Friday, November 27, 2015

BUDAYA BERJIRAN NADI KESEJAHTERAAN UMMAH

 (Disiarkan pada 28. 11. 2015)
Masyarakat Islam mempunyai keunikan dari segi adab dan budaya yang tersendiri yang terbentuk mengikut acuannya serta terpancar dari nilai-nilai tersebut iaitu akidah, perkara-perkara yang bersangkutan dengannya dan cabang-cabangnya.
               Individu Islam mempunyai adab serta budayanya sama ada  dalam soal  makan-minum,  perhiasan dan pakaian, tidur dan bangun, perjalanan dan kerehatan, persahabatan dan kasih sayang, hubungan antara lelaki dan wanita, hubungan antara jiran tetangga, hubungan antara yang muda dan tua, hubungan antara orang kaya dan orang miskin dan sebagainya.
               Kebudayaan, kesopanan dan adat-adat ini telah diwujudkan oleh Islam di dalam mayarakat Islam bertujuan untuk menjadikannya berkhidmat kepada akidah, siar, emosi, akhlak dan tatasusila Islam.
               Memelihara hak berjiran adalah tanggungjawab bersama kerana ia adalah sebahagian daripada nadi pembangunan  ummah di mana setiap individu harus berkerjasama. Jiran tetangga  kita  merupakan sebahagian daripada keluarga kita kerana merekalah yang wajib menghulurkan tangan membantu apabila  diperlukan seperti mengawasi keselamatan rumah kita apabila ditinggalkan untuk berziarah ke tempat lain.
               Binatang-binatang kesayangan kita seperti kucing, ayam dan sebagainya boleh dipelihara oleh jiran kita pada masa ketiadaan kita di rumah dalam urusan berziarah kepada sanak saudara yang jauh yang memakan masa sehari dua dalam perjalanan.
               Mementingkan diri dan tidak memberi ruang untuk membudayakan hak-hak berjiran akan melahirkan pergesaran nilai di mana masing-masing menegakkan kebenaran sendiri. Jika suasana seperti ini berlaku maka  budaya bertimbang rasa demi mewujudkan kerukunan hidup berjiran akan menjadi asing akibatnya kedamaian dan perasaan kasih sayang tidak akan timbul; apa yang subur di kalangan masyarakat kejiranan ialah tumbuhnya kepentingan diri yang tidak kesah amalan kita itu ada manfaat kapada mereka atau sebaliknya.             
Mementingkan diri dan tidak menghormati hak berjiran akan membawa suasana ketegangan hidup. Pergaduhan sering berlaku kerana saling mempersalah antara satu sama lain. Kelemahan jiran kita menjadi buah mulut  yang tersebar luar hingga orang yang tidak wajar mengetahui pun menjadi pelanggan cerita kita yang menimbulkan keaiban  mereka.
               Menyembah Allah SWT bererti memusatkan penyembahan kepadanya semata-mata dengan cara menjalani dan mengatur seluruh aspek kehidupan dunia ini secara zahir dan batin adalah sesuai dengan kehendak Illahi, baik secara perseorangan dalam hubungan dengan Allah atau pun sebagai anggota masyarakat, dalam hubungan terhadap sesama manusia.
               Semua kegiatan seseorang hamba Allah, sama ada yang berupa ibadat terhadap Illahi atau pun yang berupa muamalat terhadap sesama manusia, semuanya itu hendaklah dilakukan dalam rangka persembahannya kepada Allah SWT dengan niat hendak mencapai keredhaan Allah semata-mata. Inilah tujuan hakiki dari hidup ini iaitu keredhaan Allah SWT. keredhaan Illahi yang memungkin tercapainya hidup yang sebenar-benarnya.
               Hidup berjiran merupakan ibadah kerana Allah. Mengenali dan mengasihi jiran tetangga kita ditutut oleh Islam kerana merekalah yang hidup hampir dengan kita yang lebih mengetahui permasalahan domestik kita. Baginda Rasul Nabi Muhammad saw sentiasa menggalakkan umatnya untuk memelihara kemurnian hidup berjiran sehingga beliau mencadangkan bahawa: “Apabila kamu masak sayur banyakkan  kuahnya dan bagikan jiranmu.”
               Beliau  sememangnya amat prehatin terhadap pemeliharaan hak-hak berjiran kerana
Merekalah secara zahir merupakan manusia yang paling dekat dengan kita, lebih dekat daripada anak-anak kandung kita sendiri yang bermastautin di merata tempat yang jauh dari perkampungan kita.
               Semasa keadaan hidup yang genting sekalipun di mana kita memerlukan orang lain
membantu kita, ahli jiranlah menjadi orang pertama yang boleh menyelesaikan masalah kita. Walaupun ada masalah yang merunsingkan pemikiran kita pasti jiran tetanggalah yang boleh sekadar memberi pandangan cara bagaimana menyelesaikan masalah berkenaan. Boleh katakan hak berjiran adalah  keutamaan diberi laluan dalam bermasyarakat di mana sahaja kita bermastautin kerana merekalah merupakan sebahagian daripada keluarga kita.
               Sebagai contoh, pernah berlaku dalam sebuah kawasan perumahan. Tuan rumah sebuah keluarga berkhidmat jauh dari rumahnya yang memakan masa sehari suntuk untuk memandu sampai ke tempat kerjanya. Maka terpaksalah  tuan rumah itu tinggal di rumah yang disediakan oleh kerajaan. Ia hanya menziarahi keluarga sekali dalam dua minggu.
               Isterinya tidak dapat bersamanya kerana dia juga berkhidmat dengan kerajaan  yang sukar hendak berpindah ke tempat suaminya. Isteri tinggal bersama anak-anak dan seorang ibu mentua yang sudah lanjut usianya. Pada suatu ketika tiba-tiba ibu mentuanya jatuh sakit secara mengejut dan dalam masa yang singkat beliau balik ke rahmatullah! Isteri serta anak-anak yang masih bersekolah saja berada di rumah. Kemudian si isteri menyampaikan berita keluarga berkenaan kepada jiran tetangganya yang terdekat.
               Jiran tetangga berkenaan tidak membuang masa terus mengurus peralatan permandian mayat. Kemudian berjumpa dengan pengerusi jawatan kuasa perkuburan di kampung lain  meminta izin menggunakan kawasan perkuburan mereka untuk pengkubumian arwah yang baru meninggal. Kampung perumahan di mana beliau bermastautin tidak mengizinkan untuk mengguna kawasan perkuburan yang diuntukkan bagi perkampungan tersebut.
               Tuan rumah (suami) sedang dalam perjalanan pulang; tetapi segala persiapan untuk pengkubumian ibunya sedang berjalan rancak. Setelah sampai beliau amat bersyukur kerana permasalahan yang amat merunsingkan hatinya semasa dalam perjalanan pulang telah selesai. Beliau tahu bahawa pengerusi kampung di mana beliau bermastautin sememangnya berkeras hati tidak membenarkan diguna kawasan perkuburan mereka seperti mana pengalamannya apabila memindahkan kuburan ayahnya dari satu tempat ke tempat berkenaan.
               Dengan pertolongan jiran yang terdekat maka permasalahan yang mungkin akan berlaku antara pengerusi Jawatan  Kemajuan Kampung (JKKK) dengan tuan rumah dapat di atasi. Pengerusi JKKK berkenaan tidak mementingkan hak-hak berjiran sehinggakan tidak membenarkan mengguna kawasan perkuburan kampungnya.
