telah terdahulu. Betapa besarnya cubaan dan ujian yang harus  mereka terima.
Istiqamah dalam kehidupan Nabi Adam menempuhi berbagai ujian dan kesengsaraan. Setelah Adam disiptakan oleh Allah s.w.t. di dalam syurga lalu memerintah kepada semua Malaikat supaya sujud kepada Adam a.s. maka sujudlah para semua Malaikat  kecuali yang sombong dan tergolong kafir, iaitu iblis laknatullah.
Tinggallah Adam as.  sendiri di dalam syurga. Namun Allah mengetahui bahawa Adam merasa kesepian kemudian Allah menciptakan seorang wanita bernama Hawa. Allah berfirman maksudnya:
“Hai Adam diamilah oleh kamu dan isterimu  syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan jangan kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 35)
Nabi Adam tidak lama bertahan di syurga, lantaran tergoda oleh pujukan syaitan (Iblis) dengan rayuannya. Dilanggarnya perintah Allah, didekatinya pohon khuldi yang terlarang itu, dimakannya buah pohon tersebut. Kemudian keduanya dikeluarkan dari syurga. Allah berfirman maksudnya:
“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auranya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarang mu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua  tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (Dalam syurga). (Al-A’raf: 20)
Firman Allah lagi: “Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga.
Kemudian Tuhan menyeru mereka; Bukankah Aku telah melarang  kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Al-A’raf: 22)
                Akhirnya Nabi Adam as. oleh Allah s.w.t. Adam dan Hawa dilimparkan ke dunia, hidup sampai waktu  yang ditentukan. Keduanya menyesali atas dosa yang dilakukan ketika di syurga dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t..
Allah berfirman yang bermaksud; “Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”  (Al- Baqarah 37.
Kemudian Adam as. yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. sebagai khalifah  di permukaan bumi  memulai hidupnya bersama Hawa dengan berbagai  cubaan, namun Adam tetap bertakwa kepada Allah s.w.t. dan bertambah teguh istiqamahnya.
Istiqamah dalam kehidupan Nabi Ibrahim as. dalam menengakkan kebenaran dan menghancurkan kepalsuan juga mendapat  tentangan yang hebat dari kaumnya. Kehadirannya di tengah-tengah umat  yang sombong dan angkuh akan perintah Allah tidak berubah sikapnya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Dia mencari kebenaran itu.
Di sekelilingnya  manusia menyembah berhala-berhala, yang direka oleh mereka sendiri. Manusia dalam kekufuran dan kemusrikan, mereka ingkar dengan segala ketentuan Yang Maha Esa. Nabi Ibrahin berusaha mencari kebenaran yang hakiki, kebenaran yang dianugerahkan  oleh Penciptanya yang Agung, bukan kebenaran pada patung-patung  dan berhala, yang disembah oleh orang-orang yang tidak mampu menganalisa dan mengerti itu.
Nabi Ibrahim menyaksikan keadaan alam seperti kejadian siang dan malam serta kemunculan matahari, bulan dan bintang-bintang di waktu malam, tetapi semuanya menghilang pada masa-masa tertentu maka Ibrahim tidak meyakininya adalah Tuhan! Nabi Ibrahim mencari sesuatu kebenaran dan memahami bahawa kebenaran yang hakiki bukan pada mata hari, tetapi kebenaran yang sesungguhnya adalah yang mencipta matahari serta benda-benda yang ada di alam semesta ini.
Kemudian Ibrahim berkata lagi:
“Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cendrung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah.” (Al-An’nam: 79)
Nabi Ibrahim as. berusaha meyakinkan mereka yang menyemba berhala supaya beriman kepada Allah namun mereka tetap ingkar dan menyembah benda-benda yang tidak bergerak itu. Perjuangan Nabi Ibrahim dalam menegakkan kebenaran sungguh-sungguh mendapat tentangan.
Pada satu ketika apabila raja Namrud berserta kaumnya meninggalkan kampungnya sehingga kosong, ketika itu Nabi Ibrahim as. menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Nabi Ibrahim as, pergi ke tempan peribadatan mereka kemudian berhala-berhala yang ada di dalamnya dimusnahkan kecuali berhala yang paling besar. Kemudian kepak yang digunakan untuk memusnah berhala-berhala disangkutkan ke leher berhala yang paling besar.
Ketika mereka pulang dan langsung ke rumah berhala tempat peribadatan mereka, alangkah terkejut mereka melihat tuhan mereka telah hancur berselerakan. Mereka tidak ragu lagi sudah tentu Nabi Ibrahim as. yang melakukan perkerjaan itu.
Nabi Ibrahim dihadapkan kepada raja Namrud untuk disiasat siapa punya angkara memusnahkan patung-patung sembahan mereka. Nabi Ibrahim mengatakan bahawa yang melakukannya ialah berhala yang besar itu dengan boktinya kelihatan kepak ada pada lehernya! Akibat dari perbuatan Ibrahim itu ia  dihukum mati dengan mencampakkannya ke dalam api
yang sangat besar. Namun  Allah s.w.t. lebih berkuasa atas segalanya, maka Nabi  Ibrahim as. tidak mendapat bahaya sedikitpun walau di dalam unggun api yang sangat besar itu. Kemudian Allah berfirman maksudnya:
“Kami befirman: Hai api menjadi dinginlah dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim.”  (Al-Anbiya: 69)
                Istiqamah  dalam kehidupan Nabi Ibrahim ialah dengan menerima cubaan yang lebih berat lagi iaitu agar mengorbankan putra yang disayanginya  Ismail as. Namun kerana keimanan yang ada di lubuk hatinya Nabi  Ibrahim as. telah kuat dan kukuh, maka perintah dan cubaan itu dengan senang hati dilaksanakannya.                                                                                                                                                     

No comments:

Post a Comment