               Manusia diamanahkan Allah menjadi khalifah-Nya di muka bumi ini untuk mentadbir dan mengurus segala makhluk serta permasalahan kehidupan. Tanah ini adalah hak milik mutlak Allah SWT dan manusia diamanahkan untuk mengurus segala kesulitan mengenai penggunaan tanah. Tanggungjawab yang diberi kepada manusia ialah wajar berlaku adil dan saksama dalam semua hal pembangunan kehidupan. Tanah bukanlah hak milik manusia tetapi hanya hak gunapaki semata maka wajarlah bertimbang rasa serta berkerjasama dalam semua hal demi keperluan orang lain.
               Hak berjiran diumpamakan sebagai aur dengan tebing sentiasa tolong menolong antara sesama sendiri yang bersangkutan dengan masalah kebajikan. Apabila kita sakit jiran tetangga lah yang boleh membantu membawa ke hospitan tetapi kalau kemampuan itu tidak ada pada kita harus memberi tahu jiran lain yang berkemampuan untuk menolong.  
               Melaksanakan amanah Allah wajar  ada kerjasama sesama ahli masyarakat yang tinggal sekampung. Kerjasama adalah suatu faktor untuk meningkatkan kehidupan bermasya- rakat ke tingkat yang tinggi atau ke tingkat kemewahan bersama. Tamadun moden mendapati kerjasama ini sangat penting. Oleh demikian diadakan berbagai institusi kerjasama pada setiap bandar. Dan ini jelas menunjukkan betapa penting wujud kerjasama itu untuk kebahagiaan masyarakat.
               Asas kerjasama ini disebutkan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
               “Bertolong-tolonglah kamu kepada kebaikan dan takwa dan janganlah kamu ber- tolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.” Al-Ma’idah ayat 5:2
               Al-Qur’an menyuruh umat Islam supaya berkerjasama dalam membuat  kebaikan dan takwa. Kebaikan atau Al-Birru daripada segi bahasa boleh membawa pengertian: “pemberian, taat, benar dan membuat damai”. Jadi al-Birru merupakan suatu kalimah yang banyak mengandungi sifat-sifat baik. Sedangkan takwa itu pula ialah takutkan Allah dan beramal dengan patuh kepada-Nya.
               Jadi al-Birru  dan at-Takwa ialah kerjasama kepada setiap perkara yang  dapat menghasilkan kebaikan sama ada ianya berkerjasama untuk mendapatkan kebahagian di akhirat atau kerjasama bagi kemajuan umat seperti membina  sekolah, hospital, tempat-tempat perlindungan atau kerja-kerja amal yang  lain.
               Dalam bahagian kedua  dari ayat di atas, ditegah bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan permusuhan ‘Ithmun dari segi bahasa ialah kerja-kerja yang hina. Sedang permusuhan (‘udwan) ialah kezaliman. Termasuk dalam dosa dan permusuhan ialah setiap kerja yang mendatangkan keburukan kepada individu atau masyarakat.
               Jadi kerjasama yang sebenar yang diserukan oleh Islam ialah kerjasama untuk kebaha- gian individu dan masyarakat dan kerjasama yang apabila dilakukan oleh masyarakat akan menimbulkan perdamaian di kalangan mereka.
               Budaya berjiran  wajar mempunyai sifat mulia yang patut ada pada manusia seperti sifat ithar  yang banyak membawa kebaikan kepada manusia. Ianya sentiasa menjadi lambang kepada orang-orang yang berjiwa besar yang berusaha untuk kebajikan umat manusia.
               Ithar mempunyai kesan besar dalam memperkukuhkan kasih sayang di kalangan anggota masyarakat. Menjadikan mereka berperasaan tolong menolong. Inilah kebahagiaan yang dibawa oleh ithar kepada tuannya. Salah satu penemuan yang penting yang ditemui oleh ilmu jiwa moden ialah “Kebahagiaan tidak akan diperolehi tanpa pengorbanan oleh seseorang untuk kebaikan”.
               Al-Qur’an menyeru kepada ithar serta memuji orang-orang yang bersifat demikian. Firman Allah surah Hasyr ayat 59:9 yang bermaksud:
               “Dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang terpelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang beruntung.”
               Semasa Nabi Muhammad  berhijarah ke Medinah orang tempatan atau yang dikenali sebagai Ansor, Allah memuji mereka serta menerangkan kelebihan dan kemuliaan mereka. Mereka itu ialah orang-orang yang  telah sedia mendiami kota Madinah dan menetap di sana serta telah beriman dengan Allah dan rasul-Nya sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum Muhajirin ke Medinah. Kaum Ansor mencintai saudara-saudara mereka dari kaum Muhajirin dengan memberi sebahagian hartanya kepada mereka serta mengajak mereka tinggal serumah bersama-sama.
               Sikap mengutamakan orang lain itu bukanlah menunjukkan mereka tidak  berhajat kepada harta tapi sebenarnya mereka adalah juga orang yang berhajat. Hal ini untuk menunjukkan besarnya pengorbanan mereka dengan mendahulukan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.
               Dan barang siapa yang dipelihara daripada perasaan lokek dan kikir disebabkan rakus dan tamak yang merupakan suatu naluri dari sifat semulajadi pada diri seseorang – maka siapa yang dipelihara oleh Allah daripada sifat yang tercela itu – Kata Tuhan, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
               Budaya berjiran melahirkan pergaulan menurut norma-norma kemasyarakatan yang tidak bertentangan dengan hukum syara’, serta memenuhi segala hak yang berhak mendapat kannya masing-masing menurut kadarnya.
               Agama Islam menyeru dan mengajak kaum muslimin melakukan pergaulan di antara kaum musimin, baik bersifat peribadi orang seseorang, mahupun badan dalam bentuk kesatuan. Kerana dengan pergaulan, kita dapat saling berhubungan mengadakan pendekatan satu sama lain, boleh saling tunjang menunjang dan saling isi mengisi dalam keperluan hidup masing-masing.
               Juga dengan pergaulan kita dapat mencapai sesuatu yang berguna untuk kemasala- hatan masyarakat yang adil dan makmur, dalam membina masyarakat yang berakhlaqul karimah. Kemasalahatan masyarakat yang dilandasi dengan akhlaqul karimah tidak  akan terwujud kecuali dengan kemurnian pergaulan antara mereka.
               Kerapkali pergaulan itu membawa suara yang subang di antara mereka, hal ini dapat
terjadi kerana ada orang-orang yang memandang dirinya lebih baik dari orang-orang yang lain. Oleh kerana itu hilanglah daripadanya sifat menghormati orang lain dan hilang pula sifat kemuliaan di antara mereka.
               Islam adalah agama yang dilandasi persatuan dan kasih sayang. Kecendurungan untuk saling mengenal di antara sesama manusia dalam hidup dan kehidupan merupakan ajaran Islam yang sangat ditekan. Islam bukan agama yang didasarkan pada  hubungan liar yang  tidak mengenal batas, tetapi Islam mempunyai garis hidup yang kongkrit dalam batasan-batasan hidup bermasyarakat.

Oleh kerana itu Islam tidak mengajarkan pemeluknya untuk melakukan ibadat di tempat-tempat terpencil sendirian yang khusus dan terasing dari masyarakat, kerana Allah tidak menyediakan derajat-derajat yang tinggi bagi orang-orang yang mengucilkan diri.     

Sunday, November 22, 2015

HIDUP BERSOSIAL 'BERMASYARAKAT' MEMBAWA BERKAT

 (Disiarkan pada 21. 11. 2015)
Manusia diwujudkan Allah di dunia lengkap dengan berbagai fitrah. Fitrah merupakan sifat semula jadi manusia yang dijadikan  oleh Allah dalam diri manusia. Setiap manusia mem punyai potensi semula jadi atau fitrah untuk tumbuh dan berkembang menjadi insan yang baik dan berwawasan.
Walaubagaimana pun pada hakikatnya, daya intelek bukanlah hak milik individu secara mutlak, tetapi ianya adalah hak milik Allah. Setiap individu dimanahkan dengan daya intelek sebagai ujian daripada Allah. Oleh itu, individu yang berjaya menggunakan daya tersebut mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah akan mendapat kebahagian, manakala individu yang gagal pula akan mendapat penderitaan.
Hidup bersosial atau bermasyarakat merupakan fitrah setiap individu mukmin kerana hidup ini tidak membuahkan keseronokan tanpa kehadiran orang lain. Para pakar sains mengakui bahawa manusia adalah makhluk bersosial. Manusia sentiasa menginginkan kesamaan dan persamaan dalam semua keperluan hidup bermasyakat.
Allah berfirman dalam al-Qur’an surah  Al-Hujerat ayat 49:13 yang bermaksud:
“Hai manusia sesungguhnya, Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (ibu dan bapa) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat) dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha amat mengetahui.”
Allah menerangkan bagaimana pergaulan sesama manusia yakni bukan supaya berperang atau bersengkita melainkan supaya berkenal-kenalan dan berkasih-kasihan antara satu dengan yang lain. Satu bangsa tidak lebih baik daripada yang lain, melainkan dengan ilmu pengetahuannya, sedang seorang yang terlebih mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa.
Manusia, apabila dipandu oleh alam kebendaan maka ia mempunyai pembawaan diri yang sangat tinggi dan tidak akur kepada peraturan kemanusiaan sebagai panduan untuk membudayakan amalan hidup yang bebas dari perasaan sombong, takabur dan merasakan diri itu lebih hebat dari orang lain.
Pembawaan diri serupa demikian amatlah rendah di sisi Allah SWT. kerana hanya Allah sahajalah yang berhak untuk  merasa kehebatan dari  segala-galanya. Umat manusia harus fikir bahawa untuk mendekati Allah dan merasakan diri itu tidak ada apa yang boleh ditujukkan kehebatannya tanpa pertolongan dari Allah SWT.
Persaudaraan di dalam Islam merangkumi semua kelompok masyarakat. Tidak ter- dapat di sana sekelompok manusia yang terlalu tinggi darjatnya untuk bersaudara dengan orang lain dan tidak terdapat di sana sekelompok manusia yang  terlalu rendah darjatnya untuk bersaudara dengan orang lain.
Adalah tidak harus kita menjadikan harta, jawatan, keturunan, kedudukan di dalam masyarakat sama ada dalam bentuk material atau bukan sebagai alasan untuk meninggikan diri antara satu sama lain.
Pemerintah adalah saudara kepada yang diperintah dan pemimpin adalah saudara kepada yang dipimpin. Di dalam sebuah hadith ada menyebutkan:
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah orang-orang yang kamu sayangi mereka dan mereka menyanyangi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpin kamu ialah orang-orang yang kamu bencikan mereka dan mereka membenci kamuu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” (Diriwayat oleh Muslim dari ‘Auf Ibn Malik).
Kesejahteraan hidup wajar dihiasi dengan akhlak yang luhur untuk memandu manusia memelihara kemurniaan hidup. Menghormati orang lain dengan layanan yang saksama adalah
dituntut oleh agama Islam sebagai nadi pembangunan ummah.
Hidup bersosial membina masyarakat sebagai rukun hidup bermaruah. Kebahagian hidup merupakan fitrah yang dituntut oleh semua lapisan masyarakat. Untuk mendapatkan kebahagian, segala usaha manusia harus  difahami sebagai tawakal yang akan menempah kemurnian hidup di sisi Allah SWT.
Manusia hidup bermasyarakat membentuk nilai-nilai murni dalam hubungan kemanu- siaan sebagai teras pembangunan sosial. Hidup ini wajar dihiasi dengan disiplin tolong-menolong  demi membina empangan untuk memurnikan budaya hidup sebagai hamba Allah SWT.
Setiap individu harus memelihara kesetiaan sosial yang disulami dengan perasaan bertimbang rasa sebagai pemangkin untuk membudayakan benih-benih kaih sayang sesama insan.
Unsur manusia ada dua iaitu jasmani dan rohani, maka kedua-duanya wajar dipelihara untuk mewujudkan perasaan timbang rasa terhadap diri sendiri kerana Allah.  Setiap manusia sememangnya berasal dari sumber yang sama di mana Allah SWT bertanggungjawab terhadap kewujudannya. Allah SWT bersifat Pengasih dan Penyayang yang telah menjadikan manusia mempunyai sifat-sifat tersebut.
               Fitrah ini harus ada pada manusia yang digunakan untuk dirinya, masyarakat dan juga kepada makhluk-makhluk Tuhan yang ada disekelilingnya. Dengan adanya kasih sayang
akan melahirkan timbangrasa kepada sesama makhluk kelak membina kesejahteraan hidup yang dituntut oleh agama.
               Bertimbang rasa itu merupakan sifat naluri setiap individu yang bersifat ghaib tetapi kehadirannya dalam jiwa manusia amat diperlukan. Bertimbang rasa terhadap diri sendiri merupakan satu penghormatan serta rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana mewujudkan manusia dengan keadaan yang amat mulia dan sempurna berbanding dengan kejadian makhluk-makhluk  Allah yang lain di muka bumi ini.
               Firman Allah surah Al-Ira’ ayat 17:70 yang bermaksud:
               “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan manusia dan Kami tempatkan mereka di daratan dan di lautan, serta Kami berikan mereka rezeki daripada barang-barang yang baik serta Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan sebenar-benar kelebihan.”
               Manusia adalah makhluk mulia, kemuliaan manusia kerana persediaan yang diberikan kepadanya, persediaan ini tidak lain daripada kesempurnaan dirinya zahir dan batin. Kesem- purnaan lahir dengan adanya anggota kerja dan kesempurnaan batin dengan adanya tenaga jiwa yang menjadi sumber kepercayaan (ketuhanan), perasaan dan kemahuan. Dari sumber ini timbullah perbuatan, muncullah amalan, dan wujudlah pembalasan.
               Islam memandangkan sifat semula jadi (fitrah) manusia, mencerminkan fenomena percantuman entiti manusia yang terbentuk daripada tanah liat yang menggambarkan kecendurungan manusia ke arah kejahatan, manakala entiti manusia yang terbentuk daripada roh suci menggambarkan kecenderungan manusia ke arah kebaikan.
               Manusia memiliki keupayaan yang terpendam untuk menjadi jahat atau menjadi baik di samping memiliki potensi untuk menolak atau menerima petunjuk Allah SWT. Oleh itu ia mempunyai entiti yang unik. Manusia bukanlah malaikat dan juga bukan syaitan. Bagaimana pun taraf manusia  boleh mencapai tempat tertinggi daripada malaikat atau boleh terjatuh ke tempat yang paling rendah  sehingga bersifat seperti syaitan.
               Semasa Baginda Rasul Nabi Muhammad SAW diisra mi’rajkan atau di naikkan ke tujuh petala langit ditemani oleh malaikat Jibril hingga ke Sidratul Muntaha iaitu Arasy Allah, Nabi Muhammad SAW melanjutkan perjalanan menghadap Allah tanpa ditemani Jibril untuk menerima mandat melaksanakan shalat lima waktu.
               Shalat merupakan media untuk mencapai kesalehan spritual individual hubungannya
dengan Allah. Shalat juga menjadi sarana untuk menjadi keseimbangan tatana masyarakat yang egalitar, beradab, dan penuh kedamaian.
               Hidup bersosial membawa berkat dengan syarat bahawa semua kegiatan seseorang hamba Allah sama ada yang berupa ibadat terhadap Illahi atau pun yang  berupa muamalat terhadap sesama manusia, semuanya itu hendaklah  dilakukan dalam rangka persembahannya kepada Allah SWT. dengan niat hendak mencapai keredhaan Allah SWT., keredhaan Illahi yang memungkinkan tercapainya hidup yang  sebenar-benarnya.
               Hidup yang lebih tinggi mutunya dari hidup yang duniawi, hidup yang bukan bermaksud kebendaan sebagai kelanjutan hidup material iaitu hidup di alam akhirat yang puncak kebahagiannya terletak dalam pertemuan dengan Khalik. Inilah ertinya penyembahan
Allah SWT sebagai tujuan hidup.
               Di samping itu manusia semuanya telah bersumpah dan berjanji kepada Allah SWT serta mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang perlu disembah dan Dialah yang mengatur seluruh makhluk ini.
               Allah SWT. menyatakan bahawa manusia telah mengakui keesahan-Nya dan berjanji untuk berbakti dan beribadat kepada-Nya di alam arwah. Maka setiap perjanjian itu perlu menempuhi neraca ujian, apakah iman itu benar atau palsu, sadurankah atau sejati (waja), ianya ibarat emas yang mesti diuji terlebih dahulu, apakah tulin atau tidak. Setelah diuji barulah ianya bernilai baik atau tidak, tinggi atau rendahnya mutu emas itu. Begitu juga iman belum boleh dikatakan seorang itu beriman kerana kedudukan iman seseorang itu berbagai rupa menurut kesanggupan menguasai iman masing-masing.
               Dunia yang kita diami sekarang ini bukanlah merupakan syurga yang aman bahagia. Bahkan disebaliknya merupakan tempat ujian, tempat pecubaan, tempat persaingan, pentas drama untuk manusia berlakon dan memainkan peranan penting sekali dalam menentukan nasib hidupnya di masa akan datang iaitu alam akhirat.
               Seandainya manusia dapat menghadapi segala cubaan-cubaan dan rintangan-rintangan itu, maka berjayalah mereka di dalam hidupnya dan dapatlah dia mempertahankan keperi- badian sebagai manusia yang sebenarnya. Tanpanya hidup mereka sentiasa diselimuti penderitaan dan kehinaan
Allah menyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa manusia dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini, sepertimana yang tersebut di dalam kisah Adam a.s.. dan cita-cita para malaikat untuk menduduki tempatnya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 2:30 yang bermaksud:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Apakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) dimuka bumi itu  orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, sedangkan  kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau.’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku lebih mengatahui dari apa yang kamu tidak ketahui.’”
FirmanNya lagi dalam surah Al-An’am ayat 6:165 yang bermaksud:
“Dan dialah yang menjadikan kamu penguasa (khalifah) di bumi.”
Ditangan manusia terletak kekuasaan untuk mengatur dan mengendalikan segala isi alam ini. Firman Allah SWT surah Al-Baqarah ayat 2:29 yang beremaksud:
“Dialah Tuhan yang menjadikan segala apa yang di bumi ini untuk kepentingan manusia.”
Oleh itu, maju dan mundur, baik dan buruknya keadaan alam ini adalah bergantung kepada manusia. Manusialah yang layak memegang amanah ini yang tidak dapat ditanggung oleh makhluk-makhluk lain. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT sendiri dalam firman-Nya dalam surah Al-Ahzab ayat 33:72 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah ini kepada langit, bumi dan gunung,
maka semuanya tidak sanggup memikulnya, mereka takut akan mengkhianatinya dan manusialah yang layak memikul amanah ini, tetapi manusia ini amat zalim dan bodoh.”
Tanggungjawab manusia terhadap Tuhan tentang amanah ini bukanlah suatu perkara yang ringan malah ianya haruslah  melaksanakannya dengan baik dan jujur. Perkara utama tentang kelayakan jawatan khalifah ialah bahawa manusia itu hendaklah mengenali Tuhannya dengan sebenar-benarnya dan beribadat kepadanya dengan sebenar-benar ibadat.
Firman Alah SWT dalam surah  At-Thalaq ayat 65:12 yang bermaksud:
“Allah yang menjadikan tujuh petala langit dan begitu juga bilangannya dari bumi, yang mana segala perintah diturunkan di antara kedua-duanya supaya kamu mengetahui bahawa Allah amat berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu dan Allah ilmuNya telah meliputi tiap-
tiap sesuatu.”
               Dalam ayat ini ternyata bahawa mengenali Allah SWT. itu ialah tujuan bagi segala kejadian langit dan bumi.

               Bilamana manusia melalaikan tugas itu, nescaya Allah SWT. akan rurunkan kepadanya azab yang  pedih. Sebaliknya apabila mereka dapat menjalankan segala tugas dan tanggungjawabnya itu dengan sempurna, nescaya dia diberikan Allah SWT penganugerahan yang utama dan mulia.

Friday, November 13, 2015

SEMANGAT KERJASAMA CINTAKAN UMAT

(Disiarkan pada 7 November 2015)
Kesatuan adalah keperluan persaudaraan maka semangat kerjasama menghidupkan ukhuwah kemanusiaan kelak melahirkan suasana cintakan umat. Hidup di dunia seharusnya dimuliakan dengan semangat tolong menolong dalam menyelenggarakan kemanfaatan hidup di dunia dan di akhirat kelak kerana segala keperluan hidup dapat ditangani dengan adanya kerjasama antara sesama.
Ahli-ahli falsafah mengatakan bahawa “Two heads are better than one”, yang membawa maksud bahawa dalam menyelesaikan masalah pembangunan adalah lebih bermanfaat jika dibawa ke meja perundingan bersama orang lain kerana di situ percambahan fikiran atau pendapat boleh dilaksanakan untuk menemukan jalan penyelesaian mengenai masalah yang dihadapi.
Kita tahu bahawa segala ilmu di alam dunia ini tidak dapat dikuasi oleh seorang diri. Allah SWT taburkan ilmu-Nya kepada hamba-hamba-Nya mengikut kadar yang ditetapkan kepada setiap individu. Maka itu adalah wajar ada semangat kerjasama demi menyatukan umat dalam memurnikan pembangunan kehidupan di dunia.
Dalam percambahan fikiran, kita dapat mewujudkan ukhuwah demi melahirkan perasaan kasih sayang antara sesama yang mengikatkan suasana kekitaan sebagai semangat keunggulan yang akan menelurkan solusi penyelesaian yang boleh diterima oleh semua pihak. Solusi berkenaan merupakan satu ilham dari Allah SWT kelak mendekatkan kita kepada-Nya sebagai Zat yang Maha Berkuasa dan Bijaksana.
Dalam dunia pembangunan, ilham yang merupakan hidayah yang kecil dari Allah SWT, wajar setiap individu menemuinya kerana manusia hanya sebagai perintis pelaksana atau merancang pembangunan dan ketentuannya terpulang kepada Allah SWT.  
Segala agenda yang berkaitan dengan ekonomi atau hal-hal pembangunan lainnya dalam kehidupan dunia adalah kepunyaan Allah SWT dan manusia diamanahkan untuk menyeleggarakan sesuai dengan fitrah kehidupan bermasyarakat.
Adalah menjadi dasar ekonomi Islam di dalam masyarakat Islam ialah menganggap harta pada hakikatnya sebagai harta Allah dan menganggap manusia  hanya sebagai pemegang amanah atau peminjamnya sepertimana yang disebutkan oleh Al-Qur’an al-Karim dalam surah Al-Hadid ayat: 57:7 yang bermaksud:
“Hendaklah kamu beriman dengan Allah dan rasul-Nya? Dan hendaklah kamu belanjakan sebahagian daripada (harta) yang Allah telah jadikan kamu penguasa padanya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang membelanjakan sebahagian hartanya mereka itu memperolehi pahala yang besar.”
Allahlah Pemilik harta benda kerana Dialah Penciptanya serta Pencipta sumber-sumbernya dan Pemudah kepada sarana untuk mendapatkannya. Bahkan Allahlah Pencipta manusia dan alam sejagat. Setelah Allah menyuruh manusia supaya beriman, disuruh-Nya pula membelanjakan harta atau sebahaginnya dengan jalan memberikan nafkah untuk diri, isteri dan anak dan dengan berderma atau bersedekah. Harta tersebut Allah telah jadikan mereka penguasa padanya.
Sebenarnya harta itu pada hakikatnya kepunyaan Allah, bukan kepunyaan manusia, kerana Allah yang menjadikannya. Manusia disenangkan-Nya menerusi harta dan diberi kuasa membalanjakannya sebagai wakil Allah yang tidak boleh menahan harta itu daripada dibelanjakan pada perkara yang diperintah oleh Allah sebagai pemiliknya.
Islam menetapkan hak milik perseorangan daripada segi harta, dengan jalan memilikinya secara syarak, sama; sama ada dengan jual beli, mengupah, menyewa, menggadai, wasiat, pusaka dan lain-lain muamalat yang halal, yang telah ditetapkan olehnya – bukan dengan jalan curi, rampas, rompak, tipu, pemalsuan, khianat dan sebagainya.
Hak milik ini sentiasa dilindungi, dengan membenarkan pula berbelanja dan menafkahkannya pada jalan Allah, dalam perkara-perkara yang wajib, sunat dan yang mubah; bukan dibelanjakan dalam perkara-perkara yang haram yang membazir atau yang menyebabkan kehilangannya.
Walau bagaimana pun, Islam tidak membiarkan hak milik perseorangan itu lepas bebas tanpa ikatan atau batasan. Ia menetapkannya dan menetapkan di sampingnya dasar-dasar yang lain; mengubahnya daripada segi teori bukan daripada segi praktikal dan hampir-hampir pemiliknya terlepas daripada hak miliknya sebaik-baik mencukupi apa yang dihajatkannya.
Pertama-tama dasar yang ditetapkan oleh Islam, di samping hak milik persaorangan, ialah orang persaorangan seakan-akan wakil daripada jemaah orang ramai di dalam harta tersebut dan penglibatan orang tersebut tidak lain hanyalah sebagai seorang pekerja lebih daripada seorang pemilik. Pada umumnya harta itu hak milik jemaah orang ramai. Sedang jemaah orang ramai pula merupakan peninggalan (pusaka) Allah, yang tidak berhak memiliki sesuatu melainkan Allah – di mana Allah telah menyatakan dalam ayat 7 surah al-Hadid).
Tujuan ayat ini untuk menggalakkan umat Islam mengeluarkan nafkah yakni membelanjakan harta pada jalan Allah, disertakan bersifat zuhud yakni tidak terlampau mencintai kemewahan dunia. Oleh itu Allah melanjutkan firman-Nya yang bermaksud: 
“Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan membelanjakan sebahagian hartanya mereka itu memperoleh pahala yang besar”.
Maksudnya: Mereka yang menghimpunkan antara keimanan yang sejati dengan mengeluarkan nafkah pada jalan Allah, semata-mata mengharapkan keredaan Allah akan memperolehi pahala yang besar iaitu syurga.
               Allah itulah Tuhan pencipta dan menguasai seluruh alam baik di langit mahupun di bumi dan perlukan oleh-Nya, mengikut sesuka-Nya. Firman-Nya dalam surah An-Najm ayat 53:31 yang bermaksud:
               “Dan kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan kebaikan (syurga).
               Tidak siapa boleh  mengganggu gugat kekuasaan Allah. Oleh sebab itu orang yang jahat dibalas dengan kejahatan dengan memasukkannya ke dalam neraka, dan yang berbuat baik dibalas dengan kebaikan pula dengan memasukkannya ke dalam syurga.
               Dalam surah Yunus ayat 10:66  Allah berfirman yang bermaksud:
               “Ingatlah! Sesungguhnya kepunyaan Allah siapa-siapa yang di langit dan siapa-siapa yang di bumi, dan  orang-
orang yang menyembah selain Allah itu tidak akan mengikuti sekutu-sekutu (berhala). Tidak lain yang mereka ikut kecuali
persangkaan, dan tidak lain mereka kecuali  berdusta.”
               Allah mengingatkan, bahawa tidak ada yang memiliki siapa-siapa yang berada di langit, makhluk yang berakal, iaitu para malaikat. Begitu pula siapa-siapa yang berada di bumi – dimaksudkan manusia dan jin. Kecuali yang memiliki mereka hanyalah Allah.
               Perbuatan mereka menyembah berhala itu sesuatu persangkaan mereka bahawa hal itu dapat memberikan syafaat diri kepada Allah, maka itulah persangkaan mereka amat keliru! Dan tidak lain mereka hanyalah berdusta, iaitu terhadap apa yang mereka dakwakan.  
               Islam mengharam pencarian yang kotor kerana prinsip Islam ialah menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang kotor. Pencarian yang kotor ialah pencarian yang diperolehi melalui jalan kezaliman dan mengambil harta orang lain secara tidak benar seperti: merompak, mencuri, menipu, mengurangkan sukatan dan timbangan, monopoli, menggunakan kesempatan atas keterdesakan orang lain untuk mengaut keuntungan dan lain-lain lagi.
               Begitu juga memperolehi sesuatu tidak sepadan dengan usaha dan pengorbanan seperti riba dan judi (termasuk loteri) dan sebagainya. Begitu juga pencarian melalui aset yang haram seperti: arak, babi, berhala, patung, bijana yang  diharamkan, anjing yang diharamkan....dan sebagainya. Begitu juga dengan pencarian yang dihasilkan melalui manfaat yang tidak diakui Syarak seperti upah para dukun, tukang ramal, penenung nasib, pengurusan riba, atau berkerja di bar-bar, disko dan tempat-tempat hiburan yang diharamkan....dan seumpama.
               Rasulullah saw. memberi ancaman terhadap pemakan harta yang haram dengan api neraka. Sabda baginda Nabi Muhammad saw.
               “Setiap jasad yang tumbuh dari benda yang haram maka neraka adalah tempat yang paling layak untuknya.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, al Darami dan Ibn Hiban di dalam kitab Sahih al-Jami’ sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih al-Jami al-Saghir).
               Islam tidak menilai bagusnya niat yang baik serta matlamat yang mulia jika ia dilakukan melalui jalan pencarian yang haram. Oleh itu jika pemakan riba membina sebuah universiti atau mengasaskan sebuah sekolah untuk anak-anak yatim atau seumpamanya, usahanya itu tidak dihargai oleh Islam. Sebuah Hadith yang sahih ada menyebutkan:
               “Sesungguhnya Allah Maha Baik dan Dia tidak menerima melaikan yang baik sahaja”. (Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah)
               Sebuah Hadith yang lain ada menyatakan:
               “Sesungguhnya yang kotor itu tidak akan menghilangkan yang kotor juga.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim dari Ibn Mas’ud).
               Sesuatu yang haram tetap menjadi haram menurut perspektif Islam, sekalipun hakim menghukumnya sebagai halal berdasarkan bukti yang ada padanya.
               Firman Allah SWT dalam surah Al-Bakarah ayat 2:188 yng bermaksud:
               “Janganlah kamu memakan harta orang dengan jalan yang tidak halal (batil), dan kamu bawa kepada hakim supaya dapat kamu memakan sebahagian daripada harta orang  dengan berdosa (aniaya), sedang kamu mengetahui.”
               Dilarang  menguasai harta  orang dengan jalan yang batil, melalui mahkamah pengadilan. Iaitu dengan membawa saksi-saksi bohong yang menerima upah, pada hal dia tahu bahawa tuan punyalah yang berhak atas harta itu, meskipun ia tidak mempunyai bukti-bukti yang  boleh  memberi puas  hati pihak mahkmah. Maka harta demikian itu adalah harta yang diperolehi secara zalim dan aniaya.
               Berhubung dengan masalah ini terdapat sebuah Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
               “Sesungguhnya kamu semua mengadu kepadaku, barangkali sebahagian kamu lebih pandai berhujah daripada sebahagian yang lain, sehinggakan aku memutuskan untuknya sebahagian yang aku dengar. Maka barang siapa yang aku putuskan untuknya daripada hak saudaranya, maka itu adalah sepotong dari api neraka. Maka tinggalkan atau ambilkan.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan juga Muslim).
               Meskipun hakimnya adalah Rasulullah s.aw. kerana Baginda memutuskan berdasarkan bukti yang jelas padanya.
               Lantaran ini, Islam telah menjadikan hati nurani dan ketakwaan seseorang muslim sebagai pegawai kepada kehidupan ekonominya. Jika seseorang hakim itu berhukum berdasarkan kepada zahir maka Allah Maha Mengetahui hakikat yang tidak zahir.
               Antara perkara yang sangat diharamkan ialah pengeksploitasian golongan kuat terhadap golongan lemah. Umpamanya pemegang wasiat yang memakan harta anak-anak yatim, para suami yang memakan harta isteri secara tidak sebenar, pemimpin memakan harta rakyat, majikan memakan hak pekerja dan pemilik tanah yang memakan hasil titik peluh para petani tanpa bayaran upah.
               Antara lain yang diharamkan oleh Islam secara keras  ialah; mengambil harta awam secara salah, kerana setiap orang mempunyai hak ke atas harta awam. Jika ia mencuri atau merampasnya bererti ia telah menzalimi mereka keseluruhannya. Kelak mereka semua akan menuntutnya pada Hari Qiamat nanti.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 3:161 ayang bermaksud:
“Barang siapa yang menipu dalam urusan rampasan peperangan maka pada Hari Qiamat ia akan datang membawa apa yang ditipunya itu; kemudian tiap-tiap diri akan diberikan pembalasan terhadap apa yang ia kerjakan dengan pembalasan yang setimpal dan mereka tidak akan dianiya”.
Begitu juga diharamkan menggunakan harta awam ke atas harta pemerintah yang tinggi seperti mana ia juga haram ke atas kerani-kerani yang rendah. Tidak harus  bagi mereka tidak boleh menggunakan  jawatan mereka untuk menimbun kekayaan atas alasan bonus atau hadiah. Semua orang yang berfikiran waras tahu bahawa ia adalah rasuah dalam bentuknya
yang samar.
Islam adalah agama fitrah. Tidak terdapat satu pun prinsip Islam yang menyalahi atau merosakkan fitrah tersebut. Sebaliknya di dalam Islam hanyalah terdapat prinsip yang bersesuaian dengan fitrah, mendidiknya serta menaikkan martabatnya.
Antara fitrah yang telah ditentukan ke atas manusia ialah sukakan pemilikan sepertimana yang kita lihat semenjak dari alam kanak-kanak tanpa dijajar dan ditunjuk. Sebaliknya Allah telah melengkapkan kepada manusia sifat naluri ini untuk bertindak sebagai faktor yang kuat agar manusia lebih  aktif, tekun dan teliti apabila mereka mengetahui mereka akan memiliki hasil usaha mereka kesudahannya.

Jestru itu kehidupan menjadi berkembang, ketamadunan menjadi pesat dan produktiviti bertambah dan berkualiti.

Friday, November 6, 2015

UKHUWAH RUKUN HIDUP BERSEPADU

 (Disirkan pada 7. 11. 2015)
Islam memandang berat tentang hubungan sesama manusia (muamalah). Kerukunan hidup manusia adalah diikat dengan kesamaan dan persamaan dalam semua keperluan hidup di alam ini. Walaubagaimana pun pentingnya manusia bermasyarakat atas sebab keperluan hidupnya tidak dapat ditangani oleh seorang diri. Segala ilmu keperluan hidup di dunia tidak dapat dikuasai oleh seorang diri maka wajib  bertolong-tolongan antara satu sama lain; dalam bahasa lainnya “give and take”.
Apabila kita perhatikan persamaan yang diperintahkan oleh Islam, kita lihat tidak ada undang-undang agama ataupun undang-undang ciptaan lainya yang mengawasi prinsip persamaan seperti yang dilakukan oleh Islam.
Islam mengiktirafkan bahawa seluruh manusia adalah sama di hadapan undang-undang dan hak-hak umum politik. Tidak ada perbezaan warna kulit, kaya miskin, berpangkat dan tidak berpangkat.
Allah berfirman dalam surah Al-Hujerat ayat 49:13 yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadi kamu berbangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa!”
Ayat ini menyeru seluruh manusia, bukan suatu kabilah atau sesuatu umat sahaja. Mereka semua adalah dari satu bapa dan dari satu ibu; jadi tidak patutlah mereka mendakwa diri mereka lebih tinggi atau mulia dari bangsa atau seseorang lain. Perbezaan-perbezaan warna kulit, bahasa dan bangsa tidaklah menghapuskan sifat persaudaraan mereka, tetapi mereka wajib berkenal-kenalan antara satu dengan lain supaya terjalin perasaan kasih sayang dan berkerjasama untuk menghapuskan halangan-halangan hidup.
Jadi, di sini jelas dapat dilihat betapa tingginya prinsip atas dasar persamaan yang dibawa oleh Islam. Rasulullah juga pernah melafazkan kata-kata yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu, bapa-bapa kamu satu. Semua kamu adalah anak Adam dan Adam dijadikan dari tanah. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertakwa. Tidak ada kelebihan orang Arab ke atas orang Ajam, tidak orang Ajam ke atas orang Arab, tidak orang yang berwarna merah ke atas yang putih, dan tidak orang yang putih ke atas yang merah kecuali dengan takwa.” Riwayat Imam Ahmad.
Inilah dasar persamaan yang telah lahir sejak 14 kurun yang lampau yang dibawa oleh Islam di negeri Arab yang sangat terkenal dengan bangsa yang berbangga dengan keturunan.
Rasulullah tidak  membezakan hak-hak dan pergaulan antara orang putih dan dengan yang hitam atau antara orang merdeka dengan hamba. Baginda telah melantik Bilal menjadi ketua di Medinah sedang di sana masih ramai terdapat sahabat dan Bilal itu sendiri bekas hamba yang ditebuskan oleh Abu Bakar.
Ketinggian Islam akan lebih ternyata dapat dilihat apabila dibandingkan dengan cara pergaulan umat yang maju sekarang ini yang menafikan kemuliaan manusia.
Islam telah memerintahkan umatnya supaya melaksanakan keadilan di kalangan manusia. Firman Allah surah An-Nisa ayat 4:135 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu berdiri teguh di atas keadilan serta menjadi saksi (atas kebenaran) kerana Allah – sekalipun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibubapa dan kaum kerabatmu. Kalaulah dianya kaya atau miskin maka Allah lebih mengetahui tentang keduanya. Oleh sebab itu, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu untuk berlaku buruk (aniaya). Dan sekiranya kamu memutar belit atau berpaling, maka sesungguhnya Allah itu Maha mengetahui akan apa-apa yang kamu kerjakan.”
Hendaklah kamu menjalankan keadilan dengan sungguh-sungguh di dalam semua
penyaksian, dan jangan zalim atau aniaya. Begitu pula hendaklah jujur dan benar dalam masa  
menjadi saksi – semata-mata  kerana Allah dan dengan penuh rasa keikhlasan. Kejujuran sewaktu menjadi saksi itu adalah perlu dan sangat-sangat dituntut, walaupun, umpamanya, akan melibatkan atau merugikan diri sendiri, atau orang-orang yang dikasihi, seperti ibubapa dan kaum kerabat.
Al-Quran tidak memandai dengan ini sahaja malah ia menyuruh umat Islam supaya
menjaga keadilan walaupun terhadap pihak musuh. Firman Allah SWT.
               “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorongkan kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”
               Dalam ayat lain Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 4:58 yang bermaksud:
               “Apabila kamu menghukum di antara manusia maka hemdaklah kamu menghukum dengan adil.”
               Antara nilai kemanusiaan masyarakat yang anjurkan oleh Islam ialah persaudaraan atau ukhuwah. Ia bermaksud; manusia hidup di dalam sebuah masyarakat yang sayang-menyayangi, mempunyai perhubungan yang erat dan saling bantu-membantu.  
Mereka dihimpunkan oleh perasaan sebagai anak bagi keluarga yang satu yang saling menyayangi antara satu sama lain, memberi peransang antara satu sama lain sehingga setiap orang di dalamnya merasakan kekuatan saudaranya adalah kekuatannya, kelemahan saudara nya adalah kelemahannya. Ia akan merasa kecil apabila bersendirian dan merasa banyak apabila bersama saudara-saudaranya.
Al-Qur’an al-Karim telah menjadikan persaudaraan sebagai saudara  kandung kepada  keimanan di dalam masyarakat yang beriman. Kedua-duanya tidak boleh berpisah seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 49:10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”
Al-Qur’an juga telah menjadikan persaudaran itu sebagai nikmat yang paling besar. Firman Allah SWT surah Ali-Imran ayat 3:103 yang bermaksud:
“Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu bersaudara dengan sebab nikmat Allah tersebut.”
Sebelum kedatangan agama Islam kamu adalah suku-suku yang saling bermusuh-musuhan dan berbunuh-bunuhan;
yang kuat  menganiaya yang lemah dan yang kaya menganiaya yang miskin. Tetapi Allah telah mengurniakan nikmat-Nya
dengan mendatang kan kepada kamu agama Islam. Disatukan-Nyalah hati sehingga semuanya menjadi saudara yang amat mesrah
Dalam surah yang berlainan, Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 8: 62 – 63 yang bermaksud:
 Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Yang mempersatukan hati-hati mereka (orang-orang yang beriman). Sekalipun kamu menggunakan kekayaan yang berada di atas permukaan bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
               Ada dua pertolongan yang dijanjikan dalam ayat ini: Pertama, pertolongan yang mempunyai sebab-sebab tersembunyi tanpa diketahui ialah yang dimaksudkan dengan pertolongan Allah, iaitu yang datang daripada-Nya secara langsung tanpa sebarang perantara- an dan tanpa dimaklumi. Pertolongan kedua, yang mempunyai sebab-sebab zahir yang diketahui iaitu pertolongan  yang datangnya dengan perantaraan orang-orang yang beriman yang membantu berjuang di medan perang.
               Allah menerangkan cara pertolongan dengan perantaraan orang-orang mukmin, iaitu Allah mempersatukan mereka pada mengimani (mempunyai) engkau ya Muhammad berupa pengorbanan nyawa dan harta mereka untuk mempertahankan engkau, iaitu selepas bermusuhmusuhan dan berpecah-belah berikutan berlakunya peperangan di antara mereka dengan berlanjutan dan mengambil masa yang amat panjang. 
               Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Seorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh...janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan, dan janganlah saling menipu...jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
               Sebuah Hadith yang telah diriwayatkan oleh  Imam Ahmad dari Zaid Ibn Arqam bahawa Rasulullah s.a.w. membaca setiap kali selepas solat yang maksudnya:
               “Ya Allah Ya Tuhan, Tuhan segala sesuatu serta Pemiliknya, Aku bersaksi sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Esa tiada sekutu bagiMu.
               Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan segala sesuatu serta Pemikiknya, Aku bersaksi sesungguhnya Muhammad itu hambaMu dan pesuruhMu.
               Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan segala sesuatu serta Pemiliknya, Aku bersaksi sesungguhnya semua hambaMu adalah bersaudara.”
               Ungkapan Rasulullah s.a.w. “sesungguhnya semua hamba adalah bersaudara” mengandungi dua makna yang mana kedua-duanya adalah benar.
Pertama: Hamba disitu adalah merujuk kepada  manusia keseluruhannya. Mereka adalah saudara  antara satu sama lain berdasarkan kepada semuanya adalah anak Adam dan hamba kepada Allah. Ini adalah persaudaraan kemanusiaan umum.
                    Allah SWT telah menyifatkan beberapa orang Nabi bahawa mereka adalah saudara kepada kaum mereka sekalipun kaum mereka mengkufuri risalah yang dibawa oleh mereka lantaran persamaan mereka dari segi bangsa dan asal keturunan sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT surah al-A’raf ayat 7:65 yang bermaksud:
                    “...Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum ‘Ad saudara mereka, Hud”
Surah al-A’raf ayat 7:73 yang bermaksud:
 “...Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kamum Tsamud saudara mereka, Saleh.”
Surah al-A’raf ayat 7:85 yang bermaksud:
                    “...Dan (Kami telah mengutuskan) kepada penduduk Madyan saudara mereka,  Syu’aib.”
Kedua: Hamba yang dimaksudkan disini hanyalah  khusus kepada umat Islam sahaja  berdasarkan kepada persamaan mereka dari segi agama. Mereka dihimpunkan oleh akidah yang  satu iaitu tauhid, qiblat yang satu iaitu ka’bah, kitab yang satu iaitu al-Qur’an, Rasul yang satu iaitu Muhammad s.a.w. dan manhaj yang satu iaitu Syariat Islam.
                    Ini adalah persaudaraan Islam yang khusus. Ia tidak menafikan yang pertama kerana yang khusus tidak boleh menafikan yang umum, begitu juga sebaliknya.
                    Apa yang lebih pentingnya, persaudaraan Islam ini mempunyai hak yang lebih banyak, berdasarkan kepada kesatuan akidah dan syariat serta pemikiran dan tingkah laku.
                    Unsur utama bagi persaudaraan ini ialah perasaan kasih sayang. Peringkat kasih sayang yang paling rendah ialah bersihnya hati dari perasaan hasad dengki, kebencian, iri hati  dan punca-punca yang menyebabkan permusuhan dan pertengkaran.
                    Antara keperluan persaudaraan di dalam Islam ialah saling tolong-menolong, bantu-membantu dan sayang menyayangi. Tidak ada nilainya persaudaraan jika anda tidak membantu saudara anda ketika diperlukan, membantunya ketika kesulitan dan mengasihani nya ketika lemah.
                    Rasulullah s.a.w. telah menggambarkan kepada kita contoh yang mengkagumkan tentang tolong-menolong dan ikatan yang kukuh di kalangan anggota masyarakat Islam. Sebahagian dari gambaran yang menarik itu ialah sabda Rasulullah s.a.w.
                    “Bandingan seorang yang beriman kepada orang yang beriman yang lain adalah
umpama sebuah bangunan yang saling mengukuhi antara satu dengan yang lain”. Lantas Rasulullah s.a.w. memasukkan jari-jemari baginda antara satu sama lain. Disepakati oleh al-
Bukhari dan Muslim dari Abu Musa.
Seketul bata sudah tentulah lemah sekalipun buatannya kelihatan kukuh. Sementara ribuan batu yang berselerak tidak boleh membentuk apa-apa dan tidak dinamakan sebagai bangunan. Binaan yang kukuh hanya terjadi dengan batu-bata yang saling diikat dalam barisan-barisan yang terusun berdasarkan sistem tertentu. Lantara itu akan terbentuklah dari batu-bata tersebut sebuah dinding yang kukuh. Dari himpunan beberapa dinding terbentuklah   rumah yang tegap. Rumah yang tegap itu amat sukar hendak dimusnahkan oleh tangan-tangan para perosak.
Rasulullah s.a.w. juga menggambarkan keagungan kasih sayang antara anggota masyarakat, saling melengkapi dan  kasihan belas antara satu sama lain dengan sabda Baginda:
“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam jalinan cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seperti tubuh yang satu apabila ada anggota tubuh yang merasa sakit, maka seluruh anggota yang lainnya merasa demam dan tidak dapat tidur malam”.
Diriwayatkan oleh Muslim dari al-Numan Ibnu Basyir.
                    Itu adalah ikatan penghubungaan antara anggota tubuh. Setiap satu memerlukan kepada yang lain. Ia tidak dapat berpisah dan takkan hidup tanpa yang lain. Organ pernafasan tidak dapat berpisah dari organ pencernaan. Kedua organ tersebut tidak dapat berpisah dari saluran dan tekanan darah. Setiap satu melengkapi yang lain. Dengan bantuan setiap anggota maka  hiduplah seluruh tubuh. Ia akan

berterusan berkembang dan berperanan.